Sebuah cerita bukan sekadar cerita yang tidak
mempunyai arah dan tujuan, yang dinamakan cerita ada mempunyai tema, persoalan
dan penting adalah mesej dan juga mungkin dapat dilihat dari segi kesan baik
dari segi estetik dan pengajaran.
Tema ialah perkara pokok yang menjadi dasar
bagi penceritaan. Apakah perkara pokok yang menjadi dasar bagi penceritaan di
dalam Surah al-Kahfi ? Mungkin dapat disenaraikan beberapa perkara pokok di
dalam cerita Ashab al-Kahfi:
1) Memelihara aqidah adalah perkara yang menjadi keutamaan.
2) Panjangnya usia Ashab al-Kahfi sehingga mampu bertahan selama 309 tahun
di dalam Gua al-Kahfi
3) Al-Kahfi membuktikan salah satu kekuasaan Allah.
Ketiga-tiga perkara di atas mempunyai
kewajaran sebagai tema bagi Surah al-Kahfi, bahkan ketiga-tiganya mempunyai
pertalian dan pengukuhan dari segi significantnya cerita. Sememangnya dalam
suatu cerita seharusnya ada perkara-perkara yang menjadi significant dari segi
penceritaan yang menjadi daya tarikan dan rasa ingin tahu khalayak terhadap
cerita. Misalnya cerita Nabi Yusuf yang menjadi tali sutera yang menghubungkan
episod-episod dalam penceritaan ialah anugerah Allah kemampuan `Mentakwilkan
Mimpi` sama ada kepada Nabi Ya`kub dan juga Nabi Yusuf. Significant bagi cerita
Nabi Nuh ialah `Bala Banjir Besar` yang ditimpakan kepada umat Nabi Nuh yang
degil dan tidak menurut seruan Nabi Nuh dan begitulah dengan cerita-cerita yang
lain.
Adakah keanihan cerita panjangnya usia Ashab
al-Kahfi sebagai tema utama ?. Namun di dalam hal ini Allah mengingatkan
melalui firmanNya dalam Surah Al-Kahfi berkenaan bermaksud:
``Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad)
bahawa kisah `Ashab al-Kahfi` dan `Al-Raqim` itu sahaja yang menakjubkan di
antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami ?`` (18.9).
Dalam kata lain untuk dikatakan bahawa kisah
`Ashab al-Kahfi` suatu significant yang menakjubkan, sebenarnya, ianya bukanlah
sesuatu yang besar dan benar-benar menakjubkan, lantaran di sana berbagai-bagai
ketakjuban kekuasaan Allah. Misalnya bagiamana langit dan bumi serta
kandungan-kandunganya dijadikan, bagaimana diri manusia yang berjisim, berakal
dan berjiwa dijadikan, bahkan usia kehidupan dan penerusan serta pemusnahannya
sebagai permulaan bagi akhirat juga adalah signicant dan menjadi pertanyaan.
Tema bagi kisah Ashab al-Kahfi yang utama
ialah kisah sekumpulan pemuda yang tidak senang dengan perlakuan syirik
pemerintah dan pengikutnya-pengikutnya menyembah berhala, mereka cuba
menentang, tetapi di luar kemampuan, sebab itu bagi menyelamatkan akidah yang
bererti kebenaran yang mereka pegang, mereka sepakat mengasingkan diri agar
terselamat dari pengaruh syirik generasi orang tua mereka.
Berhubung dengan tempat terjadinya cerita
Ashab al-Kahfi ini, ada beberapa pendapat. Ada yang mengatakan berlaku pada
zaman pemerintahan kerajaan Rum yang tempatnya ialah kawasan Asia Kecil (Asia
Minor) yang kini dalam kawasan Turki. Raja dan pembesar-pembesar dan pengikut-pengikut
beragama syirik – menyembah berhala. Sekelompok pemuda anak-anak pembesar
negeri yang berpendidikan tidak menyenangi dengan perlakuan syirik. Mereka
menyatakan ketidaksenangan mereka. Mereka tidak diambil tindakan oleh pihak
pemerintah, sebaliknya mengambil sikap berlembut dan menasihati agar tidak
menentang kepercayaan mereka. Pemuda-pemuda berkenaan yang disebut di dalam
al-Qur`an antara 3 hingga lapan orang itu (18.22) mengambil sikap mengasingkan
diri mereka, ke gua Al-Kahfi yang jauh dan tersembunyi agar mereka tidak
dicemari amalan syirik oleh pemerintah dan keluarga mereka. Ayat Al-Qur`an
menyebut bermaksud:
``Dan kami kuatkan hati mereka dengan
kesabaran dan keberanian tatkala mereka bangun (menegaskan tauhid).`` (18. 14).
Pemuda yang berlindung di Gua Al-Kahfi menurut
sumber yang dipetik Hamka ialah: Yamlikha, Marthumus, Kasatumus, Benrumus,
Damimus, Yathubunus dan Kalius bersama seekor anjing menemani mereka – (tambahan
seorang lagi ialah Maxalamina dengan nama anjing ialah Hamran) di samping pendapat-pendapat lain.
(Hamka,
Tafsir Al-Azhar Jil. 6, Pustaka Nasional Pte Ltd. Singapura, 2001:
4,178).
Mereka tidur di dalam Gua Al-Kahfi selama tiga
ratus dan sembilan tahun (18.25) dalam mana Al-Qur`an menggambarkan keadaan
mereka:
``Dan engkau sangka mereka sedar, pada hal
mereka tidur, dan kami balik-balikkan mereka (dalam tidurnya) ke sebelah kanan
dan ke sebelah kiri, sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat
pintu gua, jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan
diri dari mereka, dan tentulah engkau merasa dengan sepenuh-penuh gerun takut
kepada mereka``. (18.18)
Demikian hidupnya gambaran ayat Al-Qur`an
terhadap situasi mereka di dalam Gua Al-Kahfi itu. Juga gambaran sehingga
mereka terjaga selepas tidur begitu lama yang dijangka mereka hanya baharu
sehari atau setengah. Gambaran lebih hidup apabila antara mereka dihantar untuk
membeli makanan dari wang perak dalam simpanan mereka, penjual makanan terkejut
dengan penggunaan wang sejak tiga abad
yang lampau, sedang pada masa itu segalanya telah berubah. Kata ayat Al-Qur`an
menyebut maksud:
``Dan demikianlah pula kami bangkitkan mereka
(dari tidur), supaya mereka tertanya-tanya sesama sendiri, salah seorang
daripadanya bertanya, ``Berapa lama kamu tidur ?``(Sebahagian dari mereka
menjawab), ``Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari hari.
(Sebahagian lagi dari mereka berkata), ``Tuhan kamu lebih mengetahui tentang
lamanya kamu tidur. Sekarang utuslah salah seorang dari kamu,, membawa wang
perak kamu ini ke bandar. Kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana
jenis makanan yang baik lagi halal (yang dijual di situ). Kemudian hendaklah ia
membawa untuk kamu sedikit habuan
daripadanya, dan hendaklah ia berlemah lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa
di bandar), dan janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan siapa pun
menyedari akan hal kamu``. (18.19).
Namun keadaan mereka dari zaman yang berlainan
itu disedari. Pemuda-pemuda Al-Kahfi ini juga dimaklumkan, bahawa mereka kini
bukan saja berada zaman lebih tiga abad dari zaman mereka dahulu yang negara
berkenaan di dalam keadaan syirik, tapi kini negara mereka adalah negara yang mengesakan Allah
sebagaimana yang diharapkan oleh pemuda-pemuda berkenaan.
Di atas keanihan situasi yang terjadi, maka
bagi mengingati peristiwa itu ada dicadangkan dibuat bangunan peringatan,
bahkan ada cadangan mendirikan masjid (rumah ibadat) berdekatan dengan gua
berkenaan (18.21). Bagi peringatan juga diabadikan tulisan pada batu `Al-Raqim
bagi mengingati peristiwa kebesaran Allah di atas peristiwa yang berlaku.
Adalah dijangka peristiwa berlaku pada zaman kerajaan Rum dan pemuda-pemuda
Al-Kahfi adalah pendukung dakwah Nabi Isa al-Masih a.s. Berkat harapan dan doa
mereka negara mereka berikutnya turut sama mendukung agama Tauhid.
Sekian.
No comments:
Post a Comment