BBB, 04 Jamadil Akhir 1437 = 13 Mac 2016
(Ahad):
Mengingatkan
bahawa Tuan Hussein Kedah seorang ilmuan mendalam bukan saja dalam
bidang akidah, tetapi juga di dalam bidang tasawuf – termasuk fiqh, maka kita
menjangka Tuan Hussein akan membawa pendekatan
yang bersifat tariqat di dalam keilmuan tasawuf. ( Antara pembicaraan
dalam tariqat ialah shari`at, tariqat, hakikat dan ma`rifat), tetapi sangkaan
sedemikian tidak betul. Pendekatan yang dibawa beliau bagi Jalan Menuju kepada
Allah ialah pendekatan akidah dan shari`at. Kata Tuan Hussein Kedah:
``Ketahui olehmu bahawasanya jalan yang
menyampai kepada Allah Ta`ala, iaitu segala jenis ibadat dan taat dan khabar
yang datang akan dia oleh Rasulullah daripada Allah Ta`ala yang terkandung
sekaliannya di dalam Qur`an dan Hadith Nabi s.a.w. Menurut Tuan Hussein Kedah
bahawa pekerjaan agama terbahagi kepada tiga:
1) Barang yang diberati atas
mukallaf meninggalkan dia iaitu segala yang haram.
2) Barang yang diberati atas mukallaf mengerjakan dia, iaitu wajib.
3) Barang yang diizin bagi mukallaf memilih antara mengerjakan dia atau
meninggalkan dia, iaitu harus.
Sebagai
tambahan Tuan Hussein Kedah menyebut persoalan bid`ah, iaitu melakukan
sesuatu yang tidak dilakukan pada zaman Rasulullah, beliau memberi contoh
seperti melakukan tafsir dan pengajian tafsir, perbuatan ini adalah merupakan
bid`ah hasanah, lantaran dari pengajian tafsir dapat difahami kandungan Al-Qur`an dan hukum hakam yang
terkandung di dalamnya, di samping dapat mengambil tadabbur dari kandungannya
sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
``Apakah mereka tidak mengambil tadabbur dari
Al-Qur`an ?`` (Al-Nisa`: 82).
Berhubung dengan khenduri Tuan Hussein Kedah
berpendapat khenduri yang melibatkan makan minum:
``Iaitu mengikut bagi barang yang ada baginya
asal pada Qur`an, iaitu suruh kita menafakah harta atas wajah yang halal, lagi
harus seperti sedekah dan khenduri dan lainnya berdasarkan ayat al-Qur`an
bermaksud:
``Dan hendaklah kamu menafakah daripada apa
yang Kami rezekikan kepada kamu sebelum kamu dikunjungi maut.`` (Al-Munafiqun:
10).
Tuan Hussein Kedah membahagikan setiap hukum
taklif yang lima kepada dua bahagi:
1) Haram
a) Haram melakukan perkara yang haram seperti
berzina, membunuh dan mencuri.
b) Haram meninggalkan akan tiap-tiap barang yang
wajib oleh shara`, seperti wajib mengucap dua kalimah shahadah bagi segala
kafir dan wajib beriman dengan Allah dan Rasul.
2) Makruh
a) Makruh mengerjakan perkara yang dimakruhkan
seperti makan sesuatu yang mempunyai bau yang keji.
b) Makruh
meninggalkan barang yang disunat oleh shara` mengerjakandia iaitu seperti
mengerjakan segala sunat rawatib, duha,, witir, tarawih dan sebagainya.
3.
Wajib
a)
Wajib mengerjakan segala pekerjaan yang wajib seperti mengerjakan solat
lima waktu, puasa bulan Ramadhan dan sebagainya.
b)
Wajib meninggalkan barang yang diharamkan akan dia oleh shara` seperti
berjudi, menipu, berdusta dan sebagainya.
4.
Sunat
a)
Sunat mengerjakan barang yang disunatkan dia oleh shara` seperti
bersadaqah, memberi makan faqir miskin dan sebagainya
b) Sunat
meninggalkan akan tiap-tiap barang yang dimakruhkan akan dia oleh shara`
seperti meninggalkan makanan yang menjadikan mulut berbau dan sebagainya.
5. Harus
a) Harus
mengerjakan barang yang diharus shara` seperti minum dan makan.
b) Harus
meninggalkan barang yang diharus oleh shara` seperti tidak membawa kereta,
tetapi menaiki bas ke tempat kerja.
Tuan Hussein Kedah menyebut perkara yang sunat
bertukar kepada wajib dengan tiga sebab:
1) Dengan sebab nazar. Contoh melakukan aqiqah terhadap anak adalah sunat,
tetapi jika dinazar melakukannya menjadi wajib.
2) Menyempunakan perkara yang wajib dan tiada sempurna melainkan dengan
dia. Konsep hukum fiqh, barang yang tidak sempurna wajib, melainkan dengan dia,
maka ianya menjadi wajib. Seperti memakai pakaian menutup aurat, tetapi tidak
sempurna tutup perlu melebihi sempadan,begitu juga melebihi sempadan bagi
membasuh muka, tangan dan kaki umpamanya.
3) Arahan pihak waliyy al-Amri mengerjakan sesuatu yang sunat bagi
kepentingan terdesak seperti arahan menderma bagi mengatasi sesuatu yang
darurat dan sebagainya.
Dapatlah difahamkan dari perbincangan di atas,
bahawa maksud perjalanan menuju Allah bagi Tuan Hussein Kedah ialah
penyempunaan dari segala aspek kewajipan diri, iaitu terdiri akidah yang betul
dengan segala bahagian dan pecahan yang sebagaimana telah dibicarakan,
kesempunaan juga adalah bergantung kepada kesempurnaan dari segi amal ibadat
yang di dalam kitab Usul al-Taudid ini juga mempunyai bab-bab yang membicarakan
tentang solat, zakat, puasa dan haji. Pendek kata bagi Tuan Hussein Kedah Usul
dan Umbi tauhid adalah kombinasi dari segi kesempurnaan akidah, syariat dan
kebersihan kerohanian.
Sekian.
No comments:
Post a Comment