January 4, 2012

Genderang Perang Pilihanraya Di Bangi Dipalu Bersama Sambutan Tahun Baru

Kompleks Sukan, Seksyen 15, BBB, 07 Safar 1433 = 01 Januari 2012

Tahun baru datang, masing-masing memasang azam, bagi orang politik, melangkah ke tahun baru 2012 bererti melangkah ke ambang pilihanraya umum ke 13 yang dijangka akan berlaku di dalam beberapa bulan akan datang, jika pun lewat, dijangka kemungkinan berlaku pada pertengahan tahun ini. Ini bererti agenda orang politik yang dipasang mulai awal tahun ialah persiapan bagi menghadapi, bahkan memenangi pilihanraya PRU berkenaan. Sebenarnya serang menyerang, tembak menembak di langit politik mengenai isu-isu yang ditimbulkan oleh kedua pihak makin rancak dan makin hangat tanpa berlaku perisytiharan perang atau gencatan.

Dengan masuknya tahun baru, Bangi turut sama masuk ke tempo dan rentak pilihanraya yang mulai rancak berlaku. Atas inisiatif Pas Kawasan bagi mengumpul dana pilihanraya, maka diadakan ceramah bertemakan ``Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia bertempat di Kompleks Sukan, Seksyan 15, Bandar Baru Bangi jam 9.30 malam. Panel penceramah terdiri dari YB Dato` Mahfuz Omar Naib Presiden Pas, YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, YB Dr. Shafie Abu Bakar Adun Bangi, Tuan Haji Shafie Ngah YDP Pas Serdang dan saudara Hamidi Hassan Ketua Cabang Keadilan Serdang. Para hadirin pada malam itu mengikuti cemamah dari pentas yang dibina di depan pintu masuk ke Bangunan Sukan dengan hadirin berada di atas kerusi di kawasan terbuka tempat letak kereta. Jumlah mereka yang hadir melebihi seribu orang.

Dato` Mahfoz Omar memetik pendapat Shahrizat Jalil, ``Pemimpin mana yang tidak bermasalah !`, merujuk kepada kes feedlot yang dikaitkan dengannya. Menurut Mahfoz ini pengakuan terbuka, bahawa semua pemimpin Umno-Bn ada masalah – ada kes. Secara bergurau beliau berkata, ``Memang budaya Umno mendapat ghanimah bukannya beramanah !`` Beliau juga menyentuh tentang skim Saraan SBBA yang mengutamakan 36 pegawai-pegawai atasan. 60-70% dari skim dinikmati kumpulan atasan, sedang mereka yang berada diperingkat bawah hanya mendapat 30 -40 dari kenaikan. Ini mewujudkan jurang yang besar. Beliau juga menkritik cadangan kerajaan mau membawa kalangan swasta ke dalam pentadbiran awam, khususnya pada peringkat tertinggi. Beliau juga meminta rakyat jangan terpengaruh dengan isu mau meroboh surau, tetapi tidak memaklumkan yang surau akan dibina lebih besar ditapak baru. Kalau isu tidak betul, tentulah pihak Mufti Kedah memfatwa tidak membenarkan, tetapi dibenarkan. Beliau juga mengingatkan orang ramai jangan terpengaruh dengan tuduhan Pas diperkuda oleh DAP dan DAP diperkuda oleh Pas dan sebagainya. Beliau bertanya, ``Kalau semua diperkuda, siapa yang menunggang kuda ?``

YB Teoh Nie Ching membangkitkan soal rasuah. Menurutnya, ``Pada zaman Pak Lah Badawi menjadi Perdana Menteri Malaysia, index Rasuah Malaysia berkedudukan ke 36 dari 200 negara yang di survey, manakala pada zaman Najib Malaysia jatuh ke kedudukan 60 (2011). Beliau membawa contoh rasuah mengenai pembekalan kumputer yang sepatut harganya tidak sampai RM2,000, tetapi melalui tender tertutup, harga satu computer di dalam Laporan Audit meningkat kepada RM56,000. Beliau juga membangkitkan ketidakadilan terhadap Teo Beng Hock yang keputusan dipersoalkan.

Adun Bangi bercakap tentang Kerajaan Negeri Selangor yang mencapai prestasi ekonomi yang baik yang belum pernah dicapai 15 tahun sebelumnya. Jika kerajaan Persekutuan mengalami 15 tahun deficit berturut-turut, maka kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat dalam tempoh setengah tahun pertama 2011 berjaya menambahkan simpanan tunai RM200 juta menjadikan simpanan berjumlah RM1,100 juta. Ini adalah rekod terbaik sejak 28 tahun. Kata Adun Bangi sejumlah RM500 juta disalurkan kepada rakyat melalui Program Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor. Sejak 2008 hingga Jun 2011 kerajaan Negeri Selangor berjaya menarik pelaburan di Selangor sebanyak RM35 billion. Pendapatan negeri Selangor melonjak sebanyak RM20% dari RM1,59 billion kepada 1,77 billion. Kerajaan Selangor memberi sumbangan kepada hasil Negara lebih dari 20% pendapatan Negara, tetapi sumbangan Persekutuan kepada Selangor dalam lingkungan RM300 juta. Jika dilihat hasil pasir pada tahun 2007 hanya sebanyak RM4 juta. Pada tahun 2009 meningkat kepada RM5 juta, 2010 naik kepada RM11 juta. Hingga pertengahan 2011 melonjak kepada RM12 juta.. Selain daripada itu kerajaan Pakatan Rakyat mengadakan berbagai program dan kemudahan seperti air percuma, Tawas, bantuan masuk universiti, skim Warga Emas dan Jom Shopping, pinjaman tanpa faedah dan boleh dikecuali bayar bila capai prestasi ditentukan , Skim Luar Bandar dan Mimbar dan sebagainya. Adun juga memaklumkan bahawa, menurut Bulletin Parliamentary Commonwealth, bahawa persidangan yang dijalankan pada peringkat negeri Selangor adalah bermutu dan terbaik dan Selangor negeri pertama mengemukakan Freedom of Information di Malaysia (CPA, Issue One XC11, 2011, pp. 24-27).

