BBB, 28 Jamadil Awwal 1434 = 09 April 2013 (Isnin):
Memasuki pilihanraya kali ini Pakatan Rakyat melangkah lebih
gagah dan lebih yakin. Keyakinan kerana percaya rakyat makin memberi sokongan
dan gerakerja lebih berfokus,
berstrategi dan berwawasan. Jika strategi pilihanraya sebelum ini ialah
menguasai negeri-negeri yang dari segi perkiraan boleh dikuasai seperti
Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak, maka strategi pada kali ini
ialah mengukuh penguasaan negeri-negeri yang telah dikuasai dan memfokus
negeri-negeri yang dianggap kubu dan kebal bagi parti-parti lawan. Dua dari
kawasan sedemikian ialah Johor dan Putra Jaya. Memang kedua tempat dianggap
benteng kebal bagi BN yang merasa amat selamat, tetapi jika metos kekukuhan ini
dapat dtembus dan dipecah, maka watak sebagai legenda keyakinan akan hilang dan
mereka tiada lagi sandaran sebagai asset kekuatan. Pihak pimpinan dalam Pakatan
telah lama memeriksa dan meneliti peta strategi sedemikian, bahkan mengambil
tindakan. Misalnya menurut Mantan YB. Salahuddin Ayob sejak setahun yang lepas beliau
telah mengatur strategi bagi menggempur wilayah Kebal di Johor. ``Saya anak
jati Johor, mula mengenal politik di Johor, tetapi oleh kerana kawasan tradisi
Umno ini amat kebal untuk ditembusi, maka saya mengambil pendekatan berhijrah
mencari pengalaman dan bekalan untuk kembali berjuang di tanah kelahiran
sendiri.`` Menurutnya, ``Kepulangannya adalah dengan keyakinan dan tidak mungkin
menoleh kembali ke belakang.`` Mantan YB Salahuddin berpantun,
Nyiur gading puncak mahligai
Anyam ketupat berisi inti
Pecah pending tulang berkecai
Pantang melihat ke belakang lagi.
Mantan YB Salahuddin Ayob dijangka bertanding bagi kerusi
Parlimen Kulai Johor. Usaha bagi memecah benteng kekuatan BN di Johor ini
secara strategi juga diambil tindakan oleh Penasihat Umum DAP Mantan YB Lim Kit
Siang rela meninggalkan kawasan selesa baginya di Ipoh untuk terjun bersilat
politik dengan sebarang lawan di Gelang Patah. Sudah tentulah kepulangan dan
pemergian dua pahlawan Pakatan Rakyat ini menggemparkan seluruh bala tentera
politik BN di Johor. Bahana kemaraan bala tentera Pakatan yang bergerak dengan
penuh keyakinan ke selatan mengecut perut dan mengharubirukan pertahanan. Sejak
pecah berita ini Abdul Ghani dan Chua Soi Ah Lek tidak senang duduk, Dato` Seri
Najib di Putrajaya sama menerima hangat tempias, tetapi pimpinan di Johor terpaksa
berlagak anak jantan mempersilakan kehadiran mereka. Kita menunggu untuk
melihat titanic pertempuran agung, juga menunggu keputusan, siapa yang kalah, siapa
yang menang dan siapa pula yang kecundang.
Bagai strategi yang diatur rapi dan secara bersiri ialah mencabar
kekebalan BN di Putrajaya. Ianya adalah fokus puncak bagi Pakatan Rakyat. Tanpa
azam dan keberanian tiada siapa berani untuk masuk ke medan pertempuran politik yang diawas rapi
setiap pengundi oleh Dato` Tengku Adnan. Cabaran ini diambil oleh Mantan YB Dato` Husam Musa salah seorang
Panglima dalam Pas sendiri. Sudah tentulah Tengku Adnan yang selama ini releks
dan yakin tempatnya tiada siapa berani mencabar, tersentak dan mulai diserang
bimbang yang kemungkinan benteng kekuatan yang selama ini dibina di Putrajaya
akan terdedah, bahawa apa yang dibina adalah semata-mata istana pasir ! Dia mungkin
teringat pepatah, Sekali air bah sekali pasir berubah.
Sengaja diatur di Bangi ibarat Markaz Utama Strategi. Di
sini diadakan pertemuan antara Mantan YB Salahuddin, Mantan YB Dato` Husam
Musa, ditambah kehadiran dengan Mantan YB Mahfuz Umar Mantan Ahli Parlimen
Pokok Sena yang sengaja datang dari utara ke Bangi, maka di sini melalui Program
Makan Malam yang ditaja Pas Bangi ketiga-tiga Naib Presiden Pas ini bertemu
mengatur strategi bagi menggempur Kota Selatan dan Putrajaya. Pihak penganjur
bernasib baik kerana berhimpunnya tiga Naib Presiden secara serentak di Bangi –
sukar berlaku. Dana yang dipungut malam ini akan diagih-agih kepada beberapa
pihak – termasuk Dun Bangi yang amat memerlukan kewangan bagi menggerakkan
strategi seterusnya menguasai dan menawan medan
perang musuh.
Sebelum dari itu Ustaz Shafie Ngah sebagai Pengerusi Majlis
menjemput Mantan Adun Bangi menyampaikan kata-kata aluan dan berterima kasih di
atas kehadiran semua pihak dan derma yang dihulurkan. Mantan YB Salahuddin yang
menggalurkan perjungan politiknya bermula dari Johor dan kini kembali ke Johor,
Mantan YB Husam yang sedia menerima arahan untuk ke Putrajaya dan mengharapkan
sandaran kewangan bagi menggerakkan jentera dan tenaga parti. Mantan YB Mahfuz
juga secara bergurau menyatakan, ``Kawasannya juga memerlukan dana dan jika ada
lebihan, Pokok Sena mengalu-ngalukan.`` Bangi nampaknya bukan saja tempat strategic
bagi mengatur pergerakan, tetapi juga menjadi tempat sumber kewangan.
Program makan malam bagi memungut dana ini bermula dari jam
8.00 malam bertempat di Restoran Asam Pedas, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi. Para
tamu sampai secara berperingkat-peringkat, bermula dengan kesampaian Mantan YB
Salahuddin, diikuti Mantan YB Dato` Mahfuz dan Mantan YB Dato` Husam Musa.
Makan malam bermula sebaik sampai Tetamu Kehormat pertama dan makan berterusan
hingga ke masa majlis dimulakan. Hadirin yang merupakan penderma dan penyokong
Pas tegal itu mendekati dan merapati tempat tetamu bersalam, bercakap dan bergurau
secara santai. Ruang restoran Kedai Asam Pedas yang terletak bahagian tepi yang
ada ruang, tetapi tidak mampu menampung kebanjiran hadirin.
Mungkin bagi mereka yang hadir, jamuan bukan menjadi tujuan
utama kehadiran mereka, tetapi lebih kepada pernyataan sokongan. Pernyataan ini
perlu sebagai sokongan bagi meningkatkan semangat perjuangan. Kehadiran
ketiga-tiga tokoh pimpinan Pas tertinggi yang menjadi tarikan utama kehadiran
hadirin dan hadirat di samping menyampaikan derma. Kita berpendapat kiranya pada
majlis pelancaran derma mereka datang, mungkin bila tiba episod-episod
pertempuran, mungkin tiada masalah bagi mereka turun memikul dan masuk sama ke
dalam pertentangan politik sengit bagi menentukan keputusan muktamad.
Allahu Akbar !
Sekian.
http://kopidantampal.blogspot.com/2013/04/paduka-ayahanda-bertanding-di-bukit.html
ReplyDeleteBerani lawankah!