Pagi ini bertempat di Dewan Sri Cempaka, PKNS satu Majlis Menghargai Pelajar-Pelajar Cemerlang SPM & STPM 2009 DUN Bangi diadakan di sini. Majlis ini diadakan oleh ADNS Bangi dengan kerjasama pihak Sekolah, Ahli-ahli MPKj dan Ketua-Ketua Kampung di DUN Bangi. Pelajar cemerlang ini termasuk pelajar dari DUN Bangi yang belajar di luar dari DUN Bangi. Seramai 95 orang pelajar cemerlang diberi penghargaan. Pelajar cemerlang SPM adalah yang mencapai 8A ke atas. Seorang dari mereka mencapai kecemerlangan 12 A+, iaitu Hafizah Hafni binti Mohamad dari Maahad Hamidiah, Kajang. Pelajar cemerlang lain dari sekolah-sekolah menengah di DUN Bangi dan pelajar adalah dari pelbagai kaum. Namun kebanyakan yang mencapai kecemerlangan adalah dari pelajar-pelajar perempuan.
Hadir pada pagi ini bagi meraikan pelajar cemerlang berkenaan selain dari ADNS, ialah Ahli-Ahli MPKj, iaitu Dr. Tajul Ariffin Noordin yang juga selaku YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi, Tuan Haji Mazwan Johar dan En. Yusof Bachik, manakala Ketua-Ketua Kampung ialah Haji Mohd Yusof Abdul Kadir, En. Abdul Hadi bin Husin, En Abdul Shukor bin Jantan, En Norazlan Nordin dan Saudara Roslan mewakili Sdr. Marzuki dari Pekan Bangi. Turut hadir pelajar-pelajar diraikan, guru-guru mewakili Sekolah (5 sekolah) dan ibu bapa dan petugas-petugas yang jumlah mereka lebih kurang 250 orang.
ADNS Bangi, mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar cemerlang, juga tahniah dan terima kasih kepada guru-guru Sekolah yang berjaya membimbing pelajar-pelajar mencapai keputusan cemerlang, begitu juga kepada ibu bapa yang sentiasa memberi galakan kepada anak-anak menghadapi pelajaran dan sudah tentulah turut sama bergembira di atas kejayaan anak-anak mereka. ADNS Bangi sebenarnya setiap tahun mengadakan majlis meraikan pelajar-pelajar cemerlang, tetapi kali ini adalah lebih teratur dan menyeluruh. Ini adalah kerana mendapat kerjasama memperolehi maklumat dari Sekolah, Ahli-Ahli MPKj, Ketua-Ketua Kampung, bahkan Ketua-Ketua Cawangan dan orang perseorangan. Syabas kepada AJK Kabinet Mini Pendidikan yang berusaha mendapat maklumat dari berbagai-bagai sumber berkenaan.
ADNS menegaskan bahawa ADNS memang berminat mengenai pelajaran dan memberi perhatian terhadap bidang ini, termasuklah kemajuan pelajar-pelajar di DUN Bangi. Majlis Penghargaan Pelajar Cemerlang adalah salah satu aktiviti keprihatinan ADNS Bangi terhadap pelajaran. Kejayaan pelajar-pelajar adalah selari dengan hasrat mempopularkan Bangi Bandar Ilmu. Pelajar-pelajar cemerlang adalah Duta DUN Bangi membawa obor kecemerlangan DUN Bangi dengan keilmuan.
ADNS Bangi percaya semua pelajar cemerlang berhasrat menyambung pengajian pada peringkat yang lebih tinggi. ADNS menasihati pelajar-pelajar membuat pilihan secara teliti bidang-bidang yang diminati bersesuaian dengan kelulusan yang dicapai. ADNS percaya pelajar-pelajar telah melakukannya, bahkan ADNS percaya kebanyakan pelajar telah menerima tawaran tempat-tempat pengajian yang dimohon. Di dalam memilih kombinasi kursus juga hendaklah teliti dan kalau dapat berbincanglah dengan mereka yang faham dan berpengalaman. ADNS Bangi berharap kecemerlangan yang dicapai pada peringkat persekolahan diteruskan pada peringkat pengajian universiti atau mana-mana pusat pengajian tinggi. ADNS berharap pelajar-pelajar akan keluar pada masa hadapan sebagai pelajar cemerlang dan mengambil alih tempat-tempat ibu bapa yang telah berjaya di dalam bidang masing-masing di DUN Bangi, atau lebih lagi dari mereka. ADNS berharap pada masa hadapan akan lahir tokoh-tokoh berbagai-bagai bidang dari DUN Bangi seperti di dalam bidang akademik dan berbagai kerjaya yang lain. ADNS juga mengingatkan kepada pelajar, jika tidak mendapat pinjaman atau biasiswa dari mana-mana institusi, pelajar-pelajar Selangor boleh memohon pinjaman dan peruntukan pinjaman/biasiswa dari Kerajaan Selangor yang tidak dikenakan bunga.
Penyampaian hadiah dan perhargaan dilakukan oleh Ahli-ahli MPKj dan Ketua-Ketua Kampung kepada pelajar-pelajar dari tempat masing-masing, juga disampaikan oleh ADNS.
Selamat maju jaya dalam pelajaran dan teruskan kecemerlangan dalam pelajaran dan kehidupan pada masa yang akan datang.
Terima kasih.
No comments:
Post a Comment