Pagi ini Adun Bangi berjanji dengan YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang untuk turun bersama menyampaikan Ang Pau Limau kepada orang ramai, khususnya orang-orang Cina sempena Tahun Baru Cina bertempat di Pasar Kwantung, Sungai Chua. Setelah memuatkan 50 kotak limau manderine yang telah dibeli sebelumnya di dalam Hilux, Adun bertolak bersama-sama pengiring-pengiring. Tiba di pasar jam 9.00 pagi Adun ditanya oleh seorang pengunjung Cina yang memang kenal dan mesra dengan Adun. Dia bertanya secara bergurau dan santai kepada Adun,
``Apa pasal lambat ? ,`` tambahnya, ``YB Teo sudah lama tiba dalam pasar !``
``Ya ke ?,`` jawab Adun semacam bertanya dan menambah,
``YB Teo memang cepat, fasal dia naik roket, tembok dan terus mendarat di tengah pasar. Bulan jauh, kena turun mendarat dan naik Hilux baru sampai,`` kata Adun menegakkan hujah secara gurauan. Penanya ketawa sambil berkata, ``Oh, itu macam,`` dan pergi.
Oleh kerana YB Teo, mengambil tempat di tengah pasar, kami sepasukan mengambil tempat di jalan masuk utama. Adun membahagi limau 2 biji bagi seorang, antara pengiring mengedar akhbar dan ada yang mengedar buletin Bangi. Konsentarasi kami ialah pengunjung-pengunjung yang baru tiba dengan memberi setiap seorang tiga barangan. Walau bagaimana kami juga membahagikan kepada pengunjung-pengunjung yang keluar dari pasar dengan barangan yang telah dibeli. Sebahagian dari mereka sudah menerima Ang Pau limau di dalam pasar dari YB Teo dan pengiring-pengiringnya. Kepada mereka ini apabila kami unjukkan limau, mereka secara jujur berkata, ``Sudah ! Sudah terima, Terima kasih!``
Tapi ada yang agak cerdik dan mungkin sengaja mahu mencetuskan suasana humor, seorang daripada mereka apabila ditunjuk limau, mula-mula agak tergamam untuk menerima, tetapi kemudian secara bersahaja berkata,
``Sudah terima, tapi mahu tau beza antara ``Limau Bulan` dengan limau Roket !``
Mendengar alasan beliau yang agak cerdik dan lucu, Adun membalas,
``Betul, betul ada beza. Limau roket sedikit bujur berwarna merah! kerana panas kena engine Roket, tapi bagusnya lebih manis, tapi Limau Bulan agak bulat dan jernih, kerana berada di dalam suasana malam, tapi rasanya manis lembut dan sejuk. Mendengar jawapan sedemikian dia ketawa dan berkata, ``Betul, betul,`` sambil mengambil limau dari kami ``Limau Bulan`` yang dikatakan itu. Kami tersenyum dengan tingkah laku dan ungkapan yang melucukan.
Ketika mengedar limau, akhbar dan buletin, seorang penjual perempuan Cina yang agak tua yang mungkin lama memerhatikan kami dan menyentuh hatinya, entah kerana kami datang mengedarkan barang-barang secara percuma atau kagum melihat interaksi kami dari kalangan Melayu yang begitu santai dan bersahaja dalam pergaulan dengan masyarakat Cina, tiba-tiba dia datang kepada kami membawa seikat buah pulasan dan menghadiahkannya kepada kami. Ini Adun anggap episod amat menarik dan amat berharga. Betapa seorang tua perempuan datang membawa sekotak buah pulasan untuk dijual bagi mencari rezeki beberapa ringgit Cuma, sanggup menghadiahkan kepada kami seikat buah secara percuma, tanpa memikirkan kerugian dari jualan yang bakal didapati tak seberapa. Pada waktu itu juga Adun mengarah kepada pengiring Adun yang ditugaskan mengambil gambar, agar mengambil gambar pada masa orang tua itu menghadiahkan seikat buah pulasan tersebut kepada Adun, tetapi oleh kerana ianya berlaku secara sponton dan jurugambar tidak bersedia, maka saat menarik itu tak dapat dirakamkan ! Walau bagaimana Adun mengejarnya memintanya datang kembali menyerahkan buah pulasan berkenaan kepada Adun untuk diambil gambar, tetapi dia menolak. Ini membuat Adun makin kagum terhadapnya yang mencerminkan keluhuran budi dan ikhlas hatinya. Sesungguhnya pada wajah yang luarannya lusuh dan berkedut oleh ketuaan ada kemurnian di dalam lipatan jiwanya.
