ILMUAN MEMIMPIN
(Fikrah
Bangi: 773),
BBB:
23 Safar 1442H. = 11 Oktober 2020M. (Ahad).
Tugas
para ilmuan di universiti adalah mengajar dan membuat penyelidikan yang
dengannya menghasil dan menambahkan ilmu. Mereka disifatkan sebagai elit yang
berada di menara gading. Tapi peranan dan kedudukan yang sedemikian perlu diubah
atau ditambah, bahawa para ilmuan seharusnya
dengan keilmuan mereka adalah pemimpin. Mereka seharusnya mempunyai
komitmen terhadap masyarakat dan tidak
terasing di menara gading.
Para
ilmuan yang dengan ilmu mereka dipandang tinggi dan berada pada darjat
terkeatas. Mereka seharusnya tidak setakat
mengajar dan menyelidik, tetapi turun kepada masyarakat dan menggunakan
keilmuan mereka bagi membimbing masyarakat. Dalam keadaan negara, bahkan dunia
menghadapi Covid-19 mereka seharusnya tidak sahaja membicarakan kaedah mengajar
pelajar secara atas talian, tetapi pakar-pakar di dalam bidang-bidang berkaitan
sama membantu dan memberi idea, misalnya dari bidang perubatan, menyedarkan orang ramai akan bahayanya wabak
Covid-19 dan mencadangkan kaedah-kaedah
mencegah dan menjauhi penyalit ini. Bagaimana masyarakat menyesuaikan diri
dengan nilai baru akibat dari wabak ini.
Kiranya di kalangan mereka rela turun padang dan menjadi front liners
tentulah amat dialu-alukan.
Dalam
masa menghadapi wabak ini, bekalan makanan harian perlu cukup. Mereka yang di
dalam bidang pertanian, patut memberi nasihat dan dengan kerjasama pihak
berkuasa memberi cadangan kaedah bertani yang dapat menambahkan hasil makanan
negara. Juga nasihat kepada nelayan kaedah yang dapat menambahkan hasi . Bagi yang di dalam bidang ekonomi dan
perniagaan memberi nasihat bagaimana menjalankan perniagaan dalam musim Covid-19. Memberi nasihat kepada
kerajaan di dalam membantu kalangan peniaga-peniaga. Juga memberi idea dan
cadangan bagi mengurangkan jumlah pengangguran dengan mencadangkan
kaedah-kaedah yang dapat menjanakan pekerjaan.
Antara
sektor yang terjejas akibat dari Covid-19 ialah sektor pendidikan. Hampir
setahun pelajar-pelajar terganggu di dalam pelajaran, walaupun ada kaedah pembelajaran secara atas talian, tetapi
tidak sama secara semuka. Pelajar-pelajar yang hendak menghadapi peperiksaan
SPM dan STPM yang hampir tiba, patut diberi keutamaan dari segi bimbingan,
bantuan dan keselesaan mereka hendak menghadapi peperiksaan. Malang bagi mereka
terpaksa menghadapi peperiksaan di dalam keadaan yang sukar. Bantuan dari
guru-guru, ilmuan-ilmuan, swasta dan berbagai pihak, termasuk yang dihadapi
oleh pelajar universiti yang dikehendaki mendaftar secara hadir dan diubah
kepada atas talian, banyak menyusahkan mereka. Para ilmuan patut sama memberi
pendapat kaedah terbaik bagi mengendalikan pembelajaran pelajar-pelajar
universiti agar mereka tidak terganggu menghadapi pelajaran dan terbeban dengan
pelbagai masalah. Apa lagi masalah pelajar di pengajian tinggi adalah masalah
ilmuan yang amat dekat dengan mereka.
Banyak
kalau hendak diperkatakan harapan bimbingan terhadap para ilmuan. Sebagai
contoh terakhir bagi ilmuan di dalam bidang sains politik patut memberi nasihat
melihat, bahawa di dalam masa menghadapi wabak Covid-19, ada ahli-ahli politik yang terus ghairah bermain
politik, mau terus mengadakan pilihanraya seperti di Batu Sapi dengan kematian
ahli parlimen kawasan berkenaan, pada hal diketahui betapa kesan pilihanraya
Negeri Sabah pada 26 September 2020 yang lepas mengakibatkan semakin menular
wabak, bukan saja di Sabah, tetapi hampir ke seluruh negara. Bayangkan akibat
yang akan terjadi jika diadakah pilihanraya di Batu Sapi, apa lagi pilihanraya umum
peringkat negara akan mengundang bertambah merebaknya wabak berkenaan. Para
ilmuan patut bercakap dan memberi nasihat, terutama bagi yang ghirah untuk
mengadakan pilihanraya. Mereka juga harus memberi pandangan tidak wajarnya
pihak yang ghirah mau menjatuhkan kerajaan dengan mendakwa mendapat sokongan
majoriti, tanpa bukti agar berhenti menggugat kestabilan politik tanah air
dalam masa wabak ini.
Kita
berpendapat, sememangnya ada suara-suara yang memberi pandangan tentang
jijiknya situasi politik tanahair yang secara terang-terangan ada pihak yang
tidak segan silu mau membawa persoalan
kepimpinan negera kepada pihak tertinggi, walaupun dipandang perkara ini tidak
wajar dalam situasi kini dan tiada bukti.
Kita
berpendapat kedudukan para ilmuan dapat diperkukuhkan adalah melalui persatuan
dan tidak bercakap atas individu yang tidak diberi perhatian. Para ilmuan wajar membentuk
Persatuan Ilmuan Universiti yang terdiri
dari kesemua universiti awam, maupun swasta. Kepimpinan persatuan dan bidang-bidang
hendaklah menyatakan pendapat dan cadangan terhadap isu-isu yang timbul yang
melibatkan berbagai-bagai bidang seperti politik, ekonomi dan kemasyarakatan.
Melalui pandangan keseluruhan melalui persatuan akan lebih didengar dan
mendapat dokongan rakyat.
Sesungguhnya
dari ilmuan diharap pemikiran dan
pandangan yang bernas yang dapat memandu masyarakat dan negara kepada kebenaran
dan kemajuan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment