BBB, 13
Rabi`ul-Akhir 1439H. = 01 Januari 2018
(Isnin):
Dengan beberapa kesesuaian, maka bermula hari
ini Penulis memulai menulis mengenai ``Masjid Al-Umm: Perspektif
Takmilah``. Tajuk ini sudah lama berada
di dalam minda dan menunggu masa untuk memulakan penulisan berkenaan dengannya.
Kini adalah masa yang sesuai bagi tujuan sedemikian lantaran.
Hari ini bermula tahun 2018 dan mengambil
sempena dengan tahun baru ini Penulis mengambil keputusan bagi menulis mengenai
Masjid Al-Umm, Perspektif Takmilah.
Masjid Al-Umm baru digunakan, iaitu pada hari
Sabtu 27 Rabi`ul-Awwal 1439H. bersamaan 16 Disember 2017, iaitu hari Sambutan
Maulid al-Rasul yang diadakan oleh Masjid al-Umm. Ini adalah permulaan
penggunaan Masjid al-Umm, berikut dari sambutan Maulid al-Rasul di atas, maka
dimulakan dengan solat zohor dan diikuti dengan solat-solat seterusnya selepas
itu hingga kini.
Penggunaan `Takmilah`, adalah sempena selepas 25 tahun Takmilah dikemukakan
kepada khalayak, iaitu selepas ianya dikemukakan pertama kali pada seminar
`Sastera Metodologi dan Penetapan Teori` anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka
bertempat di Port Dickson pada 29 hingga
31 Oktober 1992. Penulis buat pertama kali menulis kertaskerja berhubung dengan
teori sastera Islam (Takmilah) dengan judul,
``Sastera Islam, Teori Pengindahan dan
Penbyempurnaan Dalam Rangka Tauhid``.
Sejak itu teori ini diolah dan dikembangkan
secara aplikasi terhadap Sastera Islam`
(Mana Sikana, Teori Sastera Dan Budaya Dalam
Kajian Akademik, Jabatan Persuratan Melayu, FSKK, UKM, 1997: hlm. 125-145).
Selepas 20 tahun teori Takmilah diaplikasi
kepada sastera (1992-2014), Penulis memperluaskan Teori Takmilah kepada
bidang-bidang seni yang lain, khususnya seni bina masjid. Penulis telah menulis
kertaskerja mengenai perluasan teori ini dalam seminar yang dianjurkan oleh
Persatuan Penulis Budiman Malaysia di Universiti Pendidikan Sultan Idris,
Tanjung Malim pada 27 Mac 2014 dengan dua kertaskerja berjudul:
Gagasan Pesurat: Pelengkap Takmilah, Bangi
Makmal Menyerlah
Dan
Perluasaan Teori Takmilah
(Teori Takmilah, Perluasan dan Penafsiran,
selenggaraan Abdul Halim Ali, Persatuan Penulis Budiman Malaysia, UPSI, Tanjung
Malim, 2914, hlm. 11-36).
Perluasan di atas lebih dimaksudkan kepada
seni bina, khususnya masjid. Maksud seni bina masjid adalah Masjid Al-Umm.
Penulis merasakan Penulis mempunyai pengalaman
dan maklumat berhubung dengan pembinaan Masjid al-Umm, lantaran Masjid al-Umm
adalah janji Penulis semasa menjadi ADUN Bangi (2008-2013) sebagai salah satu
usaha Penulis bagi berbakti kepada penduduk Bangi dan terima kasih kepada mereka
kerana memberi kepercayaan kepada Penulis sebagai ADUN mereka dalam tempoh
tersebut. Penulis bukan saja setakat mencadang, tetapi memanggil mesyuarat
menubuhkan jawatankuasa pembinaan Masjid al-Umm sejak 4 Februari 2010 dan
Penulis menjadi pengerusi hingga kini.
(Shafie Abu Bakar, Bangi Bandar Ilmu,
Sekretariat Bangi Bandar Ilmu, Bandar Baru Bangi, 2012: hlm. 236-241).
Pengalaman sebagai pencetus teori Takmilah dan
Pengerusi Pembinaan dan Pengimarahan Masjid al-Umm ini Penulis akan perturunkan
ke dalam tulisan ``Masjid Al-Umm: Perspektif Takmilah.
Maka menjelang setengah dekad selepas gagasan
penggunaan teori Takmiulah kepada yang lain dari sastera, maka dengan ini Penulis
mengaplikasikannya kepada Masjid Al-Umm dengan judul:
``Masjid Al-Umm: Perspektif Takmilah``.
Dengan Perluasan Takmilah kepada bidang yang
lain dari sastera, maka di sini Takmilah tidak saja dilihat dari segi teori,
tetapi juga dari segi prinsip, falsafah dan estetika.
Sekian.
No comments:
Post a Comment