September 23, 2016

TAWAKKAL: KETENTUAN MASA DEPAN FALSAFAH PERBINCANGAN


BBB,  20 Dzul Hijjah 1437H. = 22 September 2016 (Khamis):
Kehidupan  kita sebagai makhluk yang fana yang tertakluk di bawah larian masa tidak terkeluar dari tiga kategori masa, iaitu  masa berlalu sama ada dengan kejayaan atau kekesalan dan menjadi teladan, masa sedang berlaku yang kita sedang bertindak mengusahakan ketepatan dan kebaikan, tetapi mungkin sebaliknya  (gagal) menuntut kesabaran. Dari segi positifnya kedua-duanya dapat dijadikan perkiraan dan muhasabah bagi mendepani masa depan – mustaqbal.
Ketiganya adalah masa hadapan yang dari segi akidah pegangan sudah diketahui dan ditentu oleh Allah yang di dalam istilah akidah di bawah qadha` dan qadar Allah. Masalah dan merupakan persoalan falsafah bagi kita makhluk yang mendepani `ruang mendatang`, bahawa ruang mendatang berkenaan adalah di luar dari maklumat dan ketentuan kita. Firman Allah bermaksud:
``Sesaungguhnya di sisi Allah jualah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat dan Dialah jua yang menurunkan hujan dan yang Mengetahui dengan sebenar-benarnya apa yang ada di dalam rahim (ibu yang mengandung) dan tiada seorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat) dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Amat Mengetahui. Lagi Amat Meliputi pengetahuanNya.`` (Luqman: 34).
Berhubung dengan masa depan ini dibicarakan secara falsafah di dalam ilmu akidah yang menimbulkan konsep usaha dan ikhtiar. Walaupun segala perkara termasuk masa depan seseorang di dalam ilmu Allah dan bagi tiap-tiap satu ditentukan secara qadha` dan qadar, tetapi manusia tidak mengetahui apa yang akan berlaku padanya kelak, sebab itu seseorang Islam itu seharusnya bersifat tafa`ul dan berikhtiar, berusaha dan bertawakkal bagi kebaikan masa depannya. Dia tidak boleh menyerahkan kepada takdir  dan bersikap secara pegangan Jabariyyah dan tidak pula bersikap sebagaimana Mu`tazilah dan Qadariyyah yang mengatakan bahawa manusia  mencipta  perbuatannya dan menentukan masa depannya. Manusia perlu bertawakkal dan selebihnya menyerahkan ketentuan kepada Allah. Dia juga seharusnya berdoa memohon kebaikan dari Allah.
Dalam kedudukannya dari segi maqam, Al-Sarraj juga meletakkan tawakkal sebagai berada pada maqam yang mulia. Sesungguhnya Allah menyuruh manusia bertawakkal dan mengaitkannya dengan konsep keimanan sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
``Dan kepada Allahlah bertawakkal oleh orang yang bertawakkal.``  (Ibrahim: 12).
Dan lebih khusus Allah berfirman memfokuskan kepada orang mu`min bermaksud:
``Dan kepada Allahlah bertawakkal oleh orang-orang mu`min.`` (Al-Ma`idah: 11).
Dan lebih khusus al-khusus Allah berfirman bermaksud:
``Dan siapa yang bertawakkal kepada Allah dengan menyerah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya.`` (Al-Talaq: 3).
Tahap ini adalah merupakan tahap bagi kalangan Sayyidul Mursalin dan al-Imam al-Mutawakkilin.
Sesungguhnya kepada Allah sahaja untuk bertawakkal sebagaimana firmanNya yang bermaksud:
``Bertawakkallah kepada yang  Hidup dan tidak mati.  Dan memadalah denganNya.`` (Al-Furqan:  58).
Dan firman Allah lagi bermaksud:
``Dan bertawakkallah kepada Allah Yang Maha Kuasa lagi Amat mengasihani.`` (Al-Shu`ara`: 217).
Menurut Abu Turab al-Nakhshabi, bertawakkal hendaklah dengan syaratnya, katanya:
``Tawakkal ialah menghantar badan dalam `ubudiyyah, ta`alluq hati dengan Rubuibiyyah dan tama`ninah secara kifayah. Sekiranya Allah mengurniainya dia menerima, jika tidak menerima dia sabar dalam keadaan redha menepati apa yang ditakdir.
Dengan sangka baik di atas tadbir Allah maka yang bertawakkal menerima dengan redha apa yang ditentukan Allah.
Disoal Ruym tentang tawakkal, maka katanya, ``Teguh dengan janji Allah.``
Sebagaimana Sahl bin `Abdullah juga berkata trentang tawakkal bahawa, tawakkal, ``Menghantar diri kepada Allah yang membuat ketentuan menurut kemahuanNya.``
Dan berkata Abu Bakar al-Wasiti tentang tawakkal secara positif, bahawa:
``Asal tawakkal ialah puncak pengharapan dan iftiqar. Dan tidak terpisah dari yang bertawakkal dari cita-citanya dan dia tidak berpaling darinya sepanjang hayatnya secara berterusan.``
Berkata Al-Shibli r.h.a. tawakkal secara khusus al-khusus, ``Bahawa engkau serah kepada Allah sebagaimana yang lepas dan berterusan.``
Disoal Abdullah al-Jala` tentang tawakkal, bahawa katanya, ``Engkau berlindung kepada Allah Yang Maha Esa pada segala perkara.``
Dan disoal Junayd tentang tawakkal, maka katanya,``Bergantung hati kepada Allah Ta`ala.``
Tawakkal  adalah manifestasi tindakan yang diambil oleh seorang hamba secara usaha dan ikhtiar serta do`a agar apa yang diharapkan dimakbul Allah.  Andainya tidak dikabul segera tidak berputus asa. Tawakkal, ikhtiar dan harapan adalah manifestasi akidah yang menggambarkan seorang hamba tidak seharusnya berputus asa. Allah selalu memberi kepada hamba perkara yang lebih  baik di masa dan  bila yang sesuai. Tawakkal adalah juga falsafah kejiwaan orang Islam yang kukuh dengan pegangan tauhid. Ianya juga adalah jalan bagi hamba mendekatkan diri dengan Allah dengan ibadat  dan  harapan semoga  apa yang ditawakkal di kabul Allah. Andainya berhasil dari tawakkal seorang hamba dia bersyukur dan jika belum dikabul dia bersabar. Kedua-duanya  memberi pahala bagi hamba.

Sekian.

No comments:

Post a Comment