November 2, 2017

KEPENTINGAN ISTILAH :PENERANGAN MEMANDU KEFAHAMAN


BBB,  12 Safar 1439H. – 01` November 2017M. (Rabu):
Manusia  adalah kejadian sosial yang hidup dalam kelompok. Kehidupan memerlukan komunikasi di antara mereka. Alat komunikasi yang penting di kalangan mereka ialah penggunaan bahasa yang sudah ada di dalam masayarakat. Pendukung-pendukung sebelum ini telah berusaha mengenalpasti benda-benda dan memberinya nama. Begitu juga dengan perbuatan diperhati dan diberi istilah kepada berbagai perbuatan. Istilah-istilah ini diguna bersama oleh masyarakat dan mereka memahami dan menggunakannya di kalangan mereka.
Di dalam bahasa itu ada bahasa biasa (basahan), iaitu yang diguna sehari-hari di dalam kehidupan keluarga dan masyarakat. Sebagaimana manusia berkembang maju dari hidup secara asas, misalnya bergantung pada pertanian, memburu dan menangkap ikan kepada hidup yang lebih maju. Misalnya hidup di bandar mempunyai rumah dan berada di dalam suasana yang lebih kompleks. Kejayaan lebih kepada kemampuan keilmuan. Adanya pusat-pusat pengajian dan timbulnya berbagai-bagai keperluan. Darinya melahirkan berbagai keilmuan. Maka dengan keadaan yang demikian turut berlaku perubahan dari segi bahasa bagi menampung keperluan berbicara berkenaan ilmu dan berkomunikasi secara lebih canggih.
Pada peringkat masyarakat sudah berilmu dan meningkat dari segi komunikasi maka bahasa juga berkembang dari bahasa biasa (basahan) kepada bahasa ilmu. Bahasa ilmu ini seperti bahasa akidah, perundangan, sains dan teknologi dan sebagainya. Pada satu pihak ada bahasa yang berhubung dengan seni, bahkan ada yang bercampur antara seni dan rohani.
Bahasa ilmu lahir dari keperluan mendefinasikan tentang sesuatu bidang ilmu, mengolah dan menghuraikannya secara teratur. Bagi ilmu ini lahir istilah-istilah khusus bagi sesuatu bidang yang berhubung dengan keilmuan berkenaan. Ada ilmu yang memerlukan kepada istilah-istilah yang tetap, tepat, tidak bercabang dari segi makna dan tidak berlebih kurang.
Contoh keilmuan yang memerlukan istilah-istilah tepat ialah  seperti:
Keilmuan akidah. Ianya memerlukan istilah yang tepat dan tidak berbagai maksud agar tidak berlaku berbagai tanggapan misalnya istilah Allah, tauhid, rasul, nabi, qadim dan sebagainya hingga penerangan berkenaan  perlu secara tepat dan tidak nebimbulkan kekeliruan.
Ketepatan dan tidak kepelbagaian makna juga diperlukan misalnya dalam bidang fiqh dan perundangan, juga bagi mengelak dari kekeliruan. Apa yang dibawa oleh istilah dapat ditanggap dengan tepat. Misalnya istilah, taharah, solat, zakat, puasa, haji, tawaf dan berbagai-bagai istilah lagi yang berhubung dengan fiqh dan perundangan. Ketepatan juga diperlukan di dalam keilmuan-keilmuan seperti matematik, algibra,  geometri, istilah-istilah sain dan teknikal. Bahasa-bahasa yang digunakan bagi keilmuan yang memerlukan ketepatan adalah bahasa yang jelas, tidak berbunga-bunga dan bercabang dari segi makna supaya tidak menimbulkan kekeliruan.
Satu bidang lagi ialah berhubung dengan  hati nurani, jiwa dan kerohanian.  Bahasa yang demikian diungkap, selain dari cara yang rasional, diungkap bersama elemen perasaan dan hati rohani yang istilahnya tidak direct, tidak tepat, bahkan boleh membawa maksud yang halus, seni dan mendalam. Penggunaan bahasa dan istilah yang demikian dapat dilihat di dalam bahasa puisi  seperti pantun, syair,  qasidah, teromba dan sebagainya. Begitu juga dengan bahasa di dalam cerita, hikayat, novel, lagu dan sebagainya. Bahasa yang disulam dengan perasaan serta elemen hati nurani dan rohani ini dianggap indah, menarik dan mempesonakan

