February 8, 2014

Ziarah Menziarahi Yang Sakit Demi Masjid

-->
BBB, 06 Rabiul Akhir 1435 = 06 Februari 2014 (Khamis):

Pada jam 3.00 petang Khamis 23 Januari 2014, Kami AJK Pembinaan Masjid Al-Umm ke Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Shah Alam yang dijangka diketuai oleh Penaung AJK Pembinaan Masjid Al-Umm Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din dengan tujuan untuk berjumpa dengan Tan Sri Anuar Pengerusi Lembaga Zakat dan Wakaf Selangor. Pertemuan untuk membincangkan tentang dana pembinaan Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi. Setibanya kami di bangunan Pejabat LZS, kami dimaklumkan tentang keuzuran TG Dato` Dr. Haron Din dan beliau dimasukkan ke IJN pada hari itu. Walau bagaimana pertemuan diteruskan dengan Penulis sebagai Pengerusi dan AJK dan En. Izam bin Mohd. Yusof sebagai CEO LZS. Pertemuan disifatkan sebagai mesra dan memberi maklumat dan manfaat.


Berhubung dengan kemasukan TG Dato` Dr. Haron Din beberapa pihak telah menziarah TG termasuklah Tun Mahathir dan Tun Abdullah yang kedua-duanya Bekas Perdana Menteri Malaysia. Penulis bersama saudara Azemi dan saudara Azizi berkesempatan menziarah. Adalah difahamkan dua hari selepas kami menziarah TG Dato` Dr. Haron Din dibenarkan pulang ke rumah, selepas kepulangannya Tan Sri Anuar ibn al-Marhum Tuanku Syed Putera Jamalullail sahabat baik TG telah turut menziarah TG Dato` Dr. Haron Din di rumahnya di Bandar Baru Bangi. Kunjungan ini sudah tentulah sebagai melahirkan rasa gembira dan syukur di atas kesihatan TG yang semakin pulih.


Hari ini Khamis jam 4.15 petang di luar dari jangkaan kami TG Dato` Dr. Haron Din yang baru saja pulih dari sakit sanggup datang dan Tan Sri Anuar pula sanggup memperuntukkan masa bagi kunjungi kami diketuai TG seolah sebagai ganti pertemuan tak jadi 23 Januari 2014 yang lepas. Pertemuan ialah di rumah kediaman Tan Sri Anuar. Rombongan kami bertolak jam 3.00 petang dengan Tuan Haji Mohd Nor Yassin Bendahari bersama Tuan Haji Suib Maulud Setiausaha, Haji Abdul Rahman AJK dan saudara Adham Setiausaha Kerja dalam sebuah kenderaan dan Penulis bersama saudara Azizi satu kenderaan, manakala TG. Dato` Dr. Haron Din bersama isteri dan anaknya saudara Hamdi dengan satu kenderaan. Ketibaan kami dalam masa hampir bersamaan ke rumah Tan Sri di Seksyen 16 Petaling Jaya itu disambut sendiri oleh Tan Sri Anuar, isteri dan anak menantunya. Dua kakitangan dari LZS juga turut hadir, iaitu Ustaz Farhan dan Ustaz Shukran.


Setelah berkenal dan diperkenal kami rombongan berbincang di meja mesyuarat. TG Dato` Dr. Haron Din memulakan perbincangan ringkas tujuan kehadiran dan berterima kasih di atas kesudian Tan Sri menerima rombongan. TG menyatakan hasrat kunjungan di samping Penulis menambah maklumat tentang pembinaan Masjid Al-Umm yang dalam progress itu. Rupanya Tan Sri telah meneliti dan membaca bahan-bahan berkenaan dengan Masjid Al-Umm yang telah dibekalkan sebelumnya. Jadi tidak banyak yang perlu kami – termasuk Haji Abdul Rahman Pengarah Projek memberi penerangan lanjut. Tan Sri menyebut ruang dan peluang untuk mendapatkan dana. Tan Sri berjanji untuk sama berusaha bagi mendapatkan sejumlah dana dan meminta kami menulis surat kepada pihak berkenaan yang akan disampaikan melalui Tan Sri.


Selain dari perbincangan secara licin dan tenang, Penulis sebenarnya tersentuh jiwa oleh beberapa perkara, iaitu komitmen TG Dato` Dr. Haron Din, selain dari beliau telah menyalurkan sejumlah RM1.52 juta kepada Masjid Al-Umm. Semasa TG sakit dan dikunjungi Penulis topic yang dibicarakan ialah perkembangan pembinaan Masjid Al-Umm dan hari ini, sepatutnya TG masih berihat setelah baru keluar dari IJN, tetapi sanggup datang agak jauh mengetuai pertemuan dengan Tan Sri Anuar bagi membincangkan tentang Masjid Al-Umm.

Penulis juga tersentuh jiwa tentang kesudian Tan Sri Anuar Ibn Al-Marhum Tuanku Syed Putera Jamalullail Raja Perlis dan Bekas Yang Di Pertuan Agung dan isteri beliau Puteri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah al-Marhum Sultan Selangor, Tan Sri selaku Pengerusi LZS dan Wakaf Selangor meletakkan dirinya sebagai orang biasa – Tan Sri dan isteri sendiri menerima TG sekeluarga dan kami dan menjemput kami ke dalam rumah. Suasana menunjukkan kehidupan mereka serba sederhana. Dinding rumah selain dari dihiasi gambar-gambar Al-Marhum Ayahanda dan Bonda ialah ayat-ayat suci – kelihatan bersifat Islamik. Tan Sri bercakap antaranya tentang LZS, masjid-masjid, antaranya yang diberi bantuan oleh LZS. Puteranya yang baru mendirikan rumah tangga berkelulusan Oxford dan lama tinggal di England itu turut sama bercakap dengan Penulis, terutama tentang bidang pengajian dan profession pekerjaannya.


Penulis terbayang dan terpandang dalam fikiran bahawa Masjid al-Umm insya Allah `Masjid al-Barakah` didirikan di atas dasar `Taqwa` yang setiap juzuk pembinaan adalah terdiri dari susunan keikhlasan jiwa semua pihak yang terlibat. Tan Sri Anuar sendiri dalam perbincangan sambil membilik-bilik buku perspektif berpuashati dengan bentuk binaan masjid, bahkan menyebutnya sebagai `Cantik`. Semua mengharapkan Masjid Al-Umm dibina menurut spesifikasi yang dirangka dan siap dalam tempoh yang dijangka.

Selepas perbincangan kami mendirikan solat asar berjamaah dengan diimami oleh Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din. Selepas itu kami beredar ke meja makan menikmati minuman petang dan terus berbincang dan bercakap mengenai berbagai-bagai topic – termasuk sekitaran tempat tinggal Tan Sri yang di bawah Bukit naik berbagai-bagai bangunan termasuk Ibu Pejabat Akhbar The Star di samping berbagai-bagai bangunan komersil. Menurut Tan Sri mereka sekeluarga menghuni di atas tanah dibeli dari PKNS itu sejak 40 tahun lepas lagi. Kediaman Tan Sri tidak jauh dari Bangunan Kolej Islam, Petaling Jaya yang pernah menjadi sebahagian dari bangunan UKM (Fakulti Islam) dan pernah juga menjadi Kampus UIA.


Majlis kunjungan dan perbincangan berakhir dengan penyampaian cenderahati dan ucapan terima kasih. Kami bertolak pulang jam 6.15 petang. Syukur kepada Allah semuanya berjalan lancar. Kunjungan kami amat berfaedah dan barakah – Insya Allah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment