July 28, 2017

LEGENDA IBRAHIM BIN ADHAM


BBB, 03 Dzulkaedah 1438H. = 27 Julai 2017M. (Khamis):
Contoh watak sufi yang dilegendakan  ialah Ibrahim bin Adham yang nama penuhnya ialah Abu Ishaq bin Ibrahim bin Adham bin Mansur. Watak ini memang wujud di dalam suatu tempat tertentu (di Balakh), tetapi di dalam penampilan dan pembinaan tokoh dikreatifkan, bahkan terdapat berlakunya perbedaan fakta dan tokok tambah. Terdapat penggunaan unsur mistri  dalam anekdot – menjadikannya lebih menarik  dan mengubah sikap watak, misalnya menjadikan watak insaf dan mejadi sufi. Terdapat kata-kata, ungkapan-umgkapan dari watak yang mencerminkan falsafah pegangan dan pendapat watak yang menjadi panduan bagi pengikut-pengikut. Tujuan anekdot tentang legenda berkenaan, tidak lain  bagi menjadi pengajaran dan contoh tauladan yang seharusnya tidak bercanggah dengan  nilai dan ajaran-ajaran Islam, lebih khusus untuk mengajak secara halus orang ramai mengkuti amalan dan pembawaan kesufian di dalam kelompok berkenaan.
Ibrahim bin Adham, adalah ideal bagi anekdot berkenaam. Ibrahim dari segi latar watak ialah seorang Putera Raja negeri Balakh. Sebagai putera raja yang segak yang hidup di dalam kemewahan, maka masa mudanya dihabiskan secara berpoya-poya. Antara hobinya ialah suka berburu.
Pada satu hari Adham dengan diiringi pengiring-pengiringnya keluar berburu di hutan rekreasi Diraja.. Dalam masa berburu itu Ibrahim terserempak dengan seekor kijang (berhubung dengan binatang perburuan ada yang mengatakan rusa, serigala dan ada yang mengatakan arnab !). Dari segi elemen misterinya, tatkala Adham memamanah kijang dan tepat mengenai sasaran dan kijang terluka, terdengar suara ghaib dan mistri dituju kepada Adham, ``Mengapakah kau seksakan binatang tidak berdosa ? Apakah ini tujuan hidupmu ?``
Peristiwa ini merupakan klimek bagi anekdot yang dari suara itu membuat Adham berfikir dan merenung diri. Terjadi perubahan drastik kepada watak, yang dari peristiwa itu mencetuskan keinsafan dalam jiwa Ibrahim.
Ibrahim segera meninggalkan kuda buruan serta barang-barang bawaan dan secara bersendirian dia berkelana berjalan hingga sampai ke sebuah kebun. Dia mendapat dari tukang kebun baju bulu yang dipakai tukang kebun berkenaan dan memakainya. Dalam perjalanan menyusur sungai dikatakan, oleh kerana lapar dia memakan sebiji  epal yang hanyut di sungai. Mengingati yang dia memakan epal milik orang, dia menyusuri sungai mencari pemilik kebun epal dan memohon maaf dan bekerja dikebun buat seketika bagi membayar harga epal yang di makan. Dikatakan mulai dari masa itu Ibrahim tidak memakan sebarang rezeki, kecuali hasil dari kerja tangannya sendiri. Dikatakan Ibrahim pernah bekerja sebagai petani dan dia didampingi oleh Nabi Khidhir yang mengajarnya dari segi keilmuan dan hikmat-hikmat. Nabi Khidhir juga mengajarnya  `Ismu al-A`z*am.`
Bagi meningkatkan keilmuannya,khususnya di dalam bidang kerohanian Ibrahim belajar dan bersahabat dengan Fudhayl bin `Iyadh  dan Sufyan al-Thauri  - dua tokoh sufi terkenal pada zamannya. Ibrahim mencapai maqamnya yang tersendiri di dalam tasawuf dan darinya terungkap kata-kata kesufiyan yang asli sifatnya. Ibrahim meningkat dari segi kerohanian. Dia adalah Shaykh pada zamannya, bahkan shaykh bagi shaykh-shaykh. Tentang Ibrahim dikatakan Al-Junayd pernah berkata,
``Ibrahim adalah kunci bagi ilmu tasawuf.``
Bagi Ibrahim, antara teori dan amali jauh berbeza. Teori adalah garis panduan tentang sesuatu, sedang amali yang sebenarnya menjadi kiraan, sejauh mana amalan dapat menepati kebaikan maksimum yang dianjurkan. Dalam praktik kehidupan dia memastikan makanan dan hasil dapatan dari kerjanya. Dia mengamalkan sifat wara`, bahawa hasil dan makanan semestinya sesuatu yang halal dan tidak shubhah.Menurut Ibrahim, kiranya perlu kepada barang, jika sesuatu barangan  itu mahal, maka tinggalkan dari membelinya, nescaya harganya turun sendiri.
Antara ungkapan Ibrahim bin Adham yang menjadi panduan, bahawa:
``Jadikan Tuhanmu sebagai sahabat dan tinggalkan manusia yang memasalahkan secara ikhlas.``
Dan katanya,
``Nafsu adalah penghalang cinta murnimu dengan Tuhan, hendarkan dari nafsu paling utama pengganggu. Agar kamu menuju kepadaNya dengan tenang.``
``Hendaklah engkau istiqamah lahir batin dan jangan ada percanggahan antara keduanya yang mencerminkan tidak betulnya pendirian.
Menurut Ibrahim bin Adham lagi,
``Takdir tidak pernah menjadi hujah bagi meolak perintah Tuhan, jika engkau meolak bererti engkau menolak dirimu.``
Ibrahim yang terkenal dengan sifat salih dan wara` berkata,
``Tidak sampai darjah salih seseorang kecuali berjaya menempuhi  enam halangan, iaitu:
1)      Tertutup pintu nikmat dan terbuka pintu seksa
2)      Tertutup pintu mulia dan terbuka pintu hina
3)      Tertutup pintu rehat dan terbuka pintu jihad
4)      Tertutup pintu tidur dan terbuka pintu jaga
5)      Tertutup pintu kaya dan terbuka pintu faqir
6)      Tertutup pintu angan dan terbuka pintu persediaan kematian.
Demikian watak Ibrahim bin Adham dilegendakan. Bagi menghidupkan watak ini dihiasi dengan elemen-elemen sastera  yang meningkatkan daya estetika yang menjadikan cerita menarik. Mesej utama ialah menarik khalayak menikmati pengajaran-pengajaran tasawuf dan juga rasa kemanusiaan yang tinggi. Di dalamnya elemen dakwah secara seni yang terjalin di dalamnya seni alamiah dan seni rohaniah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment