October 24, 2016

ABU HURAIRAH PERAWI HADITH TERKENAL


BBB, 22 Muharram 1438H. =  23  Oktober 2016 (Ahad):
Buka saja mana-mana kitab Hadith, maka kita akan bersua dengan Hadith-Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah. Bagaimana dia dapat meriwayatkan begitu banyak Hadith ? Ini ada hubungan dengan latar sejarah dan kehidupan Abu Hurairah dan hubungannya dengan Rasulullah s.a.w.
Nama Abu Hurairah yang sebenarnya pada zaman Jahiliyyah ialah Abu Shams dan bila Islam diberi nama `Abdul Rahman bin Sakhr. Gelaran Abu Hurairah kepada beliau, kerana dikatakan Abu Hurairah sangat kasihan dan mesra kepada hidupan, khususnya binatang. Dikatakan beliau mempunyai kucing peliharaannya yang sangat di sayangi sebab itu dia dipanggil `Abu Hurairah` bererti `Bapa Kucing`.
Ada riwayat yang sedikit berbeza tentang Abu Hurairah, pertama Abu Hurairah dikatakan  adalah seorang yamg miskin, anak yatim  dan mengambil upah bekerja dengan keluarga  Busrah binti Ghazwan.  Bila Hijrah beliau turut sama berhijrah bersama dengan penghijrah-penghijrah peringkat awal yang belum mempunyai kediaman dan belum ada kemudahan dan bersama tinggal di anjung Masjid Madinah dan beliau adalah menjadi penghuni Masjid  Madinah tersebut. Beliau disifatkan sebagai ketua kalangan ahli suffah dan apabila ada berita mau disampaikan, atau  makanan yang mau dibahagikan kepada penghuni-penghuni, maka beliau antara yang bertanggungjawab menyampaikan berita  dan menguruskan pembahagian rezeki yang didapati . Tetapi menurut Dr. Khalid Muhammad Khalid dalam buku `Sejarah 133 Wira Terbilamg`` , bahawa Abu Hurairah datang kepada Nabi pada tahun ke 7H. semasa di Khaibar memeluk Islam.
Apa pun Abu Hurairah mempunyai peluang dan kesempatan yang banyak menemui dan mengikuti pengajaran yang dilakukan di Masjid Madinah. Dari seorang miskin di Madsinah beliau telah mewakafkan dirinya berkhidmat kepada Rasulullah, beliau sentiasa bersama Rasulullah s.a.w. kecuali wakti waktu Baginda rihat.  Lantaran itu beliau banyak mendengar, menghayati dan mudah mengingati apa yang diajar dan di sampaikan oleh Baginda Rasulullah s.a.w.. Abu Hurairah sebagaimana tradisi masyarakat `Arab yang mementingkan hafalan, turut menghafal dari sabda, apa yang dibuat, pembawaan dan segala yang berhubung dengan Baginda.
Adalah dikatakan bahawa selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Abu Hurairah adalah terus mengeluarkan Hadith-Hadith yang pernah diterima dari Rasulullah s.a.w.. Oleh kerana banyaknya Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, adalah dibimbangi berlaku pertambahan dari apa  yang dikatakan oleh Rasulullah atau  berlaku tokok tambah berkenaan Hadith. Jika demikian merosakkan Hadith dan juga hukum hakam dalam Islam itu sendiri, lantaran Hadith adalah sumber hukum dan peraturan di dalam Islam. Menurut fakta Abu Hurairah pernah diuji dari segi kesahihan riwayatnya. Dia dikatakan pernah dipanggil oleh Marwan bin Al-Hakam pemerintah pada zamannya. Dia ditanya tentang Hadith-Hadith yang diriwayatkan, dalam masa dia meriwayatkan Hadith dicatat oleh seorang yang diarahkan oleh pihak Marwan tanpa disedari oleh Abu Hurairah. Pada masa yang lain beliau diminta meriwayatkan Hadith antaranya Hadith yang pernah disebut sebelumnya. Dari perbandingan yang dibuat didapati apa yang pernah disebut sebelumnya adalah bersamaan. Dalam kata yang lain apa yang diriwayatkan dari segi Hadith adalah benar. Abu Hurairah adalah seorang yang cerdas, mudah menghafal dan kuat daya ingatan.  Pengambil-pengambil Hadith dari Abu Hurairah adalah serama i 800 orang.
 Konsep menghafal adalah mnenjadi tradisi orang-orang `Arab sejak zaman sebelum Islam lagi. Ungkapan-ungkapan puisi dan ucapan-ucapan  pemimpin mereka menjadi hafalan dan menjadi warisan yang diperturunkan. Kalau kita lihat puisi-puisi atau ungkapan-ungkapan yang menjadi hafalan ini biasanya dalam jumlah 20 baris, iaitu satu jumlah yang normal bagi hafalan. Tradisi hafalan ini adalah menjadi kaedah biasa dalam pengajian tradisi. Tiap-tiap mata pelajaran yang dipelajari misalnya nahu, fiqh, akidah dan sebagainya mempunyai matan-matan yang menjadi asas maklumat dihafal oleh pelajar-pelajar. Tradisi menghafal Al-Qur`an adalah  tradisi mulia dan siapa yang menghafal Al-Qur`an dipanggil dengan panggilan yang mulia, iaitu `Hafiz` atau `Huffaz` (ramai).
Hadith-Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dengan banyaknya itu melibatkan berbagai-bagai bidang. Sebagai contoh sebuah Hadith dipetik dari kitab Jawahir al-Bukhari wa Sharh al-Qistillani bermaksud:
Daripada Abi Hurairah r.a. berkata, Adalah Rasulullah s.a.w, keluar  kepada  orang ramai pada suatu hari, maka datang kepadanya seorang lelaki, maka dia bertanya, ``Apakah itu iman ? Maka menjawab (Rasulullah), Iman ialah engkau beriman dengan Allah dan malaikatNya dan pertemuan denganNya, dan dengan rasulNya dan engkau beriman dengan kebangkitan. Dia bertanya, `Apakah Islam ? Maka berkata (Rasulullah), Islam engkau menyembah Allah, dan engkau tidak mensyurik denganNya, dan engkau mendirikan solat, dan engkau menunaikan zakat yang difardhukan  dan engkau puasa pada bulan Ramadhan (tidak disebut haji, kemungkinan lupa – kata sharih).
Dan dia bertanya, ``Apakah itu Ihsan ?. Berkata (Rasulullah), engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNYa, Jikalau engkau tidak melihatNya – Subhanahu wa Ta`ala, maka sesungguhnya Dia melihat engkau. Dia bertanya, Bila berlaku sa`ah (kiamah) ? (Rasulullah)  berkata, ``Tidaklah yang kena soal lebih tahu dari yang menyoal.. Dan aku mengkhabarkandikau dari tanda-tandanya, Apabila melahirkan amah anak kepada tuannya, dan apabila berlumba-lumba meninggi-ninggikan binaan pengembala-pengembala unta. Lima perkara yang tidak mengetahuinya melainakan Allah. Kemudian Nabi s.a.w membaca `Sesungguhnya Allah jua yang mengetahui tentang Sa`ah. ( Al-Ayat). Kemudian dia berlalu, maka berkata Rasulullah s.a.w.a.w. Tanpa kesan dan tidak mereka lihat sesuatu, maka berkata s.a.w. Ini Jibril datang mengajar manusia tentang  agama mereka. Dan berkata Abu `Abdullah. Itu semuanya juga daripada iman..
Jika kita lihat di dalam Matan al-Arba`in al-Nawawiyyah Hadith yang sama (Hadith kedua) diriwayatkan oleh `Umar dengan sedikit perbezaan matan. (Ertinya kebenaran peristiwa yang dilihat oleh Abu Hurairah dan `Umar). Ini membuktikan kebenaran Hadith yang dilihat oleh Abu Hurairah menurut persepsi , penglihatan dan gambarannya. Ini adalah membuktikan apa yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah adalah benar. Demikianlah dengan Hadith-Hadith diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang lain.
Dari segi pentadbiran, pada zaman `Umar ibn al-Khattab, Abu Hurairah pernah dilantikkan oleh `Umar menjadi governor di Bahrain. Tetaoi selepas meninggalnya  Khalifah `Umar al-Khattab Abu Hurairah ditawarkan jawatan di tempat yang lain, tetapi beliau menolak. Beliau menumpukan kehidupann di dalam beribadat. Beliau meninggal pada tahun 59H. dalam usia  78 tahun sebagai sahabat  berjasa kepada Rasulullah, keilmuan dan Islam.

Sekian.

No comments:

Post a Comment