June 10, 2017

AL-ISTIQAMAH - FAHAM DENGAN BIDANG DAN MESRA DENGAN KETERLIBATAN


BBB,  14 Ramadhan 1438H. =  09 Jun 2017 (Juma`at):
Istiqamah berasal dari perkatan `qama` yang bermaksud berdiri – secara betul. Istiqamah bermaksud menuntut pendirian dengan betul. Ianya dirujuk kepada amalan, pegangan, bahkan perjuangan yang tetap dan konsisten, tidak berubah dari prinsip perjuangan asal dan tidak melakukan penyelewengan.
Bagfi bab `Istiqamah` ini Al-Qushairy mengambil firman Allah yang mengandungi maksud `Al-Istiqamah`.  Firman Allah bermaksud:
``Sesungguhnya  mereka yang berkata, Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka beristiqamah, nescaya turun ke atas mereka malaikat, bahawa mereka tidak takut dan tidak dukacita, Berilah kepada mereka khabar gembira dengan syurga yang kamu dijanjikan  dengannya (Fussilat:  30).
Dan dari segi Hadith, mengkhabarkan kami Al-Imam Abu Bakar Muhammad bin al-Husain Ibn Furik r. h.a. berkata, bercakap kepada kami `Abdullah bin Ja`far bin Ahmad al-As*bahani berkata, mengkhabarkan kami Abu Bashar Yunus bin Habib berkata,, bercakap kepada kami Abu Da`wud al-T*ayalisi berkata, bercakap kepada kami Shu`bah dari al-A`mash daripada Salim daripada Abi  al-Ja`d daripada Thauban maula bagi Nabi  s.a.w. bersabda bermaksud:
``Beristiqamahlah kamu semampu kamu (walaupun tidak sepenuhnya), ketahuilah bahawa sebaik-baik agama kamu ialah solat dan tidak menjaga wudhu` melainkan mu`min.``.(Hadith riwayat Ahmad,, Ibnu Majah, Hakim dan Baihaqi).
Berkata Al-Ustadz, Al-Istiqamah ialah darajah yang menyempurnakan pekerjaan, dan tamamnya dengan  terhasilnya kebaikan dan peraturan, siapa yang tidak istiqamah hilang usahanya dan sia-sia..
Berhubung dengan perkara ini Allah Subhanahu wa Ta`ala berfirman bermaksud:
``Dan janganlah kamu menjadi sebagai seorang wanita yang menguruskan benang secara kuat kemudian menjadi cerai berai kembali.`` (Al-Nahl: 92).
Aku mendengar Al-Ustadz Aba `Ali al-Daqqaq berkata, Istiqamah ada tiga tahap: bermula dengan penegakan (taqwim) diikuti dengan pendirian (al-iqamah) dan Al-Istiqamah.
Peringkat taqwim ialah peringkat menta`dib diri  dan Al-Iqamah ialah dari sekira-kira menta`dibkan hati dan Istiqamah ialah mendekati perkara asrar.
Berkata Ibn `At*a` - Istaqamah bermaksud, penumpuan hati hanya kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala.
Dan berkata Abu `Ali al-Jurjani, ``Jadikanlah kamu sahabat yang beristiqamah dan jangan tuntut al-karamah, kerana dengan tuntutan  sebagai  kurang adab terhadap Allah Subhanahu wa Ta`ala.
Aku mendengar Al-Ustadz Al-Imam  Aba Bakr Muhammad bin al-Husain Ibn Furik berkata, ``Beristiqamah ialah perjalanan  engkau di dalam kebenaran menegakkan tauhid.``
Dan kata Al-Ustadz, Al-Istiqamah mebawa kepada karamah, sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Dan jika mereka beristiqamah di atas jalan lurus, necaya kami memberi minum mereka dengan air yang melimpah.`` (Al-Jinn: 16).
Pentingnya istiqamah. Ianya dapat dilihat di dalam bidang keilmuan, kerjaya dan kehidupan kemasyarakatan.
Untuk sampai dan berada di dalam istiqamah, seorang perlu memahami misalnya bidang keilmuan yang dipelajari.  Dengan kefahaman dan keilmuan berkenaan dia dapat istiqamah dengan bidang diceburi. Contoh paling dekat ialah bagi murid di dalam bidang kerohanian. Sebelum memasukinya dia perlu memahami nature keilmuan berkenaan dan komitmen diri dengan keilmuan yang dipelajari, sehingga dia tiba pada peringkat yang menjadikannya mesra dengan bidang yang diceburi dan dengan kemesraan atau kemanisan yang dicapai dia istiqamah di dalam bidang yang dipilih.
Istiqamah juga dapat dilihat  dari segi kerjaya yang dipilih. Katakan memilih profesyen perguruan di dalam bidang keagamaan.
Untuk dirinya istiqamah sebenarnya dari awal sebelum memilih kerjaya di dalam bidang perguruan, seorang itu mempunyai kelayakan dan memahami kerjaya yang mau dilibatkan. Ianya bukan saja sekadar menjadi guru, tetapi mempunyai visi dan misi yang menjadikannya istiqamah. Dia mempunyai visi dan misi bagi dirinya untuk mempelajari keilmuan agama yang dilibat dan berusaha mempelajari kepada peringkat tertinggi yang mungkin dan dengan keilmuan yang dicapai dia mempunyai komitmen dengan keilmuan yang dipelajari dan melihat masyarakat sebagai wadah baginya bagi memperluaskan keilmuan yang diceburi dan memperkembangkannya. Tugasnya dirasa bukan saja mencabar, tetapi ujian kemampuannya yang dengannya dia bekerja secara mesra dan beristiqamah di dalam kerjaya yang diceburi.
Adapun  mereka yang berminat dengan kerja-kerja kebajikan dan khidmat kemasyarakatan, kerana melihat kerja-kerja sosial dan kebajikan suatu bidang bagi membuat kebajikan dan menolong mereka yang bermasalah. Dalam kata lain dia juga satu cara bagi menegakkan  kebenaran dan kebajikan kepada masyarakat. Dengan mengenali bidang  kemasyarakatan dengan baik menolong bagi seseorang melakukan tugas dengan baik dan dia istiqamah dengan kerja-kerja kebajikan yang biasanya disanjung, terutama oleh mereka yang terbela nasib mereka.
Istiqamah di dalam sebarang bidang adalah penting, sebelum daripada perlu memahami bidang berkenaan. Dengan demikian dapat dimengerti bidang dan dapat istiqamah bidang yang dilibatkan.
Istiqamah penting di dalam bidang-bidang yang diceburkan, syaratnya perlu kefahaman mendalam terhadap bidang yang diceburi yang menjadikannya mesra dilibati.

Sekian.

No comments:

Post a Comment