Kerana tertarik dengan episod tadi setelah mengedarkan kembali limau dan bahan bercetak, Adun meminta juru gambar secara senyap-senyap mengikuti Adun untuk pergi membeli kesemua baki buah pulasan yang dijual perempuan Cina tua itu. Adun sengaja mengeluarkan wang besar untuk mengambil masanya untuk memulang baki duit dan juru gambar berkesempatan mengambil gambar semasa jual beli buah pulasan itu berlaku. Buah ini kami bawa pulang untuk dimakan bersama tenaga kerja kami.
Sebenarnya mendepani keluhuran jiwa seorang perempuan Cina sedemikian, bukanlah pertama kali Adun berdepan. Beberapa tahun dahulu ketika membahagi buah limau sempena Tahun Baru Cina di Pasar Malam (petang) Taman Langat Jaya, Jalan Reko, kami juga diperhati oleh seorang perempuan tua yang menjual limau, ketika limau-limau yang kami edar ternyata tidak kecukupan, perempuan tua berkenaan mengangkat dua peti dari limaunya membawa kepada kami untuk diedarkan secara percuma. Sebagaimana hari ini, demikianlah kami tersentuh dengan gemerlap jiwa emas seorang tua yang luarannya lusuh dan tak terurus kerana bergulat dengan perjuangan kehidupan tersembunyi nilai-nilai murni.
Satu yang menarik dari pemerhatian kami, bahawa orang-orang Cina di sini, walaupun bertaraf warga emas, dari pemberian kami beberapa perkara, mereka mengutamakan mendapat bahan-bahan bacaan. Ada yang datang sebelum kami menyerahkan bahan-bahan buah tangan, mereka lebih dahulu memohon mendapatkan bahan bacaan yang kami bawa sehingga bahan ini lebih awal habis menandakan suatu yang positif.
Jam 10.30 pagi semua bahan edaran kami telah habis. Kami tak perlu simpan kotak-kotak bauh-buahan, kerana di samping kami ada pula perempuan tua menyusun kotak-kotak berkenaan sebagai bahan rezeki. Demikianlah berbagai ragam kehidupan mencari rezeki Tuhan.
Dari Pasar Kwantung Adun memandu ke warung buah-buahan di Jalan Berjaya Sungai Chua, di sana tenaga kerja pejabat Adun terlebih dahulu telah pergi mengurus pembelian limau-limau baru untuk mengunjungi Pasar Kajang esok pagi. Ketika pekerja sebok mengangkat kotak-kotak limau memenuhi ruang belakang Hilux, kami mengambil peluang membeli buah-buah kesukaan untuk dibawa pulang.
Semasa memandu pulang ke pejabat sarat dengan buah limau Adun berkata,
``Kita beri ang pau pada orang ramai di pasar bergerak, berdiri berlamaan dan berpeluh kepanasan tanpa menyediakan minuman, sekurang-kurangnya ada ang pau air mineral, tapi tak ada, kita singgah dulu di kedai makan Seksyen 7, Bandar Baru Bangi.`` Semua setuju, kerana kami semua dahaga. Nanti sampai ke pejabat kena kerja lagi mengangkat kotak-kotak buah limau itu ke dalam pejabat! Perlu tenaga. Demikianlah sifat murni jiwa jamaah yang tidak mengira masa, tenaga dan balasaan di dalam melakukan kerja-kerja kebajikan.
Kami singgah di sebuah kedai makan dan turut makan roti canai secara santai.
Demikianlah di dalam menelusuri hari-hari ada detik-detik bermakna tersentuh hati kita dalam kehidupan. Sesungguhnya antara pasir-pasir yang kita pijak ada permata-permata bergemerlapan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment