BBB, 12 Rajab 1439H. = 28 April 2018M.
(Sabtu):
Sebagaimana telah diputuskan oleh Jawatankuasa
Pembinaan dan Pegimarahan Masjid Al-Umm dalam mesyuaat pada 7 Rajab 1438H.
bersamaan 4 April 2017M, bahawa antara keputusan dibuat ialah
perlu menulis surat kepada pihak PAID untuk menggunakan ruang utama
Masjid Al-Umm secara terhad bagi
digunakan sebagai masa percubaan sebelum tiba waktu perasmian sebenarnya
oleh DYMM Tuanku Sultan Selangor. Tarikh yang dipohon untuk memulakan
penggunaan ialah pada Khamis 27 April 2017 bersamaan 30 Rajab 1438H.
Tetapi nampaknya sebelum surat rasmi tiba sudah ada individu yang
terlebih dahulu memaklumkan kepada pihak atasan rancangan mau menggunakan
masjid, setelah mendapat keizinan. Hanya dua hari selepas keputusan mesyuarat
dibuat pihak Pengarah JAIS, iaitu Dato` Haris bersama dengan Pegawai Tadbir
PAID Hulu Langat, iaitu Tuan Haji Hanifuddin dan Tuan Azam Pegawai Pembangunan
Masjid JAIS datang melawat dan meninjau Masjid Al-Umm. Tiada maklumat terlebih
dahulu diberitahu kepada kami.
Mereka datang sebelah petang, selepas solat
`asar. Pada petang ini Penulis selaku
Pengerusi Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm terima telefon dari Ir. Haji
Ishak bin Arshad Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Masjid Al-Umm semasa Penulis
bersama isteri mengunjungi rumah anak kami di Sungai Merab (Pinggiran Putera).
Menerima maklumat itu, kami segera pulang ke rumah dan Penulis segera ke Masjid
Al-Umm.
Di pekarangan Masjid Al-Umm berhampiran pintu
masuk Penulis yang tergesa-gesa datang dengan pakaian `Berkebun` bersalam
dengan Dato` Haris, Tuan Hanifuddin dan lain-lain (Ir, En. Azam, Ir. Tuan Haji
Arshad, Tuan Haji Mohd. Nor Yasin, Haji Abdul Rahman dan Adham) memohon ma`af
datang secara tak bersedia dengan pakaian yang
kurang sesuai. Kami membincangkan tentang keadaan pembinaan Masjid Al-Umm yang mungkin
telah diberi penerangan oleh Tuan Haji Ishak, tetapi sebagai mengulanginya dan
mengharapkan agar dapat digunakan Masjid Al-Umm lebih awal sebagai persediaan sebelum DYMM
Tuanku Sultan akan merasmikan. Kami (Penulis) tidak bercakap panjang, kerana
hari telah agak lewat, tetapi jawapan yang jelas diberi oleh Pengarah JAIS itu
bahawa:
``Penggunaan sementara dewan solat utama
Masjid Al-Umm tidak dibenarkan selagi CCC tidak dikeluarkan !``.
Seterusnya kami diberitahu pada petang Juma`at
6 April 2017 itu,
``Tempoh dua minggu diberikan untuk mendapat
CCC, kalau tidak, mungkin program perasmian
oleh DYMM Tuanku Sultan Selangor dibatalkan.``
Jawapan tegas ini kami terima dengan berat,
dan persoalan timbul di kepala kami, apakah dalam tempoh dua minggu mampu
diurus oleh kami, khususnya bahagian teknikal bagi mendapat CCC yang memang
diusahakan itu.
Lawatan berakhir dan Dato` Haris dan lain-lain
bertolak pulang.
Beredar dari pekarangan Masjid Al-Umm yang
suram, kerana telah lama siap dari segi fizikal, tetapi masih tidak dapat
digunakan, Penulis segera pulang ke rumah membersih diri dan bersiap untuk ke
Surau Al-Umm yang tidak jauh dari rumah Penulis. Sepulang ke rumah itu Penulis
mengambil keputusan untuk mengadakan solat hajat.
Memang menjadi kebiasaan pada setiap petang
Khamis – malam Juma`at Surau Al-Umm mengadakan pembacaan Yasin, tahlil dan do`a
selepas solat maghrib – Selepas solat
Isya` diadakan jamuan sederhana. Jadi
selepas solat Maghrib yang Penulis selaku Pengerusi Surau Al-Umm dan Imam memaklumkan
kepada jama`ah tentang lawatan Pengarah JAIS pada petang tadi ke Masjid Al-Umm
dan Masjid Al-Umm diberi tempoh dua minggu untuk mendapatkan CCC, jika tidak
maka program Perasmian Masjid Al-Umm pada awal Ramadhan nanti akan dibatalkan.
Semua yang hadir – malam Juma`at - kehadiran lebih ramai dari malam-malam biasa
sehingga sejumlah lebih kurang antara 80 hingga 100 orang lelaki perempuan.
Selepas solat Maghrib Penulis memimpin jamaah
bersolat hajat memohon keselamatan Masjid Al-Umm dan memohon Allah memudahkan
segala urusan berkenaan dengannya. Selepas do`a maka baru diikuti acara membaca Yasin beramai-ramai
juga disertai permohonan keselamatan bagi Masjid Al-Umm dan Allah memudahkan
segala urusan yang berhubung dengannya.
Demikianlah antara ujian yang kami terima
dalam usaha bagi menggunakan Masjid Al-Umm yang telah memakan masa 4 tahun
mulai dari tarikh pembinaan (Masuk Tapak) atau 6 tahun dari tarikh penubuhan
Jawatankuasa dan persiapan persediaan sebelum pembinaan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment