BBB, 21 Jamadil Awwal 1434 = 02 April 2013 (Selasa):
Menelusuri perjalanan ilmu yang aku lalui, tunduk tafakkur aku mensyukuri di atas kurnia tabah dari Allah bagiku merentasi liku-ranjau merentangi. Ada beberapa faktor yang membina dan membentuk cekal dan waja diriku. Sejak dari kecil seumur 4 tahun aku kehilangan ibu diikuti bapa seumur enam tahun. Nenek lelaki dan perempuan sebelah bapa menampung kasih sayang aku dan adik perempuanku. Aku bersekolah Melayu, Kg. Nyiur, Paka seperti anak-anak yang lain. Pada tahun 1955 diadakan peperiksaan pemilihan untuk ke Sekolah Menengah Melayu, hasil tuntutan rakyat agar diadakan peringkat menengah sebagai kesinambungan pelajaran rendah kebangsaan. Tiga orang termasuk diriku berkelayakan ke Sekolah menengah– sebelum diadakan Sekolah Tuanku Abdul Rahman di Ipoh pembelajaran antaranya ditumpang di Clifford School, Kuala Lipis. Sekolah yang lain ialah Sekolah Dato` Abdul Razak – SDAR di Seremban. Sebelumnya menumpang MPSI, Tanjung Malim. Dua dari kawanku (seorang sepupuku) bersekolah asrama di Kuala Lipis sebelum siapnya Sekolah Tuanku Abdul Rahman. Adapun aku tidak direstui nindaku, kerana bimbang aku dipengaruhi unsur-unsur negatif. Nindaku terpaut dengan peribadi seorang bapa sepupuku yang warak dan alim yang belajar di sebuah pondok (Madrasah Islahiyah, Kuala Berang). Ninda mau aku menjadi sepertinya.
Aku patuh pada kehendak dan niat suci nindaku, tetapi semasa mengikuti pengajian tradisional pondok, aku dengan kehendak sendiri masuk pengajian Sekolah Arab Kuala Berang (menggunakan Balai Polis Lama, bangunan papan, tepi Sungai Terengganu) dan kemudian dengan kemahuan sendiri, walaupun dengan kesukaran berpindah (Tidak disetujui Tuan Guru Faqih Abdullah Pemilik Pondok Madrasah Islahiyah)
Ke Madrasah Sultan Zainal Abidin Menengah, Kuala Terengganu. Dengan bantuan Jabatan Kemajuan Masyarakat dan tak dinafikan dari ninda, aku meneruskan pengajian yang sepatutnya 9 tahun (Thanawi) aku langkaui selama 6 tahun sahaja. Aku berazam ke universiti yang sepatutnya dalam jangkaan aku mungkin capai jika melalui Sekolah Asrama Penuh yang ditawarkan oleh Kerajaan. Aku memasang serampang dua mata dengan belajar kelas malam di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman di Kuala Terengganu, di Sekolah Tengku Mahmud di Besut ditambah dengan pengajian Corespondance dengan Stanford dan Institute Malaysia. Pengajian yang boleh dikatakan secara persendirian ini sebenarnya tidak menghasilkan keputusan yang baik. Terpaksa mengambil dua kali peperiksaan pada peringkat LCE/SRP dan dua kali pada peringkat HSC. Peperiksaan HSC (1969) juga tidak penuh kerana gagal pada peringkat General Paper yang tahun sebelumnya lulus dengan baik bersama kertas Agama Islam. Tapi dengan pencapaian 2B, 1D dan kelulusan General Paper sebelumnya aku berharap permohonan diterima.
