July 26, 2014

Perlu Kelulusan Plan Arkitek Pra-Syarat Pembinaan

-->
BBB, 27 Ramadhan 1435 = 25 Julai 2014 (Jumaat):

Satu pra-syarat penting bagi pembinaan – termasuk Masjid Al-Umm ialah mendapat kelulusan pelan arkitek bagi kawasan Bandar Baru Bangi iaitu di bawah MPKj dan jabatan-jabatan berkenaan.
Menyedari kepentingan ini sejak kelulusan tapak diwartakan dan kebenaran dari JAIS bagi membina masjid, maka keperluan menyediakan pelan arkitek ini diutamakan. Ianya tidak lain dari mempastikan pembinaan mempunyai rangka pelan teratur dan diikuti hingga tidak menimbulkan masalah dari segi binaan, teratur dari susunatur bangunan dan tidak memasalahkan dari segi kawasan dan persekitaran. Pelan arkitek ialah rangka pembinaan  yang diikuti sebagaimana Teori Takmilah, ia adalah kaedah pendekatan yang mempunyai rangka skema teratur yang boleh diguna dalam pendekatan penulisan, diguna untuk menilai dan kritikan.


Oleh kerana keterlibatannya sejak dari awal berhubung dengan senibina Masjid Al-Umm, maka Yang Mulia Raja Fuaddin bin Raja Ahmad ditugaskan menyediakan pelan melalui firmanya Arketek Urusbina, No. 47, Taman Sri Medan, Jalan Raja Syed Alwi, 0100 Kangar, Perlis. Pelan arkitek ini berdasarkan pelan bangunan awal yang dirangkakan. Tugas menyediakan pelan arkitek ini agak rumit dan memerlukan kepakaran, khususnya bagi bangunan besar sebuah masjid. Penyediaan plan melibatkan keperluan sampai 16 jabatan yang menilai menurut bidang masing-masing sebelum diluluskan. Antara jabatan ialah MPKj, bomba, TNB, Syabas, JKR, Jabatan Kesihatan, Alam Sekitar, perparitan dan sebagainya. Penulis menerima dan melihat plan arkitektur yang begitu tebal dan berat golongannya untuk diteliti sebelum diangkat ke MPKj yang juga sebagai tempat menyelaras bagi semua jabatan yang menilai. Pelan yang masih belum diluluskan ini pernah dipamerkan pada Majlis Pelancaran Tabung Masjid Al-Umm, Bandar Baru Bangi pada 19 Mei 2012 dan pada Majlis Mesra Kenduri Kampung Bersama Y.A.B. Dato` Menteri Besar Selangor Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim pada 6 Januari 2013 yang kedua-duanya berlangsung di Tapak Majlis dan Pameran berhampiran dengan Tapak Masjid Al-Umm. Kedua-dua pameran diuruskan oleh Yang Mulia AR. Raja Fuaddin bin Raja Ahmad dari Firma Urusbina.

Menunggu plan kelulusan begitu lama termasuk membuat perubahan yang dituntut pihak MPKj dan memakan masa lebih dari setahun. Ar. Raja Fuaddin sering turun naik ke MPKj berhubung dengan pelan pembinaan sehingga pada satu masa Penulis selaku Adun Bangi dan Pengerusi Pembinaan Masjid menulis surat kepada YDP MPKj pada 8 Oktober 2012 memohon berunding dengan YDP mengenai kelulusan plan arkitek. Walaupun pertemuan diadakan berikutnya antara Penulis selaku Pengerusi dan beberapa AJK dengan YDP MPKj Dato` Hassan Nawawi dan beberapa pegawainya dan kelihatan mudah untuk diselesaikan pada peringkat atasan, tetapi masalah plan arkitek ini tetap berlarutan. Berhubung dengan perkara ini Ar. Raja Fuaddin sering tertekan dengan gesaan agar berusaha agar plan arkitek segera diluluskan. Masalah jauhnya ibu pejabat syarikatnya (di Perlis) juga mengganggu kelicinan urusan. Walau bagaimana Raja Fuaddin sebagai anak kariah masjid tetap tenang dan terus berusaha mendapat kelulusan.


Dalam masa menunggu kelulusan plan pembinaan, pada peringkat permulaan tumpuan perbincangan oleh AJK adalah terhadap plan bangunan yang menjurus pada seni bina. Difahamkan inilah pertama kali syarikatnya terlibat dengan pembinaan masjid yang agak besar. Dilihat kepada lakaran asalnya tidaklah ada kreativiti dan inovasi yang menarik sebagaimana yang diharapkan oleh AJK. Sebaliknya ianya adalah hasil yang disifatkan sebagai `interarkitektualiti` yang sedia ada dan bersifat campuran terutama dilihat dari segi pintu gerbang, menara yang bentuknya bersegi kurang menarik dan sebahagian ruang sutuh yang tidak beratap..

Dalam mesyuarat  antara perkara yang  dibangkitkan, bahawa sutuh bahagian atas bangunan bersifat rata tidak sesuai dengan iklim setempat dan perlu beratap yang boleh melindungi bangunan dari hujan panas yang boleh merosakkan bangunan. Permintaan dibuat agar diraikan dari segi seni bina Islam yang lebih menekankan bentuk bulat seperti menara, tiang-tiang, mihrab, meraikan jumlah  mata-mata tangga yang jumlahnya gasal, mengasingkan tandas ke bahagian belakang masjid untuk elak dari pencemaran. Cadangan asal masjid tidak menggunakan air-cond. Dicadangkan hendaklah direka bentuk besesuaian bagi menggunakan air-cond. Ahli juga meminta pihak Urusbina melalui Ar. Raja Fuaddin menyediakan plan perspektif secara lengkap yang boleh dijelaskan secara tayangan.

Dari segi penggunaan tenaga letrik, adalah juga dicadangkan kemungkinan menggunakan tenaga solar dan dicadangkan agar membuat temujanji dengan pihak Kementerian Tanaga, Hijau dan Air yang pejabatnya berada di Bandar Baru Bangi, namun menurut pendapat bahawa, dari penggunaan yang dibuat banyak risiko kerugian dari keuntungan. Cadangan juga dibuat agar carpet yang bakal dipasang kelak ialah bukan secara meluas  melekat keseluruhan, tetapi boleh diangkat dan digolong sekeping-sekeping dengan lantai dipasang tile.

Cadangan juga agar dibenarkan kepada penderma-penderma yang mau menderma bahagian-bahagin tertentu di dalam masjid. Bahagian-bahagian tertentu dinilai pihak kontraktor untuk dipilih oleh penderma.

Selain dari perbincangan tentang seni bina, soal mendapat derma juga menjadi perbincangan berterusan. Keperluan kepada AJK Teknikal dan juga perunding-perunding diperlukan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment