BBB, 26 Jamadil Akhir 1434 = 07 Mei 2013 (Selasa):
Berikutan dari keputusan pilihanraya ke 13, YAB Dato Seri
Najib Perdana Menteri membuat kenyataan, bahawa kemerosotan sokongan pengundi
Cina terhadap BN mencerminkan berlakunya polarisasi kaum yang mengancam usaha
menyatupadukan rakyat Negara ini. Kenyataan DS Najib ini dipertajamkan lagi
oleh pendukung BN. Misalnya Dato` Seri Noh Omar Timbalan Pengerusi BN Selangor
membuat kenyataan, ``Tsunami Pengundi Cina jejas peluang BN rampas Selangor.``
Ini ditambah lagi dengan kenyataan oleh Dato` Seri Mohd Ali Rustam, Mantan Ketua
Menteri Melaka yang beliau sendiri kalah di kerusi Parlimen Bukit Ketil bahawa
pengundi Cina ``Tak kenang budi.`` Kenyataan-kenyataan di atas dihangatkan lagi
oleh media berpihak. Kita berpendapat kenyataan-kenyataan yang bersifat `marah`
di atas, selain dari boleh dipersoalkan kebenarannya, tidak wajar dikeluarkan
secara spontan dan berdepan. Kerana ia tidak menolong langsung mengubah sikap
orang Cina terhadap BN khususnya MCA, bahkan mengundang konfrontasi terhadap BN
itu sendiri.
Sebenarnya DS Najib PM mengundang beban berlapis, apabila Dato` Seri Chua Soi Lek Presiden MCA berdasarkan mesyuarat yang diputuskan bahawa MCA yang memenangi 7 Parlimen dan 11 Dun itu tidak akan menyertai Kabinet, Exco Kerajaan negeri bahkan ahli-ahli Majlis PBT sebagai protes sikap pengundi Cina terhadap MCA, walaupun MCA tidak keluar dari BN. Sekali lagi wajarkah sikap dan protes sedemikian dilakukan ? Dalam keadaan sekarang BN khususnya MCA sebenarnya menghadapi tugas yang amat sukar bagi memulihkan kepercayaan pengundi Cina terhadap MCA. Lebih parah bila ketiadaan penyertaan MCA di dalam Kabinet yang menjadikan Kabinet sebagai Kabinet ala Melayu berdepan dengan Pakatan Rakyat yang komposisinya lebih mencerminkan
Sebenarnya kedudukan orang Cina dengan orang Melayu adalah
sama, kita boleh juga bertanya, Kenapa orang Melayu contohnya di Selangor
seperti orang Cina menyokong Kerajaan Pakatan ? Banyak jawapan yang boleh
diberi. Pokoknya mereka yakin dengan Kerajaan Pakatan Rakyat. Keyakinan mereka
makin bertambah bila melihat kejayaan negeri Selangor pada sesi 2008-2013. Ini
mempengaruhi orang Cina di luar Selangor menyokong calon-calon Pakatan Rakyat.
Begitu juga dengan orang-orang Melayu di Selangor. Bagi orang Cina mereka melihat
perbezaan yang jelas dan kebolehpercayaan yang tinggi terhadap Pakatan Rakyat
dan pemimpin-pemimpin mereka, lantaran itu berlakulah sokongan orang Cina
terhadap Pakatan Rakyat yang disifatkan sebagai tsunami itu. Namun bagi orang
Melayu berdepan dengan kesedaran dan celik politik yang kurang tinggi
berbanding dengan orang Cina. Mereka juga berdepan dengan masalah survival dan
harapan yang lebih luas ruangan pilihan, lantaran itu pola perubahan
berbeza-beza dalam mana di negeri-negeri yang lebih maju, maka kesedaran
menyokong kepada perubahan yang dibawa Pakatan lebih segera di terima, manakala
di luar dari kawasan maju, tetapi terjamin dengan budaya tradisi lebih lambat
untuk berubah, lantaran mereka merasakan lebih selamat.
Dalam keadaan sekarang BN, khususnya MCA menghadapi beban lebih berat bagi mencari
formula bagi mengukuhkan jati diri dan keyakinan MCA dan tidak rasa terpinggir agar
orang-orang Cina kembali memberi kepercayaan terhadap MCA-BN.
Berikut dari itu mereka perlu menghadapi realiti dan
bertanding dalam mana sekarang sekarang Pakatan Rakyat dalam keadaan lebih
selesa dan mapan. Sebagai Pakatan yang relatifnya baru Pakatan tidak banyak
memikul masalah tradisi yang mebebankan. Ianya mempunyai matlamat dan objektif
yang jelas, kelihatan aktif dan cergas kaya dengan pendekatan dan idea yang
bernas yang apa yang dilakukan tidak dilakukan oleh BN. Keadaan ini tidak ada
pada BN yang kelihatan sudah lama dan letih. Tidak secergas orang muda yang
dinamik dan kaya dengan idea.
Antara faktor yang boleh difikir dan boleh dikaitkan dengan
MCA-BN dari soalan-soalan berikut:
- Sekukuh manakah imej kepimpinan MCA sekarang dalam menggerakkan dinamika parti.
- Masih relevenkah lagi parti-parti yang berasaskan kaum seperti MCA ?
- Sejauhmanakah imej dan identiti MCA sebagai parti yang memperjuangkan kepentingan rakyat semua kaum.
Dalam keadaan sekarang baik MCA dan BN perlu mengambil
tindakan memeriksa dan membaiki diri dan bukan menunjuk jari terhadap rakyat
yang dikatakan tidak memberi sokongan. MCA perlu rebranding diri dengan
imej-imej positif yang meyakinkan rakyat. Kita perlu menghormati pendirian dan
keputusan rakyat. Kita bersetuju dengan pendapat Dato` Seri Anwar yang tidak
setuju melabelkan sokongan orang Cina sebagai `tsunami` pengundi Cina,
sebaliknya sebagaimana kata Encik Lim Kit Siang ianya adalah merupakan tsunami
rakyat Malaysia !
Sekian.
No comments:
Post a Comment