December 17, 2019

KUALA TERENGGANU LEBIH HEBAT DENGAN KEGIATAN POLITIK


KUALA TERENGGANU LEBIH HEBAT DENGAN KEGIATAN POLITIK
(Fikrah Bangi: 425).
BBB: 20 R. Akhir 1441H. =17 Disember 2019M. (Selasa).
Selepas berkesempatan menyambut kemerdekaan Malaya pada 31 Ogos 1957 semasa belajar di Kuala Berang, Hulu Terengganu dan aku pada masa itu di dalam darjah tiga di Sekolah `Arab, Kuala Berang, pada akhir 1958, aku berhasrat menyambung pengajian di Sekolah Sultan Zainal Abidin, Batu Buruk, Kuala Terengganu. Aku beranikan diri  berjumpa dengan Tok Faqih tempat aku tinggal belajar di pondoknya dan memaklumkan juga pada Mudir Sekolah `Arab Kuala Berang, Ustaz Mahmud Salim. Aku tidak bermasalah dengan pihak sekolah, tetapi aku dimarahi oleh Tok Faqih. Walau bagaimana oleh kerana keras cita-citaku dengan menaiki bas aku ke Kuala Terengganu dan ke Sekolah Sultan Zainal Abidin Batu Buruk yang Mudir pada masa itu ialah Ustaz Mahmud Bakar Rafi`.
Secara kebetulan semasa aku ke Sekolah Zainal Abidin Batu Buruk itu, ada beberapa  orang pelajar dari Sekolah `Arab Tok Jiring, mau mengambil periksa bagi memasuki darjah lima Ibtida`i  Sekolah Zainal A`Bidin. Aku mengambil kesempatan untuk sama mendududuki peperiksaan, walaupun aku dari darjah tiga Sekolah `Arab, Kuala Berang. Aku dibenarkan menduduki peperiksaan berkenaan. Hasil dari peperiksan itu aku lulus dengan keputusan terbaik. Jadi aku sekali lagi melompat (dulu di Kuala Berang terus masuk kelas tiga) kelas dan belajar di Darjah Lima, tahun akhir bagi kelas Ibtida`i. Sebenarnya kerana tindakan aku ke Kuala Terengganu, aku menghadapi sekatan sementara dari segi kewangan dari nindaku dan terpaksa memohon bantuan kewangan dari bapa-bapa saudara sebelah ibu dan juga ayah. Mudir  Sekolah Zainal Anidin, memahami kesulitan kewangan yang aku hadapi dan beliau menjemput Pegawai Pejabat Kebajikan Masyarakat di Kuala Terengganu mengintervie aku dan mendapat bantuan bulanan sebanyak RM15.00 setiap bulan. Sekurang-kurangnya  dapat meringankan masalah kewangan yang aku hadapi.
Berada di tahun akhir kelas Ibtida`i (Lima) memerlukan kesungguhan dalam pengajian, kerana pada akhir tahun akan menghadapi peperikaan yang dijalankan oleh Pejabat Agama Islam bagi melayakkan diri mendapat  Sijil Ibtida`i (Lima) yang melayakkan diri untuk ke Kelas Thanawi atau sebaliknya. Aku sememangnya menumpukan sepenuh pengajian kepada pelajara. Semasa itu tinggal di Asrama di bahagian belakang bangunan Pejabat Pentadbiran.
Walau bagaimana satu yang menarik pada masa itu, Kuala Terengganu hangat dengan perkembangan politik antara parti Umno yang pimpinan di Kuala Terengganu juga negeri Terengganu ialah Ibrahim Fikri, keluaran Madrasah Sultan Zainal Abidin, Ladang (Ibtida`i, manakala Pas juga parti yang kuat. Pada masa di bawah pimpinan seperti Ahmad Azam dan Daud Samad.  Satu yang mnenarik Parti Negara di bawah pimpinan Dato` Onn Ja`afar yang tidak mendapat sokongan di Johor dan tidak juga mendapat sokongan di Kuala Lumpur membawa diri ke Kuala Terengganu bersama pengikutnya Gharib Rauf. Kawasan yang kuat memberi sokongan terhadap Parti Negara pada 1969 itu ialah kawasan Ladang, Kuala Terengganu. Kawasan yang lain ialah di Seberang Dungun.
Pada kebiasaan bagi menghadapi pilihanraya 1959 kempen-kempen pilihanraya begitu rancak. Tempat yang selalu diadakan pada sebelah petang ialah di Padang Negara, iaitu berhadapan Istana Maziah bertepikan Muara Sungai Terengganu. Pada-petang hari sebagai merehatkan fikiran, aku dengan basikal tua dan kawan-kawan sering ke Padang  berkenaan mengikuti ceramah terutama oleh Dato` Onn Ja`afar dan Gharib Rauf dari Parti Negara. Cara ucapan mereka amat menarik dan terhibur. Pihak Umno adalah di bawah pimpinan Ibrahim Fikri dan pendukung-pendukunfg parti Umno, sekali sekala pimpinan dari Kuala Lumpur seperti Tunku, Dato` Razak dan Sa`don Jubir dan lain-lain turun ke Kuala Terengganu memeriahkan kempen.
Manakala satu parti yang kuat di Terengganu yang mendahului Kelantan, ialah Pas. Pas pada maa itu di bawah beberapa pimpinan tempatan seperti  Ahmad Azam (asal dari Perak), Daud Samad dari Besut, Umar Shukri dari Dungun dan beberapa yang lain merupakan jurucakap parti. Walau bagaimana dari segi kepimpinan parti tidak begitu menonjol. Bagi menghangatkan kempen pimpinan Pas dari Luar Terengganu dibawa ke Terngganu seperti Asri Muda dan Dr. Burhanuddin Hilmi datang berucap.
Pendek kata menjelang pilihanraya pada 1959 politik di Kuala Terengganu begitu rancak. Aku  pada masa itu bersikap sebagai pendengar bagi semua pihak dan seing tidak melepas peluang apabila tokoh-tokoh besar menyampaikan ceramah politik di  Padang Negara.
Sekian.

No comments:

Post a Comment