Kajang Utama, 19 Jamadil Akhir 1434 = 30 April 2013
(Selasa):
Pada malam ini Mantan Adun Bangi ke Majlis Ceramah
Pilihanraya ke 13 di Kajang Utama yang lima hari lagi tarikh mengundi (5 Mei)
akan berlaku. Dua orang menurut program akan berceramah bertempat berdekatan
rumah saudara Azizi, iaitu YB. Senator Syed Shahir yang juga Mantan Presiden
MTUC dan Mantan Adun Bangi. Senator Syed Shahir memohon untuk bercakap lebih
awal (9.30 malam), kerana menurutnya, ``Saya mempunyai dua program lagi di Shah
Alam pada malam ini.``. Atas permintaannya Pengerusi Majlis, saudara Abu Bakar
Alias menjemput YB Tuan Syed Shahir menyampaikan ceramahnya terlebih dahulu.
Beliau berceramah fokus kepada kejayaan pentadbiran, pemerintahan dan ekonomi
negeri Selangor sehingga mampu menjanakan berbagai-bagai kejayaan. Beliau juga
bercakap tentang tawaran Pakatan melalui manifesto yang ditiru oleh BN. Senator
nampaknya mengambil sebahagian dari modal Adun Bangi nak bercakap tentang kejayaan
Selangor dan terpaksa membuat adjustment spontan bagi persediaan untuk
bercakap. Senator bercakap hampir setengah jam. Pada akhir ucapannya Calon
Parlimen Serdang, orang baru dan muda, iaitu Dr. Ong Kiang Ming tiba dan slot
diberikan kepada Calon Parlimen Serdang memperkenalkan diri lebih kurang 5
minit selepas Senator Tuan Syed Shahir mengakhiri ucapannya.
Tiba giliran Mantan Adun Bangi berucap, Mantan Adun
mengatakan saya berdiri dihadapan Tuan-Tuan dan Puan-Puan bagi mengambil
kesempatan serampang dua mata, pertama mengenai pencapaian dan kejayaan negeri
Selangor di samping menjawab tuduhan pihak BN yang jahil tentang Kajang Utama
dan menuduh kononnya Adun Bangi tidak membuat apa-apa di Kajang Utama, tapi
penduduk Kajang Utama lebih tahu apa yang telah kita lakukan selama ini, tetapi
sebelum daripada itu Mantan Adun Bangi ingin menjelaskan mengenai rumours yang
mengatakan ``Mantan Adun Bangi sakit ! Agaknya itulah sebab Mantan Adun itu
tidak fit menjadi calon !``
Kata Mantan Adun, ``Saya tak mau cakap soal jadi calon,
kerana memang tidak jadi calon``, tambahnya, ``Yang saya mau cakap soal realiti,
bahawa saya tidak sakit. Seperti biasa, saya masih mampu memandu berseorangan
bukan saja ke sini pada malam ini, termasuklah ke tempat-tempat lain sama ada siang
atau malam.``
Perkara dikatakan, ``Saya sakit ini pada mulanya saya tak
kisah, mungkin salah tanggapan dan akan hilang begitu saja.`` Menurut Mantan Adun Bangi, ``Pertama kali
terperasan mengenai isu ini, apabila pada satu pagi isteri Mantan Adun pulang
dari Pasar Basah yang tak jauh dari rumah Mantan Adun memberitahu,`` katanya,
``Orang tanya, benarkah Dr. Shafie (Mantan Adun) sakit ?`` Kata isteri Mantan Adun,
yang menjawab secara bergurau, ``Pergilah tengok dah tak larat, berjalan pun dah
bertongkat !`` Lepas itu isteri Mantan Adun menambah dan bertanya, ``Dari mana
berita ? Tak ada apa-apa sakit ! Macam biasa, masih ke Pejabat, walaupun sudah
tidak jadi Adun !``
Lepas itu, sebagaimana Mantan Adun katakan di atas, Mantan
Adun menganggap berita ``Dr. Shafie sakit`` akan hilang begitu saja, kerana
ternyata tidak benar !`` Tetapi selang beberapa hari seorang jiran dan kawan
baik isteri Mantan Adun yang pergi berurusan di Bandung, Indonesia baru pulang
dan datang menemui isteri Mantan Adun memberitahu kepada isteri Mantan Adun,
bahawa dia menemui seorang yang juga dari Bangi yang juga pergi ke Bandung
bertanya kepadanya tentang Mantan Adun Bangi, ``Benarkah Dr. Shafie sakit dan
uzur serta menarik diri dari bercalon ?``. Penanya juga tinggal di Bangi, tapi
jauh dari rumah Mantan Adun Bangi. Kawan isteri Mantan Adun menjawab, ``Tak
sakit pun, sebelum datang ke Bandung
ni, saya pergi mengaji Qur`an seperti biasa dengan isterinya di rumahnya dan
Dr. Shafie seperti biasa, tak sakit pun !`` Berita ini disampaikan kepada Mantan Adun. Mantan
Adun berpendapat penyebaran berita ini bukan secara kebetulan, tetapi
disengajakan oleh pihak-pihak tertentu.
Pendapat ini lebih kukuh dan meyakinkan Mantan Adun Bangi,
apabila pada pagi Isnin 29 April 2013, Mantan Adun pergi ke Bangunan Koperasi
UKM di tepi Jalan Kampus UKM untuk menguruskan soal kewangan di CIMB Bank di
situ. Semasa tiba dan masuk ke bangunan dan belum masuk ke dalam Bank, Mantan
Adun bertembung dengan seorang sahabat – Pensyarah UKM. Mantan Adun Bangi memberi
salam, sambil menjawab salam, beliau dengan keadaan terkejut, mengungkapkan,
``Eh, kata sakit ? Macam mana ada sini ?`` Mantan Adun menjawab, tanpa
melahirkan apa-apa kejutan,
``Yalah, kalau sakit takkan datang ke sini !``. Pensyarah
muda yang berasal dari Terengganu ini menambah, ``Kita bercadang nak menziarah
ke rumah !`` Mantan Adun menjawab, ``Kalau tak sakit pun apa salahnya menziarah,
boleh bersembang panjang-panjang, lagi pula sekarang tekanan kerja agak
berkurang.`` Pertemuan berakhir dengan Mantan Adun menjemputnya ke rumah dan
Mantan Adun masuk ke bank membuat urusan.
Sepulang Mantan Adun ke rumah dan bercakap dengan isteri
tentang isu mengatakan diri Mantan Adun sakit dan menambah, ``Harap-harap
jangan jadi sangkaan orang sebagai doa, nanti kita jadi benar-benar sakit !``
Tapi isteri Mantan Adun mengingatkan, ``Kalau Allah tidak izin tak akan
berlaku,`` tambah isteri mantan Adun, ``Jadikan itu sebagai ingatan agar kita
lebih mengingati Allah.``
Namun Mantan Adun mengambil aspek positif dan menolak
prasangka, bahawa sebarang perkembangan yang berhubung dengan diri Adun baik
kecil, apa lagi yang besar, segera tersebar menjadi berita, menandakan bahawa
penduduk Dun Bangi masih memberi perhatian kepada Mantan Adun Bangi. Hendaknya
ini menandakan bahawa, mereka masih sayang kepada Mantan Adun, walaupun sudah
tidak menjadi Adun. Semoga tanggapan ini benar dan adalah diharapkan hubungan
kasih sayang dengan penduduk Dun Bangi akan berterusan dan berkekalan hendaknya
– Insya Allah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment