November 23, 2018

KEMERIAHAN GOTONG ROYONG BAGI MENYAMBUT MAULID AL-RASUL DI MASJID AL-UMM


KEMERIAHAN GOTONG ROYONG BAGI MENYAMBUT MAULID AL-RASUL DI MASJID AL-UMM
(Fikrah Bangi: 65):
BBB,  14 Rabi`ul-Awwal 1440H. = 22 November 2018M. (Khamis):
Sebagaimana telah dimaklumkan kepada para jama`ah, ahli kariah dan surau-surau bakal berada di bawah zon Masjid al-Umm mulai awal tahun 2019 dan orang ramai, bahawa Masjid Al-Umm akan mengadakan Sambutan Maulid al-Rasul pada hari 14 Rabi`ul-Awwal bersamaan 22 November dan sebagaimana disusun di dalam program, bahawa seekor lembu ditaja oleh Adun Sungai Ramal YB Tuan Mazwan bin Johar dan seekor kambing ditaja oleh jama`ah, tiba di pekarangan Masjid al-Umm  tiba jam 8.00 pagi dihantar oleh pihak Syarikat Penyembelihan High Tech Pekan Bangi.
Maka sebagaimana dimaklumkan kepada jama`ah gotong royong akan bermula dari jam 8.00 pagi, maka sejak jam 8.00 pagi para peserta gotong royong tiba untuk bergotong royong. Mereka terbahagi kepada beberapa kelompok sebagaimana yang diatur oleh Jawatrankuasa kerja yang diketuai oleh Dato` Dr. Abdul  Wahid Samsuddin.


Kelompok utama, ialah kelompok melapah lembu yang terdiri dari kaum lelaki diketuai Imam Haji Anas. Beberapa khemah dipasang di sebelah jalan masuk ke Dewan Serbaguna aras  bawah tanah. Mereka terdiri dari belasan orang melapah dan menyiang daging untuk dimasak dua jenis masakan – rendang dan gulai, manakala sekelompok orang perempuan menyediakan bahan masakan di dalam bilik  peyediaan hidangan, sebahagian mulai menjerang periuk-periuk bagi menumis bahan-bahan yang kemudian dimasukkan daging masakan. Beberapa orang lagi sedang menggoreng ayam sebagai bahan tambahan. Kerja-kerja memasak diketuai Puan Hajah Kamariah. Adapun kambing diserah kepada seorang tukang masak – Agus Caterer yang beliau terus memasak di warungnya di Pasar Basah Bandar Baru Bangi. Seorang jama`ah, iaitu Tuan Haji Zainal Abdul Ghani sponsor nasi minyak yang terus dimasak di rumahnya. Beliau juga adalah seorang caterer.
Satu kelompok lagi terdiri dari kaum lelaki adalah menyediakan tempat forum yang akan berlangsung di Dewan Utama solat. Jadi pada bahagian ini disimpan rehal-rehal, dimasukkan meja pengajaran di bawah member khutbah dan dibawa satu set kerusi dengan setti bagi ahli forum yang akan berlangsung selepas solat Isya`, termasuk dipasang backdrop pada bahagian belakang. Peralatan ini tidak mengganggu untuk didirikan solat waktu. Manakala kawasan muslimat pada bahagian belakang (Tempat muslimat sebenarnya pada tingkat atas) diperluaskan ruang bagi pertambahan jama`ah muslimat.
Oleh kerana Majlis Sambutan Maulid al-Rasul dijangka dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Dato` Seri Mujahid Yusof Rawa  dan YB Adun Sungai Ramal Tuan Mazwan Johar, maka untuk ketibaan kedua-dua Tamu Kehormat  yang dijangka tiba sekitar jam 6.45 petang, maka bilik V.V.I.P pada sebelah kanan Ruang Legar Masjid dilengkap dengan keperluan yang sesuai sebagai bilik VVIP. Sebenarnya hiasan dan persediaan dilakukan sejak dua hari lalu, termasuk membeli segala keperluan yang sesuai.
Satu kelompok lagi terdiri dari beberapa orang pekerja diketuai Mejer Rahim menyediakan ruang parkir untuk tamu-tamu kehormat. Ruang parkir khas ini disediakan sebanyak 15 ruang parkir untuk mereka. Ada sekumpulan RELA yang memang ditempat untuk mengawal lalu lintas dan keselamatan, mereka bertugas termasuk hari Juma`at yang sebahagian dari mereka adalah perempuan.


Persiapan adalah berjalan dengan licin, kerana semuanya telah diatur melalui mesyuarat Jawatankuasa Induk, mesyuarat-mesyuarat khas dan jawatankuasa pelaksana (kerja). Semua pihak yang dilantik melakukan tugas denganbaik dan sempurna. Sebagai Pengerusi, kita amat merasa sukacita di atas  pengurusan dan perjalanan gotong royong bagi semua bidang berlangsung dengan baik.
Kerja-kerja persiapan termasuk di Dewan Serbaguna bagi berlangsungnya  ucapan seperti peresediaan pentas, meja-meja makan bagi VIP jaga pembentangan tikar dan laluan ke dua set jamuan juga siap diatur.


Masakan yang dimasak dari jam 9.00 pagi itu siap dimasak sebelum jam 12.00 tengahari dan sebagai permulaan semua yang terlibat dengan gotong royong dijemput makan tengahari yang menu utamanya ialah sop dan  satu dua menu tambahan.
Sekian.

No comments:

Post a Comment