BBB, 04 Zulhijjah 1436 = 18 September 2015
(Jumaat):
Membaca kandungan surah ini dapat dirasai dan difahami tentang amaran tegas dan keras terhadap musuh Islam yang masih berdegil dan keras kepala setelah melalui siri penentangan mereka terhadap Islam. Iaitu bermula dari zaman dakwah Nabi di Makkah, membawa kepada zaman Hijrah dan kepada sekatan mereka terhadap orang Islam yang mau menunaikan umrah yang terpaksa diadakan perjanjian yang dikenali dengan perjanjian Hudaybiah. Mereka tidak berpegang dengan perjanjian yang menyebabkan Rasulullah s.a.w. dan pasukan tentera Islam membuka Makkah pada tahun ke sembilan Hijrah. Dengan pembukaan Kota Makkah penduduk Makkah diberi keampunan dari segi kesalahan mereka terhadap orang Islam sebelumnya. Polisi Rasulullah s.a.w. sedemikian menyebabkan penduduk Makkah yang selama ini menentang Nabi masuk Islam berduyun-duyun, termasuklah pemimpin utama mereka. Iaitu Abu Sufyan.
Surah al-Taubah yang dikenali juga sebagai
Surah Bara`ah diturunkan di Madinah selepas setahun pembukaan Kota Makkah,
mengandungi 129 ayat. Dinamakan Surah Al-Taubah, ialah perihal golongan salah
laku dan bertaubat dan diampunkan dan erti Bara`ah bermaksud, `Pemutusan
Tanggungjawab` akibat dari pembatalan perjanjian (Shaykh Abdullah bin Muhammad
Basmih, Tafsir Pemimpin Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur`an, 1985: 341).
Surah ini tidak dimulakan dengan basmalah
sebagaimana surah-surah yang lain, lantaran kandungan surah berkenaan membawa
Tema Perang dan amaran keras terhadap musuh yang masih berdegil menentang
Islam. Mereka sepatutnya sudah faham mengenai misi yang dibawa Islam. Jika pada
zaman Jahiliyyah mereka lebih tebal dengan budaya tradisi dan merasa tergugat
status kedudukan dengan kedatangan Islam. Kini sesudah Islam sudah diterima
oleh kebanyakan masyarakat di Makkah-Madinah, tetapi ada sebahagian masih
berkeras kepala dan masih menunjukkan penentangan. Lantaran itu mereka
seolah-seolah terlepas dari ikatan dan membuka ruang bagi kaum muslimin yang
telah mengambil alih tapuk kekuasaan di Madinah-Makkah terlepas dari
tanggungjawab sebagai terikat sebelumnya sebagaimana dalam syarat-syarat
perjanjian antara orang muslimin dan musyrikin (9.5) .
Ingatan diberi pada musim Haji Al-Akbar yang
dipimpin Rasulullah s.a.w. Mereka yang degil diberi tempoh empat bulan untuk
menghentikan tindakan bermusuh, iaitu mulai 10 Zulhijjah Hari Haji Akbar tahun
9 Hijrah hingga 10 Rabiul Akhir tahun ke 10H. dalam masa tersebut mereka masih
berpeluang menerima Islam. Jika tidak mereka dianggap musuh yang akan diburu.
(Al-Zuhaily, Wahbah, Tafsir al-Wajiz, Dar al-Fikr, Beirut, 1431: 188).
Ayat Al-Qur`an menyebut bermaksud:
``Jika mereka itu bertaubat (dari kekufuran))
dan mendirikan solat dan mengeluarkan zakat, maka mereka itu adalah saudara-saudara
kamu yang seagama dan kami menjelaskan ayat-ayat Kami satu persatu bagi kaum
yang mahu mengetahui (9.11).
Kaum kuffar Makkah diberi amaran selepas
mereka memutuskan perjanjian oleh kerana, mereka mengkhianati janji, mereka
adalah yang mengeluarkan Nabi dari Makkah dan merekalah yang mencetuskan
peperangan Badar, Uhud, Khandak dan lain-lain. Orang-orang Islam seharusnya
tidak takut kepada mereka, tetapi yang sepatutnya ditakuti ialah kepada Allah
sebagai orang Islam yang beriman dengan Allah (Al-Zuhaily, Wahbah, Al-Tafsir
al-Wajiz, 189).
