May 12, 2016

Menangani Isu-Isu Gugatan Akidah Kini


BBB, 04 Sya`ban 1437 = 11 Mei 2016 (Rabu):
Sebelum menangani isu-isu gugatan akidah kini perlu dingatkan bahawa Islam yang dibawa melalui perutusaan Nabi Muhammad s.a.w. kini melangkaui 14 setengah abad. Islam mempunyai falsafah akidah yang tersendiri yang dikenali sebagai akidah tauhid. Islam mempunyai hukum shara` yang  mentadbir umat baik di dalam ibadat, muamalah, munakahat, jinayah dan jihad. Dan Islam mempunyai nilai akhlak yang bersifat kerohanian dan juga kemasyarakatan. Selama tempoh tersebut Islam berkembang mewujudkan negara umat dan membina tamadun dan peradaban. Dan Islam terus bergerak yang mungkin ada jatuh dan bangunnya. Selama tempoh tersebut bukan tidak ada gugatan-gugatan akidah sama ada bersifat dalaman dan luaran. Yang bersifat dalaman ialah yang sebagaimana telah dibincangkan seperti gugatan dari Mu`tazilah, Qadariyyah, Jabariyyah,Murjiah dan pecahan-pecahan Shi`ah yang begitu banyak. Manakala gugatan dari luar ialah musuh-musuh yang bersifat negara yang mengambil sikap bermusuh dan faham-faham dan kepercayaan yang bukan Islam yang setengahnya turut meresap ke dalam falsafah dan pemikiran Islam.
 Dapatlah dikatakan bahawa isu-isu yang timbul dari dalam kini tidak lebih dapat disifatkan sebagai `Mu`tazilah Moden` dan beberapa aliran bersamanya. Dari segi pluralisme yang  menganggap agama sama tidak dapat diterima oleh Islam apa lagi mau menenggelamkan identiti Islam ke dalam berbagai-bagai agama. Paling minimum kita berdiri dengan konsep Islam bahawa:
``Bagi kamu agama kamu dan bagi kami agama Kami.`` ( Maksud Al-Kafirun:: 6)
Berhubung dengan kebebasan beragama Islam juga mempunyai prinsip berdasarkan ayat:
``Tidak ada paksaan di dalam beragama.`` (Maksud Al-Baqarah: 256).
Namun tidak menghalang dari segi hormat menghormati di antara penganut agama Islam dengan penganut yang lain.
Berhubung dengan konsep Millah Ibrahim, sebenarnya Islam mengiktiraf agama-agama yang dibawa oleh Rasul-rasul sebelumnya . Mereka sama dari segi akidah, tetapi tidak sama dari segi shariat. Segala kebenaran yang lalu terumus di dalam Islam kini yang diakui sempurna oleh Allah ( Al-Ma`idah: 3). Tidak timbul menyatukan agama di bawah Millah Ibrahim.
Berhubung dengan liberalisme dari segi agama seperti hak untuk murtad, dan anak bagi keluarga Islam tidak mesti menurut Islam adalah bercanggah  dengan prinsip Islam yang keluarga berkewajipan mempertahankan keislaman mereka yang disifatkan menyelamatkan mereka. Bahkan menjaga keselamatan diri, akidah dan keluarga adalah merupakan sebahagian dari `Maqasid al-Shari`ah)`. Jika kebenaran dilakukan dari segi murtad dan keluar masuk agama, maka sudah tentulah dari dulu berlaku kerosakan akidah, kehidupan dan sistem berkeluarga dan masyarakat Islam. Islam amat mementingkan kebersihan keturunan dan dikawal melalui sistem kekeluargaan Islam.
Berhubung dengan faham sekular, bahawa faham berkenaan adalah bercanggah dengan Islam yang melihat kewujudan adalah setakat di dunia ini. Segala tindak tanduk kehidupan setakat  kehidupan di dunia. Tiada bagi faham ini kepercayaan terahadap akhirat dan balasan dan lemah dari asas akhlak. Anjuran mereka untuk mentafsir semula Al-Qur`an adalah selari dengan kefahaman mereka terhadap kehidupan di dunia sahaja, sedangkan Al-Qur`an menekankan kepercayaan terhadap yang ghaib dan shahadah. Sebenarnya kalau mereka tidak percaya kepada semua, khususnya terhadap yang ghaib dan termasuk akhirah, tidak perlu ditafsir baru, kerana mereka dari awal lagi tidak mempunyai kepercayaan terhadap rukun Iman dan Islam. Anjuran adalah sebagai helah dan peluang bagi mereka merosakkan Islam  dari dalam.. Al-Qur`an adalah sumber Islam yang pertama  dan utama yang perlu dipertahankan, bahkan menyibarkan kebenarannya.
Islam  tidak harus bersifat dan bersikap defensif. Kita tidak harus menunggu mereka untuk mentafsirkan Al-Qur`an, tetapi kitalah yang patut meneroka, mengkaji dan membuktikan kebenaran Al-Qur`an. Misalnya tentang elemen-elemen keilmuan yang amat banyak di dalam al-Qur`an, membuktikan kebenaran sejarah yang banyak tersebut di dalam Al-Qur`an, berhubung cakrawala bagi bidang astronomi yang begitu banyak tersebut di dalam Al-Qur`an, berhubung dengan kajian bumi, kejadian fizikal manusia, khususnya yang berhubung dengan perubatan, tumbuhan, biologi  dan sebagainya.
Berhubung dengan isu pembebasan wanita, Allah menjadikan manusia berpasang-pasangan bagi tujuan hidup berekeluarga dan memupuk dan membina kasih sayang di dalam mematuhi perintah Tuhan. Aturan meletakkan lelaki sebagai pelindung wanita adalah satu yang logik dan pembahagian harta dan hak tidak lain bagi amanah dan kepentingan keluarga. Kebebasan apakah yang mau dicarikan oleh wanita yang terpengaruh dengan gerakan pembebasan wanita. Adakah pembebasan dari kehidupan keluarga, hidup bersendiri yang sebenarnya tidak kemana yang naluri manusia adalah rindu dan ingin bersama keluarga.  Perjuangan pembebasan wanita tidak lain dari ilusi dan dari dulu hingga kini  mereka tidak terpisah dari kehidupan keluarga. Sebab itu sebaik-baiknya  wanita dan lelaki sepatutnya memfokuskan diri mereka bekerja sama di dalam meningkatkan keluarga bagi  mematuhi Allah, memberi bakti kepada keluarga, masyarakat agama dan bangsa. Jika prinsip dan tujuan ini dipegang persoalan pembahagian pesaka adalah kecil di hadapan kepentinga-kepentingan yang lebih besar. Adalah wajar kuasa di dalam tangan lelaki termasuk berkenaan talak, hak memimpin dan menjadi imam. Jika dibenarkan wujudnya lebih dari satu nakhuda, bukan saja bagi keluarga, tetapi bagi pimpinan yang lain, nescaya rosak dan gagal dari segi kepimpinan.
Apakah sebenarnya motif yang ditimbulkan oleh sekularisme, liberalisme dan pluralisme dengan masalah-masalah yang ditimbulkan terhadap Islam ?
Ia adalah merupakan agenda tersusun yang ditujukan terhadap Islam. Ianya merupakan fasa  lanjutan selepas dan masih berlaku serangan fizikal dan penjajahan terhadap negara-negara dan umat Islam. Kekalahan fizikal dan penguasaan negara, tidak menjamin kejayaan, bahkan jika mereka jatuh, maka mereka bangkit dan kembali menentang dan bertahan. Penampilan faham-faham seperti sekular, liberal dan pluralisme dan ada yang lain lagi seperti globalisme adalah senjata yang ampuh yang jika minda dan fikiran mereka  dapat dikuasai, maka ianya akan resap kepada pandangan wujud, budaya dan kepercayaan yang merupakan penjajahan bentuk baru.
Di dalam hal ini sikap dan pendirian umat Islam tidak seharusnya bersifat menerima, tetapi hendaklah bersifat agresif, intelektual, berstrategi di dalam menangani isu-isu semasa , khususnya mengenai akidah umat. Setiap umat hendaklah diperkukuhkan dengan pertahanan akidah dan mampu berdiri dan menyanggah segala serangan, khususnya terhadap mental, budaya dan intelektual.

Sekian. 

No comments:

Post a Comment