June 21, 2018

CIRI ESTETIKA LAHIRI


BBB, 06 Syawal 1439H. = 20 Jun 2018 (Rabu):
Memahami tentang estetika tidaklah mudah kerana ianya dikira sebagai bidang  seni, iaitu seni tinggi yang termasuk di bawah bidang falsafah, ianya membicarakan tentang keindahan, hakikat keindahan bahkan falsafah keindahan.
Menyebut tentang keindahan, iaitu peringkat paling bawah, ialah keindahan lahiri atau estetika lahiri, iaitu sesuatu yang berobjek dan dapat dikenali, dipersepsi dan dihayati melalui perantaraan inderawi. Lebih ketara melalui penglihatan mata dan juga pendengaran dan juga indera-indera yang tiga lain (bau, kecapan dan sentuhan).
Apakah yang dapat ditanggapi dan dihayati terhadap estetika lahiri ? Terawal dari sifat makhluk yang tabi`i. Antara cirinya:
1)      Persamaan
Dengan persamaan dilihat sebagai ciri keindahan. Contoh misalnya deretan pokok kelapa yang ditanam secara teratur dalam barisan-barisan. Demikian pokok bunga yang ditanam sama di dalam barisan dengan warna bunga yang sama, maka ianya dapat menimbulkan indah dari segi pandangan.
2)      Pasangan
Allah menyebut di dalam Al-Qur`an bahawa Dia mencipta manusia dan juga kehidupan yang lain adalah secara berpasangan. Penciptaan secara berpasangan sama ada manusia atau binatang bagi kepentingan perlanjutan biology dan turunan, sifat berpasangan itu sendiri menimbulkan keindahan. Pasangan lelaki perempuan, jantan dan betina dilihat melengkapkan ciptaan dan menimbulkan keindahan. Menjadikan pasangan hidup bahagia secara pasangan dan dapat menikmati hidup dari pasngan turunan yang merupakan keluarga di dalam kehidupan.
3)      Pertentangan
Antara ciri kejadian alam yang ditentukan Allah. Di dalam kehidupan ada ruang. Dalam ruang ini dapat dilihat ada kiri kanan, hadapan belakang, tinggi rendah, jauh dekat dan sebagainya. Elemen ruang juga menimbulkan ciri estetika. Misalnya di dalam sebuah bangunan ada ruang katakan sebelah kanannya sama  dengan ruang sebelah kiri yang merupakan pertentangan yang juga sebelah menyebelah persamaan. Pada diri biologi tubuh manusia terdapat elemen ini. Misalnya ada tubuh bahagian kanan dan kiri, ada tangan kanan dan kiri, ada kaki kanan dan ada kaki kiri, bahkan muka pada bahagian kanan biasanya serupa dengan bahagian kiri.
4)      Berselangan
Dengan berselangan juga menimbulkan rasa estetik. Misalnya di dalam seni taman sengaja ditanam secara teratur antara pokok yang tinggi dengan yang rendah secara berselang-selang berterusan, maka ianya menimbulkan rasa estetika. Dapat disebutkan misalnya kedudukan landscape tanah yang tinggi rendah merupakan salah satu elemen yang menimbulkan rasa keindahan.
5)      Kontras
Lebih khusus dari semata-mata pertentangan. Misalnya dalam perkara yang berhubung dengan warna yang menggunakan elemen gelap terang, hitam putih, lembut dan garang. Ini digunakan bagi menimbulkan rasa estetik dalam bidang dekorasi dan  pementasan. Ianya boleh dihubungkan dengan suara seperti tinggi rendah, kuat perlahan, lembut dan garang yang semuanya menimbulkan elemen keindahan. Elemen kontras ini juga boleh dikaitkan dengan watak, misalnya watak lembut dan garang dan sebagainya.
6)      Perubahan
Apa yang dibicarakan di atas adalah bersifat tetap, namun di sana di sebalik dari tetap ada unsur yang terus berubah yang merupakan salah satu dari  elemen alam yang menimbulkan estetika. Misalnya  perubahan hari dari pagi ketengahari, petang dan malam. Perubahan dari tua kepada muda, perubahan dari susah kepada senang yang dapat dilihat secara luaran dan nyata merupakan elemen menyedarkan kepada perubahan yang membawa kepada keinsafan  dan sebagainya.
7)      Kepelbagaian
Di samping dilihat sesuatu yang teratur, di sana sesuatu yang berpelbagaian juga menimbulkan rasa estetik. Sebagai contoh sebuah hutan yang tebal yang menghijau terdiri dari kepelbagaian tumbuhan yang saiz tumbuhan berbagai, ada yang tinggi ada yang rendah, ada yang tegak, ada yang condong, ada yang melempai dan ada yang melata, maka pandangan dari keseluruhan dalam satu ruang menjadikannya sesuatu yang estetik dari segi pandang. Kiaskan sifat pelbagaian yang lain misalnya corak bagi batik, kediaman yang berbagai dan sebagainya.
8)      Elemen Zaman
Kaedah melihat masa untuk mudah dilihat dan difahami yang merupakan pendekatan sejarah bagi memudahkan penerangan danb kefahaman. Misalnya melihat zaman dari  sa`at, minit, jam, hari, minggu, bulan,tahun, dekad, abad (kurun), mellinium dan seterusnya.
9)      Elemen Nilai
Dibicarakan bagi menunjukkan sesuatu dari segi nilai seperti baik dan buruk, baharu dan lama. Dengannya dapat dibezakan dengan jelas berhubung dengan nilai yang dikaitkan dengan yang dibicarakan.
10)   Campuran
Yang dibicarakan di atas adalah secara berasingan antara satu sama lain. Tetapi sesuatu  itu tidak semestinya wujud dengan elemen-elemen yang disebutkan secara berasingan, tetapi elemen di atas berada secara serentak bagi sesuatu  keadaan. Misalnya  pada masa yang sama wujud sesuatu yang bersamaan, bertentangan, kontras dan berpelbagaian.
Sesungguhnya ciri estetika lahiri adalah lebih dari apa yang diperkatakan di atas.
Sekian.

No comments:

Post a Comment