BBB, 13 Jamadil Akhir 1436 = 03 April 2015
(Jumaat):
Pada pertengahan abad 19 lahir dua tokoh
persuratan Melayu penting yang keberadaan mereka dianggap sebagai zaman
transisi antara tradisi dan moden. Mereka yang dimaksudkan ialah Raja Ali Haji
(1809-1870) dan Abdullah Munshi (1796-1854). Berbezaan antara keduanya Raja Ali
Haji adalah dari keluarga Diraja Riau dan berlatarbelakang pendidikan agama
Islam dan berdepan dengan zaman penjajahan Belanda, manakala Abdullah bin Abdul
Kadir Munshi dari kalangan rakyat biasa, mendapat pendidikan agama secara
rakyat dan berpeluang mendekati pentadbir-pentadbir British seperti Raffles di Singapura dan Farquhar di Melaka dan
pegawai-pegawai lain dan terpengaruh dengan permodenan dan pentadbiran yang
mereka bawa. Raja Ali Haji dan Abdullah Munshi adalah intelektual zamannya.
1) Gurindam 12
2) Syair Abdul Muluk
3) Ikat-Iktan 12 Puji
4) Syair Hukum Faraid
5) Syair Suluh Pegawai
6) Syair Siti Sianah
7) Bustan al-Katibin
8) Tuhfat al-Nafis
9) Silsilah Melayu dan Bugis
10) Thamarat al-Muhimmah
(Abu Hassan Sham, Puisi-Puisi Raja Ali Haji,
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1993:23 & 87).
Raja Ali Haji adalah membawa pembaharuan.
Misalnya ia dengan penuh sedar membawa tarikh-tarikh bagi karangan yang
bersifat sejarah seperti Tuhfat al-Nafis. Dia mengarang karya-karyanya bukan
atas permintaan orang lain seperti Sejarah Melayu, tetapi adalah atas
kehendaknya sendiri. Bahasa yang ditulisnya tidak lagi terikut dengan gaya dan
susuk bahasa Arab, sebaliknya adalah membawa nilai dan ciri Melayu. Bahasanya
adalah dari rumpun Melayu Johor, bahkan boleh dikatakan gaya bahasa yang dibawanya menjadi induk dan
gaya bahasa Melayu utama yang menjadi bahasa Malaysia kini. Beliau juga membuat
gambaran terhadap peristiwa-peristiwa yang dilihatnya adalah secara langsung.
(Siti Hawa Haji Salleh, Kesusasteraan Melayu
Abad kesembilan Belas, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1997: 174-180).
Walau bagaimana Raja Ali Haji tidak membawa
perubahan secara drastik terhadap bahasa Melayu, tetapi usahanya adalah membuat
perbaikan, sekaligus mempertahankan kemurnian dan keindahan bahasa Melayu. Ini
dapat dilihat bagaimana Raja Ali Haji menggubah Gurindam 12 dengan begitu indah
dari segi bentuk dan tinggi nilai dari segi estetika dan etika keislaman.
Beliau juga mempertahankan keaslian bentuk syair sebagaimana terbukti dengan
Syair Abdul Muluknya dan lain-lain.
Contoh Syair Nasihat yang terdapat pada
penghujung karangan Al-Thamarat al-Muhimmah: Fasal 3:
Ayuhai segala pegawai sultan,
Hendaklah jaga pada jabatan,
Kamu itu seperti intan,
Jangan dibuangkan ke dalam hutan.
Yakni jangan lengah dan lalai,
Pekerjaan raja dihalai-balai,
Lengah dengan nasi dan gulai,
akhirnya kelak badan tersalai.
Jangan
lupa Raja Ali Haji adalah pengarang terawal yang mula-mula menyedari tentang
kepentingan bahasa dan kaedah-kaedah penulisan lantaran itu beliau mengarang
Bustan al-Katibin.
(Abu Hassan Sham, Puisi-Puisi Raja Ali Haji, 1993:
23 & 288).)
Berlainan dengan Abdullah Munshi yang
berketurunan campuran darah Arab-India dan membesar di Melaka negeri yang tidak
mempunyai kesultanan, bahkan kurang menghayati hati budi Melayu, lantaran itu
walaupun berlatar pendidikan agama dan Qur`an, tetapi tugasnya sebagai
Jurutulis Raffles dan pergaulannya dengan masyarakat yang berbagai, juga tugasnya
sebagai guru membentuk jiwanya lebih bebas dan gaya penulisan barat yang bebas
mempengaruhinya. Beliau berani mengkritik
berbagai pihak, khususnya masyarakat Melayu secara tajam. Antara
karyanya yang penting dihasilkan ialah:
1) Hikayat Abdullah – 2 jilid (1849)
2) Kesah Pelayaran Abdullah (1838)
3) Syair Singapura Terbakar (1830)
(Wajah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala
Lumpur, 1981: 65-68)
Abdullah dianggap banyak membawa pembaharuan
di dalam persuratan Melayu yang bahasanya lebih bebas, beliau membahasakan
dirinya di dalam karangan selain dari `saya` juga sebagai `aku`, beliau
mengecam sikap malas orang Melayu. Contoh Abdullah mengkritik penduduk di Kuala
Terengganu ketika singgah dalam rangka pelayarannya ke Kelantan.
``Maka saya lihat kampung-kampung dan
rumah-rumah mereka itu sekalian congkah-mangkih dengan tiada beratur dan tiada
sama masing-masing punya muka dan pagarnya bengkang bengkok. Maka adalah rumah
mereka itu atap lagi tinggi maka penuh dengan kptor di keliling rumahnya sampai
ke bawah rumahnya penuh sampah dan limbahan.``
(Abdullah bin Abdul Kadir Munshi, Kesah
Pelayaran Abdullah, Malaysia Publications Limited, Singapura, 1965: 27).
Abdullah juga mengkritik masyarakat di
Terengganu, tiada yang belajar bahasa
Melayu, kecuali Al-Qur`an dan sedikit sahaja yang pandai menulis.
(Kesah Pelayaran Abdullah, hlm. 32).
Sebaliknya Abdullah mengagung-agungkan
British. Contoh pujiannya terhadap Farquhar pegawai British di Melaka:
``Sebermula maka segala orang Melaka, daripada
empat bangsa orang pun, terlalulah sangat kasih dan setuju berajakan Tuan
Farquhar itu. Maka adalah pada masa itu negeri Melaka pun dalam sentosanya, dan
dagang pun terlalu banyak, keluar masuk datang daripada segala pihak negeri
berniaga ke Melaka.``
(Abdullah bin Abdul Kadir Munshi, Hikayat
Abdullah. Jil. 1, Pustaka Antara, Kuala Lumpur, 1963: 55).
Daripada pemaparan di atas jelas perbezaan
cara berkarya antara Raja Ali Haji yang beradab sopan yang sesuai dengan adat
dan budaya Melayu. Sikap dan nilai murni dipertahankan. Berbeza dengan Abdullah
yang tidak mempunyai nilai tradisi dan tidak terikat dengan nilai dan adat
Melayu, lantaran itu beliau agak kasar dan kurang beradab. Walaupun dikatakan
Abdullah banyak membawa pembaharuan di dalam bidang penulisan, nampaknya lebih
terhad kepada diri individu Abdullah. Nilai dan pembaharuan yang dikatakan
dibawa oleh beliau itu tenggelam di
dalam nilai, adat dan pegangan agama yang menjadi identiti nilai Melayu. Walau
bagaimana kedua-duanya berperanan besar bagi perkembangan dan lonjakan bahasa Melayu.
Sekian.
No comments:
Post a Comment