BBB, 05 Zulkaedah 1437 = 08 Ogos 2016 (Isnin):
1) Sumber utama – asal dan dasar, iaitu Al-Qur`an
dan Al-Hadith
2) Rasulullah s.a.w. dan pembawaan Baginda
3) Latar dan pembawaan Khulafa` al-Rashidin
4) Para sahabat Rasulullah s.a.w. terutama yang
membawa ciri ketasawufan
5) Para tabi`in.
6) Para zuhhad
7) Kalangan sufi dan generasi
8) Kitab-kitab
tasawuf
9) Tulisan-tulisan terhadap tokoh, bidang-bidang dan perkembangan tasawuf
10) Penerokaan dan perluasan terhadap tasawuf.
Adalah di luar kemampuan, kalau kita mau
mengkaji semua bidang yang tersebut di atas.
Sebagai pendekatan awal kita telah
membicarakan sumber utama tasawuf yang tentunya tidak mendalam dan menyeluruh.
Juga tentang Khulafa` al-Rashidin dan juga sebahagian daripada sahabat-sahabat
yang tentu banyak lagi perlu dikaji dan diperluas.
Yang kita beri perhatian ialah tentang
turath persuratan tasawuf peringkat awal. Itu pun baru tiga kitab dari dua
orang tokoh, iaitu:
Kitab al-Zud wa Al-Raqa`iq oleh `Abdullah bin Mubarak al-Maruzi (m. 181H.).
Kitab Al-Zuhd dan Kitab al-Wara` oleh
al-Imam Ahmad bin Hanbal (m. 154-241H/780-855M.).
Kita akan memberi tumpuan pada persuratan
tasawuf menurut kronologi yang dengan secara langsung mencerminkan tentang
perkembangan tasawuf.
Tetapi pendekatan yang popular dan boleh
bersifat menyeluruh ialah dengan mengkaji tokoh-tokoh yang wujud sepanjang
perkembangan tasawuf.
Sebagaimana telah disebut pendekatan ini
telah dilakukan oleh Abu `Abdul Rahman
al-Sulamiyy (412H.). Beliau telah menghimpun dan membahagi sejumlah 103 sufi dengan memecahkan mereka kepada 5
generasi dengan setiap generasi 20 orang kecuali generasi ke 5 hanya 23 orang. Masa kewujudan tokoh-tokoh sufi ini
selepas dari meninggalnya `Abdullah al-Mubarak, iaitu dari tokoh Fudhail bin
`Iyadh (m. 187H.) hingga kepada tarikh kematian seorang sufi dari generasi
kelima, iaitu
Abu al-Qasim Ibrahim bin Muhammad al-Nasr
Abadhi (m. 377H.) dalam tempoh dua abad. Adalah menarik dilihat bahawa selama satu
abad selepas daripada kematian Abdullah
al-Mubarak, maka telah lahir tokoh-tokoh sufi terkenal (dua generasi menurut
al-Sulamiyy berjumlah 40 orang). Mereka adalah dari kalangan tokoh-tokoh sufi
terkenal yang antaranya dikaitkan dengan aliran-aliran tertentu.
Antara tokoh-tokoh sufi dalam masa seabad
selepas kematian Abdullah bin al-Mubarak
(m. 181H.) ialah Fudhayl bin `Iyadh
(m. 187H.), Dhu al-Nun al-Misri (m. 245H.),
Sari al-Saqati (m. 251H.), Al-Muhasibi (m. 243 H.), Abu Yazid al-Bistami (m. 261H.), Sulaiman
al-Darani (m. 215H.), Yahya bin Mu`adh al-Razi (m. 258H.), Abu Hafs al-Nisaburi
(m. 270 H.), Abu al-Qasim al-Junayd (m.
297H.) dan yang lain daripada mereka itu.
Dalam masa satu abad sekurang-kurangnya
lahir tokoh-tokoh sufi sejumlah lebih kurang empat puluh orang (2 generasi).
Sudah tentulah dalam masa tersebut,
lahir berbagai pendapat tentang kesufian, tetapi tidak semua mereka mengarang
kitab tasawuf seperti `Abdullah al-Mubarak dan Al-Imam Ahmad bin Hanbal. Namun
masing-masing ada mengeluarkan pendapat sama ada melalui pengajaran atau
diungkap dalam situasi-situasi khusus.
Kata-kata mereka dicatat secara gaya Hadith. Dalam kata lain walaupun selepas
dua abad dari zaman `Abdullah al-Mubarak tradisi persuratan Islam secara
riwayat masih terus popular digunakan. Melalui ungkapan-ungkapan mereka bukan
saja pendapat mereka tentang ketasaufan dapat dicatat, tetapi juga aliran di
dalam ketasawufan dapat dikenal pasti. Misalnya Abu Yazid al-Bistami dikenali
sebagai tokoh sufi falsafah. Antaranya kita memilih pandangannya tentang
ketasawufan dari Tabaqat al-Sufiyyah oleh al-Sullami:
·
Ditanya Abu Yazid tentang darajah `al-`Arif`,
maka katanya, ``Tiada di sana darajah, bahkan setinggi-tinggi faedah `al-`Arif`
wujud apa yang dima`rufkannya.``
·
Berkata
Abu Yazid, ``Al-`Abid dia menyembahNya
dengan hal, dan `Al-`Arif ialah yang sampai yang ia menyembahNya dalam hal.``
·
Ditanya
Abu Yazid, ``Dengan apa yang dapat menolong kita beribadat ? Jawabnya, ``Dengan Allah sekiranya engkau
mengenaliNya.``
Maksud di atas agak berat dan perlu kepada
penghuraian.
Kita mengambil pula dari kata-kata al-Junayd (m. 297H.) yang dia adalah dikira pendukung Sunni dan
sealiran dengan al-Harith al-Muhasibi (m.
243H.), pendukung tasawuf Sunni. Antara katanya:
·
Berkata
al-Junayd: ``Waktu bila berlalu tidak mungkin didapat kembali, sebab itu mulia
dan jagalah waktu.``
·
Aku
mendengar Aba al-Hasan `Ali bin Muhammad al-Qazwini berkata, ``Aku mendengar
Aba al-Tayyib al-Makki berkata, aku mendengar Aba Ja`afar al-Khuldi berkata,
``Aku mendengar al-Junayd berkata,
``Pembukaan bagi setiap pintu kemuliaan memerlukan kesungguhan.``
·
Aku
mendengar Ahmad berkata, ``Aku mendengar al-Junayd berkata, ``Siapa yang mendekati
wali dari wali-wali Allah, menerima dan memuliakannya, maka dia dimuliakan oleh
Allah sebagai tonggak penyaksian.``
Sesungguhnya bagi kata-kata sufi terdapat
ketinggian makna dan keluhuran kandungan, tetapi tidak kurang pula dari
kontroversi dari segi tafsiran yang membawa kepada takwilan, fahaman dan
aliran, lantaran kata-kata mereka kadang-kadang membawa perlapisan makna dan
bercabang,
Demikianlah dapat dipetik berbagai-bagai
ungkapan dan pandangan dari berbagai-bagai sufi yang lain yang begitu ramai dan
beragam, tetapi tidak dapat dimuatkan di sini. Memahami ungkapan mereka
kadang-kadang memerlukan kefahaman
kaedah sastera yang bahasanya bercabang makna dan tafsiran, namun bahasa
kesufian lebih rumit kerana ianya melibatkan
keilmuan dan akidah Islam.
Sekian.
No comments:
Post a Comment