August 14, 2018

PRINSIP KOMUNIKASI BAGI IMAM, GURU DAN NAZIR


PRINSIP KOMUNIKASI BAGI IMAM, GURU DAN NAZIR
BBB, 01 Zulhijah 1439H. = 13 Ogos 2018M. (Isnin):
Di dalam kertaskerjanya, sebelum membicaratentang khutbah dan kuliah dari lima buah masjid dari empat negara, Prof. Dr. Mohd. Yusof Hussein membicarakan tentang prinsip komunikasi yang juga dapat difahami sebagai etika komunikasi. Prinsip atau etika komunikasi ini tidaklah tertentu kepada khatib atau kepada penceramah semata-mata, tetapi dapat diaplikasikan termasuk kepada semua kakitangan masjid, pengerusi atau nazir dan ahli jawatankuasa, bahkan termasuk kalangan guru-guru yang mengajar di masjid. Mereka semua dapat diistilahkan sebagai`Ahli Masjid`, sebagai orang masjid adalah orang yang dipercayai dan bersifat dengan keakhlakan keislaman yang tinggi, kalau tidak mereka tidak berkedudukan sebagai  `Ahli Masjid`.
Pembentang membentangkan sebelas sifat positif yang disertai dengan ayat-ayat Al-Qur`an yang harus ada pada `Ahli Masjid` dan lima sifat negatif.
Sifat-sifat positif yang harus ada pada `Ahli Masjid` ialah,
1) Bercakap benar                                    2) Bercakap berlandaskan ilmu pengetahuan
3) Berbicara dengan lemah lembut      4) Menyeru ke jalan Allah dengan hikmah
5) Bercakap dengan hormat kepada kedua-dua ibu bapa  6) Gunakan perkataan-perkataan yang baik
7) Gunakan hujah yang lebih baik        8) Sesuaikan percakapan dengan tahap pendidikan pendengar
9) Dengan ahli al-kitab hendaklah bersikap dengan cara terbaik  10) Minta bantuan kepada Allah setiap kali mau melakukan tugas komunikasi yang penting    11) Kata mesti sama dengan perbuatan.
Manakala sifat negatif yang harus dihindari pengamal komunikasi
1)      Jangan mengumpat
2)      Jangan memperolak-olak orang
3)      Jangan meninggikan suara bila bercakap
4)      Jangan menyuarakan kata-kata yang tidak sedap didengar
5)      Jangan memaki-maki sembahyang penganut agama yang lain.
Meneliti sifat positif yang seharusnya ada pada pengamal komunikasi dan sifat negatif yang harus dijauhi oleh pengamal komunikasi, sebenarnya ianya adalah sifat-sifat positif yang harus ada pada semua orang Islam dan sifat negatif yang seharusnya mereka jauhi.
Dilihat kepada semua pihak di masjid dari segi komunikasi masjid, maka ianya dari satu dimensi tidak lain dari elemen dakwah yang berlangsung di masjid itu sendiri. Mereka adalah kalangan da`i yang melalui komunikasi masjid menyampaikan dakwah, baik secara langsung atau tidak langsug kepada kalangan mad`u, iaitu para jama`ah masjid dan juga kepada khalayak umum dari kalangan masyarakat. Komunikasi dakwah ini berlangsung secara hal, lisan dan amal.
Dakwah secara hal adalah pembawaan dan peribadi kakitangan dan keluarga masjid adalah disifatkan sebagai orang-orang baik yang dipercayai dan harus dicontohi. Puncak dari tokoh dari segi dakwah al-hal ini yang menjadi lambang utama dari segi hal, ialah para imam yang mereka seharusnya orang yang wara` dan berkeperibadian  tinggi. Pemimpin solat dan segala yang berhubung dengan upacara-upacara keagamaan. Mereka diminta nasihat dan kata-kata mereka didengar dan  diikuti. Di mana saja dia adalah dihormati dan dipandang tinggi. Dia adalah lambang peribadi murni. Watak dan peribadi tingginya dapat dilihat dari segi luaran -  dari segi pakaian seperti berjubah dan berpembawaan dihormati.
Dari segi contoh komunikasi secara lisan dan kalam dapat dilihat kepada perwatakan guru-guru. Mereka lambang kealiman dan mengajar berbagai-bagai keilmuan yang menjadi panduan jama`ah dan masyarakat. Apa yang diajar adalah benar dan diterima masyarakat. Sifat mursyid mereka dari segi pengajaran menjadi tarikan kepada jama`ah untuk menghadiri sesi pengajaran mereka  dan secara langsung dapat memakmurkan masjid. Para guru adalah dari kalangan ulama yang mewarisi  para anbiya` yang berkedudukan tinggi dalam masyarakat.
Komunikasi dakwah secara amal dapat dilihat kepada kalagan pengerusi atau nazir masjid. Mereka dilihat sebagai orang yang bijaksana dari segi kepimpinan, merangka  berbagai pendekatan dan kegiatan yang dapat memajukan masjid.
Kombinasi antara imam dan kakitangan, guru-guru dan para pentadbir dari pengerusi dan jawatankuasa menjadi kesatuan yang berdaya maju menggerak dan  mengimarahkan masjid.
Sekian.

No comments:

Post a Comment