Selain dari pembahagian kepada yang tepat (fiqh, sains dan matematik) dan bahasa seni (puisi, cerita) adalah bahasa yang bercampur antara kedua  elemen di atas, iaitu ada yang dibawa secara bahasa ilmu secara biasa dicampur juga dengan elemen seni hati nurani dan rohani. Ini termasuklah kitab-kitab tasawuf yang bahasanya sebahagian bersifat prosa ilmu biasa, tetapi pada bahagian tertentu diungkap dengan bahasa yang intuitif, rohani dan seni. Misalnya dalam menerangkan apa itu tasawuf. Ada yang menerangkan dengan bahasa biasa dan ada yang menerangkan dengan bahasa yang bercampur dengan seni rohani..
Walau apa pun semuan bidang dan ungkapan berkenaan dengannya menggunakan kata-kata dan istilah yang setengahnya biasa dan setengahnya tinggi, canggih dan mendalam yang memerlukan kepada pembelajaran dan kefahaman agar tidak berlaku kesilapfahaman.,
Tasawuf sebagai bidang yang di dalamnya terkandung istilah-istilah keilmuan biasa dan sebahagian pula bersifat intuisi,  hati rohani dan wujdan, memerlukan kefahaman dari segi peristilahan kalau tidak difahami, mungkin berlaku kesalahan dari segi kefahaman dan tidak sampai kepada apa yang dimaksudkan.
Bagi mengatasai kekeliruan ini, Al-Hujwiri mengambil inisiatif yang baik , menyediakan satu bab khusus pada akhir kitab  Kashf al-Mahjub, iaitu mengenai istilah dan gagasan-gagasan yang dibawa oleh seorang sufi mengenai istilah-istilah tertentu. Sebagaimana disebut bagi istilah keilmuan biasa tentulah maksud dapat ditanggap dengan biasa sebagaimana huraian yang diberi di dalam kamus istilah, tetapi berhubung dengan istilah yang ada elemen  seni rihani, mumgkin ada kepelbagaian maksud oleh sufi tertentu yang tidak disampaikan oleh makna bagi istilah tertentu itu. Dan ada pula bagi satu istilah ditanggap secara berlainan antara seorang sufi dengan sufi yang lain. Ertinya kemungkinan maksud secara tetap tidak dapat ditanggap.
Walau bagaimana kita tidak bersetuju dengan kata-kata Al-Hujwiri, bahawa setengah-setengah istilah itu sengaja digunakan oleh sufi untuk menyembunyikan rahsia dari orang yang luar dari sufi. Ungkapan ini seolah-olah ada usaha kalangan  sufi untuk menyembuyikan maklumat dari diketahui, khususnya bagi yang luar dari bidang tasawuf. Jika ini tujuan untuk menyembunyikan maklumat dan kefahaman adalah tidak wajar dan tidak baik. Sesuatu bidang ilmu termasuk rohani seharusnya bersifat terbuka dan siapa jua berhak mengetahuinya, kecuali bagi yang tidak mampu. Kita berpendapat tidak ada maksud untuk menyembunyikan maklumat sebagaimana dikatakan oleh Al-Hujwiri, tetapi sebenarnya sebagaimana kita bincangkan, bahawa istilah dan ungkapan sufi bercampur dengan elemen seni rohani dan diungkapkan secara intuitif, sebab itu sukar difaham, bahkan kepelbagaian makna dapat ditanggapi. Akibat sedemikian menimbulkan tuduhan dan fitnah akibat dari ungkapan yang bercabang makna dan keliru dari segi kefahaman.
Namun apa yang diusahakan oleh Al-Hujwiri memberi penerangan terhadap istilah dan glosari tertentu adalah amat baik dan menolong pembaca memahami istilah dan maksud dengan lebih tepat.

Sekian.

No comments:

Post a Comment