May 9, 2018

SELEPAS PERASMIAN MASJID AL-UMM DITANGGUHKAN



BBB, 22 Sha`ban 1439H. = 08 Mei 2018M. (Selasa):
Tatkala Masjid Al-Umm mau dirasmikan oleh DYMM Tuanku Sultan Selangor pada 8 Ramadhan 1438H. bersamaan 3 Jun 2017, kita begitu ghirah dan gembira, bukan saja dengan cadangan perasmian akan menpercepat dan memudahkan segala urusan penggunaan  Masjid Al-Umm, tetapi perasmian pada bulan Ramadhan 1438 itu menandakan tiga tahun  masjid dapat disiapkan dan bertepatan dengan bulan Ramadhan dan dia secara rasmi dirasmikan oleh DYMM Tuanku Sultan Selangor sendiri.
Dengan tidak jadinya perasmian Masjid Al-Umm sedikit sebanyak mengecewakan harapan kami jawatankuasa dan sedikit terganggu dari segi kegiatan.  Meskipun sudah diketahui penagguhan Perasmian Masjid Al-Umm, tetapi lebih awal dari maklumat diketahui pihak Masjid Al-Umm menerima undangan dari JAIS mengenai penyelarasan perasmian dan lawatan Tuanku Sultan ke masjid-masjid di Selangor, termasuk merasmikan Masjid Al-Umm  biarpun tak jadi.  Penulis dan beberapa AJK yang lain menghadiri Pertemuan Penyelarasan perasmian dan Lawatan Tuanku yang dibuat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Juma`at 17 Rajab 1438H. bersamaan 14 April 2017. Pemergian sekadar untuk maklumat dan mengetahui kaedah-keadah majlis yang dijalankan sebagai persediaan bila Masjid Al-Umm mau dirasmikan dalam masa yang belum ditentukan. Perbincangan lebih kepada masjid-masjid  yang termasuk dalam rancangan lawatan. Kita diberitahu lagi bahawa slot lawatan dan perasmian DYMM Tuanku Sultan telah diambil oleh YAB Dato` Menteri Besar Selangor, Dato` Seri Azmin Ali ke kawasan Gombaknya.
Tidak jadinya perasmian ada semacam kebimbangan peribadi dan tertanya-tanya, apakah diri ini berkesempatan dengan perasmian Masjid Al-Umm, lantaran hingga kini dua orang kuat Masjid Al-Umm telah meninggal dunia dan tidak berkesempatan menggunakan masjid Al-Umm yang sama diusahakan, iaitu Dato` Dr. Haron sebagai Penanung yang telah meninggal pada 16.9.2016 dan diikuti berikutnya oleh Tuan Haji Ghazali bin Hussain yang meninggal tidak berapa lama selepas itu. Cuma do`a kepada Allah semoga berkesempatan menggunakan masjid Al-Umm.
Fokus kegiatan selepas itu ialah  mengusahakan agar bangunan dapat disiapkan bagi melayakkan Masjid Al-Umm mendapat CCC. Kita tidak boleh mengharapkan pertolongan mendapat CCC, jika sebenarnya  masjid kita tidak lulus pemeriksaan yang harus dilalui oleh masjid dan binaan-binaan yang lain yang perlu mendapatkan CCC.
Fokus yang lain, ialah kembali memberi tumpuan kepada mencari dana bagi melunaskan hutang yang ditanggung oleh Masjid AlUmm  dan membiayai pembinaan yang sedang berjalan. Adalah disedari pada peringkat akhir masih berlaku penambahan-penambahan pada paln pembinaan, sebagai sesuatu yang baru, di luar dari plan asal seperti anjung  bahagian pintu Masjid Al-Umm bagi melindung dari tempias, penutupan `airwell` bagi dua ruang terbuka pada asalnya untuk masuk udara dan cahaya, diambil keputusan ditutup dan penambahan-penambahan kecil yang lain  semuanya menambahkan kos pembinaan.
Satu yang menjadi perhitungan serius Ahli JawatanKuasa Pembinaan, bahawa desakan masyarakat yang bertanya dan mau tahu mengapa hingga kini Masjid Al-Umm masih belum dapat digunakan pada hal peruntukan dari Kerajaan Negeri Selangor telah diterima dan sememangnya dilihat dari luar bangunan Masjid Al-Umm telah siap dan secara rasmi dinyatakan bahawa 98% peratus Masjid Al-Umm telah siap. Berita bahawa Masjis Al-Umm akan dirasmikan oleh Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 8 Ramadhan 1438 bersamaan  3 Jun 2017, tiba-tiba tidak jadi ? Mengapa ? Semua ini  menjadi beban dan tanggungjawab Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Umm untuk menerangkan soal mengapa tidak jadi dibuka.
Antara keputusan mesyuarat ke 74 yang diadakan pada 18 April 2017 bersamaan 21 Rajab 1438 ialah perlunya pihak Jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Umm sekali lagi menemui pengerusi-pengerusi surau-surau di bawah Masjid Al-Umm dan juga menemui orang ramai bagi menjelaskan kedudukan sebenar, mengapa Masjid Al-Umm tidak jadi dirasmikan oleh DYMM Tuanku Sultan Selangor pada  8 Ramadhab 1438 bersamaan 3 Jun 2017 itu.
Sekian.

No comments:

Post a Comment