September 19, 2014

Dialog Fatwa Perdana 2014 Anjuran Jabatan Mufti Selangor


Shah Alam, 23 Zulkaedah 1435 = 18 September 2014 (Khamis):
Majlis dialog di atas adalah merupakan kali pertama dianjurkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor. Majlis dialog berlangsung di Auditorium, Dewan Jubli Perak, SUK 40000 Shah Alam mulai jam 8.30 pagi hingga jam 1.00 tengahari. Dua kertas kerja dibentangkan:
1)      Bertajuk:  Fatwa  Pemikiran Liberalisme Dan Pluralisme Agama
Pembentang: Y.A.D. S.S. Dato` Setia Haji Mohd. Tamyes bin Abd. Wahid
Dato` Seri Utama Diraja Mufti Selangor
2)      Bertajuk: Fatwa Berkaitan Ajaran Syiah Di Negeri Selangor
Pembentang: Y.Bhg. Prof. Madya Dato` Haji Mohd. Mokhtar bin Hj. Shafii
Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor


Dalam pembentangannya S.S.  Dato` Mufti  Selangor menyatakan bahawa  faham liberalism dan pluralism  sebelumnya tidak wujud di negeti Selangor. Dari pertembungan dengan budaya dan faham dari luar dibawa masuk oleh kalangan yang terpengaruh dengan kedua-dua faham berkenaan. Faham liberalism  dan pluralisme adalah berbahaya, ianya merupakan api di dalam sekam yang boleh merosakkan akidah mereka yang terpengaruh dan mengikutinya. Faham yang meracunkan ini disebarkan antaranya melalui internet. Mereka menggunkan lima  S, iaitu:
1)      Sex     2.  Sport    3)  Smoke    4)  Screen  5)  Scene
Liberalisme tumbuhnya di Barat bertujuan untuk menentang kuasa gereja dan menghadkan kuasa politik. Kemudian ia berkembang dan memfokuskan  perjuangan kepada menghadkan kuasa politik, pertahan pemilikan dan perjuangan membela hak asasi manusia.
Dari segi pluralisme menurut Dato` Mufti Selangor. Mereka perjuangkan kebebasan agama dan menganggap semua agama betul. Berbeza luaran, tapi sama tujuan dan dalaman. Mereka menganjurkan merubah tafsiran lama terhadap Islam kepada tafsir baru dan bersesuaian dengan  suasana semasa. Bagi pluralisme, bahawa  kebenaran itu milik bersama dan tidak ada beza.
Pluralisme  berfaham bahawa , akal manusia adalah wahyu, mereka menimbulkan keraguan tentang Al-Qur`an, persoal tentang kenabian  dan menganjurkan membuat tafsiran baru terhadap Al-Qur`an menurut kesesuaian masa. Mereka menolak Hadith. Mereka memperjuangkan tentang kebebasan beragama dan  memetik ayat Al-Qur`an bahawa:
`Tiada paksaan dalam beragama. (Al-Baqarah: 256)
Mereka persoal tentang Imam mengapa mesti hanya lelaki, mereka mau wanita juga boleh mengakadkan nikah dan menjadi wali dan juga mau wirathah harta pesaka dibahagi secara adil.
Pengaruh Liberalisme dan Pluralisme di Indonesia seperti yang disebarkan oleh Nur Khalis Majid, manakala di Malaysia seperti yang diperjuangkan oleh Sisters  In Islam dan Faham Yang Menolak Hadith dan juga yang mau `Kalimah Allah` bebas digunakan oleh agama lain.
Faham-faham yang merosakkan akidah ini perlu ditentang dan dibasmikan bagi menyelamatkan akidah umat.


Berhubung dengan Fatwa Berkaitan Ajaran Syiah Prof. Madya Dato` Hj. Mohd Mokhtar Bin Hj Shafie AJK Fatwa Negeri Selangor menyatakan bahawa kemenangan Iran menentang Amerika pada tahun 1969 dan kejatuhan rejim Shah Iran mendapat sokongan Malaysia dengan harapan dapat menyatupadukan umat dan mengkuhkan Islam. Ada kalangan mereka yang berhubungan dan melawat bahkan belajar di  Iran, tetapi ketara kemudian ada masalah yang mengancam dari segi akidah yang menjadikan kita lebih berwaspada di dalam berhubungan dengan mereka, bahkan pengaruh Syiah bertempat di kalangan mereka yang terpengaruh dengan ajaran Syiah yang berlainan dari pegangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah. Misalnya pengucapan syahadah Syiah berlainan dari syahadah pegangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah, pemujaan terhadap Sayyiduna Ali dan penentangan mereka terhadap Khalifah Abu Bakar, Umar dan `Uthman, konsep ma`sum pimpinan, penambahan mereka terhadap Al_Qur`an. Mereka berpegang dengan Mushaf Fatimah . Seterusnya soal  mut`ah yang bertentangan dengan ajaran ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah.


Faham Syiah bukan saja berlainan dari Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah, tetapi jika dibiar berkembang di Malaysia boleh membawa perpecahan di kalangan umat
Dengan dialog diharap memberi  kesedaran dan ingatan. Para pemegang tauliah diharap mengingatkan masyarakat tentang bahayanya liberalism, pluralism dan Syiah yang perlu ditentang dan dibasmikan bagi menyelamatkan umah dari perpecahan. Kita perlu perkukuhkan pegangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah.
(Akan diikuti dengan dialog dan acara perasmian penutup).

Sekian.

No comments:

Post a Comment