October 31, 2016

ADAB BERTASAWUF - PENDAPAT-PENDAPAT


BBB, 29 Muharram 1438H. = 30 Oktober 2016M. (Ahad):
Di dalam membicarakan tentang adab bertasawuf ini Al-Sarraj tidaklah memberi kata-kata pendahuluan  sama ada tentang erti  adab dan kaitannya dengan tasawuf sebaliknya Al-Sarraj terus memetik ayat Al-Qur`an yang bermaksud:
``Wahai orang-orang yang beriman!  Peliharalah diri kamu dan  keluarga  kamu dari neraka (Al-Tahrim: 6).
Dan memetik dari pendapat Ibn `Abbas dari tafsirnya ayat, yakni bermaksud:
``Peradabkan mereka  itu dan ajarkanlah mereka itu, mereka bertaqwa dan selamat dari api neraka. ``
Kemudian diikuti dengan, bahawa diriwayatkan daripada Nabi Muhammad s.a.w. bahawa Baginda bersabda bermaksud:
``Tiadalah yang lebih penting bagi seorang bapa kepada anaknya yang lebih afdhal daripada mendidiknya dengan adab yang elok.`` (Al-Hadith).
Dan juga diriwayatkan dari Nabi a.s.w.s. Baginda bersabda bermaksud:
``Bahawasanya Allah mengadabkan daku, maka eloklah adabku.`` (Al-Hadith).
Menurut Al-Sarraj Allah memberi keistimewaan kepada Nabi Muhammad s.a.w.  dengan keelokan adab dari kalangan nabi-nabi.
Kesemua petikan di atas adalah dapat dikatakan sebagai pengenalan bagi konsep adab yang disampaikan oleh Al-Sarraj.
Kemudian dilanjutkan tentang adab berdasarkan pendapat-pendapat kalangan sufi. Antaranya pendapat Ibn Sirin yang pendapatnya tentang adab , yakni berdasarkan pertanyaan yang dikemukan kepadanya tentang ., ``Manakah adab yang mendekatkan seorang kepada Allah Ta`ala, maka katanya, ``
``Ma`rifat dengan rububiyyahNya, beramal sebagai ketaatan kepadaNya, al-hamdulillah secara sunyi dan sabar daripada kemudaratan.``
Dikatakan kepada Hasan Basari, bahawa kebanyakan manusia mempelajari adab dengan segera, tetapi hasilnya  tidak segera, tetapi memanjang. Iaitu dengan tafaqquh tentang agama, yang boleh terarah kepadanya hati yang mempelajari, zuhud di dunia, kerana ia mendekati diri dengan Tuhan Rabb al-`alamin dan ma`rifat dengan Allah yang membawa kepada kamalnya iman.
Berkata Sa`id bin al-Musayyab r.h.a. ``Barang siapa tidak mengenal Allah dengan apa yang dikurniaNya kepadanya, maka dia tidak beradab dengan suruh dan tegahNya.
Berkata Kalthum al-Ghassani, ``Ada dua adab, iaitu adab di dalam berkata dan adab melaksanakannya (beramal), siapa yang setakat berkata, tiada pahala amal. Siapa mendekati Allah dengan adab perbuatan, maka dikurniai Allah mahabbah hati, hilang daripadanya keaiban dan sama mendapat pahala sebagai orang yang belajar.
Kata Ibn al-Mubarak, ``Adab bagi yang arif adalah kemestian  dan bagi  yang permulaan  sebagai keperluan.``
Berkata Sahl bin Abdullah, Minta tolong daripada Allah di atas melaksanakan suruhan dan sabarlah sebagai adab dengan Allah.
Disoal Abu al-`Abbas r.h. tentang adab dari segi  dzatnya:, maka katanya: ``Engkau berada pada semua yang elok. Tambahnya, engkau beramal kepada Allah dengan adab secara  sembunyi dan nyata, jika engkau sedemikian engkau adalah beradab, kemudian dia berpuisi:
``Sebaik engkau bercakap terburai kandungan
Jika engkau  diam  semuanya elok  kelihatan.``
Al-Sarraj memberi  pendapat-pendapat yang dapat disekalikan sebagai rumusan. Menurutnya:
``Adab ialah sandaran bagi kalangan faqir dan hiasan bagi orang-orang kaya.  Nilai adab pada manusia berbeza-beza dari segi pencapaian. Adab ada tiga lapisan
Pertama:  Ahlu al-dunya
Kedua: Ahlu al-Din
Ketiga: Ahlu al-Khususiyyah  daripada ahli agama.
Adapun Ahlu al-Dunya, maka mereka lebih menjaga dari segi  fasahah dan balaghah, menjaga ilmu, mendekati pemerintah, menggubah puisi dan mengenal penggubahnya.
Adapun Ahlu al-Din,maka kebanyakan mereka lebih kepada  penampilan diri dan menjaga penampilan luaran, bersih dalaman, menjaga hukum, meninggalkan syahawat, menjauhi  shubuhat,, menumpulkan kepada ketaatan dan bersegera membuat kebajikan.
Adapun adab bagi Ahli al-Khususiyyah daripada agama, maka kebanyakan adabnya membersih hati, menjaga rahsia, menunaikan janji selepas diaqadkan, menjaga waktu, dan kurang berpaling melayan kepada lintasan, rintangan dan halangan-halangan. Elok adab menurut kesesuaian dituntut dari segi maqam dan waktu-waktu sebagai kedekatan dari segi adab dan suasana.
Berkata Al-Sarraj bagi kalangan sufi ada adab-adab semasa musafir, adab menurut waktu dengan akhlak-akhlak tertentu. Begitu juga ada adab pada masa diam dan ketika bergerak dan mereka terserlah dengan adab-adab berkenaan. Dengan adab-adab yang demikian membezakan antara yang sadiqin – benar dan dusta, antara muttaqin dan muhaqqiqin.
Difahamkan dari pendapat-pendapat dan huraian-huraqian di atas, bahawa adab bukan sekadar penampilan luaran semasa interaksi dengan pihak yang berhubungan, tetapi pembawaan dalaman dan peribadi yang  telah diorientasi dengan kualiti dalama diri. Ianya manifestasi sponton dari pihak yang dilihat beradab yang tidak dibuat-buat. Pun begitu  tahap adab seseorang dengan seorang yang lain berbeza dan apa jua  lapisan bergantung kepada kualiti dalaman yang lahir sebagai  manifestasi luaran..

Sekian. 

October 30, 2016

ADAB SEBAGAI SATU PENDEKATAN TASAWUF OLEH AL-SARRAJ


BBB, 28 Muharram 1438H. = 29 Oktober 2016 (Sabtu):
Telah dibincangkan bahawa Abu Nasr al-Sarraj memulakan pembicaraan asal usul tasawuf dan ta`rif-ta`rif yang berhubung dengfannya. A-Sarraj juga menampilkan  pendekatan yang bersifat maqam dan hal, model-model kesufian yang bermula dengan Rasulullah s.a.w. dan diikuti dengan sahabat-sahabat, termasuk `Ahlu al-Suffah`.
Di samping pendekatan-pendekatan di atas Al-Sarraj juga menampilkan  topik yang berhubung dengan `Adab`  yang dikira sebahagian daripada nilai-nilai tasawuf.  Maksud adab ialah nilai terhadap perlakuan, tindakan, pembawaan dan pandangan yang dianggap `baik` dan `manis`  bagi adat, budaya dan agama.
Ada beberapa istilah yang berhampiran, tetapi berlainan makna,iaitu adat, adab dan akhlak yang berkait, bahkan membentuk budaya, tamadun dan peradaban. Semua istilah ini adalah nilai yang berhubung dengan manusia yang mencerminkan tahap peningkatan manusia dari segi terutama nilai yang subjektif dan yang bersifat objektif.
Tasawuf juga adalah yang bersifat `Nilai` yang umumnya lebih bersifat kualiti yang subjektif sifatnya, yang antaranya bersifat objektif. Fokus utamanya bagi meningkatkan kualiti diri yang rohani sifatnya dan kualitatif nilainya. Antara tasawuf dan nilai-nilai yang bersifat adat, adab dan akhlak  ada  yang tidak sesuai dan mungkin banyak yang sesuai yang  sebenarnya selari dan dapat dipertingkat kepada nilai-nilai tasawuf, walaupun tidak semua.
Perkataan Adat, Adab dan Akhlak.
Adat adalah merujuk kepada aturan dan nilai yang diterima pakai oleh masyarakat tertentu.  Adat adalah perlakuan, aturan dan nilai yang digunakan di dalam masyarakat secara berulang dan ianya merupakan nilai yang diterimapakai oleh masyarakat dan disahkan  oleh masyarakat berkenaan, tetapi tidak semestinya diterima oleh masyarakat yang lain. Misalnya adat gotong royong, pada asal sesuatu pekerjaan itu tidak mampu dilaksanakan oleh orang perseorangan, jika pun boleh memakan masa, maka timbullah  kerja yang dinamakan gotong royong, seperti menuai padi yang perlu melaksnakan dalam masa yang segera, kerana padi sudah masak. Gotong royong membaiki jalan rosak bagi kepentingan awam, begitulah seterusnya seperti khenduri kawin,  membina rumah dan sebagainya. Jadi pada mata masyarakat dipandang baik dan boleh dijadikan sebagai adat yang dilakukan berulang-ulang dan menjadi biasa  ( istilah `adat` bererti berulang-ulang). Konsep bergotong royong dapat dinaikkan ke tahap agama (Islam), kerana ianya mendukung ciri muafakat dalam melakukan kebaikan, bahkan selari dengan tuntutan agama yang menggalakkan bertolong-tolongan sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Hendaklah kamu bertolong-tolongan di atas perkara kebaikan dan taqwa dan jangan kamu bertolong-tolongan di atas perkara dosa dan perseteruan.`` (Al-Ma`idah: 2).
Adapun adat-adat yang buruk banyak, seperti melarang berkahwin dengan sepupu, jika berlaku , dikehendak keluar dari daerah dan jika kembali dikehendaki mengadakan jamuan sembelih lembu atau kerbau untuk masyarkat setempat sebagai kaffarah. Amalan seperti ini bercanggah dengan agama yang tidak melarang dan tidak pula menggalakkan.
Adab, adalah bertaraf lebih tinggi dari adat. Adab adalah nilai yang murni yang diterima dan dipuji oleh masyarakat dan biasanya tiada bercanggah dengan nilai masyarakat dan agama. Misalnya adab menghormati ibu bapa dan jangan durhaka terhadap keduanya. Menghormati ibu bapa memang digalakkan di dalam semua masyarakat, bahkan dituntut di dalam agama. Misalnya firman Allah yang bermaksud:
``Allah menyuruh bahawa jangan kamu menyembah melainkan kepadaNya  dan dengan dua ibu bapa hendaklah berbuat baik.` (Al-Isra`: 23).
Nabi Muhammad juga menekankan tentang adab``. Baginda juga bersabda yang bermaksud:
``Allah mengadabkan daku, maka elkoklah adabku` - Maksudal-Hadith.
Adab adalah berkait dengan berbagai aspek dan bidang.  Misalnya  selain dari adab dengan ibu bapa, ialah adab dengan jiran, kawan,  masyarakat, adab dengan  ketua, majikan , dengan guru,  kawan dan sebagainya. Bila menyebut adab seseorang itu hendaklah berkelakuan yang baik dengan pihak yang ia berhubungan. Sebagaimana ada adab yang baik, maka demikian juga ada  adab-adab yang tidak  baik. secara  ringkas dapat dikatakan adab yang buruk adalah bertentangan dengan yang baik
Pada tahap yang lebih tinggi adalah dikenali dengan akhlak. Iaitu nilai-nilai yang ditentukan oleh pihak tertinggi yang perlu dipatuhi bagi perlakuan akhlak dan adalah tidak bertentangan dengan tabi`i  manusia.  Rasulullah s.a.w. adalah contoh tauladan yang baik. Firman Allah antaranya bermaksud:
``Sesungguhnya bagi  kamu pada diri Rasulullah itu adalah contoh teladan yang baik.`` (Al-Ahzab: 21).
Dan firman Allah yang bermaksud:
``Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia.`` (Al-Qalam: 4).
Abu Nasr al-Sarraj adalah menjadikan adab aspek yang penting di dalam tasawuf. Maka adab adalah pecahan dari akhlak, iaitu aspek yang lebih halus dari akhlak. Tanpa adab dilihat tidak manis, walaupun antaranya tidak melibatkan dosa. Adab ketasawufan ini melibatkan berbagai-bagai perkara, misalnya adab-adab yang yang berhubung dengan ibadat yang berbagai pecahab ibadat yang dibicarakan, adab dalam pergaulan, adab bersahabat, adab makan, adab berguru, adab dalam perjalanan – bermusafir, adab pekerja dan majikan dan berbagai-bagai lagi.
Sebagaimana maklum bahawa akhlak adalah merupakan aspek tasawuf yang utama, bahkan ada  yang mengatakan bahawa bertasawuf itu tidak lain dari berakhlak, sesungguhnya meskipun Al-Sarraj tidak memberi topik khusus bagi akhlak bagi kitabnya Al-Luma`, namun dengan pemberian dan pembicaraan terhadap adab, sesungguhnya  ianya melibatkan persoalan akhlak. Jadi  kesedaran tentang aspek keakhlakan sebagai bahagian yang penting di dalam tasawuf diberi perhatian oleh Al-Sarraj yang membuka jalan kepada pengolahan yang lebih detail  terhadap aspek keakhlakan  dilakukan oleh Al-Ghazali kelak.

Sekian.

October 29, 2016

TERAKHIR DARI TOKOH-TOKOH - S*UHAIB DAN MUS*`AB


BBB, 27 Muharram 1438H. = 28 Oktober 20`16 (Juma`at):
Antara yang dipilih oleh Al-Sarraj sebagai contoh kesufian ialah S*uhaib bin Sinan  dan Mus*`ab bin `Umair  r.`anhuma.
S*uhaib  adalah seorang anak pembesar – Sinan,  yang dilantik oleh pihak Raja Parsi – Kisra di Ubullah. Kawasan ini diserang oleh penguasa Rum dan  S*uhaib tertawan dan menjadi hamba yang dijual beli. Setelah lama di bawah kuasa Rum, dirinya dijual beli,  tiba akhirnya dirinya di Makkah. Melihat kepada kecerdasan dan kejujurannya, tuannya telah membebaskannya dan membenarkannya berniaga dengannya.
S*uhaib bertemu dengan `Ammar bin Yasir dan bersama pergi  menemui Rasulullah di rumah Al-Arqam dan memeluk agama Islam. Dari latar sebagai orang susah yang pernah senang sebelumnya menginsafkan S*uaib dan menjadikannya seorang yang wara` dan zuhud yang memberi sepenuh jiwanya terhadap Islam. Bila Rasulullah berhijrah dia meninggalkan harta yang dihimpunnya di Makkah dan turut berhijrah bersama Rasulullah, tetapi sebelum sempat berhijrah dia  terjebak dengan sekatan Quraisy, Shuhaib sanggup menawarkan harta simpanannya di Makkah asalkan dirinya dilepaskan  (tawaran diterima Quraisy) untuk menyusuri Hijrah Rasulullah s.a.w. , walaupun sedikit lewat tiba.
Berhubung dengan pengorbanan S*uhaib ini turun ayat semasa Baginda Rasulullah s.a.w. di Quba` ayat yang bermaksud:
``Dan antara manusia ada yang bersedia menebus dirinya  demi mengharapkan keredhaan Allah dan Allah Maha Penyantun terhadap hamba-hambanya.`` (Al-Baqarah:  207).
S*uhaib tidak kisah dengan kehilangan hartanya di Makkah, kerana ia pernah mengalami kemiskinan. Di Madinah harta dapat dicari kembali. S*uhaib di Madinah begiti rapat dengan Nabi. Dia dengan usahanya mencari rezeki, menyebabkan dirinya yang salih itu begitu  banyak membuat kebajikan dan menderma  sepanjang. Sayyiduna `Umar Ibn al-Khattab, ketika ia menjadi Khalifah dilantiknya S*uhaib menjadi Imam. Demikianlah penghormatan yang diberi. Seorang yang pernah mengalami kesusahan diangkat di sisi Allah kerana keikhlasan dan komitmennya yang tinggi terhadap Islam .
Al-Sarraj mengganding  contoh S*uhaib dengan Bilal yang antara mereka mempunyai hampir persamaan Nasib yang bangkit dari kesusahan dan menumpukan kesetiaan kepada Allah dan Rasulullah. Ditanyakan mereka berdua, maka menjawab mereka,
``Kami Bilal dan S*uhaib, kami berdua telah sesat, maka diberi hidayat oleh Allah Ta`ala. Kami berdua pernah menjadi hamba abdi, maka memerdehekakan kami oleh Allah Ta`ala, kami pernah menjadi faqir, maka dikayakan jiwa kami oleh Allah, kalau kamu menerima kami, maka kami memuji Allah, kalau kamu menolak kami, maka subhanallah. Maka berkata mereka kami menerima kamu dan al-hamdulillah.  Mereka rapat dengan Rasulullah dan menjadi orang-orang kepercayaan Rasulullah. Apakah yang lebih berharga dari kepercayaan dari Rasulullah dengan berbagai masalah manusia ?
Adapun Mus*`ab bin `Umair adalah seorang anak yang lahir dari keluarga  keturunan Banu al-Dar. Ayahnya `Umair bin Hashim bin `Abdi Manaf seorang yang berketurunan mulia dan mempunyai pertalian hubungan dengan Rasulullah s.a.w. sedang ibu Mus*`ab pula ialah Khannash binti Malik seorang wanita berkedudukan dan kaya raya memberi pakaian kepada anaknya seelok-elok pakaian. Dengan dididkan sedemikian Mus*`aib menjadi sombong dia tenggelam di dalam kemewahan.
Perubahan boleh terjadi kepadaseseorang. Mus*`ab tertarik dengan dakwah Islam dan menerima Islam, iaitu sesuatu yang tidak dijangka ibunya.Mus*`ab menghadapi berbagai tekanan dan sekatan dari keluarganya, namun Kemewahan ditinggalkan Mus`ab dan apabila berlaku penghijrahan ke Habashah (kali kedua) Mus`ab turut sama berhijrah. Bila pulang ke Makkah Mus`ab begitu berubah dengan pembawaan wataknya yang miskin berbanding dengan kehidupannya sebelumnya, tapi itu adalah kehidupan yang membahagiakan jiwanya. Tatkala berlaku Bai`ah al-`Aqabah , Rasulullah telah menghantar Mus`ab menyertai rombongan al-`Aqabah ke Madinah bagi mengajar mereka mengenai hal-hal Islam. Dia mendakwahkan Islam di Madinah dan ramai yang masuk Islam . Bagi Bai`ah al-`Aqabah kedua Mus*`ab turut bersama-sama orang Aus dan Khazraj dari Madinah ke Bai`ah. Rombongan disambut Rasulullah dan Mus*`ab diberi penghargaan di atas kegigihan dakwahnya.
Mus`ab bersaama-sama membantu Rasulullah di dalam mendirikan Negara Islam Pertama di Madinah. Mus*`ab turut sama di dalam peperangan Badar dan berikutnyda di dalam peperangan Uhud. Beliau mempertahankan panji-panji Islam sebelum bertukar tangan lantaran beliau syahid di dalam peperangan tersebut.
Rasulullah memberi penghormatan kepada para shuhada` . Baginda berdiri di samping jenazah mereka dan membaca firman Allah yang bermaksud:
``Di kalangan orang-orang mu`minin ada yang bersifat benar, menunaikan apa yang telah dijanjikan kepada Allah (berjuang menegakkan Islam), maka antara mereka ada yang telah selesai menunaikan janji-janji, lalu gugur shahid dan di antara mereka ada yang menunggu giliran dan mereka tidak mengubah apa yang dijanjikan.`` (Al-Ahzab: 23).
Daripada perbincangan yang lepas dapat dibandingkan bahawa tasawuf adalah ibarat sebatang sungai yang  jernih, bersih, sejuk dan menenangkan yang mengalir ke `Laut Ilahi`. Masuk ke sungai ini berbagai-bagai anak sungai yang boleh didandingkan antaranya, Anak Sungai hamba yang taat dan kuat beribadat sebagai satu ciri tasawuf. Mengalir kepadanya juga  Anak Sungai yang dibandingkan dengan orang yang berilmu yang dengan ilmu itu dia beramal dan memberi faedah kepada orang ramai. Mengalir kepadanya juga `Anak Sungai Pemerintah` yang  jujur dan adil yang juga merupakan ciri tasawuf. Mengalir juga kepadanya  `Anak Sungai Pendakwah`  yang berdakwah kerana Allah yang juga merupakan ciri tasawuf. Mengalir juga kepadanya `Anak Sungai Pendidik` yang berusaha meningkatkan  keilmuan kepada pelajar-pelajar dengan kesungguhan dan ikhlas yang juga merupakan ciri tasawuf. Mengalir juga kepadanya `Anak Sungai pihak yang menjaga keamanan negara` secara jujur dan ikhlas sehingga semua pihak berada di dalam keamanan. Ia juga merupakan ciri tasawuf. Mengalir juga kepadanya `Anak Sungai siasah` yang bersiasah  dengan adil dan kerana Allah, maka ianya juga merupakan ciri tasawuf. Mengalir juga kepadanya `Anak Sungai pengusaha, peniaga, koperat`yang berkerja bagi kemudahan dan kesenangan umat, tanpa menipu juga merupakan antara ciri tasawuf. Termasuk juga `Sungai Kemanusiaan`  yang melibatkan banyak aspek seperti  sukarelawan, ahli seni, pasukan penyelamat` yang memberi pertolongan dan kasih sayang berjiwa kemanusiaan secara jujur,ikhlas patuh pada Tuhan, juga termasuk di bawah ciri ketasawufan. Termasuk `Anak Sungai yang dilambangkan kepada tentera diperbatasan negara yang mempertahakan keselamatan dan keamanan negara yang jika secara ikhlas adalah termasuk di bawah tasawuf. Juga Anak Sungai yang melambangkan kepada berbagai pekerja yang bekerja dengan jujur dan ikhlas serta kerana Allah juga termasuk di bawah tasawuf.
Semua yang dilakukan dengan jujur, bersih  dan ikhlas kerana Allah  adalah terangkum di bawah ciri tasawuf. Tasawuf adalah bidang untuk semua bagi yang cintakan kebenaran, kemurnian, kebersihan, kejujuran, kepatuhan, kecintaan, kemanusiaan, kejagatan dan kasih sayang.

Sekian.

