BBB.
18 Zulkaedah 1437 = 21 Ogos 2016 (Ahad):
Al-Muhasibi menyusun sifat-sifat muhlikat
(negatif) pada peringkat akhir dengan
sifat riya`, `ujub, ghurur dan
takabbur dan pengakhiran dengan sifat hasad. Di dalam bahasa Melayu kata hasad
bererti dengki, tetapi dua perkataan ini sering digandingkan menjadi
`hasad-dengki`. Sifat hasad dengki memang dilihat sebagai sifat yang keji
lantaran ianya melibatkan lebih dari orang yang hasad, lantaran ada yang
dihasadkan. Yang dihasadkan ini menjadi objek yang dihasadkan. Hasad timbul
rasa tidak puas hati dan merasa dengki dan pihak yang hasad kalau dapat mau
yang dihasadkan hilang pencapaian atau dapatan yang didengki. Misalnya hasad
terhadap kekayaan yang dicapai oleh yang dihasad dan tidak menyenanginya. Lebih berbahaya bila pihak yang hasad
mengambil tindakan bagi memusnahkan kedudukan yang dihasad. Hasad mungkin dari
segi kesenangan harta benda, kedudukan, kepimpinan dan sebagainya. Orang yang
hasad tidak senang dan tidak tenteram selagi dia tidak memusnahkan yang dihasad. Ia mungkin bersifat kecil,
tetapi mungkin bersifat besar hingga membawa kepada sengkita, perbalahan, pembunuhan, bahkan peperangan.
Al-Muhasibi di dalam membicarakan tentang
hasad ini membahagikan hasad kepada yang diharam dan ada yang diharuskan. Yang
haram sebagaimana diterangkan di atas, bahawa seseorang yang hasad tidak senang
hati dengan pencapaian dan kejayaan seseorang dan mau memusnahkan kedudukan.
Sesungguhnya sifat sedemikian amat dikeji agama dan masyarakat.
Firman Allah bermaksud:
``Dan dari kejahatan orang yang hasad
apabila ia melakukan hasad dengki.`` (Al-Falaq: 5).
Firman Allah lagi bermaksud:
``Adalah mereka hasad terhadap mereka yang diberi kelebihan oleh
Allah.``(Al-Nisa`: 54).
Dan maksud sabda Rasulullah s.a.w. :
``Bahawa hasad menghapuskan kebaikan
sebagaimana api membakar kayu api.`
Hasad sedemikian dapat dilihat misalnya
dendem orang-orang kafir Quraisy terhadap dakwah Rasulullah s.a.w. menyebarkan
agama Islam di Makkah pada peringkat
permulaan dengan melakukan berbagai sekatan dan kepungan, sehingga berlakunya
Hijrah Rasulullah s.a.w. dan pengikut-pengikut Baginda ke Madinah.
Contoh hasad saudara-saudara Nabi Yusuf
terhadap dirinya, kerana kelebihan yang ada padanya dari paras wajahnya yang
tampan dan dikasihi bapa mereka Ya`kub, sehingga saudara-saudara Yusuf
mengadakan tipu helah terhadap bapanya dan membawa Yusof keluar dan di campak
di dalam kawasan perigi buta dengan harapan Yusof akan mati, tetapi
diselamatkan oleh musafir yang singgah di kawasan telaga dimana dia
dicampakkan, sehingga akhirnya ianya dijual dan menjadi anak angkat pembesar
Mesir. Yusof kemudian menjadi pentadbir
di Mesir dan kemudian dapat menemui keluarganya kembali dalam keadaan bahagia.
Banyak lagi contoh hasad yang berlaku baik
di kalangan keluarga, masyarakat, bahkan antara negara yang membawa kepada
peperangan.
Satu lagi hasad menurut al-Muhasibi, ialah hasad yang diharuskan. Beliau memetik
Hadith Nabi yang bermaksud: ``Tidak ada hasad pada dua perkara, iaitu lelaki
yang diberi Allah `Azza wa Jalla harta, maka dibelanjakan pada jalan yang benar
dan lelaki yang diberi ilmu oleh Allah dia beramal dengannya dan mengajar orang
ramai dengannya.``
Dalam erti kata lain, contoh seseorang yang
melihat orang yang kaya, dia mencontohinya, tanpa mau merosakkannya dan dia berazam bagi mendapat kekayaan agar
dengan kekayaan itu dia dapat banyak membuat kebajikan. Begitu seorang
yang memandang tinggi terhadap orang
alim dan pengaruhnya, maka dia berazam untuk mencontohi orang alim berkenaan
tana mau merosak atau meruntuhkannya, sebalik mau menjadi orang alim agar dapat
memahami secara lebih luas dan mendalam terhadap berbagai keilmuan. Dengan
mempelajari berbagai keilmuan , maka dia dapat mengamalkan dengannya, di samping
melakukan kebajikan dengan mengajar keilmuan-keilmuan yang ada padanya bagi
kepentingan orang ramai.
Hasad seperti ini
adalah perkara yang baik. Hasad baik juga dinamakan `ghibtah`. Termasuk
di bawah hasad yang baik ialah timbulnya sikap berlumba-lumba bagi membuat kebajian. Firman Allah bermaksud:
`` Dan pada yang demikian itu mereka
berlomba-lomba ingin merebut kesenangan dan kelebihan.`` (Al-Mutaffifin: 26).
Juga firman Allah bermaksud:
``Berlomba-lombalah untuk mendapat
keampunan dari Tuhan kamu.``(Al-Hadid: 21).
Daripada huraian di atas bahawa sifat hasad
dengki (negatif), bukan setakat keji, tetapi ianya boleh memberi implikasi
besar baik kepada individu dan masyarakat. Hasad dengki yang berlaku di
kalangan individu seperti di kalangan jiran tetangga, menyebabkan rosaknya
hubungan kejiranan dan keharmonian masyarakat setempat. Hasad dengki yang
serius boleh membawa kepada persengkitaan dan pembunuhan, bahkan mengganggu
ketenteraman tanahair, misalnya ada puak-puak yang bertelingkah kerana ingin
menguasai dan mengawal sesuatu kepentingan
dari pihak tertentu yang memawa kepada perkelahian, bahkan membawa
kepada pembunuhan dan peperangan. Sebab itu perlu dicegahkan dari peringkat
awal melalui pendidikan agama, akhlak dan moral serta kesedaran sivik yang
tinggi.
Adapun keinginan berlumba-lumba bagi
mencapai kejayaan tanpa berusaha menjatuhkan pihak lain (ghibtah), maka ianya
tidak dilarang, lantaran ianya merupakan cara yang sihat yang boleh memajukan
sesuatu bidang dan berkembang dengan usaha dan kreativiti.
Kitab al-Hasad adalah bab terakhir dari kandungan Kitab al-Ri`ayah Li Huquq Allah yang bakal
berakhir dengan konsep tarbiah yang diletak pada bahagian akhir Kitab. Dari
cara penyusunan seolah-olah Al-Muhasibi memperkenalkan dahulu sebahagian
aspek-aspek negatif (muhlikat) yang
merupakan dua pertiga dari kandungan al-Kitab, di samping aspek positif yang
merupakan satu pertiga dari kandungan Al-Kitab, bila berkenalan dengan
kedua-kedua jenis sifat al-Muhlikat dan al-Munjiyat, maka dengan perkenalan
memudahkan kefahaman dan pengajaran dan lebih memberi kesan positif kepada pendekatan pendidikan dan pengajaran.
Sekian.
No comments:
Post a Comment