Atas semangat mewujudkan Universiti Kebangsaan dan mendaulatkan bahasa Kebangsaan yang menjadi desakan rakyat, maka Aku membuat permohonan dan pilihan utama ke Universiti Kebangsaan. Dari segi permohonan ini ada semacam tiada penyelarasan. Misalnya siaran akhbar pada 27.1.1970 disamping kemasukan ke Universiti Kebangsaan, ada pula arahan untuk memohon kemasukan ke Universiti Islam, maklumat hendaklah mengikut siaran akhbar (Di UKM kiranya dapat tawaran, aku berhasrat untuk mengambil jurusan Islam, tapi disyaratkan ada kelulusan khusus Kolej Islam). Keadaan ini ada hubungan dengan adanya tuntutan agar universiti Kebangsaan yang mau didirikan hendaklah menggunakan nama Universiti Islam. Desakan ini datang dari pendukung-pendukung yang melihat sewajarnya Universiti Islam didirikan sebagai lanjutan bagi Kolej Islam yang telah didirikan sejak 1956 di Kelang itu. Tokoh-tokoh yang mendukung pendapat ini adalah Profesor Abdul Jalil Hasan Pengetua Kolej Islam yang berpindah di Petaling Jaya dan Dr. Omar Pengarah Pusat Perubatan yang bangunannya berhadapan dengan Kolej Islam Petaling Jaya berkenaan. Manakala Pejuang-Pejuang bahasa dan Universiti Kebangsaan Malaysia seperti Abu Bakar Hamid, Syed Nasir, Zainal Abidin Wahid, Mahathir Mohamad dan lain-lain adalah pejuang-pejuang bagi mendirikan UKM. Namun iklan bagi Kemasukan ke Universiti pada 17.2.1970 ialah untuk kemasukan ke UKM, Universiti Pulau Pinang (USM) dan Universiti Malaya – Tiada Universiti Islam. Berlaku kompromi - hasrat mendirikan Universiti Islam ditangguh dan menjadi satu fakulti di UKM. Keputusan STPM dikeluarkan ialah pada 26.2.1970. Permohonan masuk dibuat pada 14.3.1970. Pihak Universiti Kebangsaan buat pengumuman melalui radio dan akhbar, iaitu pada 22.4.1970 bahawa seramai 170 pelajar sahaja akan diterima masuk ke UKM (Penerimaan sebenar kemudiannya ialah 198 orang), iaitu:
- 100 Jurusan Sastera
- 40 Jurusan Sains
- 30 Jurusan Islam
Manakala Pensyarah terdiri dari 20 orang. Tarikh mendaftar ialah 14.5.1970 dan kuliah bermula pada 20.5.1970.
Aku berdoa semoga aku adalah salah seorang yang akan menerima tawaran.
Namun pada satu peringkat aku agak keciwa mendapat tahu ada mereka yang telah menerima tawaran kemasukan. Ini membuat aku sering meninjau ke Pos Office Kg. Raja hinggalah pada 25.4.1970 aku ke Pos Office bertanya surat, tetapi dijawab posman `tiada`, namun akhirnya dimaklumkan ada surat tertindih dari UKM untukku. Jadi pada hari ini aku benar-benar menerima tawaran kemasukan ke UKM. Syukur Al-Hamdulillah.
Dengan penerimaan tawaran ini bererti banyak perkara yang perlu diuruskan dengan segera dan pantas (Kadang-kadang dua kali sehari ke Kuala Trengganu dari Besut membuat urusan).
- Memaklumkan kepada pihak Sekolah Al-Ma`arif yang bakal kehilangan guru dengan kemasukanku ke universiti. Guru Besar Ustaz Abdul Rahman bin Ibrahim amat memberi kerjasama
- Memohon Cuti Belajar dengan mendapat gaji sepenuh atau sekurang-kurangnya separuh. Cuti diberi, tetapi dukacita tiada sebarang gaji diberi.
- Memohon biasiswa, yang ditawarkan hanya hadiah RM1,000 sahaja sebagai insentif masuk universiti. Ini bererti tiada sumber kewangan berterusan.
- Mengusahakan pertukaran Isteri dari Sekolah Arab Al-Ma`arif ke Sekolah Khairiah yang beliau mengajar sebelum ini. Urusan pertukaran dapat dilakukan dengan cepat. Beliau repot mengajar di Sekolah Khairiah pada 10.5.1970. Kepulangannya ke Kuala Terengganu menenangkan hatiku, kerana beliau dan anak-anak tinggal di kampong bersama-sama kedua-dua orang tuanya yang dapat sama mendidik cucu-cucunya. Pada 10.5.1970 hari ini juga aku menyerahkan surat cutiku kepada Pejabat Agama Islam Terengganu.
- Mengusahakan agar Perjawatan Guruku akan disambung. Bukan letak jawatan.
Dengan penawaran dari pihak UKM, bererti satu era baru yang aku tempoh dalam kehidupan diri. Namun sebagai Ketua sebuah keluarga dengan anak-anak sedang membesar (dua anak pada masa itu), banyak cabaran dan halangan, lebih-lebih lagi aku sendiri kehilangan sumber pendapatan bulanan dan isteri bersendiri mengasuh anak-anak di kampong semasa aku belajar.
Terima kasih kepada semua yang memudahkan urusan.
Sekian.
Salam,
ReplyDeleteYB,
Ada sedikit tulisan saya yang ada menyentuh tentang graduan sulung UKM.
http://harithsidek.blogspot.com/2013/03/kenang-kenangan-kolej-kediaman-pertama.html