February 1, 2014

Logic & Rhetoric Bahasa Politik


BBB, 28 Rabiul Awwal 1435 = 30 Januari 2014 (Jumaat):

Bila berlaku pilihanraya antara yang menarik, bahkan menyeronokkan ialah menghadiri ceramah-ceramah pilihanraya. Tiap parti yang bertanding akan menampilkan penceramah-penceramah terkenal mereka untuk menarik kehadiran khalayak, khususnya pengundi-pengundi mendengar penerangan dan hujah-hujah mereka yang dijangka menarik khalayak pendengar yang diharap memberi sokongan terhadap parti dan calon yang bertanding. Bagi tiap parti mempunyai jaguh-jaguh pidato yang dapat menarik khalayak – Contoh Tuan Haji Mat Sabu, Mahfoz Omar dan Salahuddin Ayub dari Pas, Dato` Seri Anwar dan saudara Azmin dari PR dan yang lain-lain. Khalayak selain dari ingin mendengar hujah yang konkrit mereka juga mau mendengar aspek-aspek lucu yang menjadi bahan gurauan dan sindiran dalam ucapan masing-masing.

Selain daripada mendengar ucapan dan ceramah pilihanraya dalam musim pilihanraya ini juga pimpinan kadang-kadang mencabar dan meminta respond dari lawan terhadap cabaran yang kadang-kadang mencerminkan kecerdasan dan kebijaksanaan pihak yang mencabar dan dicabar. Penggunaan bahasa yang mencabar dan yang dicabar kadang-kadang bersifat logic dan rhetoric yang menarik dari segi bahasa yang mencerminkan kecerdasan cara menjawab secara tepat dan kadang-kadang melucukan. Aspek sedemikian melibatkan ilmu Bahasa (Linguistic & Balaghah` yang membicarakan aspek penggunaan bahasa secara tepat, mendalam, indah atau bercabang !). Cara pengungkapan bukan dibuat-buat, tetapi spontan dan kena dengan jawapan.

Baru gelanggang pilihanraya kecil dibuka, walaupun belum diumumkan tarikh pilihanraya. Ada calon diumumkan dari awal seperti Dato` Seri Anwar Ibrahim bakal calon bagi kerusi yang telah dikosongkan di Kajang itu. Dalam meneka-neka siapa calon utama sebagai lawan kepada Dato` Seri Anwar, saudara Azmin Ali selaku Timbalan Presiden PKR dalam satu majlis mencabar Dato` Seri Najib Tun Razak selaku Presiden Umno dan BN agar bertanding di Dun Kajang, sesuai masing-masing bertaraf Ketua bagi parti masing-masing. Cabaran saudara Azmin ini adalah logic dilihat dari segi taraf dan kedudukan kedua tokoh. Cabaran dianggap bijak dan sesuai.
Tentulah cabaran ini wajar berjawab. Kita sudah tahu dengan cabaran ini tidak mungkin Dato` Seri Najib mau bertanding, tetapi yang kita mau tahu dan melihat cara dan kebijaksanaan Dato` Seri Najib menjawab.

Dalam satu majlis – termasuk di hadapan wartawan-wartawan Dato` Seri Najib ditanya tentang cabaran saudara Azmin. Beliau menjawab bahawa, beliau tidak mau dan tidak sepatutnya diseret ke dalam masalah peribadi dan rumah tangga lawan !  Jawapan Dato` Seri Najib ini dilihat dari segi rhetoric, logic dan bahasa tepat dan sepadan dengan cabaran, bahkan mematikan cabaran lawan. Di dalamnya kedapatan unsur sinis dan tajam. Kedua pihak menampilkan logic cabaran dan logic jawapan yang menandakan kedua-duanya cerdas fikiran dan spontan dari segi jawapan.

Isu yang sama dibangkitkan oleh saudara Tee Keat Bekas Presiden MCA dan Mantan Ahli Parlimen Pandan, ekoran dari Liow Tiong Lai Presiden MCA sekarang dan Ahli Parlimen Bentong mendakwa Dun Kajang adalah kawasan tradisi ditandingi calon MCA dan MCA mau bertanding bagi kerusi itu pada pilihanraya kecil nanti. Dalam konteks ini Tee Keat mengacah, ``Mengapa tidak  Tiong Lai saja bertanding ?`` - Atas kapasiti ketua lawan ketua. Acahan ini nampak bersahaja, tetapi juga bersifat sinis. Tiong Lai tidak menjawab secara langsung, tetapi dia turun pada kenyataan, katanya, di dalam satu kenyataan ``MCA akan mengemukakan senarai pendek beberapa nama yang mampu memberi kemenangan bagi MCA !`` Jawapannya mengandungi unsur positif, konfiden, berstrategi dan berpsikologi ! Walaupun orang tahu kemungkinan MCA menang belum pasti !

Daripada berbagai gaya cabaran dan jawapan kita dapat kategorikan ungkapan-ungkapan bahawa bahasa saudara Azmin bersifat `cabaran`, bahasa jawapan Dato` Seri Najib bersifat `spontan, sinis dan tajam`, bahasa saudara Tee Kiat bersifat `acah-acah dan sindir`, Tiong Lai bersifat positif dan praktis. Dapat ditambah lagi berhubung dengan pilihanraya kecil ini, Tun Mahathir bersifat `cadangan` bila beliau mencadang agar MCA diberi peluang bertanding, kerana ianya merupakan kawasan tradisi MCA, Pemuda Pas negeri Selangor yang mau memboikot bersifat pilihanraya bersifat `ancaman`,  Khairy Jamaluddin yang mau Pemuda Umno bertanding bersifat `tawaran`, manakala pihak tertentu dalam Umno mau `calon Melayu` bertanding sebagai `menyimpang` dari tradisi.

Sesungguhnya gelanggang pilihanraya kecil baru dibuka secara tidak rasmi. Aspek bahasa, logic dan rhetoric dari pemimpin politik, khususnya berkait dengan pilihanraya kecil Kajang merupakan bidang menarik untuk dikaji oleh tokoh bahasa, sastera, politik dan psikologi.

Sekian.

No comments:

Post a Comment