Bagi kafir Quraisy, khususnya yang selama ini
menjaga Ka`bah, mereka tidak seharusnya bermegah dengan rutin dan tugas biasa
mereka menyediakan minuman kepada mereka yang datang menunaikan haji dan
mengimarahkan Masjid al-Haram, jika mereka tidak beriman. Al-Qur`an menegaskan
bahawa mereka tidak sama berbanding dengan yang beriman dengan Allah dan hari
akhirat – menerima Islam. Mereka berjihad pada jalan Allah dengan diri dan jiwa
serta dengan harta benda mereka. Mereka mempunyai kedudukan yang tinggi dan mereka
adalah sebenar-benar orang yang berjaya (9.19-20).
Allah juga mengingatkan kepada orang Islam,
peranan pada zaman tradisi bagi yang tidak beriman tidak boleh dijadikan ukuran
dan perbandingan berbanding dengan keimanan. Peranan dalam zaman tradisi dan
harta benda tanpa keimanan tidak boleh dijadikan ukuran. Selama ini orang Islam
telah diberi pertolongan oleh Allah adalah kerana iman dan jihad mereka. Allah
mengingatkan juga ramainya penyertaan seperti di dalam peperangan Hunain –
bertempat di antara Taif dan Makkah juga tidak menjamin kemenangan (tentera
Islam 10,000 dan musuh 4,000), bila sebahagian dari mereka berpaling dari
memberi tumpuan kepada jihad peperangan berkenaan, tetapi Allah memberi bantuan
dengan tentera-tentera tidak kelihatan - malaikat-malaikat (9.26).
Bagi memelihara kesucian Masjid al-Haram, maka
pada tahun ke 9H. selepas saiduna Abu Bakar menunaikan haji di Makkah pada
tahun tersebut, maka Masjid Al-Haram ditegah dari dimasuki oleh orang musyrik
yang disifatkan mereka sebagai najis dari segi akidah dan amalan mereka (9. 28).
Sekatan ini menyebabkan kebimbangan setengah pihak, bahawa ianya akan
menjejaskan kegiatan perniagaan dan urusan jualbeli yang berlangsung selama ini
di sekitar Masjid al-Haram. Kebimbangan ini tidak berasas, oleh karana sebagai
pusat ibadat umat Islam dan Islam terus berkembang, maka sebenarnya Makkah,
khususnya Masjid al-Haram semakin ramai dikunjungi. Pengharaman terhadap yang
bukan Islam memasukinya terus berkuatkuasa hingga kini, Masjid al-Haram yang
pernah didoa oleh Nabi Allah Ibrahim a.s. agar ianya terus dikunjungi para ahli
yang mau menunaikan haji berterusan dikunjungi hingga hari ini. Masjid
sebenarnya terus makmur kerana ianya terus dimakmurkan oleh mereka yang beriman
dengan Allah, melakukan ibadat dan berbagai kegiatan keilmuan. Allah menyebutkan
tentang masjid yang didirikan oleh golongan munafik di pinggir Madinah yang
disifatkan oleh Al-Qur`an sebagai `Masjid Dirar` yang bukan didirikan atas
dasar taqwa, tetapi tidak ikhlas bagi memecahbelahkan orang Islam (107-110).
Lantaran itu masjid yang dikecam itu tidak mendapat sambutan dan ditinggalkan.
Adalah didapati selepas pembukaan Makkah,
khususnya selepas Tahun ke 9H., maka kekuasaan Islam tidak saja di Madinah,
tetapi di Makkah. Peraturan-peraturan mulai di atur dan dikenakan kepada
penduduk di Makkah dan Baitullah sebagai pusat Qiblat dan ibadat bagi umat
Islam dibersih dari amalan syirik, bahkan dilarang bagi yang bukan Islam
memasukinya, bagi menjamin kesucian masjid ini dari amaln-malan yang bercanggah
dengan Islam.
Wibawa dan kekuatan umat Islam bukan sahaja
terhadap dua kota penting ini, tetapi kekuasaan Islam mulai melebar keluar
daripada keduanya. Bagi mengukuhkan kekuatan Islam orang-orang Islam diperintah
membebaskan kawasan-kawasan berhampiran dengan kawasan Islam sebagaimana firman
Allah bermaksud:
``Wahai orang-orang yang beriman ! Perangilah
orang-orang kafir musyrik yang berdekatan dengan kamu, dan biarlah mereka merasai
sukap kekerasan (serta ketabahan hati)
yang ada pada kamu; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah beserta
orang-orang yang bertaqwa (dengan memberikan pertolongan) – (9.123).
Demikianlah strategi bagi keselamatan umat Islam,
ketegasan perlu digunakan walaupun kelihatan keras bagi menjamin keselamatan
dan keamanan bagi negara dan umat Islam.
Sekian.
y
No comments:
Post a Comment