October 28, 2016

USAMAH BIN ZAID DAN BILAL BIN RABAH MENYENTUH KENANGAN


BBB, 26 Muharram 1438H. =  27 Oktober 2016 (Khamis):
Dua tokoh di atas mendamba peristiwa yang menyentuh kenangan berbeza.
Menyebut Usamah, segera kita teringat kepada seorang anak muda usia dalam lingkungan 18 tahun yang  dilantik Rasulullah menjelang Baginda wafat untuk memimpin  pasukan tentera bagi memerangi Sham. Sesudah tentera di bawah pimpinan Usamah ini bergerak dan belum tiba ke medan peperangan, berita kewafatan Rasulullah s.-a. w. sampai dan pasukan tentera di bawah Usamah ini pulang kembali ke Madinah.
Selepas Sayyiduna Abu Bakar al-Siddiq dilantik menjadi khalifah, Kenangan terhadap apa yang telah diatur Rasulullah s.a.w. beliau tidak sanggup merubahnya dan menggerakkan kembali tentera di bawah kepimpinan Usamah tanpa menghiraukan kritikan, bahawa Usamah masih anak-anak dan belum matang dan kurang pengalaman di dalam perang. Abu Bakar, Khalifah Yang Benar, sekali-kali tidsak akan merubah apa yang dipilih dan ditentu oleh Rasulullah s.a.w sebelumnya.
Ada beberapa faktor mengapa Usamah bin Zaid dipilih. Antaranya memberi semangat kepada  Usamah menuntut bela di atas kematian ayahnya  Zaid di dalam Peperangan Mu`tah sebelumnya. Zaid adalah anak angkat Radulullah s.a.w., pemilihan Rasulullah adalah tepat dengan misi tersendiri. Pada masa Khalifah  Abu Bakar ada kalangan umat Islam yang murtad dan adalah kawasan yang Usamah akan serang iaitu Abna, di Sham termasuk yang murtad. Apabila berita serangan dari tentera Islam di bawah pimpinan Usamah sampai kepada kabilah-kabilah Qaadhah dam  A`bil di Abna nereka  ketakutan dan meminta bantuan dari tentera Rum. Pihak  Usamah memberi amaran kepada mereka yang murtad di Abna sama ada menyerah atau perang. Dengan jangkaan bantuan dari tentera Rum sampai, mereka memilih untuk berperang dan perang meletus, tetapi pihak Rum yang diminta hantarakan bantuan tentera tidak dihantarkan. Akhinya tentera di bawah pimpinan Usamah mencapai kenangan dan musuh  mereka mengalamai kekalahan,
Dalam hubungan peperangan di atas menampilkan makna tersirat, bahawa apa yang ditentukan oleh Rsulullah s.a.w. hendaklah diikuti, lantaran Baginda membuat pilihan terbaik.  Abu Bakar terkenal sebagai seorang yang setia kepada Rasulullah dan tidak mungkin dia akan menyalahi dari perintah Allah dan Rasulnya.
Megingatkan bahawa tenaga muda perlu tampil dalam bidang-bidang yang berkait dengan petahanan negara. Mereka perlu diberi tanggungjawab   mempertahankan negara, agama dan bangsa..
Di sebalik daripada anak muda Usamah yang mampu memimpin perang dan akhirnya mencapai kejayaan,  maka Bilal bin Rabah  dari Habashah  pula adalah datang dari kalangan `Hamba` kepada Tuannya Umayyah bin Khalaf di Makkah. Berita kelahiran Islam dibawa oleh Rasulullah  sampai kepada  Bilal bin Rabah dan beliau amat ingin mendapat maklumat dari Rasulullah tentang agama Islam dan mau menganut agama Islam. Bilal secara senyap-senyap menganut agama Islam.. Pengislaman Bilal sampai kepada Umayyah bin Khalaf - Tuannya. Bilal dipanggil dan dipukul oleh Tuannya dan menyuruh murtad kembali kepada kepercayaan Jahiliyyah. Bagi Bilal setelah beliau menerima Islam, maka tidak ada lagi  hasrat mau kembali kepada agama Jahiliyyah. Beliau rela  meghadapi kemungkinan-kemungkinan, maka dia tidak- sekali-kali menginggalkan Islam. Dia tidak takut kepada ancaman dari Tuannya. Bagi mempertahankan akidah pegangan, walaupun beliau dijemur dalam terik panas padang pasir, dipukul, diletak kepingan logam di atas dadanya agar ia kembali kepada agama Jahiliyyah, tetapi Bilal tetap tidak berganjak dengan pegangan tauhid. Bahkan apabila Bilal dipukul dan dijemur di tengah  padang pasir, beliau tetap mengulangi ungkapan Ahad !  Ahad !  Ahad !    Yakni berpegang dengan  tauhid  Allah.
Akhirnya pada suatu hari sedang Umayyah mendera dan memukul Bilal, Abu Bakar melalui dan melihat penyiksaan terhadap Bilal. Abu Bakar menawarkan tebusan bagi membebaskan Bilal. Tawaran Abu Bakar diterima  oleh pihak Tuannya Umayyah. Abu Bakar menebus Bilal bukan untuk diambil menjadi suruhan di rumah, tetapi dia dibebaskan serta merta dan bebas menghubungi berbagai-bagai lapisan masyarakat.
Sejak dari pembebasannya dia mendekati Rasulullah dan rapat dengan Baginda. Bilal menjadi muazzin atau Tukang bang  Rasulullah sepanjang hayat Rasulullah di samping seorang dua yang lain. Intimnya Rasulullah dengan Bilal dan Bilal dengan Rasulullah tercermin dari gambaran bahawa di akhirat kedengaran tapak kaki Bilal yang berjalan  di syuga. Selepas  Rasulullah meninggal bahawa beliau tidak dapat menahan kesayuan melihat bekas-bekas dan perintiwa dia bersama Rasulullah sepanjang di Madinah, sehingga bagi menghilang kepiluan, dia berpindah ke Syria. Dikatakan bahawa Bilal bermimpi, Rasulullah bertanya mengapa beliau meninggalkan Madinah dan tidak menziarahinya. Ini membuat kepiluan Bilal memuncak Dan dengan serta merta Bilal menunggang kenderaan dengan penuh kerinduan menuju ke Madinah. Tiba di Madinah tidak ada tempat yang paling utama menjadi penujuan Bilal,  lain dari menziarah maqam Rasulullah. Bayangkan betapa pilunya Bilal berhadapan dan berada pada maqam Rasulullah s.a.w.
Perkembalian Bilal yang membawa diri ke Syria itu diketahui orang ramai. Semua terarah kepada Bilal yang juga menjadi kerinduan orang ramai mau melihatnya. Lebih-lebih lagi mereka mau, kiranya Bilal dapat mengalunkan azan, sekurang-kurangnya dapat mengembalikan nostalgia semasa mereka bersama Rasulullah s.a.w. Bilal sendiri menjadi sebak mendapat permintaan dari orang ramai supaya dia mengalunkan azan. Dengan penuh berat dan rasa pilu dia menunaokan permintaan orang ramai.
Sebaik Bilal mengalunkan suara azaannya di Masjid Nabawi, nostalgia kepada zaman Rasulullah segera kembali. Ketika demikian bagaikan Rasulullah kembali  bersama jamaah dan ketika Bilal mengalunkan azan, maka mengalir berguguranlah air mata jamaah sebak sayu mendambakan peristiwa  bersama Rasulullah, sedangkan orang ramai disekitar kota Madinah bagai tersentak dan terpegun mendengar suara azan Bilal dan mereka bagaikan mimpi seolah-seolah Rasulullah kembali bersama mereka.
Demikian  kenangan  terhadap dua tokoh. Kenangan  terhadap anak muda -  Usamah yang seharusnya menjadi teladan  bagi anak muda yang seharusnya mempunyai semangat pembelaan dan  mempertahankan agama tanah air dan umat. Kedua  kenangan yang nostalgik terhadap kekukuhan akidah Bilal  terhadap Allah dan cinta beliau terhadap Rasulullah yang seharusnya menjadi contoh bagi setiap umat yang seharusnya berpegang teguh pada akidah dan cinta kepada Rasulullah s.a.w.

Sekian.

October 27, 2016

CONTOH-CONTOH DARI TOKOH-TOKOH LAIN SECARA RINGKAS


BBB,  25 Muharram  1438H. =  26 Oktober 201`6 (Rabu):
Selain dari tokoh yang telah disebutkan turut dibincangkan ialah Anas bin Malik yang telah disentuh semasa membincangkan tentang al-Barra` bin Malik saudara bagi Anas. Beliau (Anas) mempunyai hubungan rapat dengan Rasulullah s.a.w. dan banyak meriwayatkan Hadith-Hadith daripada Baginda Rasulullah s.a.w.
Adapun nerhubung dengan Ka`b bin Ahbar, beliau adalah  asalnya seorang Yahudi yang masuk Islan. Beliau banyak mengetahui tentang cerita-cerita di dalam agama Yahudi dan bila masuk Islam cerita-cerita ini terbawa di dalam Islam yang setengahnya tidak cocok dengan Islam (Sebahagian daripada cerita berkenaan masuk di dalam kesusasteraan Melayu). Setengah-setengah cerita dikenali dengan `Isra`iliyyat` yang tidak boleh dijadikan dasar pegangan. Berhubung dengan Ka`b  bin al-Ahbar ini, tidaklah Al-Sarraj mengambil aspek-aspek yang berhubung dengan `1Sra`iliyyat`. Petikan darinya  adalah diriwayatkan daripadanya bahawasanya Ka`b berkata:
``Tidak mencapai kemuliaan di akhirat hingga mereka itu membenci pujian dan sanjungan dan mereka mencapai keintimam dengan Allah Ta`ala, sebagaimana kata Ka`b  r.a., ``Tidak  menuntut kesempurnaan hamba dari segi balasan haji dan jihad hingga dia sabar dengan ujian Allah Ta`la.`` Apa yang diungkapkan oleh Ka`b adalah selari dengan  semangat dan jiwa keislaman.
Berhubung dengan  Harithah r.`a adalah diriwayatkan daripada Nabi. s.w.s. bersabda, ``Siapa berkehendak melihat kepada hamba yang diberi cahaya oleh Allah Ta`ala dengan cahaya keimanan di dalam hatinya, maka lihatlah,  kepada Harithah r.a.``
Adapun `Abdullah bin Jahsh diriwayatkan darinya tentang do`a harian darinya. Manakala tentang Safwan bin Mahraz al-Mazini adalah berhubung dengan kehidupan dengan keluarganya dan Abu Bakrah ialah tentang penghidupannya yang buta.. Adapun Abdullah bin Rawahah menceritakan tentang tangis dirinya dan isterinya lantaran gerunkan kepada api neraka. Manakala Tamim al-Dari menceritakan   yang ia berjaga semalam-malam menangis sambil membaca ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan beramal salih ?`` (Al-Jathiah: 21).
(Tamim al-Dari juga  masuk di dalam sastera Melayu yang dikira sebagai  cerita  dari sastera Islam).
Adapun `Adiyy bin Hatim dicerirtakan rasa kemanusiaan dan kasihan belas dirinya termasuk terhadap makhluk yang kecil seperti semut.
Adapun Abu Rafi` Maula Rasulullah s.a.w, sesungguhnya dia meriwayatkan daripada Ibn  `Umar r.a. berkata, berkata seorang lelaki kepada Rasulullah s.a.w. (bermaksud), Wahai Rasulullah, ``Lelaki manakah lebih afdhal ? Bersabda Rasulullah, ``Tiap-tiap yang menjaga hati sebagai peti bagi lidah, dikatakan (ditanya) , wahai Rasulullah, Apakah kandungan hati ? Bersabda Baginda, ``Yang bersih, ialah yang tidak keruh padanya, tidak derhaka, dan tidak hasad yang waspada terhadap dunia dan kasihkan akhirat. Kata mereka bagaimana dapat kami kenal demikian  ? (contohilah) Abu Rasi` Maula Rasulillah s.a.w.
Adapun daripada Muhammad bin Ka`b r.a. sesungguhmnya disebut daripadanya sesungguhnya dia berkata: Apabila Allah mau menjadikan kebaikan bagi seorang hamba dijadikan kepadanya tiga perkara, diberi kefahaman tentang agama, dan zuhud terhadap dunia dan melihat keaiban dirinya.
Adapun Zurarah bin Awfa, dikatakan dia mengimami solat pada Masjid Bani Qushayr. Dia membaca di dalam solat ayat bermaksud:
``Kerana  apabila telah ditiup sangkakala. maka saat sedemikian ialah saat berlakunya hari yang sukar`` Masa itu  zurarah  jatuh meninggal.
Adapun Hanz*alah al-Katib menceritakan pengalaman bersama Rasulullah yang menceritkan tentang syurga dan neraka. Rasulullah memberi harapan yang baik kepadanya.
Adapun Abu al-Lujaj  yang digelar sebagai Abu Kathir sebagaimana tercatat di dalam kitab Abi Daud al-Sijistani, menceritakan dia menganut Islam dengan Rasulullah s.a.w ketika brumur  lima puluh tahun, sejak itu  dia tidak makan dan tidak dia minum melainkan sentiasa muhasabah, ``Aku makan dengan hasbi dan aku minum dengan hasbi.
Manakala Abu Juhaifah meriwayatkan bahawa isterinya menyimpan wang dan bertahun lupa darinya, mengingatinya ia kesal, lantaran ia di dalam kelebihan harta sedang yang lain mati ketiadaan apa..
Adapun Hakim bin Huzam r.a. diriwayatkan daripadanya berkata:
``Tidaklah aku berpagi-pagi pada setiap pagi tanpa melihat orang yang memohon hajat dan tidak ada yang tidak memohon pertolongan tentang sesuatu perkara melainkan kukiranya daripada orang yang mengalami musibah. Aku memohon kepada Allah memberi ganjaran kepada semua.``
Kalau kita perhatikan AL-Sarraj dalam mengemukakan contoh-contoh kesufian umumnya dari tokoh-tokoh yang terkenal, tetapi dalam masa yang sama turut menampilkan yang dari segi kita kurang diketahui. Dari satu pihak dapat difahamkan bahawa apa yang mau disampaikan oleh Al-Sarraj  bukan tokohnya, tetapi aspek-aspek yang menyentuh jiwa dan keinsafan yang diharap daripadanya menjadi panduan dan contoh tauladan. Jika pada banyak tempat mesej yang mau disampaikan secara pernyataan terus mengenai sesuatu persoalan yang paling lumrah melalui firman-firman  dan Hadith-Hadith Junjungan, tetapi turut digunakan cara penceritaan, yang dengan cerita merupakan salah satu teknik yang berkesan di dalam menyampaikan mesej dan ingatan.
Sesungguhnya teknik penyampaian pengajaran melalui tokoh, perwatakan dan apa yang dilakukan secara penceritaan adalah antara kaedah-kaedah menyampaikan mesej dan pengajaran berkesan, disamping menyampaikan mesej dan pengajaran secara langsung.

Sekian,

October 26, 2016

HUDZAIFAH AL-YAMANI MEMIMPIN PERANG BERSIRI


BBB:  24 Muharram 1438H. =  25 Oktober 2016M. (Selasa):
Tokoh sufi seharusnya tidak saja berjuang dan berjihad di dalam bidang rohani dan mengasingkan diri, tetapi dia seidealnya dan seharusnya juga berjuang dan berjihad di dalam  medan perang bagi mempertahan dan memperluaskan Islam, negara dan umat. Hudzaifah AL-Yamani tokoh ideal yang dipilih oleh Abu Nasr al-Sarraj sebagai tokoh sufi yang gemerlap dalaman dan hebat luaran.
Hudzaifah al-Yamani menempa sejarah keislaman apabila mereka tiga beranah – Dia bersama ayahnya al-Yamani dan  saudaranya Safwan secara tiga beranak mengadap Rasulullah dan  menerima Islam. Mereka tiga beranak bersungguh-sungguh mendalami Islam dan komited dengan perjuangan Islam. Dalam peperangan Uhud Al-Yamani (mungkin berasal dari Yaman) turut sama menyertai peperangan berkenaan dan Al-Yamani gugur shahid dalam peperangan tersebut. Misi pengislaman tiga berana diteruskan oleh kedua-dua beradik berkenaan.
Hudzaifah dididik Rasulullah sebagai anak yang cerdas dan jujur. Dia mempunyai keistimewaan dengan kecerdasan dan terang hati dapat membuat jangkaan dan anggaran secara tepat, antaranya digunakan di dalam menilai musuh dan membuat jangkaan dan perhitungan  dan menghasilkan natijah yang baik hasil dari perkiraan dan perhitungan lahiri dan batini.  Demikianlah pada tahun ke 5H. pihak kafir Quraisy di bawah pimpinan Abu Sufyan membuat keputusan menyerang Madinah sebagai membalas dendam terhadap kekalahan mereka terutama pada peperangan Badar.
Sebagaimana telah diperkatakan bahawa Rasulullah s.a.w telah bermesyuarat bagaimana menghadapi musuh dengan kekuatan tenteranya sebanyak 24,000 orang. Sebagaimana telah diperkatakan juga Salman al-Farisi telah mencadangkan supaya digali parit keliling Madinah sebagai menyekat kemasukan tentera Qursisy ke Bandar Madinah. Di dalam peperangan yang dikenali juga dengan peperangan Al-Ahzab itu, Rasulullah yang membuat penilaian bagi menggunakan tektik dan tipu helah peperangan memilih Hudzaifah al-Yamani bagi menjadi pengintip dan menimbulkan keraguan dan memecahbelahkan musuh. Hudzaifah al-Yamani menyusup masuh ke kawasan perkhimahan musuh pada waktu malam tanpa dikenali oleh pihak musuh. Dia menyebarkan maklumat tentang pembelokan pihak Yahudi Quraiz*ah yang berjanji untuk menyerang tentera Islam dari dalam,  tetapi mereka tidak setia dan tidak tunaikan janji. Hudzaifah juga menimbulkan keraguan di kalangan tentera Quraisy. Hudzaifah yang tidak disangka oleh tentera Quraisy dari pihak Islam sebenarnya berdepan dengan Abu Sufyan dan mempunyai kesempatan untuk memanahnya, tapi tidak dilakukan, kerana jika dilakukan disedari dia musuh dan tentu dibunuh mereka. Dalam masa Hudzaifah menimbulkan keraguan ini Allah Ta`ala menghantar angin ribut kencang yang mencabut khemah-khemah  mereka dan mereka menjangka sebagaimana digembar gemburkan oleh  Hudzaifah tentera Islam menyerang mereka. Mereka tidak mempunyai kesempatan menyerang balas, dan bantuan dari Banu Quradzah tidak tiba. Jadi serangan pihak Quraisy menemui kegagalan. Abu Sufyan dan tenteranya pulang ke Makkah dengan kekeciwaan.
Selain daripada itu, kepimpinan  Hudzaifah al-Yamani makin menyerlah. Ia pandai mengatur strategi dan menggunakan tektik peperangan yang mengelirukan musuh, lantaran peperangan antaranya bersifat helah dan tipu daya. Hudzaifah dipilih oleh Khalifah `Umar al-Khattab memimpin pasukan tentera  bagi pembebasan Iraq, di bawah pimpinannya beliau berjaya membuka Bandar Hamdan, Ray dan Dainawar yang semuanya dibawah ketua Hudzaifah itu dapat mencapai kemenangan.
Pada perrtempuran yang lebih besar berdepan dengan tentera Parsi bertempat di Nahawand. Amirul Mu`minin Sayyiduna `Umar al-Khattan  telah memilih Panglima Nu`man bin Muqarin berdepan dengan tentera Parsi berjumlah 150 ribu orang. Ketumbukan tentera Islam bergerak secara tiga penjuru. Bagi mengukuhkan pasukan tentrera Islam Hudzaifah dan tentera-tenteranya  dari Kufah menuju ke Nahawand, satu lagi pasukan dipimpin oleh Jarir bin `Abdillah – terdapat 7 pelapis kepimpinan yang bersedia menggantika sebarang kepimpinan yang gugur dalam peperangan. Pasukan tentera Islam hanya berjumlah 30 ribu tentera sahaja. Di dalam pertempuran itu Panglima Nu`man bin Muqarin gugur dan tempatnya diambil alih oleh Panglima Hudzaifah al-Yamani dan dapat mengalahkan tentera Parsi.
Kekalahan tentera Parsi di tangan tentera Islam, sejak awal lagi menimbulkan perasaan anti `Arab di kalangan orang Parsi yang mnenganggap budaya mereka lebih unggul dari budaya `Arab. Ini merupakan salah satu yang menyuburkan faham shi`ah kelak apabila berlaku pertikaian `Ali-Mu`wiyah yang pihak Shi`ah menyokong pihak Ali dan turunannya (Hasan antaranya kahwin dengan perempuan dari Parsi). Ini meningkatkan lagi tentangan terhadap tentera `Arab yang mengalahkan Parsi. Panglima tentera Islam pada masa itu, iaitu `Amru  Ibn al`As menyedari aspek ini dan membuat keputusan untuk mewujudkan pusat pentadbiran  berpindah dari Mada`in iIbu Negara Parsi ke sebuah kawasan yang lebih sesuai dan selamat. Tugas ini antaranya  diamanahkan kepada Hudzaifah al-Yamani mencari pusat pemerintahan yang baru. Hudzaifah telah memilih Kota Kufah. Turut sama membina kota ini ialah Salman bin Ziyad. Kota Kufah dibangun bukan setakat menjadi pusat tentera, tetapi sebagai bandar yang lengkap dengan ciri-ciri seni bina yang menarik. Kota ini juga bangkit sebagai pusat keilmuan di samping Kota Basrah, manakala Baghdad adalah sebagai ibu negara.
Hudzaifah al-Yamani sebagai pemimpin pasukan tentera di bawah pemerintah tentera Islam utama, iaitu `Amru  bin al-`As berperanan penting di dalam meluaskan misi Islam ke kawasan Iraq hingga ke Parsi pada zaman pemerintahan  Khalifah `Umar bin al-Khattab. Dalam misi suci inilah Hudzaifah meninggal dunia pada tahun 36H. sebagai seorang yang berjasa terhadap agama dan umat Islam.
Sekali lagi ditarik perhatian, bahawa Al-Sarraj memilih personal-personal yang menjadi model kesufian seperti `Abdullah bin `Abbas, Abdullah bin `Umar, Abu Dharr, Abu al-Darda`, Abu `Ubaidallah bin al-Jarrah, membuktikan bahawa konsep dan jiwa tasawuf bukan bererti pengasingan diri dari masyarakat, bahkan tokoh-tokoh berkenaan yang mempunyai kemurniaan jiwa, bertaqwa,amanah dan zuhud adalah mereka yang gemerlap jiwa mereka dengan keimanan dan mempunyai ciri-ciri ketasawufan adalah mereka yang aktif di tengah masyarakat cerdas fikiran dan tangkan pergerakan, mampu memimpin pasukan tentera di medan perang. Dalam kata lain jiwa tasawuf bukan saja berada pada diri yang dianggap wara`, zuhud dan mengasingkan diri, tetapi dapat berada di dalam mana-mana jiwa  masyarakat yang bergerak di dalam kehidupan dengan jiwa yang suci, patuh kepada suruhan Ilahi dan dalam masa yang sama berada  di tengah masyarakat dan memimpin mereka  dengan jiwa murni dan menjadi   umat yang bermaruah dan mempunyai kekuatan kepimpinan yang menjamin kehotrmatan  umat.

Sekian.

October 25, 2016

`ABDULLAH BIN `UMAR ANAK GENERASI AWAL ISLAM BERKEPERIBADIAN TINGGI


BBB,   22  Muharram 1438H. = 23  Oktober 2016 (Isnin):
`Abdullah bin `Umar  atau ringkasnya  Ibn `Umar adalah tidak lain dari anak  `Umar ibn al-Khattab. Dilahirkan di Makkah sebelum Hijrah dan turut sama berhijrah ke Madinah bersama keluarganya. `Abdullah dididik  oleh keluarganya dengan nilai Islam dan memberi komitmen yang tinggi terhadap Islam. Beliau amat rapat dengan Rasulullah, di samping salah seorang adik beradiknya adalah isteri Rasulullah s.a.w. Pada ketika berlakunya peperangan Badar, `Abdullah mendaftar diri sebagai salah seorang tentera yang mau menyertai peperangan berkenaan, tetapi oleh kerana ianya masih dianggap di bawah umur, maka dia tidak  dibenar menyertai peperangan tersebut.
Meskipun Ibn `Umar masih muda, beliau adalah seorang pemuda yang cerdas dan berhati terang. Dia mempelajari berbagai ilmu yang disampaikan oleh Rasulullah di masjid Madinah dan sepanjang penyertaannya dengan Rasulullah. Melalui didikan secara langsung beliau menjadi seorang yang tinggi akhlak, cermat, hati-hati dan berhemah tinggi. `Abdullah bin `Umar cuba mengikuti peribadi dan apa yang dilakukan oleh Rasulullah, sehingga apa peristiwa yang pernah dilakukan pada suatu tempat dan bila dia berkesempatan akan dilakukan sebagaimana pernah dilakukan oleh Rasulullah. Dia amat teliti dari segi pengambilan Hadith dari Rasulullah s.a.w. dan cuba mengelak dari berlaku kesalahan ambilan, kekurangan atau tambahan. Dia kemudian menjadi sebagai guru yang dirujuk pendapatnya tentang berbagai-bagai perkara, tetapi dia amat cermat di dalam memberi jawapan atau fatwa yang diajukan kepadanya. Jika sesuatu yang ditanya di luar dari pengetahuannya, maka ia tidak menjawabnya. Ia juga mengelak dari melakukan ijtihad, meskipun dengan ijtihad, jika betul. maka dia akan mendapat dua pahala, dan jika tersilap akan mendapat satu pahala. Ia mengelak dari membuat ijtihad, takut dari berlaku kesilapan.
Kedalaman ilmu pengetahuan Ibn `Umar melayakkannya menjdai kadhi atau Hakim Negara. Beliau pernah dipanggil oleh Khalifah `Uthman bin `Affan dan menawarkannya jawatan Kadhi atau Hakim Negara. Tetapi Ibn `umar menolak. Apabila ditanya mengapa dia menolak jawatan berkenaan. Dia merujuk kepada  kata-kata bermaksud, tiga kadhi yang berhukum, dua daripadanya masuk neraka. Khalifah `Uthman akur dengan hujah Ibn `Umar, tetapi tidak menggalakkan diperbesar-besarkan, lantaran jika semua berpegang sedemikian  akan kosong jawatan dan mengganggu perjalanan pemerintahan.
`Ibn `Umar walaupun dia bersifat zuhud, taqwa dan wara`, beliau adalah seorang peniaga, bahkan saudagar yang berjaya yang dapat dikatakan kehidupannya dan kelurganya dalam keadaan senang lenang, tetapi dengan  kekayaan yang ada padanya, dia tidak lokek dan sentiasa menderma. Jika jamuan diadakan, maka turut dijemput fakir miskin bersama. Selain dari suka menderma, kegemarannya ialah beribadat malam. Beliau berpegang dengan sabda Rasulullah s.a,w. yang bermaksud:
``Sebaik-baik hamba ialah yang beribadat kepada Allah dan jika ia bersolat pada malam hari, maka diperbanyakkan.``
Amalannya yang lain termasuklah membaca Al-Qur`an, tahajjud, witir dan zikir.
Bila berlaku peristiwa pembunuhan terhadap Khalifah `Uthman bin `Affan, beliau pernah dipujuk bagi menggantikan tempat `Uthman, tetapi beliau menolak. Beliau tidak mau melibatkan diri dalam politik. Berhubung dengan pertelingkahan antara `Ali – Mu`awiyah beliau berkecenderungan membela `Ali, tetapi dia mengekang diri dari melibatkan diri dalam konflik. Namun beliau menegur terhadap kekejaman Hajjaj bin Yusof governor pada zaman Mu`awiyah sehingga beliau pernah dianam oleh Hajjaj, tetapi Hajjaj tidak berani bertindak terhadap Ibn `Umar.
`Ibn `Umar seorang yang berusia lanjut - 85 tahun hingga berkesempatan pada zaman pemerintahan Mu`awiyah.  Di dalam memenuhi ruang waktu yang dikurnia Allah dia memenuhinya dengan ibadat dan pengajaran. Beliau adalah salah seorang ulama` terkenal padsa peringkat awal sama seperti `Abdullah bin `Abbas,  `Abdullah bin Mas`ud dan lain-lain lagi. Beliau juga terus menyampaikan Hadith-Hadith Rasulullah, tetapi dengan penuh teliti dan mengelak dari berlaku kesalaham pertambahan dan pengurangan. Sebagai perawi Hadith, maka Hadith-Hadith yang diriwayarkan tidaklah sebanyak seperti oleh Abu Hurairah, Anas bin Malik dan beberapa yang lain. Beliau meriwayatkan antaranya:
1)      Dari Abi `Abd al-Rahman `Abdillah bin `Umar al-Khattab r.`anhuma berkata: ``Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda (bermaksud), ``Dibina Islam atas lima perkara, mengucap, tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah Rasulullah, dan mendirikan solat, dan mengeluarkan zakat, dan Haji ke Bayt dan puasa Ramadhan,  Meriwayatkannya oleh Bukhari dan Muslim.
2)      Daripada Ibn `Umar r.`anhuma, bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda (bermaksud), ``Aku disuruh memerangi  manusia hingga mereka bershahadah bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad Rasulullah, dan merela  mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. Maka apabila mereka lakukan sedemikian terpeliharalah mereka itu dariku darah mereka  dan harta benda mereka, melainkan dengan Haqq Islam dan hisab mereka itu di atas Allah Ta`ala. Riwayat Bukhari dan Muslim.
3)      Daripada Ibn `Umar r.`anhuma berkata, ``Rasulullah s.a.w. memegang dua bahuku sambil berkata: Jadikanlah kehidupan di dunia engkau sebagai orang dagang atau penyeberang jalan. Dan adalah Ibn `Umar r.`anhuma berkata, ``Apabila engkau di waktu petang jangan menunggu pagi. Dan apabila engkau di waktu pagi jangan menunggu petang, ambil kesempatan waktu sihat sebelum sakit dan daripada hidup engkau sebelum engkau mati.`` Diriwayatkan oleh Bukhari.
(Hadith-Hadith di atas dari  al-Arba`in al-Nawawiyyah).
4)      Berkata Ibn `Umar, ``Tidak sampai hamba kepada hakikat takwa hingga hilang apa yang meragukan di dalam dada.
5)      Daripada `Abdullah bin `Umar r.`anhuma daripada Nabi s.a.w bersabda (bermaksud), ``Seorang muslim ialah yang orang-orang muslim selamat daripada lidahnya dan tangannya. Dan orang yang berhijrah ialah yang berhijrah dari apa yang dilarang Allah daripadanya
6)      Daripada `Abdullah bin `Umar r.a. bahawa seorang leleki bertanya  Nabi s.a.w. ``Manakah Islam yang baik ?, Maka bersabda Baginda, ``Engkau memberi makan (kepada faqir miskin) dan memberi  salam kepada orang yang engkau kenal dan yang engkau tidak kenal.
(Hadith-Hadith di atas dari Jawahir al-Bukhari wa Sharh al-Qistillani).
Demikianlah watak dan peribadi `Abdullah bin `Umar yang berusaha mengikuti Rasulullah sebagai uswah hasanah. Dia berusaha mendapatkan ilmu pegetahuan dan mendalam dari segi keilmuan. Dia tidak menyenangi dengan konflik-konflik politik yang berlaku pada zamannya dan bersikap berkecuali. Dia lebih menumpukan kepada ibadat dan melakukan kebajikan. Ibn `Umar adalah contoh yang ideal dari segi ketasawufan.

