July 17, 2018

RUANG ATAS MASJID AL-UMM BERORIENTASIKAN ILMU


  RUANG ATAS MASJID AL-UMM BERORIENTASIKAN ILMU
BBB, 03 Zulkaedah 1439H. = 16 Julai 2018M. (Isnin):
Antara cetusan bagi mendirikan Masjid Al-Umm, selain dari bertujuan untuk ibadat khusus, iaitu bersolat, ianya juga diharap menjadi pemangkin bagi Bangi Bandar Ilmu yang diisytiharkan pada 22 Jun 2008. Bermaksud ianya menjadi salah satu pusat kegiatan Ilmu di Bangi. Dengan maksud ini, maka plan arkitektur bagi Masjid Al-Umm adalah berorientasika ilmu.
Dari segi penggunaan ruang ini sebenarnya semua ruang  yang ada di Masjid Al-Umm dapat dijadikan tempat kegiatan ilmu. Misalnya ruang solat  utama  pada hakikatnya selain daripada tempat mendirikan solat, di ruang terbuka ini adalah tempat yang paling banyak digunakan bagi pengajian, seperti pengajian-pengajian berkitab dilakukan selepas solat Maghrib ke Isya`. Di sini diadakan pengajaran-pengajaran Al-Qur`an, ceramah-ceramah, tazkirah-tazkirah dan bimbingan-bimbingan dengan berbagai-bagai kelas, terutama pada bahagian serambi. Pada bahagian aras  bawah tanah dapat digunakan sebagai pusat konvensyen, kursus dan perhimpunan keilmuan dalam skala besar.
Selain dua aras berkenaan. aras satu (dikira dari aras utama) atau  (aras tiga dikira dari aras bawah tanah) adalah lebih berorientasikan ilmu. Aras atas ini, ialah aras yang menepati dengan ruang bahagian bawah (aras utama), yakni selain dari ruang utama yang terbuka di atas dan tiada aras yang lain, hinggalah ke bahagian kubah. Aras satu adalah berada pada bahagian atas dari serambi kanan dan serambi kiri masjid, bahagian tengah ke belakang dari ruang utama hingga  bersempadan dengan ruang ruang legar di bawahnya. Pada bahagian atas bagi ruang legar ini terdapat ruang-ruang bagi bilik-bilik kuliah dengan bahagian tengah  di atas ruang legar ini ruang kosong bagi ruang udara dan cahaya bagi bilik-bilik bahagian tengah di atas.
Untuk ke bahagian atas dapat dinaiki melalui dua tangga pada sebelah kanan  dan dua tangga dari sebelah kiri. Dari kedua-duanya ada lorong – jalan tengah yang dapat sampai kepada semua ruang dan bilik.
Ruang yang paling utama berada pada bahagian depan – tengah di atas ialah ruang solat bagi muslimat yang  dapat memuatkan serama 500 jama`ah. Tempat ini digunakan bila bahagian bawah penuh. Muslimat diminta naik ke atas melalui tangga yang disebutkan atau bagi OKU dapat menggunakan lift yang khas untuk mereka. (Pada hari  Juma`at, jika jama`ah ramai, boleh juga digunakan oleh  muslimin) Ruang solat bagi muslimat ini sebenarnya boleh digunakan untuk pengajian khusus bagi muslimat.
Ke atas bagi serambi sebelah kanan adalah bilik mesyuarat yang biasa digunakan untuk mesyuarat  Ahli Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm dan berbagai-bagai mesyuarat yang lain yang dapat memuatkan ahli mesyuarat dalam jumlah 50-70 orang. Mereka mengelilingi meja bundar yang luas dan memakan ruang. Kelengkapan dan perabut di dalamnya adalah canggih dan bertaraf bilik mesyuarat kelas A. Bilik mesyuarat ini dapat juga dijadikan bilik seminar dan keilmuan dalam jumlah yang terhad.
Manakala di atas bagi serambi masjid sebelah kiri adalah dua bilik seminar yang setiap satu dapat memuatkan sebanyak 70 orang secara berkerusi yang mempunyai tempat tulis. Dua bilik ini dapat disatukan menjadi dewan seminar yang lebih luas dan memuatkan peserta  sehingga 150 orang berkerusi yang ada tempat tulis. Ruang bilik seminar ini digunakan sebagai bilik seminar bulanan oleh Masjid Al-Umm. Pembentang-pembentang kertaskerja dijemput dari kalangan ilmuan membicarakan tema-tema keilmuan yang dipilih bagi siri-siri seminar. Ruang ini juga ditempah oleh pihak luar bagi bermesyuarat, berseminar dan sebagainya.
Ke belakang bagi ruang solat muslimat  dengan lorong tengah memisahkan ruang muslimat ialah empat bilik kuliah. Bilik-bilik ini betul-betul berada di atas ruang legar dan bilik  VIP dan bilik pejabat pentadbiran dengan kosong bahagian tengah dari dua bilik untuk  kemasukan cahaya dan udara bagi tepi bilik. Empat bilik ini juga adalah berorientasikan ilmu. Dua bilik pada sebelah kanan ialah bilik sumber (perpustakaan) dan bilik IT. Sebelah kanan bagi ruang kosong ialah dua bilik kuliah – Bilik kuliah satu dan Bilik Kuliah dua. Bilik-bilik kuliah ini digunakan bagi pengajian-pengajian seperti  Al-Qur`an, bahasa `Arab, Tajwid, fiqh dan berbagai pengajian yang lain. Bagi bilik sumber akan diisi dengan buku-buku sebagai sumber pengajian dan rujukan. Manakala bilik IT, ialah untuk pengajian dan urusan berhubung dengan komunikasi moden dan juga bilik ini dapat dijadikan bilik tahfiz, apabila kelas tahfiz di adakan. Pada bahagian atas ini juga disediakan bilik air dan toilet  pada sebelah kanan dan kiri.
Dari apa yang diterangkan di atas, jelas bahawa ruang-ruang dan bilik-bilik pada aras atas (satu) adalah digunakan selain dari untuk solat muslimat, semua ruang-ruang bilik yang diadakan ialah bagi kegiatan-kegiatan keilmuan, sesuai masjid al-Umm sebagai pusat ibadat dan keilmuan yang juga mendukung hasrat Bangi Bandar Ilmu.
Sekian.

No comments:

Post a Comment