Jalan Cerdik, Taman
Universiti, 2 Jamadil Akhir 1434 = 13 April 2013 (Sabtu):
Surau Abqari, Jalan Cerdik, Taman Universiti adalah
merupakan surau baharu yang mula digunakan sejak tahun 2008. Taman
di sini juga baharu, dihuni beberapa tahun sebelum daripada itu. Kedudukan
Taman dan surau ini agak ke dalam daripada Sungai Tangkas. Sebagai jalan pintas
boleh dilalui mengikut jalan German Malaysian-Institute dan terus sampai ke
Taman Universiti. Taman Universiti mempunyai sejumlah 300 buah rumah dengan
penduduk lebih kurang 1,500 orang. Sejak awal penduduk berpindah mereka
memerlukan sebuah surau dan tidak ada alternative surau yang lain. Sebab itu
keperluan surau terawal ialah dengan mendirikan semacam bangsal yang di
kelilingi dinding dan lantai sementara. Namun penduduk berusaha mencari derma
bagi mendirikan Surau yang kini diberi nama dengan Surau Abqari. Mantan Adun
pernah datang semasa surau ini masih bersifat bangsal. Surau sekarang dibina
dengan kos RM300,000.
Mantan Adun Bangi datang untuk melawat dan menyampaikan
peruntukan yang dipohon bagi pembinaan tempat urusan jenazah. Mantan Adun Bangi
dan saudara Azizi tiba lebih awal di Surau Abqari dan sempat mengambil gambar
surau dan juga melihat bangunan rumah jenazah yang telah didirikan dan juga mengambil
gambar. Kemudian hadir dan kami bertemu dengan Pengerusi Surau Tuan Haji
Zakaria, Imam Ustaz Muhammad dan kemudian hampir Maghrib, makin bertambah ramai
yang datang.
Kami berhenti dari bersembang apabila Maghrib tiba dan azan
dialunkan. Mantan Adun diminta mengimami solat Maghrib. Selepas wirid dan doa,
diadakan sedikit upacara ringkas menyerahkan cek. Tuan Haji Zakaria mengalu-ngalukan
kehadiran Mantan Adun Bangi yang akan menyampaikan peruntukan bagi pembinaan
Rumah Jenazah yang Mantan Adun lihat dan diambil gambar oleh saudara Azizi
tadi. Menurut Tuan Haji Zakaria, ``Kos bagi
membina rumah pengurusan jenazah, ialah RM20,000.`` Tambah Haji Zakaria, ``Kita
berterima kasih kepada Mantan Adun, kerana kesudiannya hadir ke majlis pada
malam ini.
Dalam ucapan balas dan ringkas, Mantan Adun Bangi maklumkan,
bahawa kehadiran Mantan Adun pada malam ini untuk menyampaikan peruntukan
tambahan bagi menyiapkan Rumah Pengurusan Jenazah. Permohonan bagi peruntukan tambahan
dibuat sejak dua bulan yang lepas. Pada
petang hari ini Mantan Adun turun bagi menyampaikan peruntukan bagi rumah
Urusan Mayat, iaitu sebanyak RM3,000 sahaja. Iaitu satu jumlah yang agak
sedikit, tetapi diharap dapat meringankan sedikit kos pembinaan yang berjumlah
RM20,000. Mantan Adun mengatakan, ``Saya difahamkan pada malam ini ada kelas
pengajaran yang akan disampaikan oleh Ustaz Musa, maka saya tidak bercakap
panjang dan terima kasih kerana diberi peluang bercakap.
Selepas dari penyampaian cek RM3,000 mantan Adun Bangi
memohon diri bagi menziarah tempat lain.
Sekian.
No comments:
Post a Comment