BBB, 25 Sha`ban 1438H. = 22 Mei 2017M.
(Selasa):
Al-Raja` bererti `Harap`, ia adalah
merupakan satu tahap kualiti perjalanan rohani.
`Al-Raja`termasuk di bawah `Hal`. Al-Qushairy bertolak membicarakan
tentang hal dengan mengambil firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Siapa yang berharap menemui Allah, maka
yang ditentu Allah nescaya akan datang.`` (Al-`Ankabut: 5).
Manakala Hadith Nabi yang berhubung dengan al-raja`:
Mengkhabarkan kami `Ali bin Ahmad, katanya
mengkhabarkan kami Ahmad bin `Ubaid berkata, bercakap kepada kami Bashar bin
Musa berkata, bercakap kepada kami Khalaf bin al-Walid berkata bercakap kepada
kami Marwan bin Mu`awiyah al-Qazari berkata, bercakap kepada kami Abu Sufyan
T*arif daripada `Abdillah al-Harth daripada Anas bin Malik berkata, bersabda
Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Berfirman Allah Ta`ala pada hari kiamat,
keluarkan mereka daripada api neraka, siapa yang ada di dalam hatinya seberat
biji syair daripada iman. Kemudian Ia berfirman, keluarkan mereka dari api
neraka siapa yang ada di dalam hati seberat biji sawi (khardal) daripada iman.
Kemudian dia berkata , Demi KemuliaanKu
(Izzati) dan JalalKu, Tidak aku jadikan siapa yang beriman denganKu
sesaat daripada malam atau siangnya seperti orang yang tidak beriman denganKu.`
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim dan Abu
Da`wud, daripada `Abdullah bin Mas`ud).
Kemudian Al-Qushairy menerangkan tentang
konsep al-raja`, bahawa al-raja` ialah
ta`allq atau sesuatu yang berhubung dengan hati yang mengharapakan – secara
baik, berpihak kepada kemahuannya apa yang akan terjadi pada masa hadapan,
sebagaimana takut juga berlaku pada masa depan dari masa yang bakal berlaku.
Begitu juga al-raja` berlaku daripada yang diharapkan pada masa hadapan. Dengan al-raja ada hidup hati dan
kebebasannya. Perbezaan antara al-raja` dan angan-angan, bahawa, angan-angan
boleh membawa kepada yang berangan-angan bersifat malas dan tidak ada
kesungguhan dan perjuangan, iaitu sebalik dari sifat al-raja`. Sebab itu
al-raja` adalah terpuji dan angan-angan
dikeji.
Memperkatakan tentang al-raja`, berkata
Shah al-Karmani, ``Alamat al-raja`, ialah baik dari segi ketaatan.
Dan berkata Ibn Khabiq, ``al-raja` ada tiga
jenis.
Lelaki yang elok, maka dia mengharapkan
diterima raja`nya.
Lelaki yang mengamalkan kejahatan, kemudian
dia taubat dan mengharapkan keampunan dari Allah, dan terakhir (ketiga), lelaki
yang berdusta yang bergelumang dengan dosa dan berkata, ``Aku mengharapkan
keampunan.
Dan siapa yang menyedari dirinya banyak
melakukan kejahatan, sayugia dia lebih takut dan lebih tinggi daripada
raja`nya. Dikatakan raja` itu pada
kemurahan daripada Allah yang al-Karim dan al-Wadud. Dikatakan al-raja` ialah
melihat Allah dengan mata al-Jamal. Dan raja` juga dikatakan dekat hati
daripada kelembutan al-Rabb dan dikatakan gembira hati dengan keelokan kembali
. Dan al-raja` juga melihat kepada keluasan rahmat Allah.
Aku mendengar al-Shaykh Aba `Abdil Rahman al-Sulami berkata, aku
mendengar Mansur bin `Abdullah berkata, aku mendengar Aba `Ali al-Rudzbari
berkata,
``Khauf dan raja` kedua-duanya seperti dua sayap burung, apabila seimbang,
maka seimbang dan sempurnalah terbang, apabila kekurangan sebelah, maka tidak
seimbang yang boleh membawa kepada jatuh dan kemalangan, bahkan boleh membawa
maut.
Dan dia berkata, aku mendengar Al-Nas*r
Abadzi berkata,, aku mendengar Ibn H*atim berkata, aku mendengar `Alin bin Shahradzan berkata, berkata Ahmad bin `As*im
al-Ant*aqi disoal, apa alamat al-raja`
pada seseorang hamba, maka katanya,
``Apabila meliputi seseorang hamba dengan
ihsan, terilham kepadanya rasa syukur, mengharapkan sempurna ne`mat daripada
Allah Ta`ala di dunia dan sempurna kemaafanNya di akhirat.
Dan berkata Abu `Abdillah bin Khafif , raja`
ialah rasa gembira dengan kelebihanNya.``
Dan dikatakan, ``Lapang hati kerana melihat
kemuliaan kekasih yang dikasihi.``
Demikianlah bahawa kehidupan manusia di
dalam waktu, sama ada yang telah berlalu yang jika apa yang dilakukan baik dia
bersyukur dan jika tidak baik dia kesal dan bertaubat, dan masa yang akan
datang dihadapi manusia di dalam tidak ketentuan, lantaran ada di dalamnya
harap atau raja`. Seharusnya di dalam menghadapi masa depan perlu ada sifat positif
dan raja` , bersifat tafa`ul – bersangka
baik. Dengan bersangka baik, terdorong kepada berbuat baik dan insya Allah
natijah dari sangka baik Allah meluluskan harapan baik dengan hasil yang baik
dan bersyukur. Sebaliknya, tidaklah selari dengan raja` jika, ada padanya
sangka jahat, dengan sangka jahat terhadap Yang Berkuasa, bererti dari awal
sudah diletakkan buruk sangka dan keciwa yang bukan sebenarnya raja` tetapi,
tiada harapan dan keciwa yang membawa natijah kekeciwaan yang membawa kepada
kegagalan. Al-Raja` sebenarnya ada elemen psikologi yang berpandangan positif
dan negatif. Seharusnya seorang Islam selalu memandang positif dan meletakkan
`raja` terhadap sesuatu bersifat baik dan insya Allah berbagai kebaikan
dilakukan bagi mencapai natijah raja` yang baik dan orang itu dari awal
bersikap dan berharap yang baik yang biasa mencapai natijah yang membawa kepada
kesyukuran. Tetapi andai natijahnya negatif dan keciwa maka yang menghadapi
ujian, dia dituntut agar bersabar dan pada peringkat yang lebih tinggi
membawanya kepada redha. Ianya merupakan didikan rohani yang menjadikan
seseorang lebih matang.
Sekian.
No comments:
Post a Comment