October 8, 2016

MEMAHAMI KANDUNGAN AL-QUR`AN - MEMUPUK KEMURNIAN JIWA


BBB, 06 Muharram  1438H. = 07 Oktober 2016 (Juma`at):
Al-Qur`an dari segi makna kalimahnya ialah `Bacaan`. Ini sesuai dengan ayat pertama yang diturunkan ialah `Iqra` (Al-`Alaq: 1), bermaksud `Bacalah` ya`ni arahan supaya `Membaca` apa yang terkandung di dalam Surah Al-`Alaq dan kandungan Al-Qur`an seluruhnya. Membaca Al-Qur`an, walaupun tanpa memahaminya, dengan syarat betul dari segi bacaan mendapat pahala, tetapi banyak ayat-ayat yang merupakan tuntutan dari bacaan. Contoh bermaksud:
``Apakah mereka  tidak mengambil tadabbur dari kandungan Al-Qur`an ? (  Al-Nisa`: 82).
``Demikianlah  Allah menyatakan kepada kamu ayat-ayatNya semoga kamu berfikir.``Al-Baqarah: 242).
``Berkata dia (Musa), Dialah yang memiliki dan menguasai timur dan barat, serta segala yang ada di antara keduanya. Kalau kamu orang-orang berakal tentulah memahaminya.`` (Al-Shu`ara`: 28).
Membaca Al-Qur`an menuntut agar difahami dan mengambil tadabbur dari kandungannya bagi dijadikan pengajaran, bahkan dituntut agar pembaca memikir dan memahami tentang kandungan Al-Qur`an.
Sesungguhnya dari kandungan Al-Qur`an dikeluarkan hukum-hukum dan kefadhuan yang dipatuhi
Dari Al-Qur`an dikaji dan dikeluarkan berbagai-bagai keilmuan, sama ada keilmuan yang disifatkan sebagai ilmu keagamaan seperti akidah, fiqh, tafsir, usul fiqh, wa`az dan sebagainya.
Dari Al-Qur`an dikeluarkan keilmuan-keilmuan yang dikenali dengan sains seperti ilmu astronomi, ilmu bumi, lautan, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan berbagai lagi.
Dari Al-Qur`an dapat dikeluarkan ilmu bahasa sepertri nahu, saraf, sastera, ma`ani, bayan, badi` dan sebagainya.
Dari Al-Qur`an dikeluarkan keilmuan  yang berhubung dengan kerohanian seperti akhlak, tasawuf, kejiwaan.
Al-Sarraj dalam membicarakan bahawa tasawuf bersumberkan kepada Al-Qur`an, tidak setakat mengambil contoh-contoh ayat-ayat Al-Qur`an yang berhubung dengan tasawuf, tetapi membicarakan kaedah memahami kandungan Al-Qur`an, kaedah membaca, memahami dan menggunakannya bagi menyampaikan pengajaran dan dakwah. Lebih khusus membaca Al-Qur`an, memahami dan  menghayatinya secara kerohanian.
Mereka yang mendalami Al-Qur`an, memahami dan menghayati dan mengamalkan, kata Al-Sarraj disifatkan oleh Allah di dalam Al-Qur`an dengan berbagai-bagai tahap pencapaian. Kata Al-Sarraj, mereka dikenali sebagai ahli-ahli haqiqat, kalangan murid, arifin, mutahaqqiqin, intuisi wujdan, kalangan mujahid, riyadiyat, mutaqarribin dengan ketaatan-ketaatan secara lahir dan tersembunyi, sebagaimana disifatkan oleh Allah Subhanahu wa Ta`ala bermaksud:
``Orang-orang yang mereka seru itu, masing-masing mencari jalan mendampingkan diri kepada Tuhannya (dengan berbuat ibadat), sekalipun orang yang lebih dekat kepada Tuhannya serta mereka pula mengharapkan rahmatNya dan gerun takut akan azabNya, sesungguhnya azab Tuhanmu itu adalah (perkara yang semestinya) ditakuti.`` (Al-Isra`: 57).
Dan maksud firman Allah:
``Wahai orang-orang yang beriman ! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah jalan yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan menjunjung perintahNya dan meninggalkan laranganNya) dan berjuanglah pada jalan Allah (kerana menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.`` (Al-Ma`idah: 35).
Sesungguhnya jalan menuju  Allah adalah banyak. Segala yang bernama kebenaran adalah merupakan  jalan menuju Allah.
Antara jalan menuju Allah adalah melalui jalan-jalan ilmu yang mereupakan hasil dari penggalian terhadap kandungan Al-Qur`an yang menuntut supaya ditadabbur, berfikir, merenung, melihat, mengingat, menghayati, memesrai dan mencintai.
Jalan kebenaran melalui ilmu, antaranya melalui keilmuan yang dikenali sebagai ilmu keagamaan seperti akidah, fiqh, tasawuf, tafsir, Hadith, wa`adz dan lain-lain.
Melalui keilmuan yang dikenali dengan ilmu sains seperti ilmu astronomi, matematik, pertanian, perubatan dan sebagainya.
Melalui ilmu kemanusiaan seperti geografi, psikologi, sejarah, politik,  ekonomi, bahasa dan sebagainya.
Melalui keilmuan seni seperti seni rohani (aspek dalam tasawuf), kaligrafi, senibina dan sebagainya. Sesungguhnya segala keilmuan  yang didekati  menurut perspektif keislaman menuju kepada ufuk yang satu – membuktikan kebesaran Allah berhujung tunduk kagum dengan rahsia keilmuanNya dan mesra jiwa dengan  kelatifanNya.
Jalan-jalan kebenaran yang dilalui membentuk perwatakan manusia dengan orientasi   keilmuannya. Sebagai contoh seorang yang diorientasi dengan keilmuan fiqh, jika dia berpolitik, maka yang dilihat dan selalu bercakap hanya berkenaan hukum dan tidak berapa melihat, bahkan terlindung dari bidang-bidang yang lain. Seorang ekonomi selalu bercakap tentang untung rugi, dan kurang membicarakan tentang kebajikan,  kecuali dari aspek-aspek tertentu menurut perspektif Islam. Begitu juga seorang ahli seni, diorientasi dengan kehidupan seni dan seronok dan bahagia dengan alam seninya. Semua bidang keilmuan di atas mungkin terpisah antara satu sama lain, kecuali ianya didekati dengan pendekatan Islam yang memuncak  pada kesedaran Ilahi dan menyedari peranan manusia sebagai khalifah bagi memakmurkan bumi dan menjaga kebajikan penghuninya. Sebab itu integrasi keilmuanm Islam diikat oleh nilai-nilai Islam amat penting  yang sedar dengan nilai Islam.
Ketasawufan juga sebagai keilmuan dan wasilah  membersihkan jiwa dalam perjalanan menuju Ilahi, seharusnya tidak bersifat individualis yang mementingkan kebersihan diri sendiri sahaja. Tasawuf juga haruslah bersifat kemasyarakatan, dia seharusnya menjadi ufuk segala keilmuan yang menemukan jiwa-jiwa kemanusiaan dan ketasawufan  agar terbentuk masyarakat yang murni jiwa, kurang permasalahan dan sama menikmati kebahagiaan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment