February 22, 2015

Qasidah Al-Burdah Salawat Dan Puji Terhadap Rasulullah


BBB, 02 Rabiul Akhir 1436 = 21 Februari 2015 (Sabtu):


Antara tanda kasih dan cinta terhadap Rasulullah s.a.w. ialah ungkapan digubah tentang Baginda di dalam bentuk Qasidah. Qasidah adalah bentuk puisi yang juga sebagai syair yang terikat menurut timbangan wazan, tetapi lebih longgar dari syair. Ungkapan pembukaan biasanya berkait dengan kenangan yang mengharukan, gambaran-gambaran termasuk yang bersifat alamiah, pujian dan kekaguman terhadap tokoh dan sebagainya. Qasidah dilagukan dengan berbagai lagu yang menarik, tetapi gaya baca dan lagunya berbeza dari membaca dan melagukan Al-Qur`an.
Antara qasidah terkenal digubah ialah Qasidah al-Burdah yang dihasilkan oleh Al-Shaykh Muhammad al-Busiri (1213-1295M.) yang disifatkan sebagai seorang yang alim dalam bidang bahasa Arab dan sasteranya. Nazamnya juga dikenali dengan judul `Al-Kawakib al-Durriyyah fi Madhi Khairil Bariyyah` - Planet-Planet Bercahaya Pada Memuji Yang Terbaik Dicipta, tetapi Qasidah ini lebih dikenali dengan judul `Qasidah Al-Burdah`. Ini adalah kerana dikatakan tatkala Muhammad al-Busiri sedang sakit, dia bermimpi didatangi Nabi Muhammad s.a.w. Baginda memberi kepada Al-Busiri selimut (Burdah) Baginda yang membawa kepada sembuhnya penyakit Al-Busiri. Mengenang terhadap rahmat yang diterima dari Nabi, maka Al-Busiri mengungkapkan rasa cinta dan mesranya terhadap Rasulullah s.a.w. (Al-Munjid. Al-Matbaat al-Kathulikiyyat, Beirut, 1927: part II, 70 & 90).
Dapatlah dikatakan bahawa Al-Burdah adalah puisi kedua terkenal tentang pujian terhadap Rasulullah s.a.w. selepas puisi syair `Banat Su`ad` oleh Ka`ab bin Zuhayr.
Qasidah Al-Burdah mengandungi 160 bayt. Qasidah ini bermula dengan ingatan dan gambaran secara syahdu terhadap jiran di Dhi Salam. Kata Al-Busiri:
Tiba-tiba teringat kepada jiran di Dhi Salam
Mengalir airmata bercampur darah berguguran
Sepoi angin berhembus dari Tilqa` Kazimah
Kilat ke kegelapan di Idam yang memanah.

Selepas membicarakan tentang kenangan (5 bayt), maka Al-Busiri membawa ingatannya dengan Nabi dan dia mengungkapkan:
Bagaimana engkau mampu memungkiri cinta
Selepas engkau menyaksikannya dengan mata kepala !
Selepas daripada itu dibicarakan tentang sifat lemah manusia termasuk dirinya terutama berdepan dengan nafsu dan syaitan. Lantaran Al-Busiri beristighfar:
Aku beristighfar kepada Allah daripada bercakap tanpa amal
Ku nisbahkan kepada turunan yang mempunyai pertalian
Dia menyuruh engkau membuat baik tapi tak kulakukan
Aku tidak istiqamah, tidaklah kataku kepadamu aku beristiqamah.
Daripada situ Al-Busiri membicarakan sifat Rasulullah yang tidak terpengaruh dengan tawaran walaupun dengan bukit daripada emas menjadi pertaruhan. Dia memuji Baginda Rasulullah s.a.w.
Muhammad Tuan bagi dua alam dan kejadian
Juga Tuan bagi bangsa Arab dan juga Ajam.
Nabi kita yang menyuruh-melarang tiada seorang
Lebih baik perkataan `Tidak` dan `Ya` jawapan
Dialah Kekasih yang diharap syafaatnya
Bagi segala kesusahan yang berdepan
Dia berdoa kepada Allah dan yang berpegang
Dengan tali yang benar kukuh tidak putus
Mengatasi Nabi dari ciptaan dan akhlak
Tidak menyamainya dari segi ilmu dan kemuliaan.
Seterusnya dicerita oleh Al-Busiri dalam nazam tentang berbagai keistimewan Nabi yang baginda diibaratkan sebagai matahari, sedang yang lain-lain adalah sebagai bintang-bintang. Dibicarakan Baginda dalam hubungan dengan sahabat baik baginda Sayyiduna Abu Bakar al-Siddiq yang mengiakan semua yang dilakukan Baginda dan menemani Baginda di dalam gua semasa berhijrah dan disebut tentang mu`jizat Baginda. Begitu dibicarakan tentang keistimewaan baginda dengan peristiwa Isra` dn Mi`raj yang tidak dialami oleh Rasul-Rasul yang lain.
Turut dibicarakan tentang peperangan yang dialami Rasulullah s.a.w. seperti Hunain, Badar dan Uhud. Nazam Al-Burdah yang berjumlah sebanyak 160 bayt ini diakhiri dengan doa.
Perlu disebutkan bahawa puisi yang diungkap oleh Al-Busiri, bukan bertujuan untuk menggalurkan tentang sejarah Nabi secara keseluruhan. Dalam Nazam Burdah ini disentuh aspek-aspek yang memberi sentuhan rasa, minda dan jiwa. Sejarah sebenar hendaklah dibaca dalam buku sejarah. Apa yang ditekankan ialah apa yang dapat menimbulkan rasa dan jiwa di dalam berlagu. Nazam lebih hidup sebenarnya apabila dilagukan dengan berbagai bentuk dan rentak lagu oleh pelagu-pelagu nazam berwibawa hingga dapat mnenyentuh jiwa dan perasaan apabila pelagunya berjaya menyampaikan secara terbaik bagi sebuah nazam.

Sekian.

No comments:

Post a Comment