April 19, 2018

MASJID AL-UMM AKAN DIRASMIKAN OLEH DYMM TUANKU SULTAN PADA RAMADHAN 1438 ?



BBB, 02 Sha`ban 1439H. = 18 April 2018M. (Rabu):
Dibawah tekanan untuk mendapat keizinan menggunakan Masjid Al-Umm dan serentak itu juga mengalami tekanan bagi mendapatkan dana bagi menyelesaikan hutang tertonggak, maka dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm kali ke 63 bertarikh 24 Muharram 1438 bersamaan  25 Oktober 2016 mesyuarat mendapat maklumat  melalui PAID, bahawa DYMM Tuanku Sultan Selangor akan merasmikan Masjid Al-Umm pada bulan Ramadhan 1438H. akan datang. Dalam mesyuarat berkenaan adalah dimaklumkan bahawa pada Khamis 19 Muharram 1438H. bersamaan 20  Oktober 2016 Pengarah JAIS datang melawat secara mengejut melihat Masjid Al-Umm bagi memastikan layak atau tidak untuk dirasmikan pada bulan Ramadhan akan tiba. Difahamkan ada pihak yang menerima maklumat berkenaan, tetapi tidak disampaikan maklumat berkenaan kepada Pengerusi dan tidak juga kepada Setiausaha. Sesungguhnya  kedatangan Pengarah JAIS  adalah di luar dari jadual rasmi, cuma untuk melihat perkembangan pembangunan fizikal Masjid Al-Umm secara  dekat, tapi kalau diberitahu  terlebih dahulu banyak maklumat dapat disampaikan dan juga ada permintaan-permintaan yang dapat dikemukakan.
Walau bagaimana berita yang masih tidak rasmi tiba kepada ahli Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm diterima secara bercampur-campur, walau difahami jika ditentukan tarikh perasmian itu, jika benar, maka mau atau tidak mesti diterima.
Maksud penerimaan bercampur-campur, bahawa jika benar, Masjid Al-Umm termasuk di bawah agenda lawatan DYMM Tuanku Sultan Selangor  pada Ramadhan 1438 nanti, maka ianya adalah satu rahmat. Adalah diharapkan bahawa dengan adanya jadual Masjid Al-Umm akan dilawat dan dirasmikan oleh Tuanku, maka urusan pembinaan akan menjadi  sebagai desakan kepada kontrektor menyiapkan kerja-kerja dengan segera dalam tempoh setengah tahun akan datang. Juga diharapkan keperluan teknikal bagi mendapat kelulusan, khususnya CCC akan lebih segera didapati dan tumpuan terhadapnya oleh berbagai agensi mendapat perhatian yang lebih. Sesungguhnya proses ke arah mendapat kelulusan CCC dari pihak MPKj sedang dalam tindakan.
Yang paling penting dengan termasuknya di dalam jadual lawatan Tuanku Sultan, maka adalah diharapkan pihak tertentu seperti Kerajaan Negeri melalui JKR atau melalui PAID akan menolong menyelesaikan tonggakan tuntutan oleh pihak kontrektor. Dengan demikian mereka akan memberi tumpuan menyiapkan berbagai-bagai kerja tertangguh yang dihadapi.
Sesungguhnya, walaupun Kerajaan Negeri Selangor telah memberi sejumlah wang, iaitu RM4 juta pada 9 September 2016, wang tersebut telah digunakan bagi pembayaran hutang dan bakinya lebih kurang setengah juta digunakan bagi urusan pembangunan seterusnya.
Penerimaan secara bimbang, ialah tentang tiadanya kewangan bagi meneruskan pembangunan, ditambah dengan kerja-kerja tambahan yang dilakukan selepas mendapat peruntukan dari Kerajaan Negeri. Sesungguhnya kos keseluruhan kerja bagi pembangunan Masjid Al-Umm pada masa itu:
Kos keseluruhan  ialah  RM21,531,836.60
Jumlah diperlukan         RM2,377,670.44
Ketiadaan dana bererti merencatkan kegiatan-kegiatan pembangunan.
Kerja-kerja yang masih di dalam tindakan ialah  kerja-kerja berhubung dengan letrik, lift, yang dijangka hanya dapat disiapkan pada Februari 2017,
Kerja-kerja yang masih belum siap (sengaja dilambatkan kerana maukan pembayaran),ialah pemasangan peringkat akhir air-cond.. Kerja-kerja luar seperti pagar, lampu pagar, compound lighting, lampu jalan,, landscaping dan parking lot.
Manakala kerja-kerja berkait dengan sub kontrektor Majleza seperti kipas besar, tulisan khat (ayat-ayat Al-Qur`an),mihrab dan muqaranah, ruang tempias bahagian depan pintu masuk dan dua  bahagian airwell yang asalnya memang terbuka, tetapi mau ditutup, courtyard dan lorong ditingkat atas yang dianggap membahayakan bagi anak-anak yang mungkin menyelinap ke atas dan perlu ditutup. Semua kerja-kerja di atas sepatutnya telah dapat diselesaikan, lantaran tempoh siapnya telah lama berlalu, tetapi tertangguh  diakibatkan oleh kekurangan dana bagi menyelesaikan pembayaran. Semua ini mengganggu fikiran bagi mengatasinya.
Walau bagaimana, sebagaimana dikatakan di atas diharap dengan termasuknya  Masjid Al-Umm di dalam jadual  lawatan DYMM Tuanku Sultan Selangor, maka diharap ianya sebagai peluang bagi menyelesaikan berbagai masalah dengan bantuan  dari berbagai agensi dan diharapkan masjid benar-benar dapat dirasmikan oleh DYMM Tuanku Sultan Selangor.
Sekian.

No comments:

Post a Comment