May 11, 2014

Antara Mewarisi, Inovasi Dan Kreativiti; Pengekalan Nilai

-->
BBB, 10 Rajab 1435 = 10 Mei 2014 (Ahad):

Peradaban dan tamadun manusia adalah melalui proses pengekalan dan juga perubahan. Antara elemen penting yang mempengaruhi aspek-aspek di atas ialah `pembelajaran`. Untuk lindungan pada zaman purba manusia menggunakan kayu dan elemen alam bagi membina pondok kediaman dan lindungan yang dianggap lebih maju dan selamat dari kehidupan di dalam gua, untuk survival manusia mempelajari kaedah-kaedah menghasilkan makanan secara bertani seperti menanam padi dianggap kaedah berhasil dan lebih baik dari mencari makanan secara meramu. Demikian kaedah perhubungan pada zaman tradisi dengan menggunakan perahu melalui sungai, juga dianggap maju pada zamannya daripada semata-mata berjalan kaki. Kemajuan terus membawa kepada berbagai-bagai perubahan sebagaimana dialami di dalam kehidupan moden baik dari segi perumahan, pekerjaan, alat komunikasi, pelajaran dan berbagai lagi. Namun dalam perkembangan dan kemajuan manusia ada aspek-aspek tradisi yang bernilai yang dipupuk dan dipertahankan.  Sebab itu ada warisan yang diwartakan sebagai warisan dunia, Negara atau sebagai warisan setempat yang dibangga, bahkan digunakan sebagai identiti bagi satu-satu Negara atau tempat dengan menggunakan motif-motif berkenaan sebagai identiti dan pengenalan seperti bentuk bangunan, artifak-artifak klasik dan sebagainya. Namun selain dari pengekalan warisan yang bersifat fizikal, pengekalan yang bersifat nilai lebih kekal, namun kesedaran bersifat nilai lebih lambat dan memakan masa untuk dicapai yang antaranya bersifat universal dan diterima secara sejagat. Misalnya nilai tolong menolong dan bekerjasama, rasa kemanusiaan dan kesejagatan sama ditatang, nilai-nilai keagamaan yang luhur dipertahan, demikian juga dengan aspek bahasa sebagai budaya yang dipertahan dan dikembangkan. Pengukuhan nilai-nilai murni ini dikenali sebagai peradaban dan tamadun yang menjadi panduan bagi generasi berikutnya.


Di dalam konteks pembicaraan kita, bahawa bahasa adalah warisan budaya utama bagi satu-satu Negara atau bangsa. Ianya menjadi identiti bagi Negara dan bangsa, sebab itu ianya tidak saja dipertahan, tetapi diusaha bagi memperkembangkannya. Antara cara memperkembangkannya ialah menggunakannya pada peringkat pengajian dari peringkat rendah kepada pengajian tinggi, memperkembangkannya melalui tulisan yang bersifat sastera. Ini berlaku kepada semua bahasa bagi sesuatu bangsa termasuklah bagi bahasa Melayu.

Di dalam penulisan juga ada yang bersifat mewarisi dan dipertahankan dan ada yang terbuka bagi inovasi dan kreativiti. Dalam perbendaharaan bahasa dan sastera kita pujangga tidak bernama kita misalnya telah menemui aspek keindahan dalam berpuisi, bahawa susunan pantun 4 baris atau lebih yang mempunyai pembayang dan maksud  - setiap baris antara 9 – 12 suku kata yang hujungannya ialah a, b dan a, b adalah dianggap indah. Ia merupakan satu pemantapan dan terus dipertahankan seperti sebagai satu ciri keindahan bagi puisi tradisi – Pantun. Selain dari dapat dilihat dari aspek estetika dalam pantun juga dapat dilihat dari segi adat, budaya dan kemasyarakatan. Pemantapan yang dipertahankan juga boleh dilihat dalam syair (pinjam dari Arab), gurindam, teromba dan sebagainya. Inovasi dan kreativiti yang dibenarkan ialah dari segi kandungan atau mesej. Namun dipertahankan dari segi bentuk yang telah mantap dan penting dari segi identiti. Adapun karya kreatif secara prosa moden seperti cerpen, noval dan drama, maka ianya dianggap bentuk-bentuk yang lebih baharu dan lebih longgar bagi pengarang menggunakan teknik, inovasi dan kreativiti yang sesuai.


Dalam pembicaraan berikut yang dianggap penting, bahawa persoalan nilai yang sudah mantap, bahkan antaranya bersifat universal adalah menjadi isu penting di dalam penulisan – di dalam konteks di sini penulisan kreatif baik bagi yang sudah mantap bentuknya dan dipertahankan, maupun yang moden yang terbuka bagi perubahan, inovasi dan kreativiti. Bahkan menjurus kepada `Sastera Islam` persoalan nilai adalah persoalan  dominant yang mencirikannya sebagai Sastera Islam atau tidak dianggap sebagai Sastera Islam. Bahkan ianya merentasi bentuk. Di dalam kata lain nilai seperti baik buruk, benar salah, prinsip, hukum dan undang-undang sesuatu yang tetap dan ditingkatkan sebagai mesej yang dibawa sama ada secara langsung atau tidak langsung. Ianya berada di dalam bentuk yang dianggap mantap, tradisi dan klasik atau bentuk yang boleh dan masih berubah menerima inovasi dan kreativiti.

Aspek nilai di dalam penulisan baik kreatif yang telah mantap seperti pantun yang dibicarakan atau cerpen dan novel yang terbuka bagi inovasi dan kreativiti tidak mengganggu inovasi dan kreativiti di dalam penulisan, bahkan ianya sebagai paksi pedoman dan pemantapan yang tidak menjadi kacau dan tidak terarah di dalam tulisan. Sebenarnya secara sedar atau tidak sedar kehidupan kita menjadi teratur adalah dikawal oleh kompas nilai.

Sekian.

No comments:

Post a Comment