BBB, 26 Rabi`ul Awwal 1438H. = 26 Disember 2016 Isnin):
Contoh terbaik bagi melihat hubungan yang
rapat antara tasawuf dengan ibadat yang terletak di bawah bidang fiqh, ialah
`Solat`. Ibadat solat disifatkan sebagai `tiang agama`, rukun Islam yang utama
dan difardhukan dengan penuh kemuliaan melalui Mi`raj Rasulullah s.a.w.
Dan solat sebagai firman Allah bermaksud:
``Adalah solat difardhukan ke atas orang mu`minin menurut
ketentuan waktu-waktu.`` (Al-Nisa`: 103).
Solat dari segi lughah ialah
`al-Do`a`` dan dari segi istilah shara`
ialah perkataan-perkataan, perbuatan-perbuatan yang khusus yang pembukaannya
dengan takbir dan diakhiri dengan salam.
Pada solat terhimpun kepatuhan praktikal
fizikal melalui gerak badan dari qiyam, rukuk, i`tidal, sujud, duduk antara dua sujud, sujud dan duduk sebelum
salam. Melalui solat terungkap kata-kata pembesaran – takbir, bacaan iftitah,
bacaan fatihah yang terkandsung di dalamnya pujian kepada Tuhan pemilik alam bersifat Rahman dan Rahim,
pemilik hari akhirat. Pengakuan
penyembahan terhadapNya . Permohonan agar ditunjuk ke jalan lurus, jalan mereka yang menerima ni`mat dan bukan
jalan dimurkai dan sesat, serta bacaan
tasbih, tahmid, do`a, tashahhud dan tahiyyat.
Pada solat tertumpu kalbu-rohani terhadap
Yang Tertinggi dengan niat keikhlasan,
konsentrasi dalaman tertinggi dengan penuh khusyu`, tawadhu`, khauf, taqwa dan
mahabbah.
Kombinasi semua elemen di dalam solat ia
adalah merupakan mi`raj rohani tertinggi. Berdepan terhadap Rabbul Jalil secara fizikal dan
rohani, berdialog secara rohani melalui bacaan Umm al-Kitab, penyerahan secara total jiwa raga terhadap Yang Tertinggi. Pujian dan
pemohonan, penyaksian dan solawat terhadap Junjungan.
Di
dalam solat ibadat yang paling khudhu`,
khusyu`, tawadhu`, tulus dan ta`abbud seharusnya terumus di dalam solat selaku mi`raj rohani
segala rumusan ketasawufan yang seharusnya berada di dalam jiwa dengan
elemen-elemen zuhud, taubah, sabar, faqr, khauf, taqwa, syukur, tawakkal,,
redha, yaqin dzikr, uns, al-qurb, dan al-Mahabbah. Sesungguhnya tiada tempat
yang lebih kudus, mulia dan murni selain dari solat dan seharusnya terumus padanya
segala elemen kerohanian , juga amalan dan ungkapan di dalam munajat dan solat
terhadap Allah Ta`ala.
Solat sesungguhnya amat tinggi kesan, juga dari segi ketasawufan.
Allah s.n.w. berfirman bermaksud:
``Sesungguhnya solat mencegah dari perkara
yang keji dan munkar.`` (al-`Ankabut: 45).
Manakala Hadith diriwayatkan oleh Abu
Hurairah r.a. berkata, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:
``Apa pendapat kamu apabila berhampir pintu
rumah seorang daripada kamu ada sungai yang dia mandi padanya setiap hari lima kali. Apa pendapat kamu
adakah yang demikian masih kekal kotoran ? Maka kata mereka itu, Tidak kekal daripada kotoran sedikitpun.
Berrsabda Baginda, demikianlah bandingan solat lima waktu menghilangkan Allah
dengannya segala kotoran.``
Solat adalah mendidik jiwa kepada
penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah, sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Katakanlah, bahawa solatku dan ibadatku
(nusuki) dan hidupku dan matiku adalah bagi Allah Tuhan Pemilik alam. ``
(al-An`am: 162)
Dan bersolat hendaklah meningkatkan jiwa kepada taraf kekhusyukan,
seperti firman Allah bermaksud:
``Dan mintalah pertolongan (kepada Allah)
dengan kesabaran dan mengerjakan solat dan sesungguhnya solat itu amatlah berat
kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.`` (Al-Baqarah: 45).
Sesungguhnya yang bersolat dengan khusyuk
dia mencapai kejayaan dan tujuan solat. Firman Allah bermaksud:
``Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang
beriman yang mereka itu di dalam solat mereka bersifat khusyu`.`` (Al-Mu`minun:
1-2).
Sesungguhnya solat adalah mi`raj rohani tertinggi,
terhimpun padanya niat dan keikhlasan, perbuatan, perkataan dari tahmid,
tasbih, zikir, tilawah Al-Qur`an, do`a yang dilakukan dengan penuh khusyu` dan
ta`abbudiyyah. Solat adalah perantaraan yang paling dekat dengan diri bagi
mendekati Allah, ia tidak saja dengan melakukan yang fardhu, tetapi dapat
dilakukan yang sunat. Ia dapat dilakukan pada siang atau malam. Ianya adalah
tambatan hati dan jiwa berterusan dengan Allah.
Dengan bersolat, kita adalah bersama-sama
makhluk yang lain sama bertasbih memuji Allah, sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Maka bertasbih kepada Allah sama ada pada
waktu malam atau waktu subuh. Dan kepadanya memuji apa yang di langit dan di
bumi, sama ada waktu petang atau pada waktu zohor.`` (Al-Rum: 17-18).
Solat mengeratkan hubungan kekeluargaan,
dengan mendidik mereka bersolat, maka kesan daripada kepatuhan kepada Tuhan
menjadikan mereka keluarga yang baik dan
patuh kepada keluarga dan insya Allah keluarga hidup dalam aman damai.
Solat tidak hanya dilakukan secara perseorangan dan
keluarga, tetapi digalakkan dengan berjama`ah yang dengan berjama`ah banyak
hikmahnya. Antaranya mengeratkan hubungan dengan masyarakat dan dapat mengikuti
aktiviti kebajikan mengiringi berjama`ah seperti mengikuti pengajian dan
berbagai kegiatan yang sesuai dilakukan.
Solat mi`raj rohani kepada Ilahi, kepatuhan
yang bersifat ta`abbudiyyah tidak saja menghubungkan jiwa dengan Hakikat Tertinggi,
tetapi juga mengeratkan hubungan dengan
keluarga dan masyarakat yang menjadi antara faktor mengharmonikan antara mereka
dan dengan alam juga.
Sekian.
No comments:
Post a Comment