February 6, 2015

Al-Qur`an: Wujud Di Dalamnya Kesegalaan - Ulum Dan Kerohanian


BBB, 15 Rabi`ul-Akhir 1436 = 05 Februari 2015 (Khamis):
Membincangkan tentang kandungan Al-Qur`an, sesungguhnya tidak lagi sesuai untuk membandingkan dengan situasi zaman Jahiliyah yang kering dari keilmuan dan kosong dari kerohanian. Yang sesuai berhadapan ialah realiti kini dan depan yang memerlukan kefahaman – Ulum dan Kerohanian.
Apakah yang terkandung di dalam Al-Qur`an ? Jawapan secara teringkas yang dapat dirumuskan ialah `Wujud Kesegalaan`. Dalam kata yang lain terkandung di dalam Al-Qur`an  ialah maklumat segala yang wujud. Sebagai pembuka jendela yang dapat melihat tentang kandungan Al-Qur`an, tentunya pada tahap yang lemah dan rendah dan tidak dapat menjangkaui kepada hakikat sebenarnya, apalagi untuk kandungan sepenuhnya (Al-Qur`an). Sebagai permulaan kita menjenguh kepada kandungan `Al-Fatihah` yang diberi nama, antaranya `Ummu al-Qur`an` yang juga merupakan intisari bagi  Al-Qur`an yang merupakan mu`jizat paling utama bagi Rasulullah s.a.w.


(Tafsir Surah Al-Fatihah – Bahagian Kedua bagi Perbendaharaan Al-Qur`an, MAIS Dan KUIS, Selangor, 2008: Bahagian Kedua.
Dari segi bahasa bahawa Surah al-Fatihah adalah menggunakan bahasa yang mudah difahami, tetapi membawa kandungan yang penting sesuai ianya merupakan surah yang penting yang diguna dan dibaca di dalam berbagai fungsi, misalnya di dalam solat dan amalan-amalan yang diharapkan mendapat keberkatan dan keredaan dari Allah. (Aspek bahasa dan estetika akan dibicarakan pada bahagian berasingan).
              Surah Al-Fatihah
1)      Bismi`l-Lahi`r-Rahmani`r-Rahim (Basmalah)
Bermaksud: Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Mengasihani.
Basmalah merupakan bacaan yang dituntut bagi pekerjaan yang baik, jika tidak amalan bagai terputus (Maksud Hadith).
Menyebut nama `Allah` adalah pengakuan bahawa Allah adalah nama Dhat Tuhan yang wajibul wujud yang disembah dengan sebenar-benarnya. Allah juga dikenali sebagai lafzul Jalalah yang menunjukkan kebesaran Allah dan keagunganNya.
Al-Rahman dan Al-Rahim yang bermaksud bersifat Pemurah dan Mengasihani adalah merupakan dua dari sifat-sifat Allah yang Maha Sempurna. Sifat-sifat ini merupakan sebahagian dari al-Asma` al-Husna.
Dengan membaca Basmalah merupakan pembukaan bagi komunikasi hamba – contoh di dalam solat atau apa-apa amalan yang bertujuan baik dengan Pencipta yang bersifat Rahman dan Rahim agar mendapat keberkatan dari Allah.
Membaca Basmalah memperlihatkan bahawa pembaca berada di dalam `rangka akidah` yang mempunyai `pandangan wujud` bahawa yang Wujud Hakiki ialah Allah yang bersifat Rahman dan Rahim. Manakala wujud yang lain adalah wujud nisbi yang menerima limpah Rahman dan Rahim Allah.
2)      Bermaksud: Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian Alam


Setelah terbuka ruang komunikasi – lahiri dan rohani, mengiktiraf dengan sifat-sifat Rahman dan Rahimnya, maka hamba yang beriman ini yang sama menerima Rahmat dan Rahim dariNya meluahkan pujian kepada Allah. Terlalu banyak rahmat yang diterima dari Allah dari nikmat iman dan Islam, nikmat kesihatan, nikmat ilmu pengetahuan, nikmat kekeluargaan,  nikmat berjiran dan bermasyarakat, nikmat kebajikan dan berbagai-bagai lagi.
Mengakui Allah yang Maha Pencipta, bahawa Dialah Pentadbir yang Bijaksana.
Memperlihatkan pandangan wujud seorang muslim yang beriman akan konsep alam yang dicipta Allah yang terdiri dari alam syahadah seperti manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan,gunung ganang, bukit bukau daratan dan lautan yang berada di bumi ini, seterusnya planet-planet, gugusan gugusan bintang-bintang. Langit dan cakrawala keseluruhan. Seterusnya membawa kepada alam ghaib seperti kiamat, syurga, neraka dan berbagai-bagai alam ghaib yang hanya diketahui Allah. Segala kewujudan ini dicipta Allah mempunyai hikmat dan tidak sia-sia.
3)      Bermaksud: Yang Amat Pemurah lagi Amat Mengasihani
(Bermaksud sebagaimana dibincangkan sifat ini di dalam basmalah).
4)      Bermaksud: Dialah yang Memiliki dan Menguasai Hari Pembalasan (Hari Akhirat).
Pandangan wujud bahawa ada Yang Abadi (Allah) dan yang baharu (Alam) dan kewujudan alam ada yang bersifat syahadah seperti kehidupan di muka bumi yang antaranya melalui proses kehidupan dan kematian, baharu dan fana. Amalan kebaikan dan kejahatan. Hari akhirat adalah merupakan hari pembalasan. Bagi yang baik ke syurga. Antara amalan kebajikan ialah dengan beribadat dan memperhambai diri kepada Allah dengan penuh rasa ikhlas dan tawaduk kepada Allah dan yang jahat ke neraka. Balasan bagi yang menderhaka kepada Allah tidak mematuhi perintah Allah dan derhaka kepadaNya.
Kepercayaan kepada Hari Akhirat, juga syurga dan neraka termasuk di dalam rukun iman yang termasuk di bawah mempercayai tentang alam ghaib.

Secara tidak langsung dan secara halus bahawa ayat-ayat di dalam Surah Al-Fatihah yang juga dikenali sebagai `Al-Sab`u al-Mathani` (Tujuh Ayat Yang Diulang-ulang) ini terbahagi kepada dua bahagian pertama sebagai munajat kepada Allah dengan menyebut sifat-sifat sempurnaNya dalam hubungan dengan makhluk ciptaanNya dan dengan keagungan dan kekuasaanNya. Dia memiliki dan membalas balasan amalan – baik dan buruk pada Hari Kiamat.
(TafsirPimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur`an, Diterjemah Serta Diberi Penjelasan oleh Shaykh Abdullah bin Muhammad Basmih, Jabatan Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur, 1985: 1-3).

Secara halus ianya merupakan aspek tarbiah dan akhlak dari `Rabbul `Alamin` bahawa di dalam mendepani dan munajat kepada yang Agung – Tuhan, hamba, khususnya di dalam ibadat seperti solat atau pembicaraan yang bertujuan baik agar menghormati, memuji dan menyebut kebaikan-kebaikan dari Allah – Rahmat dan RahimNya. Ini bukan untuk kepentingan Allah yang tidak menambah dan mengurangkan status ketuhanan sama ada dipuji oleh hamba atau makhluk, tetapi dengan menyebut dan menghayati sifat-sifat sempurna Allah sebenarnya menimbulkan rasa keagungan dan kebesaran Allah di dalam jiwa. Dengan ini menambahkan kekhusyukan dan tawaduk diri kepada Allah. Dengan jiwa yang insaf dan tawaduk lebih mendidik jiwa dengan sifat-sifat hamba dalam mendekati diri kepada Allah. Dengan doa dan permohonan insya Allah lebih mudah dikabulkan.
(Bahagian kedua akan munyusuri pembicaraan – insya Allah).


Sekian.


No comments:

Post a Comment