Sekian.

October 24, 2016

ABU HURAIRAH PERAWI HADITH TERKENAL


BBB, 22 Muharram 1438H. =  23  Oktober 2016 (Ahad):
Buka saja mana-mana kitab Hadith, maka kita akan bersua dengan Hadith-Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah. Bagaimana dia dapat meriwayatkan begitu banyak Hadith ? Ini ada hubungan dengan latar sejarah dan kehidupan Abu Hurairah dan hubungannya dengan Rasulullah s.a.w.
Nama Abu Hurairah yang sebenarnya pada zaman Jahiliyyah ialah Abu Shams dan bila Islam diberi nama `Abdul Rahman bin Sakhr. Gelaran Abu Hurairah kepada beliau, kerana dikatakan Abu Hurairah sangat kasihan dan mesra kepada hidupan, khususnya binatang. Dikatakan beliau mempunyai kucing peliharaannya yang sangat di sayangi sebab itu dia dipanggil `Abu Hurairah` bererti `Bapa Kucing`.
Ada riwayat yang sedikit berbeza tentang Abu Hurairah, pertama Abu Hurairah dikatakan  adalah seorang yamg miskin, anak yatim  dan mengambil upah bekerja dengan keluarga  Busrah binti Ghazwan.  Bila Hijrah beliau turut sama berhijrah bersama dengan penghijrah-penghijrah peringkat awal yang belum mempunyai kediaman dan belum ada kemudahan dan bersama tinggal di anjung Masjid Madinah dan beliau adalah menjadi penghuni Masjid  Madinah tersebut. Beliau disifatkan sebagai ketua kalangan ahli suffah dan apabila ada berita mau disampaikan, atau  makanan yang mau dibahagikan kepada penghuni-penghuni, maka beliau antara yang bertanggungjawab menyampaikan berita  dan menguruskan pembahagian rezeki yang didapati . Tetapi menurut Dr. Khalid Muhammad Khalid dalam buku `Sejarah 133 Wira Terbilamg`` , bahawa Abu Hurairah datang kepada Nabi pada tahun ke 7H. semasa di Khaibar memeluk Islam.
Apa pun Abu Hurairah mempunyai peluang dan kesempatan yang banyak menemui dan mengikuti pengajaran yang dilakukan di Masjid Madinah. Dari seorang miskin di Madsinah beliau telah mewakafkan dirinya berkhidmat kepada Rasulullah, beliau sentiasa bersama Rasulullah s.a.w. kecuali wakti waktu Baginda rihat.  Lantaran itu beliau banyak mendengar, menghayati dan mudah mengingati apa yang diajar dan di sampaikan oleh Baginda Rasulullah s.a.w.. Abu Hurairah sebagaimana tradisi masyarakat `Arab yang mementingkan hafalan, turut menghafal dari sabda, apa yang dibuat, pembawaan dan segala yang berhubung dengan Baginda.
Adalah dikatakan bahawa selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Abu Hurairah adalah terus mengeluarkan Hadith-Hadith yang pernah diterima dari Rasulullah s.a.w.. Oleh kerana banyaknya Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, adalah dibimbangi berlaku pertambahan dari apa  yang dikatakan oleh Rasulullah atau  berlaku tokok tambah berkenaan Hadith. Jika demikian merosakkan Hadith dan juga hukum hakam dalam Islam itu sendiri, lantaran Hadith adalah sumber hukum dan peraturan di dalam Islam. Menurut fakta Abu Hurairah pernah diuji dari segi kesahihan riwayatnya. Dia dikatakan pernah dipanggil oleh Marwan bin Al-Hakam pemerintah pada zamannya. Dia ditanya tentang Hadith-Hadith yang diriwayatkan, dalam masa dia meriwayatkan Hadith dicatat oleh seorang yang diarahkan oleh pihak Marwan tanpa disedari oleh Abu Hurairah. Pada masa yang lain beliau diminta meriwayatkan Hadith antaranya Hadith yang pernah disebut sebelumnya. Dari perbandingan yang dibuat didapati apa yang pernah disebut sebelumnya adalah bersamaan. Dalam kata yang lain apa yang diriwayatkan dari segi Hadith adalah benar. Abu Hurairah adalah seorang yang cerdas, mudah menghafal dan kuat daya ingatan.  Pengambil-pengambil Hadith dari Abu Hurairah adalah serama i 800 orang.
 Konsep menghafal adalah mnenjadi tradisi orang-orang `Arab sejak zaman sebelum Islam lagi. Ungkapan-ungkapan puisi dan ucapan-ucapan  pemimpin mereka menjadi hafalan dan menjadi warisan yang diperturunkan. Kalau kita lihat puisi-puisi atau ungkapan-ungkapan yang menjadi hafalan ini biasanya dalam jumlah 20 baris, iaitu satu jumlah yang normal bagi hafalan. Tradisi hafalan ini adalah menjadi kaedah biasa dalam pengajian tradisi. Tiap-tiap mata pelajaran yang dipelajari misalnya nahu, fiqh, akidah dan sebagainya mempunyai matan-matan yang menjadi asas maklumat dihafal oleh pelajar-pelajar. Tradisi menghafal Al-Qur`an adalah  tradisi mulia dan siapa yang menghafal Al-Qur`an dipanggil dengan panggilan yang mulia, iaitu `Hafiz` atau `Huffaz` (ramai).
Hadith-Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dengan banyaknya itu melibatkan berbagai-bagai bidang. Sebagai contoh sebuah Hadith dipetik dari kitab Jawahir al-Bukhari wa Sharh al-Qistillani bermaksud:
Daripada Abi Hurairah r.a. berkata, Adalah Rasulullah s.a.w, keluar  kepada  orang ramai pada suatu hari, maka datang kepadanya seorang lelaki, maka dia bertanya, ``Apakah itu iman ? Maka menjawab (Rasulullah), Iman ialah engkau beriman dengan Allah dan malaikatNya dan pertemuan denganNya, dan dengan rasulNya dan engkau beriman dengan kebangkitan. Dia bertanya, `Apakah Islam ? Maka berkata (Rasulullah), Islam engkau menyembah Allah, dan engkau tidak mensyurik denganNya, dan engkau mendirikan solat, dan engkau menunaikan zakat yang difardhukan  dan engkau puasa pada bulan Ramadhan (tidak disebut haji, kemungkinan lupa – kata sharih).
Dan dia bertanya, ``Apakah itu Ihsan ?. Berkata (Rasulullah), engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNYa, Jikalau engkau tidak melihatNya – Subhanahu wa Ta`ala, maka sesungguhnya Dia melihat engkau. Dia bertanya, Bila berlaku sa`ah (kiamah) ? (Rasulullah)  berkata, ``Tidaklah yang kena soal lebih tahu dari yang menyoal.. Dan aku mengkhabarkandikau dari tanda-tandanya, Apabila melahirkan amah anak kepada tuannya, dan apabila berlumba-lumba meninggi-ninggikan binaan pengembala-pengembala unta. Lima perkara yang tidak mengetahuinya melainakan Allah. Kemudian Nabi s.a.w membaca `Sesungguhnya Allah jua yang mengetahui tentang Sa`ah. ( Al-Ayat). Kemudian dia berlalu, maka berkata Rasulullah s.a.w.a.w. Tanpa kesan dan tidak mereka lihat sesuatu, maka berkata s.a.w. Ini Jibril datang mengajar manusia tentang  agama mereka. Dan berkata Abu `Abdullah. Itu semuanya juga daripada iman..
Jika kita lihat di dalam Matan al-Arba`in al-Nawawiyyah Hadith yang sama (Hadith kedua) diriwayatkan oleh `Umar dengan sedikit perbezaan matan. (Ertinya kebenaran peristiwa yang dilihat oleh Abu Hurairah dan `Umar). Ini membuktikan kebenaran Hadith yang dilihat oleh Abu Hurairah menurut persepsi , penglihatan dan gambarannya. Ini adalah membuktikan apa yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah adalah benar. Demikianlah dengan Hadith-Hadith diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang lain.
Dari segi pentadbiran, pada zaman `Umar ibn al-Khattab, Abu Hurairah pernah dilantikkan oleh `Umar menjadi governor di Bahrain. Tetaoi selepas meninggalnya  Khalifah `Umar al-Khattab Abu Hurairah ditawarkan jawatan di tempat yang lain, tetapi beliau menolak. Beliau menumpukan kehidupann di dalam beribadat. Beliau meninggal pada tahun 59H. dalam usia  78 tahun sebagai sahabat  berjasa kepada Rasulullah, keilmuan dan Islam.

Sekian.

October 23, 2016

`ABDULLAH BIN `ABBAS ILMUAN DIDIKAN RASULULLAH


BBB, 21 Muharram 1438H. -  22 Oktober 2016 (Sabtu):
Rasulullah s.a.w. menyampaikan Islam dengan Qur`an, Hadith dan perjuangan Baginda bersama sahabat-sahabat dan dilanjutkan oleh generasi seterusnya. Antara peranan pelanjut yang mengolah dan mentafsirkan Islam ialah para ulama` sebagai warathatul anbiya`. Antara bintang para sahabat yang menyinar dengan keilmuan Islam ialah `Abdullah bin `Abbas atau Ibn `Abbas  yang merupakan sepupu Baginda sendiri. `Abdullah bin `Abbas  bin `Abdul Muttalib bin Hashim.
Ibn `Abbas rapat dengan Rasulullah sejak kecil dan berada di bawah didiukan Baginda dan `Ibn `Abbas diberi gelaran `Khabir Hadzihil Ummah` - `Ilmuan Ummah Ini`. Ibn `Abbas seorang yang cerdas otaknya, teliti, terang hati, kuat ingatan dan hafalan. Beliau sentiasa menghadiri majlis ilmu yang disampaikan oleh Rasulullah dan menghafal apa yang disampaikan oleh Rasulullah. Meskipun usianya masih muda. (usianya 13 tahun bila Rasulullah wafat).
Satu sifat yang ada pada Ibn `Abbas ialah sifat talib al-ilm  yang suka bertanya mengenai sesuatu masalah yang tidak difahaminya sesuatu dengan pepatah yang mengatakan bahawa:
``Pertanyaan ialah kunci ilmu pengetahuan.``
Beliau pernah dtanya bagaimana dia mendapat ilmu. Beliau menjawab ialah  dengan bertanya dan menggunakan akal sentiasa berfikir.
Adalah dikatakan pernah  persoalan yang mau dipastikan kebenaran beliau menanyakannya kepada 30 orang sahabat. Ini bererti Ibn `Abbas mempunyai ciri ilmuan yang antaranya seharusnya suka membuat penyelidikan. Antara bukti kecerdasan dan kedalaman ilmu yang menandakan beliau juga suka bermutala`ah, bahawa beliau bijak menghurai dan menjelaskan sesuatu persoalan dan mampu berdebat mengenai sesuatu persoalan yang diragunya.
Apabila berlaku pertikaian `Ali – Mu`awiyah, timbul perbahasan mengenai`Tahkim` yang ditimbulkan oleh golongan Khawarij yang mulai lahir pada masa itu. Ibn `Abbas menjawab dan menerangkan persoalan dengan jelas. Beliau mempertahankan Sayyiduna `Ali dengan kedudukannya sebagai Khalifah. Kekuatan hujah Ibn `Abbas dan ketinggian ilmu pengetahuannya menyebabkan kalangan Khawari gerun berdepan dengannya, yang beliau dapat mematahkan hujah lawan (khawarij) dengan tepat dan jelas.
Kecepatan Ibn `Abbas berfikir dan kemampuan memberi penjelasan dengan terang diakui lawan seperti Khawarij, kalangan sahabat seperti  Sa`ad bin  Abi Waqqasa dan `Ubaidah bin `Utbah. Bahkan kalangan Khulafa` al-Rashidin seperti Sayyiduna `Umar bin al-Khattab, `Uthman dan `Ali k.w. sering merujuk pendapat Ibn `Abbas dan membawa ke dalam mesyuarat-mesyuarat bagi menjana fikiran bernas beliau.
Pada zaman Khalifah `Ali  k.w.  Ibn `Abbas telah dilantik oleh Khalifah sebagai Governor di Basrah dan beliau telah m,enjalankan tugasnya dengan baik.
Ibn `Abbas teristimewa di dalam bidang tafsir, beliau adalah dianggap tokoh awal yang menafsirkan Al-Qur`an.  Pendapat-pendapatnya banyak dirujuk oleh pentafsir-pentafsir awal seperti oleh Ibn Kathir. Antara tokoh-tokoh diriwayatkan di dalkam tafsir seperti Tafsir Ibn Kathir seperti Mujahid, Qatadah, Ibn Jarir, Al-Dahhak, `Ikrimah, al-Suddi dan ramai lagi.
Sebagai contoh  dalam menafsirkan ayat yang melarang dipaksa dan memudaratkan wanita dari segi perkahwinan  dengan mengambil kembali bahagian yang telah kamu berikan kepadanya, Melainkan jika mereka melakukan pekerjaan yang keji yang nyata. (Al-Nisa`: 19) ditafsirkan:
``Ibnu Mas`ud, Ibn `Abbas, Sa`id bin al-Musayyab, al-Shu`bi, al-Hasan al- Basari, Muhammad bin Sirin.  Sa`id bin Juhair,, Mujahid, `Ikrimah, `Ata` al-Khurasani,, al-Dahhak, Abu Qilabah, al-Suddi,, Zaid bin Aslam, Sa`id bin Abi Hilal mengatakan yang dimaksudkan dengan `al-fahsha`` di sini ialah perbuatan zina., iaitu apabila isteri berzina, maka engkau berhak meminta kembali mahar (maskawin) menjadikannya gelisah dan menerima cerai. (Tafsir, Ibn Kathir, al-Nisa`: 19).
Demikian tafsir Ibn Kathir yang sering membuat rujukan kepada Ibn `Abbas dalam berbagai ayat, si samping rujukan-rujukan kepada tokoh-tokoh lain seperti di atas.
Ibn `Abbas selain dari merupakan antara pentafsir awal yang membuat tafisian terhadap Al-Qur`an yang banyak dibuat rujukan terhadapnya, Ibn `Abbas juga terkenal sebagai  perawi Hadith yang meriwayatkan Hadith-Hadith dari Rasulullah s.a.w. dan yang diriwayatkan daripada sahabat-sahabat yang sebagaimana telah disebutkan, beliau adalah seorang yang rajin mencari dan menyelidik ilmu dan juga bersifat teliti. Walaupun Ibn `Abbas seorang yang rapat dengan Rasulullah s.a.w. dan langsung menerima ilmu dari Rasulullah s.a.w. tetapi beliau tidaklah  meriwayatkan Hadith  sebanyak seperti Abu Hurairah  atau Anas bin Malik, namun beliau dengan penuh teliti  mempunyai riwayat-riwayat Hadith, walaupun tidak begitu banyak seperti dikatakan. Misalnya di dalam Kumpulan Hadith al-Arba`in al-Nawawiyyah terdapat. Misalnya Hadith ke 33  mengenai `Dakwaan dan perlu sumpah terhadap dakwaan. Hadith ke 37 (Hadith Qudsi), iaitu tentang amalan baik dan jahat, iaitu seorang berhasrat membuat baik, tapi tak dapat dilakukan dia mendapat satu balasan kebaikan yang sempurna, jika dilakukan amalan baik berkenaan maka dia mendapat ganjaran dari sepuluh   kali ganda hingga 700 kali ganda dan gandaan-gandaan yang lebih, manakala yang berhasrat melalkukan kejahatan dan tidak dilakukan dia mendapat satu balasan yang baik, sebaliknya jika dilakukan  kejahatan dia mendapat balasan satu kejahatan dan Hadith ke 39, bahawa Allah memaafkan  kesalahan hamba jika dilakukan secara kesilapan dan kelupaan dan apa yang dipaksa terhadap mereka.
Ibn `Abbas, sesungguhnya ilmuan didikan Rasulullah s.a.w. Terkenal sebagai seorang cerdas, terang hati dan mempunyai kesungguhan dari segi pengajian. Dia sebenarnya adalah sebagai `Ilmuan Ummah` sebagaimana didoa dan digelar oleh Nabi Muhammad s.a.w.. Dengan kemahuan yang tinggi terhadap ilmu, dia adalah pengolah dan pentafsir terawal terhadap Al-Qur`an. Pendapat-pendapatnya menjadi rujukan oleh pentafsir-pentafsir terawal dan pentafsir kini. Dia juga adalah perawi Hadith yang berwibawa. Dengan kedalaman kefahaman dan ketajaman fikiran , pengolahan dan tafsirannya dia dilihat  begitu berwibawa dan membuka ruang kepada perkembangan ilmu tafsir yang dirintisnya. Beliau juga meriwayatkan Hadith-Hadith  secara berwibawa. Dengan tafsiran dan keilmuan Hadith yang dikuasai Ibn`Abbas adalah pengasas dan pemula bagi keilmuan-keilmuan Islam yang terus menjadi rujukan bagi pendapat tradisi di samping pengolahan-pengolahan yang bersifat kini.

Sekian.

October 22, 2016

AL-BARRA` BIN MALIK REBUT PELUANG BERJIHAD


BBB,  20 Muharram 1438H = 21 Oktober 2016 (Juma`at):
Satu peluang berada pada generasi awal dari kurun awal perutusan Rasulullah s.a.w. ialah  (bagi yang mendapat hidayah) berjihad bersama Rasulullah s.a.w. Konsep jihad adalah luas. Jihad dalaman seperti menjauhi diri daripada sifat-sifat keji dan menghiasi diri dengan sifat-sifat terpuji. Jihad bagi melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, jihad diri bagi mengatasi kemiskinan dan menyediakan keselisaan bagi keluarga. Manakala jihad luaran ialah seperti mempertahankan negara dari ancaman musuh, jihad bagi mengatasi kemiskinan masyarakat dan jihad bagi meningkatkan prestasi kemajuan negara. Pada zaman permulaan Islam yang amat mendepani tekanan dan serangan musuh, jihad paling utama pada masa itu ialah jihad menentang musuh bagi menegakkan Islam.
Semua mereka yang berada pada generasi Rasulullah s.a.w. adalah terlibat bagi menegakkan Islam. Hampir semua sahabat semasa Rasulullah s.a.w. adalah terlibat dengan jihad yang bersifat peperangan dengan musuh yang mau menjatuhkan Islam. Antara contoh kesufian yang dipilih oleh Al-Sarraj adalah Al-Barra` bin Malik. Tokoh ini kurang dikenali dan kurang disebut sebagai kalangan sahabat, tetapi kalau disebutkan Anas bin Malik r.a., orang mengenalinya sebagai perawi yang banyak meriwayatkan Hadith daripada Rasulullah s.a.w. Al-Barra` sebenarnya ialah saudara bagi Anas bin Malik r.a. dari seorang ibu yang dikenali sebagai Ummu Salam. Si ibu berkenaan yang mempunyai dua anak dua beradik lelaki, sebagai kalangan sahabat dari generasi muda memang berhasrat agar kedua-duan anak beliau menjadi generasi yang membela Islam . Sebab itu anaknya yang bernama Anas diserah kepada Rasulullah s.a.w untuk menjadi pembantunya sejak dari umur 10 tahun. Ummu  Salam memohon Rasulullah mendoakannya agar menjadi anak yang baik, salih dan diberakati. Dari hubungan Anas dengan Rasulullah s.a.w. beliau menjadi seorang yang alim dan banyak meriwayatkan Hadith-Hadith Rasulullah dan beliau berumur panjang sehingga 99 tahun dan  mempunyai  zuriat yang ramai.
Anak Ummu Salam yang kedua yang menjadi fokus pembicaraan ialah Al-Barra` bin Malik. Beliau mendalam dari segi keilmuan ketuhanan dan minda dan jiwanya tidak luput dari mengingati Allah, sebagaimana firman Allah bermaksud;
``Orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan (semasa) mereka  mengiring, dan mereka pula berbaring memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata), Wahai Tuhan kami ! tidaklah Engkau menjadikan tanda-tanda ini dengan sia-sia. Mahasuici Engkau, maka peliharakanlah kami dari azab neraka.  (Ali `Imtan: 191)``
Berlainan dengan Anas bin Malik Al-Barra` bin Malik adalah seorang bersemangat berkubar-kubar dan tidak gentar bagi melibatkan diri dengan peperangan yang tujuannya ialah mencari shahid di jalan Allah dan mendapat balasan syurga dari Allah.
Firman Allah bermaksud:
``Mereka yang beriman, berhijrah dan berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, nereka itu mendapat kedudukan yang besar di sisi Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.`` (Al-Taubah: 20).
Lantaran itu dengan semangat yang tinggi, Al-Barra` tidak pernah melepaskan peluang menyertai mana-mana peperangan yang disertai Rasulullah s.a.w. dan juga peperangan yang tidak disertai Rasulullah. Beliau bercita-cita  tidak mati di tempat tidur, tetapi berhasrat untuk meninggal di medan pertempuran.
Pada zaman Khalifah `Umar bin Al-Khattab banyak berlaku peperangan dan pembukaan negeri, Al-Barra` juga mengambil peluang berjihad. Al-Barra` menyertai peperangan Yamamah di bawah kepimpinan Panglima Khalid bi al-Walid. Ternyata  Al-Barra` luar biasa beraninya dengan suaranya yang lantang dan tinggi menggerunkan musuh. Beliau mengalami  luka yang parah, tetapi  akhirnya beliau sembuh dari kesan-kesan perang.
Namun beliau tidak berhasrat mundur dari seruan jihad, bahkan Al-Barra` menyertai beberapa peperangan  berdepan dengan tentera-tentera Rum  dan Parsi dipersempadan syria dan Parsi. Khalifah `Umar ibn al-Khattab menulis surat kepada panglima Sa`ad bin Abi Waqqas di Kufah meminta dikirim tentera ke Ahwaz, juga meminta Abu Musa al-Ash`ari   di Basrah juga menghantar tentera ke Ahwaz. Kedua-dua  pasukan tentera tambahan bergabung  di Ahwaz bagi menentang tentera Parsi. Di dalam kumpulan ini turut serta dalam peperangan ialah  Al-Barra` dan saudaranya Anas. Walau bagaimana di dalam peperangan menentang Parsi Al-Barra` yang menentang dengan kepahlawanan yang tinggi syahid di dalam peperangan dengan wajah tersenyum lantaran hasratnya tercapai – syahid.
Jihad adalah perkara yang amat ditekankan di dalam Islam yang melibatkan banyak perkara. Jihad adalah daya gerak dan kemahuan yang tinggi bagi sesuatu motif yang suci dan kudus dan dipandang mulia dan tinggi. Dengan jihad dapat mencapai objektif yang mulia, sebaliknya tanpa ada kemahuan jihad, maka akibat negatif akan dialami yang merugikan semua. Bayangkan jika tidak ada tentera mempertahankan tanah air, maka negara akan dikuasai oleh pihak asing dan semua pihak mengalami kerugian dan kehinaan. Bayangkan jua tanpa jihad pasukan keselamatan, maka semua pihak hilang keselamatan dan kedamaian yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit atau sebarang nilai material. Bayangkan juga jika individu tidak berjihad mempertahankan maruah diri atau menjauhi dari perkara-perkara keji, maka dia terjatuh di dalam kehinaan. Pokoknya dengan jihad para mujahidin pada zaman Rasulullah Islam dapat dipertahan dan dikembangkan hingga kita termasuk antara yang menerima hidayah dan kebaikan Islam. Jihad mereka yang mempertahankan kemerdekaan dan keselamatan negara kita dapat menikmati hidup dalam aman dan selesa.
Satu fakta yang dapat diambil kesimpulan lagi, bahawa tasawuf tidak terhad kepada aspek dalaman diri peribadi semata-mata seperti zuhud, wara`, taqwa dan sebagainya,  tetapi juga melibatkan masyarakat dan negara. Al-Sarraj banyak mengambil contoh bahawa selain dari menekankan aspek tasawuf yang bersifat peribadi, bahawa Jihad adalah juga sebagai elemen tasawuf, iaitu yang bersifat  pertahanan negara, keselamatan  penduduk,  kecukupan dari segi keperluan ekonomi dan berbagai-bagai kemudahan yang bersifat kemasyarakatan adalah merupakan jihad dan mereka yang terlibat di dalam  menjayakan  keperluan-keperluan berkenaan dan dilakukan secara bersih, insaf dan kerana Allah, mereka juga sebenarnya mengamalkan nilai-nilai tasawuf kemasyarakatan !

Sekian.

October 21, 2016

`ABDULLAH BIN MAS`UD ISTIMEWA DENGAN BACAAN AL-QUR`AN - ILMUAN

BBB,  19 Muharram 1438H. =   20 Oktober 2016M. (Khamis):
Membaca dan memahami tentang sejarah sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w.  membantu kita mendalami tentang shakhsiyyah dan perwatakan  mereka  yang mengukuhkan dakwah dan perjuangan Rasuluillah s.a.w.  dan menjadi contoh teladan bagi kita sebagai ikutan. Salah seorang dari mereka yang disebut oleh Al-Sarraj di dalam Al-Luma`nya  ialah `Abdullah bin Mas`ud atau secara ringkasnya adalah  dikenali dengan  Ibn Mas`ud.
Dari segi latar Ibn Ma`ud adalah dari keluarga yang miskin di Makkah, bertubuh kecil dan kurus. Sejak remaja beliau menjadi gembala kambing kepada pemiliknya  iaitu `Uqbah bin Mu`ith. Rasulullah dan Sayyiduna Abu Bakar pernah menemuinya di kawasan gembalaan dan mendapati dia seorang yang cerdas dan menjangka dia kelak  akan menjadi seorang yang  `Berkeilmuan Tinggi`. Ibn Mas`ud adalah dari kalangan sepuluh terawal memeluk agama Islam dan terus mempunyai hubungan yang rapat dengan Rasulullah s.a.w. dan banyak menghafal ayat-ayat Al-Qur`an dari Rasulullah. Keistimewaan Ibn Mas`ud dengan rapatnya beliau dengan Rasulullah secara langsung dan tidak langsung beliau menerima dan mendapt ilmu-ilmu  daripada Rasulullah s.a.w. Dengan itu beliau dapat menyampaikan keilmuan yang ada padanya kepada yang lain.

Satu keistimewaan lagi bahawa Ibn Mas`ud mempunyai suara yang merdu dan begitu indah dan fasahah di dalam membaca Al-Qur`an. Kemampuan membaca Al-Qur`an dengan baik dan kefahamannya tentang keilmuan Islam dari kandungan ayat-ayat Al-Qur`an  mengistimewakannya di kalangan masyarakat. Pada permulaan Islam tradisi mengungkap puisi memang terkenal di kalangan masyarakat menjelang Islam. Mereka bermegah dengan penyair-penyair seperti Al-Walid bin al-Mughirah, Labid, Hassan bin Thabit dan sebagainya. Tetapi mereka ini bila berdepan dengan Al-Qur`an, mereka mengaku tentang keistimewaan Al-Qur`an dan setengahnya tegak sama membela Islam dengan  puisi-puisi mereka  seperti yang dilakukan oleh Hassan bin Thabit yang terkenal sebagai Penyair Rasulullah. Jadi keistimewaan yang ada pada Ibn Mas`ud membaca Al-Qur`an dan memahami kandungan dan hukum hakam mengistimewakan beliau di dalam mendepani pakar-pakar bahasa dan puisi zaman Jahiliyyah dan mengatasi mereka dari segi keilmuan
Keistimewaan Ibn Mas`ud dapat dilihat dari hubungan beliau dengan Rasulullah, bahawa Rasulullah s.a.w. pernah berpesan bermaksud:
``Berpegang teguhlah kamu  kepada ilmu yang diberikan oleh  Ibn Umm `abdin (bermaksud Ibn `Umar).
Bermaksud keilmuan Al-Qur`an dari segi tartil, fasahah dan tajwid dan keilmuan-keilmuan yang dapat dikeluarkan daripada kandungan ayat-ayat Al-Qur`an dan diterima langsung dari Rasulullah s.a.w.
Sesungguhnya Rasulullah suka mendengar bacaan al-Qur`an yang dibacakan kepada Baginda, khususnya dari Ibn Mas`ud:
Baginda pernah meminta Ibn Mas`ud membaca ayat-ayat Al-Qur`an, tapi Ibn Mas`ud agak kaget bagaimana Al-Qur`an yang diturunkan kepada Baginda, tiba-tiba Baginda meminbtanya membacanya.. Rasulullah s.a.w. menyatakan bahawa Baginda ingin mendengarnya dibaca oleh orang lain. Antaranya Ibn Mas`ud membaca ayat-ayat bermaksud:
``Maka bagaimanakah (keadaan  orang-orang kafir pada hari akhirat kelak) apabila kami datangkan daripada tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi terhadap perbuatan mereka), Dan kami juga datangkan engkau (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini.
Pada hari itu orang-orang yang kafir dan menderhaka kepada Rasulullah, suka jika sekiranya mereka disamaratakan dengan bumi. Dan (pada ketika itu) mereka tidak dapat menyembunyikan sepatah katapun dari pengetahuan Allah.`` (Al-Nisa`: 41-42)
Pembacaan ayat ini menyentuh hati Rasulullah s.a.w. menyebabkan Baginda menangis.  Terdapat lagi peristiwa-peristiwa yang lain yang diminta Rasulullah dari orang lain membacanya.
Pada tempat dan masa yang lain di hadapan khalayak yang lain turut dibaca oleh Ibn Ma`ud yang membuka hati dan jiwa bagi yang mendapat hidayah dari Allah untuk beriman.
Ibn Mas`ud adalah menjadi contoh teladan bagi para huffaz dan qurra` pada zamannya dan keistimewaannya membaca Al-Qur`an dan mendalami kandungannya adalah terus menjadi contoh teladan kepada huffaz dan qurra` hingga kini.
Sungguhpun Ibn Mas`ud rapat dengan Rasulullah s.a.w., tetapi secara relatifnya beliau tidak banyak meriwayatkan Hadith-Hadith, kerana beliau begitu teliti dan takut tersilap dari segi  meriwayatkan. Bila beliau memperturunkan riwayat dikatakan beliau tidak tenteram kerana takut berlaku kesilapan. Di dalam Hadith Al-Arba`in oleh Al-Imam al-Nawawi hanya terdapat dua Hadith diriwayatkan oleh beliau satu daripadanya Hadith Keempat tentang kejadian manusia hingga ke akhir hayat jika pada akhir hayatnya berakhir dengan kejahatan, masuk neraka, tetapi jika diakhir dengan kebaikan masuk syurga. Sedang sebuah Haduth lagi ialah Hadith ke 14 bahawa Ibn Mas`ud berkata, bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud,
``Tidak halal darah seorang muslim, melainkan dengan salah satu daripada tiga perkara, iaitu janda yang berzina, dan jiwa dengan jiwa dan yang meninggalkan agamanya yang memisahkan dari jamaah (kaum muslimin). Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.
Ibn Mas`ud turut sama berjuang dan bersama di dalam peperangan-peperangan yang disertai Rasulullah s.a.w, termasuklah peperangan Badar. Dalam kehidupan harian Ibn Mas`ud terkenal sebagai seorang yang salih dan bertaqwa. Kerana beliau diberi kepercayaan dan bebas berhubungan dengan Rasulullah s.a.w. sehingga beliau digelar sebagai `Peti Rahsia Rasulullah`.
Pada zaman pemerintahan Khalifah `Umar bin al-Khattab beliau telah dilantik oleh Khalifah sebagai Pemerintah di Kota Kupah dan menjalankan tugasnya dengan  baik. Tetapi pada zaman Khalifah `Uthman bin `Affan beliau tidak menyetujui sikap Khalifah `Uthman menyebabkan hubungannya dengan `Uthman tidak begitu baik, tetapi dari segi pentadbirabn beliau menjalankan tugas dengan baik dan tidak mensabotaj polisi-polisi yang dijalankan oleh `Uthman  bagi menunjukkan bahawa beliau tidak bercanggah dengan pemerintahan `Uthm
Ibn Mas`ud terkenal sebagai ilmuan pada zaman awal Islam dan qari Al-Qur`an  yang menjadi teladan bagi qari-qari  hingga sekarang.

Sekian.

October 20, 2016

ABU `UBAIDAH IBN AL-JARRAH KEPERCAYAAN RASULULLAH


BBB, 18 Muharram  1438H. =  19 Oktober 20`6 (Rabu):
Benarlah dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang memaksudkan bahawa sebaik-baik mereka adalah yang berada pada kurunnya dan diikuti dengan kurun-kurun berikut dan seterusnya (Maksud Hadith riwayat `Imran bin Al-Hus*ayn – Jawahir al-Bukhari, tt. 357). Kita mengkagumi sahabat-sahabat yang bersama Rasulullah s.a.w. menegakkan Islam. Mereka benar-benar adalah generasi pilihan, tetapi jangan  pula  lupa ada  yang malang, mereka yang tergolong sebagai penentang seperti Abu Jahal, Abu Lahab dan sebagainya.
Antara yang tergolong sebagai kalangan terawal menerima Islam yang dicatat oleh Al-Sarraj sebagai contoh kesufian ialah Abu `Ubaidah Ibn al-Jarrah. Beliau adalah dari kalangan keturunan Quraisy Makkah. Sedang kaum Quraisy yang bermegah dengan kabilah dan keturunan mereka yang mulia mempertahankan status kedududukan, pegangan tradisi dan budaya mereka dan menentang habis-habisan terhadap dakwah Rasulullah s.a.w. maka Abu `Ubaidah Ibn al-Jarrah adalah salah seorang penerima Islam pada peringkat awal.  Beliau menerima Islam melalui Sayyiduna Abu Bakar al-Siddiq. Nama penuhnya ialah Abu `Ubaidah Amir bin `Abdullah Ibn al-Jarrah yang mempunyai tubuh badan yang tinggi, tetapi kurus berjanggut nipis dengan dua batang gigi hadapannya tercabut yang berkait dengan peristiwa kudus dalam perjuangannya. Dengan perwatakannya yang meyakinkan dan kejujurannya , Rasulullah menggelarkannya sebagai `Amin al-Ummah` (Kepercayaan Ummah). Gelaran ini tidak setakat gelaran semata-mata, tetapi  terbukti dengan rentetan perjuangannya.
Tatkala pengikut Nabi pada peringkat permulaan menghadapi tekanan kafir Quraisy, Abu `Ubaidah menyertai kumpulan kali kedua berhijrah ke Habasyah. Tetapi beliau tidak tenteram tidak bersama Rasulullah di dalam perjuangan menegakkan Islam. Lantaran itu beliau pulang dan bersama-sama dalam membantu perjuangan Rasulkullah s.a.w. Beliau menyertai Rasulullah dalam peperangan Badar dan turut sama di dalam peperangan Uhud. Di dalam peperangan ini  (Uhud) yang diketahui tujuan kafir Quraisy ialah untuk menghapuskan Rasulullah, sebab itu beliau terus melindungi Rasulullah. Beliau menengkis panah dari musuh terhadap Rasulullah. Pada peringkat yang lebih sengit apabila  dua gigi rantai baju perang Rasulullah melekat pada pipi Rasulullah,  Abu `Ubaidah yang sebelumnya secepat kilat menyerbu musuh dan mengkucarkacirkan mereka,  beliau menggunakan giginya mencabut satu mata rantai dari pipi Rasulullah sehingga satu batang giginya tercabut dan seterusnya mencabut satu lagi mata rantai  pada pipi Rasulullah s.a.w. sehingga gigi keduanya tecabut, sebagaimana digambarkan sebelumnya perwatakannya yang tidak mempunyai dua gigi utamanya.
Apabila rombongan dari Najran dan Yaman datang menemui Rasulullah dan menerima Islam. Pihak rombongan memohon dari Rasulullah menyertai mereka pulang dengan seorang guru yang akan mengajar dan membimbing mereka di dalam hal ehwal keislaman, maka orang yang dipilih oleh Rasulullah tidak lain dari Abu `Ubaidah Ibn al-Jarrah.
Kepahlawanan `Ubaidah Ibn al-Jarrah diiktiraf dalam mana beliau telah dihantar membantu kepimpinan `Umar bin al-`As  dalam  peperangan `Dzat al-Salasil` yang mana dalam ketumbukan tentera tersebut bersama ialah Abu Bakar dan `Umar Ibn al-Khattab.
Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. kesetiaan terus diberikan oleh Abu `Ubaidah terhadap khalifah-khalifah yang dilantik . Beliau memilih kehidupan  secara zuhud, taqwa, amanah dan teguh hati dan tidak terlintas dihatinya untuk mendapat habuan harta benda dan kedudukan. Beliau terus diberi kepercayaan memimpin pasukan ketenteraan. Misalnya satu kisah terkenal bahawa beliau telah dihantar bagi memimpin expedisi yang dikenali dengan `Expedisi al-Khabath`  - bermaksud `Daun`. Beliau memimpin 300 orang dengan bekalan hanya sebakul kurma. Dalam expedisi berkenaan, walaupun mereka berjimat, tetapi bekalan tidak kecukupan. Bagi mengatasi kelaparan mereka telah menumbuk daun-daun menjadi serbuk dan di makan dan daun berkenaan menjadi bekas minuman. Ia merupakan ujian bagi pasukan yang dapat mengatasi kegawatan yang dihadapi.
Pada zaman Khalifah `Umar Ibn al-Khattab setelah  Khalifah menghantar Khalid bin al-Walid ke medan tempur di kawasan pemerintahan Rum dan Parsi di kawasan Syria,, maka Sayyiduna `Umar kemudiannya membuat keputusan menggantikannya  mengambil  tempat Khalid Ibn al-Walid, tetapi surat yang tiba kepada Abu `Ubaidah dalam masa perang sedang berlaku, maka atas kepentingan strategik peperangan Abu `Ubaidah Ibn al-Jarrah sengaja merahsiakan surat sehinggalah peperangan selesai dan dimenangi oleh pihak Islam, maka maklumat itu baru disampaikan. Ini mencerminkan kemuliaan hati Abu `Ubaidah yang beliau tidak tamak kepada pangkat dan pimpinan. Pengambilan alih kepimpinan tentera adalah atas kepatuhan kepada arahan khalifah.
Berikut daripada itu Khalifah `Umar ibn al-Khattab pergi ke Syria, dan dari pemergiannya beliau turut membuat penilaian terhadap kepimpinan Abu `Ubaidah dan dari tinjauan berbagai pendapat, penduduk adalah berpuashati di atas kepimpinan Abu `Ubaidah. Semasa kunjungan Khalifah `Umar ibn al-Khattab dia sempat ke rumah Abu `Ubaidah dan didapati tiada apa perabut dan perhiasan di dalam  rumahnya kecuali pedang, perisai dan pelana kenderaan berkudanya. Abu `Ubaidah meneruskan hidupnya secara zuhud, taqwa dan kepercayaan yang teguh.
Semasa betugas di Syria inilah Abu`Ubaidah Ibn al-Jarrah meninggal dunia, iaitu di kawasan yang pernah menjadi sebahagian dari empayar Rum dan Parsi. Adalah Khalifah `Umar al-Khattab menyebut-nyebut bahawa Abu `Ubaidah adalah merupakan salah seorang calon yang kemungkinan akan menggantikannya, tetapi Abu `Ubaidah terlebih dahulu berpulang ke rahmatullah.
Jika diperhatikan bahawa konsep sufi berdasarkan contoh yang dipilih oleh Al-Sarraj , walaupun zuhud, wara` dan taqwa sifat sufi bukan bererti mengasingkan diri dan tidak terlibat dengan perjuangan sebaliknya mereka adalah pejuang-pejuang yang berjuang di medan peperangan dan pada masa yang sama kuat beribadat, bersifat zuhud, wara`, mempunyai akhlak yang mulia dan mempunyai komitmen yang tinggi terhadap masyarakat dan umat. Mereka sepert Mu`adz bin Jabal, Imran bin al-Hus*ayn, Salman al-Farisi, Abu al-Darda`, Abu Dzar al-Ghifari, Abu `Ubaidah Ibn al-Jarrah sebagaimana telah dibincangkan dan ramai lagi yang bakal dibincangkan. Keutamaan dari segi kesufian ialah mereka yang jujur, patuh kepada perintah Allah dan menjauhi larangaNya , zuhud, wara`, amanah dan  berakhlak dengan nilai-nilai akhlak yang baik. Jika nilai-nilai berkenaan ada pada individu, masyarakat lebih-lebih lagi pada pimpinan maka ianya dapat memberi  sumbangan kepada kesejahteraan dan keamanan masyarakat dan negara.

Sekian.

October 19, 2016

ABU DZARR AL-GHIFARI PERTAHAN KEBENARAN RELA BERSENDIRIAN


BBB,  17 Muharram 1438H. = 18 Oktober 2016M. (Selasa):
Nama sebenar bagi Abu Dzarr al-Ghifari ialah Jundub bin Janadah dari kabilah Ghifar sebuah perkampungan di padang pasir di luar Makkah. Semenjak Rasulullah s.a.w. dibangkitkan dan Baginda masih menyeru agama Islam secara senyap-senyap, tetapi berita kebangkitan ini telah sampai ke telinga Abu Dzar. Berita tentang agama baru ini menggerak kuat hatinya untuk mengetahuinya secara lebih dekat. Secara persendirian Abu Dzarr merentas padang pasir ke Makkah dan berjaya menemui Rasulullah di persembunyian secara persendirian. Beliau mendengar bacaan Al-Qur`an dan penerangan dari Rasulullah tentang Islam dan lantas mengucap dua kalimah shahadah. Beliau adalah merupakan kumpulan pertama enam orang yang terawal memeluk Islam. Abu Dzarr seorang keras pendirian dan tidak takut menghadapi ancaman. Beliau bertekad tidak akan pulang ke perkampungan Ghifari, tanpa mengumumkan tentang Islamnya. Dia pergi ke Baitullah dan mengumumkan pengislamannya kepada orang ramai, menyebabkan beliau dipukul. Berita sampai kepada `Abbas bin `Abdul Muttalib dan beliau pergi mengingatkan kepada pembesar-pembesar Quraisy bermaksud,
``Tuan-tuan adalah pedagang-pedagang yang berulang alik antaranya melintasi kampung Ghifari, tindakan tuan-tuan terhadap Abu Dzar mengundang bala yang mungkin mereka  membuat  sekatan  terhadap jalan perdagangan.``
Abu Dzar bertanya Rasulullah apa yang seharusnya dilakukan, beliau dinasihati Rasulullah agar pulang mendakwah kepada penduduk kampungnya. Sekembalinya Abu Dzarr ke kampung, beliau telah berjaya mengislamkan semua kaumnya baik kecil, besar, tua  muda, lelaki dan perempuan, bahkan lebih daripada itu beliau juga turut mengislamkam kabilah Aslam yang berjiran dengan kampungnya.

Apabila Hijratul Rasul s.a.w. dan sahabat-sahabat berhijrah ke Madinah, tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada Rasulullah s.a.w. Abu Dzar memimpin kedua-dua kabilah – Ghifari dan Aslam sama berhijrah dan menyokong Rasulullah. Pada ketika kesampaian kedua-dua kabilah di pinggir Madinah dan kelihatan debu padang pasir menggelap pandangan, pada jangkaan penduduk Madinah ada serangan musuh dari pihak Quraisy, tetapi ternyata yang datang mengukuh sokongan ialah kabilah Ghifari dan Aslam yang sungguh menggembirakan Rasulullah s.a.w. dan juga penduduk Madinah. Menyambut mereka Rasulullah mengucapkan ungkapan yang menggembirakan mereka . Maksud sabda Rasulullah s.a.w.
``Kabilah Ghiffar yang di ampunkan Allah kepada mereka. Dan
Kabilah Aslam yang Allah menyelamatkan mereka.``
Abu Dzarr bersama Rasulullah dan sahabat-sahabat sama berdakwah dan berjihad menyibarkan Islam serta turut mendalami keilmuan-keilmuan Islam yang disampaikan Rasulullah. Abu Dzarr sendiri meriwayatkan Hadith-Hadith Rasulullah s.a.w. antara Hadith bermaksud:
Dari Abi Dzarr  Jundub bin Junadah dan Abi `Abd al-Rahman Mu`adz bin Jabal r. `anhuma daripada Rasulullah s.a.w. bersabda, bermaksud:
``Takutlah kepada Allah di mana saja engkau berada, ikutlah kejahatan dengan kebaikan boleh menghapuskannya dan bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik. Meriwayatkannya oleh Al-Tirmidzi. Dan dikatakan Hadith Hasan dan pada setengah naskhah Hasan Sahih.
Pengajaran dari Hadith ini menjadi pegangan Abu Dzar. Dia menegakkan kebenaran dan tidak takut kepada siapa melainkan Allah, walaupun tindakannya menyebabkan beliau kehilangan kawan.
Menyebut tentang Abu Dzarr Al-Sarraj memetik maklumat berhubung dengannya dengan mengatakan.
``Adapun mengenai  Abu Dzarr r.a., maka sesungguhnya diriwayatkan daripadanya, bahawasanya ia berkata, ``Perdirianku tentang kebenaran tentang Haqq  Allah Ta`ala, menyebabkan tidak ada yang tinggal bersamaku seorang kawan. Sesungguhnya takutku pada hari hisab tidak tinggal pada tubuhku sebarang daging. Dan keyakinanku pada pahala dari Allah Ta`ala hingga tidak ada sesuatu di rumahku.
Kekerasan Abu Dzar di dalam menegakkan kebenaran dapat dilihat dari sikapnya terhadap Mu`awiyah bin Abu Sufyan semasa menjadi governor di Syria semasa pemerintahan Khalifah `Uthman bin `Affan dan Abu Dzarr juga diutuskan ke sana dalam rangka mengukuhkan pemerintahan dan agama Islam di sana. Abu Dzar tidak menyenangi sikap Mu`wiyah bin Abu Sufyan yang hidup bermewah-mewah. Dia menentang secara terbuka dan berdebat dengannya, menyebabkan Mu`awiyah tidak selesa. Apa lagi Abu Dzar menubuh sebagai satu NGO yang terdiri dari suara rakyat jelata yang menyuarakan ketidaksenangan mereka terhadap sikap Mu`awiyah yang melampau-lampau dari segi kemewahan. Mu`awiyah merasa kedudukannya tergugat , kerana ia bukan saja ditentang oleh Abu Dzarr, tetapi oleh rakyat jelata, menyebabkan Mu`awiyah menulis surat kepada `Uthman yang menganggap  tindakan Abu Dzarr merosakkan kestabilan dan keamanan penduduk. Sayyiduna `Uthman menurut kehendak Mu`awiyah  dan memanggil Abu Dzarr pulang ke Madinah bagi memudahkannya mengawalnya.
Oleh kerana pihak pemerintah tidak mendengar kritikannya, maka apabila kemudiannya  beliau ditawarkan untuk menjadi Amir di Iraq, maka beliau menjangka beliau akan menghadapi masalah yang sama sebagaimana di Syria, lantaran itu tawaran yang dibuat kepadanya ditolak. Beliau tidak memandang pangkat dan elaun bulanan yang bakal didapatinya, apa yang dipentingkan ialah kebenaran dan perjalanan menurut batas keislaman.
Pada akhir hayatnya Abu Dzarr mengambil keputusan untuk mengasingkan diri dari masyarakat. Dia dan isterinya memilih tempat di Padang Pasir – tempat bernama Rabazah. Di sini dia bersama isterinya menghabiskan sisa-sisa hidup dengan beribadah dan mendekati diri dengan Allah. Selama lebih dua dekad dia berjuang bagi menegakkan Islam dan meninggal dalam keadaan dagang. Tepat sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. berhubung dengan episod kehidupan Abu Dzarr yang bermaksud:
``Allah merahmati Aba Dzarr, dia berjalan berseorangan (untuk menemui Rasulullah untuk menerima Islam), dia  mati berseorangan dan akan dibangkitkan secara berseorangan.``
Demikian episod hidup seorang yang berprinsip. Dia meninggal terus berpegang dengan prinsip kebenaran.

Sekian.