June 24, 2015

Pagar Masjid, Pelbagai Contoh - Mencari Identiti: Perlukah Pondok Pengawal ?


BBB, 06 Ramadhan 1436 = 23 Jun 2015 (Selasa):
Pagar bagi sesebuah masjid adalah bagi menandakan sempadan kawasan tanah masjid berkenaan, lebih dari itu adalah untuk tujuan keselamatan. Tetapi masjid sebagai rumah Allah adalah terbuka bagi sesiapa yang datang dengan tujuan baik, khususnya untuk beribadat, maka sesetengah masjid adalah terbuka untuk sesiapa datang dan jika pun berpagar, maka pintunya sentiasa terbuka. Penjagaan dari segi keselamatan dilakukan oleh siak, bilal dan AJK Masjid. Walaubagaimana pagar wajar ada bagi masjid, selain dari keselamatan, pagar juga dapat menimbulkan elemen-elemen estetika.


Dua buah masjid yang dapat dijadikan contoh bagi pembinaan pagar atau tidak berpagar, iaitu Masjid Nabawi dan Masjid Al-Haram, di samping masjid tempatan. Masjid Nabawi adalah masjid berpagar yang sekeliling kawasannya adalah berpagar dengan bertembok pada bahagian bawah dan di atasnya adalah jeriji besi yang agak tinggi yang tidak dapat dipanjat dalam keadaan biasa. Bagi keliling pagar ini ada banyak pintu yang terbuka luas dan sebenarnya tidak menghalang untuk dikunjungi pada bila-bila masa. Tiang dan pintu pagar ini agak tinggi. Keluar dari pintu pagar ini terutama selepas selesai solat suasana sebok dengan kegiatan peniaga-peniaga secara terbuka, mereka meletakkan barang-barang  mereka di atas hamparan di tanah atau di atas kereta sorong. Pagar bagi masjid Nabawi di Madinah lebih kepada menandakan bahawa ruang di dalam pagar merupakan kawasan masjid yang boleh bersolat di mana saja di atas lantai marmar yang jika siang dilindungi payung-payung besar dan jika malam dikuncupkan. Pagar juga untuk mengelak dari diceroboh oleh peniaga-peniaga agar tidak masuk ke dalam. Pagar Masjid Nabawi adalah teguh, tetapi tidaklah sangat mengandungi elemen estetika. Bagi Masjid Al-Haram yang juga bersifat terbuka tiada mempunyai pagar. Sempadannya hingga ke bangunan-bangunan kelilingnya. Semua kawasan keliling adalah juga menjadi tempat solat berlantai marmar. Masjid Al-Haram tidak pernah sunyi dari pengunjung yang datang beribadat (tidak dibenarkan berniaga di dalam kawasan solat, walaupun di luar bangunan masjid).
Bagi Masjid Al-Umm seharusnya berpagar bagi memastikan persempadanan tanah masjid, di samping juga bagi tujuan keselamatan. Adalah dicadangkan bahawa pagar Masjid Al-Umm seharusnya bertaraf standard sesuai dengan bangunan dan kedudukan masjid. Ertinya tidak sebagai pagar biasa. Bagi Masjid Al-Umm mempunyai pintu keluar masuk, iaitu pintu utama dari Jalan Dua ke Sekolah Kebangsaan, masuk ke kiri ke bangunan masjid. Dua lagi ialah jalan masuk/keluar berdepan dengan jalan dari Jalan ¼ ke Sekolah Menengah dan Rendah BBB, bersebelah Medan Usahawan.


Jalan masuk utama adalah sempit dan kurang menarik dari segi kedudukan, kerana jalan ini menyusuri tepi perumahan semi D di sebelah kiri dan sebelah kanan – rendah ke bawah ialah padang awam. Pintu pagar sekarang ialah masuk sedikit ke dalam dari sebelah kanan pagar dan ke kiri 90 darjah ke hadapan masjid. Dalam kata lain keluar masuk adalah sempit ke hadapan adalah jurang ke kawasan padang awam (membahayakan). Kenderaan keluar boleh ke kanan atau turun ke kiri (dicadangkan satu hala keluar –Jalan bersebelahan bangunan sub-station TNB). Adalah ideal jika jalan masuk betul-betul menuju kepada pintu gerbang masjid – demikian keluar. Tetapi cara ini bagi Masjid Al-Umm tidak praktikal, kerana tanah tinggi yang digali bagi meratakan bagi kawasan di hadapan masjid, sebagai jalan keluar seperti ini sempit berdepan perumahan semi D yang baru dan mengganggu keluar masuk penghuni-penghuni rumah semi D berkenaan.
Dalam perbincangan dalam mesyuarat Penulis pernah mencadangkan agar jalan masuk bermula dari sudut pagar berdepan dengan korner masuk ke kiri perumahan semi D ke jalan Dewan Orang ramai. Dengan pembukaan sudut ini ianya seimbang dari segi curve dan corner jalan sebelah menyebelah. Dengan cara ini meluaskan jalan masuk, lebih selamat dan lebih luas jalan keluar ke sebelah kiri dan lebih artistik dan unik dari segi reka bentuk pagar yang dapat dibina.
Membicarakan aspek pintu pagar berkenaan, kita melihat pintu pagar masjid yang unik ialah pintu pagar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam. Jika diperhatikan pintu-pintu pagar masuk/keluar Masjid Sultan Salahuddin mempunyai falsafah tauhid dan kerohanian. Pintu pagar mempunyai tiang-tiang bulat bertelapak tangan bahagian atas bagai tangan menadah berdoa ke hadrat Ilahi dan memohon rahmat dari Nya. Tiang-tiang pintu pagar yang berbentuk bulat melambangkan kesempurnaan ini diletak secara berkeliling hingga tidak dapat dipastikan mana tiang pagar yang mula dan mana tiang pagar yang akhir yang mencerminkan sifat Allah yang Abadi yang tiada permulaan dan tiada pegakhiran (Al-Hadid: 3). Tiang-tiang pintu pagar bagi Masjid Sultan Salahuddin adalah unik dan tidak ada di tempat lain yang seumpamanya. Ianya diguna oleh pejalan kaki dan untuk kenderaan jalan bersebelahan.


Apa yang pernah dibentangkan bagi pintu pagar dan pagar bagi Masjid Al-Umm terlalu biasa, seharusnya mempunyai daya estetik yang beridentiti sendiri, tetapi tidak memerlukan peruntukan yang tinggi. Kita tidak mencadangkan dengan meniru tiang pintu pagar Masjid Sultan Salahuddin sepenuhnya, kerana itu adalah unik dan identiti Masjid Sultan Salahuddin. Kita boleh menggabungkan elemen tiang pada pintu Masjid Nabawi dengan tiang pintu masuk Masjid Sultan Salahuddin dengan mengambil elemen tauhid dan Kamal (sempurna), yakni gabungan tiga tiang bulat bersebelahan, yang mencerminkan sifat Allah yang tiada awal dan tiada akhir  dengan bahagian atas lima telapak (rukun Islam) yang menjunjung bentuk kubah Masjid Al-Umm dalam bentuk kecil – boleh saja dari bahan semin. Bulat kubah adalah menjunjung, menengadah dan menuju kepada pihak Tertinggi. Tiang dan pintu (secara tolak dan tarik) sedemikian juga digunakan kepada dua pintu berhadapan dengan medan parkir jalan ¼, tetapi memada dengan satu tiang bagi setiap belah, tetapi di atasnya lima telapak yang menjunjung kubah kecil persis kubah besar (utama) Masjid Al-Umm.
Bagi pagar sekeliling seterusnya janganlah dibina dalam bentuk bertembok sepenuhnya,kerana ia seolah-olah penjara, tetapi antara tiang-tiang (seeloknya bulat) dengan yang lain  adalah dalam bentuk lengkung tunduk yang melambangkan harmoni yang banyak menjadi elemen seni bina Masjid Al-Umm yang elemen seni menjadi bahagian dari segi Takmilah. Antara lengkung ini dipasang jeriji besi aluminium yang tidak berkarat. Pagar pada dasarnya lebih kepada menandakan persempadanan. Adapun cadangan untuk membina pondok pengawal pada pintu-pintu masuk-keluar, mungkin boleh dipersoal, kerana dari pemerhatian kita, baik di Masjid Nabawi, Masjid Al-Haram dan Masjid Salahuddin, bahkan Masjid Al-Hasanah, Bangi tiada pondok pengawal didirikan dan tiada pengawal yang mengawal pintu pagar. Jadi jika dibuat pondok-pondok jaga dipintu-pintu pagar bagi Masjid Al-Umm adalah satu kepelikan. Tidakkah memada pengawalan dan keselamatan masjid diamanahkan kepada siak-siak, bilal-bilal dan AJK Masjid yang seharusnya sentiasa ada antara mereka di masjid, khususnya bagi tenaga-tenaga pekerja tetap. Jika ada pondok pengawal dan ada jaga, masjid seolah-olah bangunan kilang yang dikawal oleh jaga yang menambahkan perbelanjaan masjid dan barangkali menyebabkan mereka yang hendak datang terencat hasrat, kerana faktor kawalan yang mana mereka seolah-olah dicurigai.
Masjid hendaklah sentiasa terbuka, bersifat mesra jamaah dan pengunjung.

Sekian.

No comments:

Post a Comment