BBB,
22 Zulkaedah 1437 = 25 Ogos 2016
(Khamis):
Di dalam Kitab Al-Masa`il Fi A`mal al-Qulub Wa al-Jawarih sebagaimana
telah disebutkan dipecahkan kepada
pecahaan – Al-Masa`il fi al-Zuhd, Aa`mal
al-Qulub wa al-Jawarih, Al-Makasib dan
Al-`Aql.
Mengapa Al-Muhasibi menyusun karangannya
sedemikian ?
Ianya menunjukkan komitmen Al-Muhasibi dengan prinsip pegangannya yang dihayati dari
sabda Baginda Rasulullah s.a.w. bermaksud ``Seberat-berat apa yang diletakkan
di dalam neraca timbangan ialah indah akhlak.``
yang bagi merealisasikan memerlukan orang yang utuh nilai peribadinya
yang tidak dapat dihasilkan melainkan dengan berpegang kepada akidah tauhid,
mengamalkan suruhan shariat, menjauhi larangan. Bagi melaksanakannya juga perlu
sentiasa muhasabah, prihatin untuk
mengelak daripada terjatuh kepada
perkara-perkara shubhah, lebih-lebih lagi yang haram. Al-Muhasibi telah
membuktikan tentang wawasan membina
manusia yang tinggi pereibadinya, iaitu dengan menjaga hak-hak Allah, mengenali
dan menjauhi perkara-perkara muhlikat dan mengenali perkara-perkara munjiyat
bagi mengamalkan.
Kitab Al-Masa`il fi Aa`mal al-Qulub wa
al-Jawarih adalah huraian dan pengluasan bagaimana menyedari dan menjaga diri
dari terkeluar dari garisan menjaga
hak-hak Allah. Antara cara terpenting ialah dengan mengawal diri
sebagaimana terkandung dengan konsep
zuhud. Persoalan ini telah dibicarakan sebelumnya
oleh Abdullah bin al-Mubarak dan juga
oleh Ahmad bin Hanbal.
Apakah persoalan dan masalah yang
ditimbulkan oleh Al-Muhasibi tentang zuhud sebagai permulaan bagi kitab ini ?
Al-Harith al-Muhasibi dikemukakan soalan
oleh muridnya tentang zuhud di dunia, apakah bersifat fardhu atau sunat, maka
bagaimanakah jika fardhu dan bagaimana pula jika sunat ?
Jawab Al-Muhasibi, Allah memfardhukan ke
atas hamba ialah fardhu di atas
perkara-perkara haram dan al-nafil (sunat)
ialah berpada menurut keperluan
dan mengawal diri pada perkara-perkara halal. Misalny a tidak
berlebih-lebihan dan jangan sampai membazir
Al-Muhasibi juga disoal, apakah yang
membangkitkan rasa zuhud pada diri seseorang yang zahid?
Kata Al-Muhasibi, adapun yang membangkitkan
perasaan zuhud pada keduniaan di dalam diri seseorang ialah pendek
angan-angan, berfokus pada tugas
secara bersungguh-sungguh tanpa ada masa untuk berangan-angan. Tambah
Al-Muhasibi apabila tidak ada masa untuk berangan-angan, maka dapat diberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas, maka
keberhasilan kerjanya elok. Apabila dia tidak tamak pada memiliki, tetapi lebih
melihat kepada kepentingan dan muslihat ramai dia tidak diganggu oleh tamak
menguasai harta untuk diri, lantaran semuanya akan hilang dan yang tidak hilang
apabila ianya diikat dengan amalan-amalan kebajikan.
Zuhud sebagaimana telah dikatakan adalah
sebagai pendekatan popular bagi perkembangan tasawuf pada peringkat permulaan.
Ianya dicetuskan oleh `Abdullah bin al-Mubarak dan juga oleh Ahmad bin Muhammad
bin Hanbal. Walaupun Abdullah al-Mubarak memberi judul bagi kitabnya Al-Zuhd wa
al-Raqa`iq, namun tiada dibicarakan tentang zuhud dengan bab yang speseifik
seperti yang diebri kepada bab bagi wara` dan tawakkal. Konsep Zuhud difahami
dari pancaran persoalan-persoalan yang dibicarakan tentang, khusyu`, takut,
tawakkal, taubat dan sebagainya yang semuanya dibicarakan di dalam nada keinsafan
– kezuhudan. Manakala di dalam Kitab
Al-Zuhd oleh Imam Ahmad bin Hanbal juga difahami kezuhudan adalah dari
gambaran situasi atau lisan al-Hal. Misalnya `Aishah r.`anha, diriwayatkan bahawa apabila beliau ditanya seorang lelaki ,
apakah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. bila kelapangan. `A`ishah mengatakan
Baginda menjahit baju Baginda yang carik dan menampal kasutnya yang koyak.``
Gambaran ini mencerminkan sifat zuhud. Keadaan yang sama apabila digambarkan
tentang zuhud para Rasul yang lain.
Di dalam hal ini dapat juga dikatakan,
bahawa Al-Muhasibi, selain dari Pendekatan Muhasabahnya, beliau antara tokoh
yang membina pendekatan kesufian berasaskan akhlak dan memberi definisi
terhadap konsep zuhud, ciri dan
sebabnya.
Persoalan zuhud adalah persoalan kontroversi, terutama dalam konteks zaman
kini. Zuhud dimaksudkan antaranya
sedikit, berpada, tidak mementingkan dunia dan tidak tamak, berawas agak tidak
terjatuh kepada perkara yang shubhah, lebih-lebih lagi yang haram. Lebih dari
itu keinginan diri menjadi bersih dan berfokus kepada Allah.
Sesungguhnya tujuan zuhud adalah baik dan
murni. Visi dan misi kezuhudan ialah membina kejiwaan individu dan jika setiap orang bernilai-dengan
nilai murni ini, maka ianya sebagai persediaan satu batu bata bagi pembinaan
ummah. Maka jika setiap batu bata pembinaan bersih. Maka dia dapat menyediakan
pembinaan ummah secara bersih dan kukuh. Dalam masa yang sama bagi satu pihak
yang lain. Maksud ialah lawan bagi zuhud, iaitu tamak, satu sifat negatif .
Dengan tamak memberi implikasi yang banyal yang secara mikronya dapat
dibayangkan seorang yang tamak yang mau mengaut keuntungan dan pemilikan sebanyak
yang mungkin. Lebih dari itu tamak mengundang kepada tindakan yang bercanggah
dengan nilai murni seperti tidak jujur, mencuri, rasuah dan sebagainya. Maka
jika ada di dalam masayarakat batu
binaannya yang terdiri dari yang kerja rasuah, maka binaan ummah dan negara
tidak kukuh dan boleh rosak, bahkan boleh runtuh disebabkan rasuah pada
berbagai pihak. Lantaran itu ada
kesedaran zuhud dalam jiwa dan amalan bersih amat penting di dalkam pembinaan
masyarakat umat dan negara.
Namun konsep zuhud hendaklah ditampilkan
dalam konteks kedudukan yang betul.
Zuhud bukan bererti malas, zuhud tidak juga memada dengan peluang
yang ada. Seharusnya ia bertindak kepada peringkat maksimum. Zuhud bererti melakukan
sesuatu dengan secara bersih, walaupun dalam usaha mencari harta, tanpa usaha
dan mempunyai harta misalnya tidak dapat ditunaikan tuntutan yang amat besar
pahalanya seperti melakukan kerja-kerja kebajikan di dalam skala yang lebih
besar bagi meningkat ekonomi. Dengan
kebersihan dapatan dapat menunaikan zakat, dapat menunaikan haji, mendapat
peluang meningkat pengajian dan pembelajaran dan dapat melakukan berbagai
kebajikan.
Dengan zuhud mengawal perjalanan secara
bersih dan dengan pengawalan bersih merupakan piawaian yang dapat mengawal
segala kerja secara murni dan jujur. Dengan demikian kehidupan semua pihak,
insya Allah dalam berkat.
Sekian.
No comments:
Post a Comment