BBB. 30 Sya`ban 1436 = 17 Jun 2015 (Rabu).
Kubah mempunyai kedudukan istimewa dari segi
estetika dalam pembinaan masjid. Posisinya berada pada bahagian tengah dari
puncak masjid. Dengan bentuknya yang bujur separuh bulat, terkeatas dari segi
luaran dengan tunjuk langitnya mengarah kepada langit terbuka, ibarat bagi
meneroka rahsia Ilahi ke ruang lepas tanpa watas. Manakala ke bawahnya ialah
memayungi sebahagian besar ruang terbuka – ruang bagi jamaah menunaikan solat
dan aktiviti-aktiviti ibadat dan pengajian – ibarat berada di bumi kerendahan
diri mengabdikan diri pada keagungan Ilahi.
Pembinaan masjid sebagai tempat ibadat
dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. berikut dari Hijrah Baginda ke Madinah dengan
pembinaan masjid awal di Quba` dan diikuti dengan Masjid Nabawi. Evolusi
pembinaan masjid berkembang baik dari segi keluasan dan dari segi fizikal,
termasuklah dari segi estetika, termasuklah pembinaan kubah dan menara pada
Masjid Nabawi dan juga Masjid Al-Haram. Lantaran itu kubah dan menara adalah
dua dari berbagai elemen seni di dalam pembinaan masjid.
Berbanding dengan bahagian-bahagian yang lain
di dalam pembinaan masjid, maka pembinaan kubah yang besar yang memayungi ruang
kosong bahagian bawah masjid adalah lebih rumit. Ruang kosong ini seolah-olah
berinspirasikan ayat-ayat Al-Qur`an. Antaranya bermaksud:
``Allah jualah yang menjadikan langit
terangkat tinggi dengan tidak bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya.``
(Al-Ra`d: 2). Atau firman Allah yang bermaksud:
``Dia menciptakan langit dengan tidak bertiang
sebagaimana yang kamu melihatnya dan dia mengadakan di bumi gunung ganang yang
menetapnya supaya bumi itu tidak menghayun-hayunkan kamu.`` (Luqman: 10).
Mengusahakan ruang kosong pada bahagian bawah
bagi tujuan memuatkan seramai mungkin jamaah seolah-olah ruang ini meluas di bawah langit yang tiada tiang.
Pembinaan kubah bukan dari segi kepentingan
estetika semata-mata, tetapi sebagai langit yang memayungi jamaah di bawah yang
seboleh-bolehnya tanpa tiang yang tidak mengganggu keluasan dan pandangan
jamaah ke hadapan – terhadap imam yang mengimamai solat, atau terhadap khatib
yang sedang menyampaikan khutbah atau kepada guru atau penceramah yang sedang
menyampaikan pengajaran.
Bagaimana mewujudkan ruang di bawah yang luas
yang dilihat di bawah tanpa tiang ?
Tentulah memerlukan kepakaran dan teknologi
yang dapat meletakkan kubah di bahagian puncak tanpa tiang. Ianya boleh
dilakukan dengan meletakkan kubah di atas tiang yang terus menjadi sebahagian
dari dinding ! Tetapi tidak demikian bagi Masjid Al-Umm dan juga tidak bagi
sebahagian masjid-masjid yang lain termasuk Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz
Shah yang terpaksa meletakkan kubah di atas tiang-tiang yang ketara berada di tengah-tengah ruang
jamaah. Demikian juga dengan Masjid Al-Umm yang kubahnya adalah terletak di
atas empat tiang yang tiang berkenaan berada di dalam ruang terbuka bagi
kawasan jamaah utama di aras utama. Dilihat dari luar tidak ketara kerumitan
bagi pembinaan, bahkan indah dan menarik di atas bumbung di kelilingi atap yang
berwarna kelabu itu.
Sebaliknya melihat ke kubah dari dalam dan
dari bawah ke atas ke bahagian kubah dapat dilihat kaedah teknologi pembinaan
dan kerumitan, bukan setakat kerumitan, tetapi betapa sensitifnya binaan
berkenaan pada peringkat permulaan binaan yang jika tiada kekukuhan sokongan
dari bahagian bawah, maka ianya boleh runtuh. Sebagaimana telah dibicarakan
sebelum ini bahawa kubah Masjid Al-Umm adalah terletak di atas empat tiang seri
masjid, tetapi perletakannya tidak secara terus diletak di atas keempat-empat
tiang seri berkenaan. Bulatan bawah bagi kubah sebenarnya lebih sempit dari ruang
yang disediakan oleh empat tiang.
Sebab itu keliling ruang empat segi dari atas
setiap tiang ke tiang yang lain dibina
beam. Dari atas beam bagi setiap tiang seri ini dibina `lengan tiang sendeng
konkrit` condong 90 darjah. Di atas bagi lengan sendeng condong ini dibina
bulatan yang sesuai dengan bulatan bahagian bawah kubah. Untuk menjamin
kekukuhan lengan tiang sendeng, maka antara tiang sendeng ini juga diikat
dengan beam-beam tengah yang mengikat
antara tiang-tiang sendeng ini bagi menjunjung kubah pada bahagian atasnya.
Pembinaan lengan tiang sendeng ke atas dan kotak-kotak bagi lengan sendeng ini
mulai diisi semin ialah pada 25 September 2014 dengan tiang-tiang supportif
dari bawah dari lantai tingkat utama dan pada 9 Oktober 2014 tiang-tiang dan
bulatan kubah baru disambung dengan ikatan konkrit antara satu sama lain.
Puncak bagi ruang kubah mantap dan mampu menerima perletakan kubah memakan masa hampir setengah tahun dikira
kepada tarikh rangka kubah diangkat dengan crane ke atas ialah pada 29 Mac 2015
(Ahad). Kelewatan masa bagi meletakkan rangka kubah di atas kemuncak bumbung Masjid Al-Umm ialah bagi
memastikan bahawa tempat meletakkan
kubah pada puncak bumbung itu benar-benar telah kukuh dan mantap. Walaupun
diletakkan rangka kubah berkenaan pada 29 Mac 2015 tetapi tiang-tiang yang
menjunjung bagi tapak ragka kubah dan kubah itu tetap tidak dibuang, bahkan
hingga hari ini tiang-tiang-tiang supportives dari bawah itu masih belum
dibuang bagi memastikan tempat meletakkan kubah berkenaan tidak runtuh yang
dari satu segi hingga kini masih menghalang dari untuk dipasang tile-tile bagi
kawasan pertengahan lantai aras utama masjid berkenaan.
Pandangan dari bawah kepada puncak bumbung
berkenaan sebelum diletakkan rangka kubah ia ibarat tangan-tangan yang mendepa
ke atas bagi menjulang sesuatu, iaitu kubah. Boleh juga diibaratkan sebagai
tangan-tangan yang sedang terangkat bagi mendoakan keselamatan dan kejayaan
bagi pembinaan kubah dan masjid Al-Umm yang sedang dalam pembinaan itu. Rangka
kubah sebagaimana disebutkan bahawa bilah-bilah bagi rangka berkenaan dibawa ke
kawasan masjid berkenaan beberapa hari sebelum dipasang dan pemasangannya
memakan masa sebulan sehingga ke tarikh rangka berkenaan diangkat ke atas. Kini
kubah jelas kelihatan dari luar, walaupun belum siap, tetapi dilihat dari bawah
masih dijunjung oleh tiang-tiang bagi mengukuhkan kedudukan kubah. Sesungguhnya
kerumitan dari segi dekoratif bahagian bawah kubah berkenaan tidak kurang
rumitnya dari pembinaan dari luar. Walau bagaimana dekorasi dari bawah dan dari
dalam adalah bergantung kepda ditanggalkan tiang-tiang dari bawah yang dijangka
akan dilakukan penanggalkannya dalam beberapa minggu terdekat, iaitu
sebagaimana dimaklumkan pihak Majliza syarikat pembinaan kubah berkenaan.
Pembinaan tapak bagi kubah pada puncak bumbung
dengan teknologi walaupun tidak dapat dikatakan canggih merupakan idea kreatif
dan bernas yang merupakan bahagian dari estetika akli bagi takmilah, ia akan
lebih disempurnakan dengan dekorasi yang menyerlahkan keindahan pandangan kubah
berkenaan dari bawah yang meningkatkan estetika Takmilah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment