September 14, 2019

PETA FIZIKAL, MINDA DAN JIWA MELAYU


PETA, FIZIKAL, MINDA DAN JIWA MELAYU
(Fikrah Bangi: 347).
Kita adalah dari turunan moyang
Dari tanah terbesar di dunia
Bergerak ke tanah paling selatan
Meluaskan depaan tangan
Dari selatan Arakan ke Champa Kemboja
Bergerak dari tekanan survival
Mengambil noktah di Segenting Kra
Terakam dalam legenda
Siti Zubaidah – Perang China
Mara Karma di Palakang Chahaya
Betapa moyang mempertahan
Dengan darah dan airmata
Mengekalkan kehadiran
Walaupun hilang  politik  kuasa.

Dengan kewujudan kini
Kita adalah jantung  dada Asia
menghulur ke titik paling selatan benua
Menjejaki pulau-pulau  sempadan  Australia
Ke utara ke Makau ke barat Madagaskar
Ke timur Hawai terbukti pada bahasa
Keindahan seni kreativiti minda
Pengawal  gerbang Pasifik dan Laut India.

Di sini
Pada jantung dada Asia
Di Gugusan Pulau-Pulau
Sejak zaman bahari kita bina identiti
Melayu Bangsa Besar
Dari segi populasi
Cekal menghadapi gempa tsunami
Perentas lautan ruang kehidupan
Kaya hasil buni sumber asli
Ghirahnya hadir pendatang.
Secara aman atau ancaman
Diterima disanggah dengan kekerasan
Kita secara bijakana menyaring
Antara kebenaran dan kepalsuan.

Di Tanah Moyang
Apa yang perlu adalah dinamika
Ilmu dan peradaban
Kemajuan dan kekuatan
Bahawa kita tetap pertahan
Maruah,identiti dan jati diri.

Shafie Abu Bakar.
14 Muharram 1441H.
14 September 2019.

No comments:

Post a Comment