BBB, 25 Zulkaedah 1437 = 28 Ogos 2016
(Ahad):
Beberapa gangguan yang menghalang konsentrasi kerohanian,
khususnya tentang kezuhudan disenarai dan dibicarakan oleh Al-Muhasibi, iaitu:
1) Waswas dan cara menolaknya
2) Takabbur, hasad dan penipuan
3) Riya` dan waswas
4) Tekanan hawa nafsu
5) Syaitan
Apa yang disenaraikan di atas adalah
gangguan-gangguan yang teruk terhadap
kerohanian bahkan kehidupan.
Waswas
Bermula dari bisikan dan rasa tidak pasti
tentang ketepatan amalan, khususnya niat, hingga diulang-ulang menyebabkan
waswas, dan jika terus diikut waswas meningkat kepada `penyaklit kejiwaan` Ayat
Al-Qur`an ada menyebut bermaksud:
``Dari kejahatan pembisik, penghasut yang
timbul tenggelam. Yang melemparkan
bisikan dan hasutan ke dalam hati
manusia. Iaitu pembisik dan penghasut dari kalangan jin dan manusia
(Al-Nas, 4 -6).
Waswas adalah dari permainan syaitan yang bagi menghindarinya ialah berpaling
darinya dan jangan mendengar dan melayan kepada bisikan syaitan berkenaan.
tidak tenteram dan dirasuk oleh
jin dan syaitan dihalau dengan isti`azah
dan basmalah (Surah al-Nas) dan terus
bertindak dan yakin dengan amalan dan jangan melayan sebarang waswas jin dan
syaitan.
Waswas dengan pegangan jika dilayan dan dibiarkan boleh berkembang
oleh hawa nafsu dan syaitan kepada meringan dan meninggalkan
ketaatan kepada berjinak-jinak dengan ma`siat, kepada terlibat dengan shubahat,
kepada meninggalkan yang sunat dan kemudian meninggalkan yang fardhu dan
akhirnya menggugat keimanan.
Takabbur, hasad dan penipuan dan lain-lain
Dua perkara di atas telah dibicarakan oleh
Al-Muhasibi di dalam kitabnya Al-Ri`ayat Li Huquq Allah. Sebagai tambahan, kata
Al-Muhasibi yang menyebabkan timbulnya takabbur oleh kerana yang takabbur
melupai diri dan siapa yang lebih tinggi
daripadanya. Yang takabbur ialah yang terlindung oleh nikmat dan kelalaian yang nisbi terhadap yang
hakiki. Dia mengajak manusia mengkaguminya sebagaimana dia mengkagumi terhadap
dirinya. Takabbur akan surut padam bila berlaku kebinasaan, tatkala mana tiada
di dalam dirinya sebaranmg persediaan seperti waspada, tawadhu` dan tidak
menerima putaran hidup yang meletakkan dirinya pada tahap kehinaan, bukan saja
dirasai dirinya tetapi dipandang masyarakat kelilingnya yang sepatutnya
mendapat simpati dan pembelaan. Keadaan yang sama kepada yang hasad apabila dia
tidak menyenangi yang dihasad, tiba dia dibalas dengan sifat hasadnya, bahawa
dia sendiri menerima bala dan kehinaan. Manakala penipu adal;ah lebih kedepan
dari hasad, kerana dia sanggup bertindak melakukan penipuan. Orang yang menipu
tidak selamat. Dengan penipuan sebenarnya ia memerangkap dirinya yang
penipuannya terbungkar dan mendepani penghinaan, lebih-lebih lagi jika dia
terbawa kepada pengadilan di dunia. Dan pasti pengadilanm lebih pedih akan
dihadapi di akhirat. Dari aliran kekejian yang sama, ialah riya` yang juga telah dibicarakan, sebagaimana orang
takabbur, demikianlah dengan yang riya` dia akan mendepani kehinaan dan
keinsafan apabila berdepan dengan kegagalan dan kekeciwaan yang menelanjangkan
kepalsuan riya` dan menyedari diri tak lebih dari orang lain, bahkan meletakkan
diri pada tahap yang lebih rendah akibat dari lagak riya`
Cara melindungi diri dari takabbur, hasad,
penipuan dan riya` memerlukan pendidikan akhlak dan kerohanian,
iaitu tidak lain dari mengukuh pegangan akidah, mematuhi perintah Allah - mematuhi segala suruhan dan menjauhi segala
larangan. Mendidik diri dengan sifat insaf, tawaduk, ikhlas serta memupuk diri
dengan rasa kasihan belas , berbaur dalam jiwa
rasa keihsanan dan keinsanan, mescaya jika ada di dalam diri benih-benih didikan sedemikian, maka dari awal
tidak tumbuh dalam diri sifat takabbur,
hasad, penipuan dan riya`.
Al-Muhasibi mengambil pinjaman dari
bandingan ayat Al-Qur`an (Al-Baqarah:
261), bahawa segala amalan yang baik digandakan Allah balasan tiap satu
kepada seratus hingga tujuh ratus dan
lebih dari itu, sebaliknya bagi yang melakukan kejahatan seperti takabbur,
hasad, penipuan dan riya` sebagai biji benih yang hampa di atas tanah gersang yang
tidak menumbuhkan sebarang tumbuhan, bahkan menerima kesiksaan dari kekejian
yang dilaku, bukan saja diakhirat, bahkan akibat kesemuanya diterima di dunia
lagi.
Lantas bagaimana mengatasi gangguan
kerohanian di atas ? Tidak lain dari melazimkan diri dengan sifat
ta`abbudiyyah dan beribadat. Di bawah
pecahan Al-Masa`il fi al-Zuhd`, Al-Muhasibi
ada membicarakan tentang afdhal ibadat dengan katanya,``
``Afdhal ibadat ialah mengetahui keagungan
Allah Subhanahu wa Ta`ala dan mengagungkanNya.``
Konsep mengetahui dapat difahami ialah
dengan mempelajari keilmuan-keilmuan yang mendekat diri kita dan mengenali
Allah Ta`ala. Pengajian melibatkan keilmuan
yang berhubung dengan Al-Qur`an dan Al-Hadith, keilmuan akidah,
syari`at, akhlak (tasawuf), ilmu yang berhubung kejadian alam, bahkan apa jua
ilmu yang baik secara langsung dan tidak langsung membawa kita mengenali
hakikat ciptaan dan pengakuan dan pengagungan kita terhadap Allah Subhanahu wa
Ta`ala. Pengajian pula seharusnya berterusan dan semakin mendalam pengajian,
maka semakin kita mengenali Tuhan.
Sudah tentulah dengan pengajian membawa
diri patuh kepada perntah Allah dan menjauhi segala laranganNya. Bukankah
dengan solat mencegah diri dari melakukan kekejian dan munkar ? (Al-`Ankabut:
45), Bukankah puasa meningkatkan ketaqwaan ? (Al-Baqarah: 183), Bukankah dengan
berzakat menggandakan pahala dan dapatan ? Al-Nisa`: 162). Demikianlah dengan
berbagai-bagai ibadat yang lain.
Sesungguhnya jika seseorang Islam itu
mendalami keilmuan Islam, mengamal dengan apa yang disuruh dan menbjauh diri dari
segala larangan, dirinya bersifat ta`abbudiyyah, maka sesungguhnya dirinya tidak menjadi orang yang ingkar,
menentang perintah Tuhan, melakukan kejahatan dan berbagai-bagai lagi.
Pendidikan memupuk ta`abbudiyyah dan
diperkukuh dengan ibadah makin mendekati diri dengan Allah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment