December 11, 2020

 

BENTUK EMPAT KERAT DAN PELBAGAIAN TEMA

(Fikrah Bangi: 797),

BBB:  24 Rabi`i-Akhir 1442H. = 10 Disember 2020M. (Khamis).

 

Pantun mempunyai variasi bentuk selain dari pantun dua kerat sebagaimana telah dibicarakan, bentuk yang paling popular ialah pentun empat kerat,iaitu terdiri dari empat baris. Dua baris pertama adalah pembanyang, manakala dua baris terakhir, iaitu tiga dan empat adalah maksud. Sebagaimana pantun dua kerat, bagi setiap baris normalnya terdiri antara 9 -12 sukukata.

Bagi pantuan dua kerat, maka rima akhirnya berhujung dengan a. a. Maka bagi pantun empat kerat, rima akhir bagi setiap akhir baris ialah ab dan ab. Sebagaimana pantun dua kerat pembayang adalah diambil dari gambaran alamiah yang biasanya di luar dugaan. Ini menjadikannya unik, manakala maksud biasanya adalah mesej berpelbagaian. Dari segi bentuk popular ialah empat kerat, iaitu  ab, dan ab. Sebagai contohnya:

Tudung saji hanyut terapung,

       Disulam gambar dengan benang;

Hajat  hati nak  pulang kampung.

        Lautan dalam tidak terenang.

Jelas sukukata bagi baris-baris di atas antara  9  -  10 suku kata. Pembayang adalah dari persoalan alamiah, sesuatu yang dilihat dan diimaginasi oleh pemantun, iaitu sesuatu yang tidak dapat diterka. Mungkin ungkapan alamiah yang lain dapat dibawa bagi dipadankan kepada maksud, tetapi itulah pembayang yang dipilih dan diungkap oleh pemantun. Inilah antara keunikan yang terdapat di dalam pantun.

Mesej yang disampaikan ialah tentang kerinduan pemantun untuk pulang ke kampung menemui orang yang dirindui, bagi melihat tempat  dan laman permainan yang membesar diri selama ini.

Keperluan utama bagi susunan sesebuah pantun, bahawa jumlah suku kata adalah dalam jumlah normal. tapi yang paling penting hujungbagi akhir a, adalah bersamaan dengan hujung dengan b, pada baris keempat. Adapun bunyi pada awal dan pertengahan baris tidak semestinya sama antara suku kata baris pertama dengan baris ketiga, demikian juga tidak semestinya sama antara suku kata baris kedua dengan keempat.  Tetapi jika ada sebahagian rentak dan hujung kata sama antara baris pertama dengan ketiga dan bariskedua dengan keempat adalah lebih baik.

Pantun sebenarnya mampu membawa berbagai tema, tetapi biasanya bernilai positif, walau ada kalanya bersifat sindiran dan gurauan.

Pantun boleh digunakan bagi  menyampaikan ingatan dan keinsafan. ContoH:

Halia ini tanam-tanaman,

    Ke barat  juga akan tumbuhnya;

Dunia ini pinjam-pinjaman,

     Akhirat juga akan sungguhnya.

Pantun antara membawa nasihat agar belajar. Contoh:

Pagi Jumaat  tahajud solat,

          Diikuti kuliah Tuan Guru;

Untuk selamat dunia akhirat,

          Diri istiqamah tuntut  ilmu.

Pantun juga digunakan sebagai  sindiran. Contoh:

 

Dang Nila memangku puan,

    Berembang buah pedada;

Adakah gila bagimu tuan,

     Burung terbang dipipiskan lada.

Ada yang membawa tema bersifat sindiran. Contoh:

Surung papan tarik papan,

   Buah keranji dalam perahu;

Suruh makan engkau makan,

    Suruh mengaji engkau tak tahu.

Banyak pula pantun membawa tema bersifat budi. Contoh:

Tenang-tenang air di laut,

     Sampan kelek mudik ke Tanjung;

Hati terkenang mulut tersebut,

     Budi yang baik rasa  nak junjung.

 

Pada dasarnya semua tema mampu dibawa oleh pantun, tetapi pantun sebagai  melambangkan ciri budaya, maka temanya selalunya mencerminkan kehalusan budi dan nilai yang mencerminkan ketinggian peradaban bangsa.

Sekian.

No comments:

Post a Comment