BBB, 13
Ramadhan 1437 = 18 Jun
2016 (Sabtu):
Di samping Ketuhanan, Al-Qur`an dan
Kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. turut menjadi sumber kesufian ialah watak-watak sufi. Di dalam mengenalpasti tentang watak-watak
sufi kita berdepan dengan dua persoalan iaitu;
Pertama: Kecenderungan memilih watak-watak
sufi ialah berlaku selepas dari kelahiran keilmuan tasawuf iaitu bermula pada
pertengahan abad ke 2H. Ciri-ciri ketara ialah zuhud.
Kedua:
Watak-watak kesufian sebenarnya adalah pada Rasulullah dan ramai dari kalangan sahabat. Bererti elemen
kesufian sudah wujud sebelum dari kelahiran ilmu tasawuf.
Kita mengambil pendirian peribadi
Rasulullah s.a.w. dan ramai dari sahabat-sahabat mencerminkan sebagai watak
kesufian disamping menerima watak-watak yang diiktiraf sebagai watak-watak sufi
seperti yang disusun oleh Abu Asbdul Rahman al-Sulamiyy (m. 412H.) di dalam
bukunya berjudul Tabaqat al-Sufiyyah (Sebanyak 5 generasi kesufian).
Sebenarnya sebelum dari lahirnya aliran
sufi, pada zaman sahabat ramai dari
mereka dapat digolongkan mereka yang bersifat sufi. Sebagai contoh seperti
Abu Dharr al-Ghifari yang nama
sebenarnya Jundub bin Junadah dari Kabilah al-Ghifar yang sengaja datang ke
Makkah menempuh padang pasir kerana mau menemui Rasulullah secara senyap dengan
tujuan ingin memeluk agama Islam. Beliau disifatkan sebagai dari golongan
al-awwalun al-sabiqun menerima Islam.
Abu Dharr kembali ke kampungnya menyeru kaumnya seorang demi seorang
menganut Islam , bahkan turut di dakwahnya kaum dari Kabilah Bani Aslam. Bila
Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah dia dan rombongan dari Kabilah
al-Ghifari dan Aslam turut sama berhijrah mendakwah Islam. Abu Dharr merasa
syukur menjadi pengikut Rasulullah yang hidup secara sederhana, tetapi umur Abu
Dhar yang agak panjang selepas berada di bawah pentadbiran Khalifah Abu Bakar
dan `Umar Ibn al-Khattab kelainan mulai dirasai, di bawah Khalifah `Uthman bin
Affan di mana masyarakat mulai bermewah-mewah dan beliau yang bersikap lantang
menentang cara hidup sedemikian. Pada zaman Mu`awiyah cara hidup bermewah-mewah
makin ketara sehingga beliau memimpin semacam badan NGO dengan rakyat jelata
memprotes gaya hidup terutama oleh Muawiyah. Tetapi apakan daya dengan
tenaganya yang terhad beliau bersama-sama pengikut tidak terdaya menentang arus
kemewahan yang melampau pada masa itu
sehingga beliau mengambil sikap mengasing diri ke pinggiran kota di padang
pasir Rabazah hidup sebatang kara sehingga menghembuskan nafas akhirnya.
Pada zaman hayat Rasulullah Baginda pernah bersabda bermaksud:
``Allah merahmati Abu Dharr yang berjalan
keseorangan dan mati keseorangan dan akan dibangkit keseorangan.``
Di samping Abu Dharr terdapat tokoh-tokoh
kecil tetapi berjiwa besar di dalam mempertahankan kemurnian Islam dengan
kehidupan sederhana mereka seperti Mu`adh bin Jabal seorang yang mendalami soal
halal dan haram bagi menjaga kebersihan zahir dan batin umat. Dia juga seorang
duta yang telah dihantar Rasulullah ke Yaman bagi mengajar dan mendakwah agama
Islam di sana. Bilal bin Rabah dan Ammar
bin Yasir yang menderita seksaan oleh tuan-tuan mereka kerana menganut Islam,
Salman al-Farisi pencari kebenaran yang akhir menemui kebenaran di dalam Islam.
Beliau juga sebagai pengatur strategi
perang bagi Rasulullah.
Contoh-contoh kesufian, selain dari kalangan
penganut Islam yang dianggap bawahan, perlu sama dikira sebagai mereka yang
membawa contoh kesufian ialah dari kalangan ilmuan-ilmuan, lantaran merekalah
yang mengajar keilmuan Islam yang menjadi panduan masyarakat. Contoh ketara
ialah seperti Abdullah bin `Umar yang disifatkan bukan saja sebagai tokoh
ilmuan terkenal, tetapi juga kuat beribadat. Beliau langsung menerima keilmuan
dari Rasulullah dan banyak meriwayatkan Hadith dari Baginda. Beliau amat teliti
di dalam mengeluarkan fatwa dan pendapat mengenai hukum hakam keislaman.
Sebagaimana Abdullah bin `Umar, demikian juga `Abdullah bin `Abbas adalah paling rapat dengan Rasulullah sejak
kecil. Beliau menerima keilmuan secara langsung dari Rasulullah, banyak Hadith
yang diriwayatkan oleh Abdullah bin `Abbas. Beliau juga merupakan pentafsir
Al-Qur`an pada peringkat awal. Banyak huraian-huraian tentang tafsir dirujuk
kepada pendapatnya sebagaimana dilakukan oleh Ibn Kathir di dalam tafsirnya.
Sebagaimana Abdullah bin `Umar dan `Abdullah bin Abbas ramai lagi tokoh-tokoh
keilmuan pada peringkat awal yang sebenarnya sama membawa nilai-nilai kesufian
seperti `Abdullah bin Mas`ud yang pakar di dalam pembacaan dan keilmuan
al-Qur`an, Zaud bin Harithah antara penulis wahyu Rasulullah, Abu al-Darda`
yang disifatkan sebagai budiman dan ahli hikmah yang luar biasa, Zaid bin
Thabit Penghimpun kitab Suci, Abu Hurairah sebagai ketua golongan Suffah dan
banyak meriwayat Hadith Rasulullah s.a.w. dan ramai lagi.
Selain dari kalangan orang biasa dan
ilmuan, tidak dapat dinafikan bahawa ciri kesufian juga dapat diambil contoh
tauladan ialah dari kalanghan pemerintah terkenal, Sebagai contoh tentang
kezuhudan Abu Bakar al-Siddiq sahabat Rasulullah yang paling dekat, apabila
beliau dilantik menjadi Khalifah Islam yang pertama beliau turun ke pasar
menjalankan perniagaannya, kerana
mencari nafkah hidup. Apabila beliau dicadangkan mendapatkan nafkah dari baitul
mal, beliau tidak mengambil, kecuali sekadar yang diperlukan. Keadaan
sedemikian juga berlaku kepada `Umar bin Al-Khattab bila dilantik menjadi Khalifah,
beliau juga menggunakan keperluan diri
dan keluarga secara perlu, bahkan bila didapati ada kelebihan diarah
memulangkan kembali kepada baitul mal. Beliau terkenal memerintah dengan adil. Dari kalangan pemerintah zaman Umawiyyah,
`Umar bin Abdul Aziz seorang Khalifah yang terkenal adil dan zuhud. Beliau
tidak menggunakan harta negara dalam urusan
peribadinya. Pada zaman
pemerintahannya yang adil tiada rakyat yang miskin dan sukar untuk
mencari asnaf yang layak menerima zakat, lantaran makmurnya umat Islam, pada
zaman poemerintahannya.
Apa yang dibentangkan bahawa kita mengambil
pendekatan bahawa konsep dan ruang lingkup kesufian hendaklah diperluaskan
bukan sahaja dalam maksud bersifat zuhud, tetapi juga tergolong di bawahnya
segala kebersihan amal yang dilakukan
oleh umat sama ada mereka dari rakyat bawahan, umat biasa yang beramal ibadat
dan melakukan amalan-amalan kebajikan secara ikhlas, murni dan bersih, termasuk
juga dari kalangan pemerintah yang adil, jujur, taat kepada Allah dan melakukan
tugas bagi kepentingan umat. Tasawuf seharusnya bersifat terbuka dan tidak
terhad kepada mereka yang bersifat zuhud semata-mata, tetapi termasuk di
bawahnya mereka yang beramal salih secara jujur dan kerana Allah. Model
ketasawufan yang utama ialah Rasulullah s.a.w. sendiri dan ramai dari kalangan
sahabat-sahabat. Kita tidak menolak kalangan sufi yang diiktiraf mereka adalah
sebahagian dari kalangan sufi yang boleh dilihat sebagai satu aliran di dalam
kesufian, sedang di sana ada lagi mereka yang membawa ciri-ciri kesufian yang dapat
dijadikan tauladan kesufian.
Sekian.
No comments:
Post a Comment