BBB, 09 Ramadhan 1439H. = 25 Mei 2018M.
(Juma`at):
Dalam mesyuareat bagi mengadakan Sambutan
Maulid al-Rasul pada 31 Oktober 2017 bersamaan 11 Safar 1439H. diambil
keputusan antaranya untuk menggunakan pertama kali Masjid Al-Umm ialah dengan
sempena menyambut Maulid al-Rasul pada Sabtu 27 Rabi`ul-Awwal 1439 bersamaan 16
Disember 2017M. Kita menjangka usaha untuk menggunakan Masjid Al-Umm ini
mendapat sokongan semua pihak, kerana desakan untuk menggunakannya begitu kuat.
Di luar jangkaan Pihak Kontrektor dan Arkitek yang dimaklumkan sama dalam
mesyuarat bagi penggunaan, namun ada seorang
Jawatankuasa Pembangunan dan Pengimarahan Masjid telah menelefon Kontrektor Tuan Haji Marzuki, meminta beliau
menyekat Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm dari menggunakan
masjid pada hari menyambut Maulid al-Rasul. Maklumat ini diberitahu oleh Tuan
Haji Marzuki kepada Ir. Haji Ishak selaku Timbalan Pengerusi Induk dan
Pengerusi Jawatankuasa Teknikal. Maklumat ini disampaikan kepada Penulis selaku
Pengeruisi Jawatankuasa Induk. `Pandangan
Menyimpang` ini dimaklumkan di dalam mesyuarat-mesyuarat berikutnya dan tiada
yang menyokong `Pandangan Menyimpang` berkenaan yang boleh disifatkan sebagai `Menikam
Dari Belakang`.
Cadangan bagi menyambut Maulid al-Rasul ini
bukan saja mendapat sokongan Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Pengimarahan
Masjid Al-Umm, tetapi dari kalangan penduduk. Misalnya mengetahui yang Masjid
Al-Umm akan mengadakan Sambutan Maulid al-Rasul Puan Hajah Khadijah balu
Al-Marhum Dato` Dr. Harun Din yang dalam persediaan untuk ke Amerika bagi menziarah kubur Dato` Dr.
Haron Di sana bersama anak-anaknya, sebelum berangkat menyampaikan wang
sebanyak RM3,000 untuk Sambutan Maulid al-Rasul` dan memaklumkan akan menambah
lagi, jika peruntukan tidak cukup, sekembalinya mereka kelak ke tanah air.
Berinduk kepada sumbangan awal itu, orang ramai bermurah
hati menghulur derma bagi menyambut Maulid al-Rasul, sehingga peruntukan bagi
menyambut Maulid al-Rasul melebihi dari RM10,000 dalam masa yang singkat. Dalam
kata lain, soal peruntukan Sambutan Maulid al-Rasul` tidak bermasalah.
Dalam pada itu, usaha untuk mendapat CPC terus
dilakukan, lantaran di dalam tempoh hingga kepada penggunaan Masjid Al-Umm
dijangka dan kemungkinan masih belum mendapat CPC, situasi ini adalah tidak menyenangkan, namun ia
adalah merupakan ikhtiar, tawakkal dan ijtihad kami bagi menggunakan Masjid
Al-Umm sebagai membuktikan azam kami kepada penduduk yang selama ini bertanya
dan mendesak agar Masjid Al-Umm segera digunakan. Namun kami dapati pihak
Kontrektor – Tuan Haji Marzuki dan Arkitek Tuan Ar. Raja Fuaddin bin Raja Ahmad amat bersimpati
dengan kami dan sedia menolong terutama dari segera mendapat CPC. Hasil dari bayaran RM150,000 bagi
kerja-kerja M & E yang dijelaskan
telah menyempurnakan pemasangan keperluan akhir bagi air-cond bagi aras utama
bagi Masjid Al-Umm.
Bagi menyambut Maulid al-Rasul ini juga
dirancang bagi mengadakan gotong royong yang menurut keputusan mesyuarat akan diadakan
pada Sabtu 9 Disember 2017. Cadangan Meyambut Maulid al-Rasul dan mengadakan
gotong royong Perdana bagi Masjid Al-Umm ini dihebahkan kepada orang ramai melalui
media sosial dan banner. Air dan tenaga letrik telah sempurna dipasang dan
dapat digunakan.
Gotong royong pada Sabtu 9 Disember 2017 itu
dihadiri oleh lebih dari seratus peserta -
orang tua, muslimat dan juga anak-anak. Pihak Masjid menyediakan peralatan
membersih, tetapi orang ramai turut sama membawa alat membersih masing-masing
sebagai tambahan.
Fokus pembersihan ialah terhadap aras utama
pada ruang legar dan juga ruang solat utama. Ruang utama dan ruang legar ini
dibasuh dengan menggunakan air biasa dan tidak menggunakan bahan pencuci,
kecuali tempat-tempat yang tebal dengan
kotoran dan kesan-kesan cat menggunakan bahan pencuci yang disediakan, bahkan
dibawa oleh peserta-peserta gotong royong. Bagi mereka yang bekerja ini
disediakan makan dan minum. Mereka berkerja dari pagi hingga ke tengah hari.
Pada waktu tengahari, tanpa dirancang dari
awal, didirikan solat zohor berjamaah dengan sajdah diambil dari Surau Al-Umm. Inilah solat pertama secara
berjama`ah didirikan di Masjid Al-Umm. Iaitu hasil dari gotong royong bagi
menyambut Maulid al-Rasul pada Sabtu minggu berikutnya. Kami menganggap ini
adalah ikhtiar, tawakkal dan ijtihad
dari segi Takmilah.
Al-Hamdulillah Masjid dibersihkan dan pertama kali
solat zohor berjamaah dapat didirikan di Masjid Al-Umm.
Sekian.
No comments:
Post a Comment