BBB, 03
Jamadil Akhir 1437 = 12 Mac 2016 (Sabtu):
Persoalan m`rifat adalah persoalan falsafah
yang membicarakan hakikat kewujudan yang bertolak dari konsep ``Kenali
Dirimu` sebelum mengenali yang lain. Dia
juga persoalan akidah yang terkenal dengan ungkapan `Seawal-awal agama ialah
mengenal Allah`, tetapi bagi mengenal Allah tak mampu dicapai tanpa melalui
kaedah keilmuan yang menjadi sebagai infra-struktur bagi menghasilkan `Ma`rifat
Allah`. Dalam ungkapan yang lebih biasa ialah melalui ilmu. Ertinya mengenal
Allah ialah melalui ilmu, lantaran ma`rifat pada satu tahap adalah bermakna
ilmu, maka dikatakan setiap ilmu adalah ma`rifat dan sebaliknya dan tiap-tiap
yang alim adalah arif. Ma`rifat di dalam bidang akidah adalah tidak lain dari
mengetahui apa yang berhubung dengan Allah dan Rasul dengan dalil-dalil.
Lantaran tidak sah ibadat tanpa mengenal yang disembah.
Pendekatan yang diambil Tuan Hussein Kedah
tidaklah membicarakan sifat-sifat Allah kepada 20 sifat dan pembahagiannya
kepada sifat nafsiyyah, salbiyyah, ma`ani dan ma`nawiyyah Juga dari segi
mustahil dan harus juga sifat-sifat rasul dan pecahan-pecahan, tetapi melihat
dari kesan ma`rifat dan keyakinan diri dari segi perlakuan, sudut pandangan,
persepsi diri dan pengluahan.
Sebagai kesan dari ma`rifat secara mendalam
menghasilkan perkara-perkara berikut:
1) Mengakui Pencipta Mengada dan Meniadakan
Kesan dari ma`rifat meyakinkan diri akan
kekuasaan Allah yang mengada dan meniadakan. Dialah Pentadbir memberi
kesenangan dan kesakitan sihat dan sakit dan sebagainya.
2). Dia menghukum dan Mengkadarkan
Dia yang bijaksana yang meletakkan sesuatu
pada tempatnya dengan penuh keadilan dan menentukan dari segi qada` dan
qadarnya. Lantaran itu kita junjung titah perintahNya dengan setia dan kasih
sayang.
3. Mengeluarkan Ka`inat Dari Ketiadaan
Dialah yang mengeluarkan ka`inat dari
ketiadaan kepada kewujudan dan kita sama dapat menikmati kewujudan dan hidayah
yang disampaikan melalui perutusan Rasul dan kita sama dapat menikmati
perutusan yang disampaikan.
4. Dia Yang Memberi Rahmat
Hasil dari ma`rifat kita menyedari betapa
banyaknya nikmat Allah terhadap kita dari nikmat fizikal dari makan minum,
keselamatan diri dan kehidipan, tetapi nikmat yang paling tinggi yang kita
nikmati ialah nikmat Islam dan iman yang memberi ketenangan dan kesejahteraan
di dunia dan insya Allah di akhirat, tiada mampu kita untuk mengucap syukur dan
terima kasih sebanyak dan selayaknya, melainakan memuji dan bersyukur di atas
nikmat yang berterusan
5. Mengenali Erti Mahabbah Dan Kasih Sayang
Satu nikmat
yang disedari melalui ma`rifat, bahawa kurniaan mahabbah dan kasih
sayang adalah satu nikmat yang tidak ternilai, mahabbah sesama makhluk dan
mahabah terhadap Khalik, sesungguhnya tanpa mahabbah kita tidak dapat hidup di
dalam keadaan harmoni dan kasih sayang.
6. Mengenali Cinta Tertinggi
Tuan Hussein Kedah membicarakan hasil dari
ma`rifat membawa cinta tertinggi, iaitu `Cinta Ilahi` yang tidak dicapai,
melainkan oleh orang yang mencapai martabat tertinggi dari cinta Ilahi. Begitu
rahmat dan mesra bagi mereka yang mencapai martabat tertinggi cinta sedemikian,
Cinta Ilahi`
7. Mencapai Maqam al-Arifin
Tuan Hussein Kedah membicarakan peringkat
kerohanian, iaitu satu nikmat daripada segala nikmatNya seperti satu maqam daripada segala `Maqamat al-`Arifin` atau
satu hal dari segala ahwal mereka itu
yang jauh dari bala dan berada di dalam hal raja`
8. Ketuhanan Yang Bersifat Jalal, Qahhar dan
`Izzah
Dari satu pihak dengan ma`rifat disedari
bahawa disebalik dari sifat mesra, kasih sayang dan cinta, Allah memperlihatkan
Jalal, Qahhar dan `Izzah terhadap mereka yang liar dan menentang kekuasaan
Allah yang mereka seperti ini tidak lain dari menghadapi kebinasaan dan
kemusnahan yang bagi kita seharusnya selalu berdo`a dan berlindung dariNya dari
kemerkaan dan kemusnahan.
9. Menaggapi Ketuhanan Dengan Berbagai Cara
Dengan
ma`rifat dapat menanggapi ketuhanan melalui pembuktian panca indera
dengan melihat kejadian sebagai bukti ciptaan Allah. Pada tahap yang lebih
tinggi ketuhanan dapat dimengerti dan difahami dengan kaedah rasional seperti
penggunaan kaedah logik dan saintifik dan juga dengan dalil akli dan naqli yang
membuktikan ketuhanan. Pada tahap yang lebih halus ialah menghayati ketuhanan
melalui hati nurani dan jiwa yang mencetuskan mesra rasa, kagum, membesar dan menghayati keagungan yang membawa
kepada kasih cinta dan mesra kerohanian.
10. Merasa Kefanaan Berhadapan Keagungan
Pada peringkat tertentu dari segi kerohanian
mendepani keagungan kekekalan dan kekuasaan, menjadikan diri bagai hilang dan
fana dihadapan yang Baqa`. Pada peringkat ini Tuan Hussein Kedah berkata:
``Engkau jadi lupa dan hilang daripada engkau,
ertinya hilang penglihatan pada mata hati engkau dan pada ihsas pancaindera
engkau yang zahir dan batin akan tiap-tiap suatu yang lain daripada Allah
Ta`ala, hingga diri engkau tiada engkau ingat, melainkan Allah jua yang engkau
ingat.
Terbukti dari pembicaraan, bahawa Tuan Hussein
Kedah tidak saja membicarakan ma`rifat pada makna biasa sebagai ilmu, tetapi
meningkat kepada beberapa peringkat bersifat falsafah seperti peringkat akidah
yang menekankan rasional akal dari segi perbahasan yang menggunakan dalil akal
dan juga dalil naqal, dan pada tahap tinggi adalah ma`rifat yang melibatkan
pengalaman rohani yang lain dari pendekatan dalam konsep keilmuan biasa juga berlainan
dari pengalaman rasional akal.
Sekian.
No comments:
Post a Comment