Adun Bangi juga menyatakan bahawa, wakil-wakil Rakyat dari Pakatan mereka yang setia menghadiri sidang Dewan, tetapi pihak pembangkang dari BN, separuh kedua hari persidangan mereka meninggalkan dewan, kadang-kadang tinggal seorang dua daripada mereka. Mutu percakapan dan perbahasan jauh lebih tinggi dari kalangan Pakatan berbanding dengan BN. Biasanya untuk mendapat publisiti mereka sengaja melanggar aturan-aturan Dewan dan apabila mereka dihalau keluar, keesokan mereka mendapat publisiti murahan dalam akhbar-akhbar, bukan atas dasar prinsip dan kebenaran yang dipertahankan. Sidang Dewan semasa di bawah Kerajaan Pakatan diberi masa secukupnya untuk perbahasan, tetapi pada masa BN memerintah pembangkang disekat bercakap sekadar 10 minit sahaja dan tempoh sidang juga pendek. Untuk melihat kualiti dan integriti kepimpinan BN, khususnya lihatlah apa yang terjadi pada Jamil Khir yang dikatakan mengguna wang zakat bagi belanja guamannya, Awang Adik memasukkan wang awam ke dalam akaunnya dan di Selangor kes Khir Toyo dengan rasuahnya, sedangkan kes pecah amanah dan rasuah belum pernah terjadi kepada wakil-wakil rakyat dari Pakatan. Adun Bangi meminta hadirin membanding dan mengadili tentang mutu dan integriti kepimpinan dalam Pakatan. Keadaan sedemikian akan terus diperbaiki dan ditingkatkan mutu sekiranya Pakatan Rakyat terus diberi manadat.

Sebelum daripada itu YDP Pas Serdang Ustaz Shafie Ngah melalui ungkapan pantunnya secara ringkas mengucapkan terima kasih kepada hadirin kerana memberi respond yang baik. Beliau menegaskan ceramah bertujuan memungut derma. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan sebagai pernyataan sokongan yang tidak senang melihat perkembangan politik mutakhir yang jelas menjengkelkan dari rasuah, anti golongan pelajar dan penyelewengan di dalam menggunakan media dan merasuah rakyat dengan pemberian wang rakyat demi mendapat undi. Beliau menyeru agar rakyat menghukum BN dengan lebih teruk dan membuka jalan selamat kepada Pakatan Rakyat ke Putrajaya.

Saudara Hamidi Selaku Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat di Serdang menyebut angan-angan pihak Bn mau mengambil alih Selangor yang bagi beliau merupakan angan-angan kosong dengan melihat kepada kebaikan yang dibawa kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu, apa yang akan terjadi kita akan menambah kekuatan kepada penguasaan beberapa negeri lagi yang membawa kepada majoriti di dalam Parliman yang menjadikan Putrajaya jatuh dengan sendirinya. Beliau menyelar usaha-usaha tidak demokratik di dalam system mengundi dengan memasukkan pengundi-pengundi hantu. Beliau juga membangkitkan tentang kekeringan idea pihak BN dengan meniru banyak apa yang dilakukan oleh Pakatan seperti tariff letrik, Jom Shopping dan bantuan kepada fakir miskin. Menurut sdr. Hamidi, pihak BN akan hilang sokongan golongan muda dengan penindasan terhadap kebebasan bersuara mahasiswa melalui AUKU dan tindakan polis terhadap mahasiswa UPSI. Kes Anwar bakal BN menghadapi kemarahan rakyat.

Genderang Perang pilihanraya bermula dengan bermulanya tahun baru 2012. Bangi sama bergerak memalu gendering menurut rentak pihak pusat dan negeri. Saf-saf mulai tersusun rapi dan mulai tampil bergerak dengan penuh semangat dan berani. Beranikah Najib dan sekutunya di dalam BN menyahut cabaran gendering perang pilihanraya ini. Rasanya dengan isu-isu yang makin bercambah yang tidak menyebelahi BN sebagaimana diterangkan oleh penceramah-penceramah di atas, isu-isu yang berhubung dengan isteri Najib yang menjadi laibeliti kepada dirinya dan orang kepercayaan di kawasannya melompat masuk DAP membaut Najib teragak-agak untuk segera mengisytiharkan pilihanraya, lantaran pengisytiharan bermakna menempah kekalahan, untuk menunggu masa yang lebih baik, belum tentu semakin baik, entah-entah ianya akan membawa kepada keruntuhan total.

Sekian.

No comments:

Post a Comment